Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 26, 2005

Solat agenda utama dalam proses didik anak

Wadah Wanita Islam:
26 Januari 2005

Solat agenda utama dalam proses didik anak
Oleh Rosnah Ahmad


“BELAJAR rajin-rajin nak. Abah, tak ada harta. Ilmu adalah harta paling berharga yang abah boleh tinggalkan kepada anak-anak.” Pesan ayah itu adalah motivasi paling berkesan kepada saya hingga hari ini, terutama selepas mempunyai anak.

Abah dan arwah emak dalam kepayahan hidup sentiasa berkorban dan berusaha untuk mendidik kami adik beradik. Pilu mengingatkan bagaimana abah yang hanya berpendapatan kecil, berkebun dan memancing selepas pulang dari kerja demi menampung perbelanjaan harian. Arwah ibu bangun seawal 3 pagi untuk membuat kuih jualan. Ibu juga mengambil tempahan menjahit baju.

Rumah kami dulu juga tidak banyak perabot. Apa yang ada, hanya keperluan asas. Abah sering mengingatkan arwah emak supaya tidak membazir duit dan sentiasa mendahulukan pendidikan anak-anak.

Pengorbanan dan semangat tinggi ibu bapa saya mungkin juga dapat dirasakan oleh pembaca. Kita mesti sentiasa menghargai jasa ibu bapa. Siapalah kita tanpa pengorbanan besar mereka.

Sebagai orang Islam, konsep pengorbanan banyak diajar kepada kita, terutama dalam kisah Nabi Ibrahim dan Siti Hajar sebagai ibu bapa serta Nabi Ismail sebagai anak yang patuh dan taat pada Allah.

Setiap ibu bapa mesti gembira apabila mendapat rezeki berupa anak. Allah menceritakan dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan seorang anak lelaki, baginda menyatakan kegembiraannya dengan mengucapkan selamat sejahtera. Hal ini seperti firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya telah datang utusan Kami kepada (Nabi) Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka berkata: “Selamatlah!” Dia menjawab: “Selamat!” (Surah Hud, ayat 69)

Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha untuk menjadi ibu bapa yang berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat keredaan Allah. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan ia menuntut pengorbanan besar.

Rasulullah saw pernah bersabda bermaksud: “Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara pengorbanan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu keibubapaan, tidak kira pada peringkat mana umur anak-anak. Ilmu sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga. Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap usia mereka. Ia juga kaedah paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak-anak. Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Sejak dalam kandungan, ibu bapa banyak berkorban dengan menjaga akhlak. Ibu mendapat makanan berkhasiat serta sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dalam kandungan sihat dan menjadi anak soleh. Ayat suci al-Quran dibaca supaya mereka sentiasa mendengar kalimah Allah sejak dalam kandungan lagi.

Proses kelahiran dan menyusukan adalah pengorbanan yang tidak terhingga oleh seorang ibu.

Ibu bapa berkewajipan memenuhi keperluan anak, baik berupa kebendaan mahupun kerohanian. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda bermaksud: “Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang yang menjadi tanggungan makan minumnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hari ini selain bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan demi mendapat rezeki halal. Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan pendidikan agama dan rohani anak.

Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam mencapai matlamat pendidikan anak-anak.

Ibu bapa perlu bijak dalam memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang menitikberatkan agama, terutama solat kerana cara yang paling tepat mendidik anak-anak mengenal Allah adalah dengan melatih mereka mengerjakan sembahyang.

Pentingnya solat sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi Ibrahim memohon kepada Allah agar diri dan keturunannya dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: “Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan (begitu juga) anak cucuku, wahai tuhan kami, terimalah doaku.”(Surah Ibrahim, ayat 40)

Begitu juga, bijaksana Islam terkenal, Luqman Al-Hakim, salah satu wasiat kepada anak seperti disebut dalam al-Quran bermaksud: “Hai anakku, dirikanlah solat...” (Surah Luqman, ayat 17)

Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama untuk mendidik anak berakidah tauhid. Mereka mestilah terlebih dulu mendirikan solat dan sentiasa berbincang serta meneruskan kesinambungan pentarbiahan anak di rumah. Mereka tidak seharusnya menyerahkan tugas ini seratus peratus kepada pengasuh atau guru saja.

Anak hendaklah dilayan dengan penuh kasih sayang. Untuk itu, ibu bapa mesti terlebih dulu membaiki akhlak supaya anak sentiasa dilihatkan dengan pekerti mulia. Insya-Allah mereka akan terdorong untuk mencontohi ibu bapa berakhlak mulia.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya.” (Hadis riwayat Abu Shaikh)

Dalam hal ini, Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anak mereka. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan marah serta memaafkan orang lain dan Allah mencintai orang yang berlaku baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Proses pentarbiahan anak mengambil masa panjang dan tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa juga bentuk pengorbanan yang dilakukan, di samping terus berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Wahai tuhan kami, anugerahkan kepada kami daripada isteri dan keturunan kami perkara yang menyenangkan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)

Setiap pengorbanan juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi contoh kepada anak. Ia adalah kunci kejayaan dalam melahirkan anak yang soleh wa musleh.


PENULIS ialah pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan harian dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan kepada permasalahan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com



Wednesday, January 19, 2005

Ibadah haji kemuncak pengabdian, pengorbanan

Wadah Wanita Islam:
19 Januari 2005

Ibadah haji kemuncak pengabdian, pengorbanan
Oleh Prof Madya Maznah Daud


BULAN haji Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

DEMIKIAN sebahagian lirik lagu Panggilan Haji. Mendengarnya hati bergetar, jiwa terusik dan kaki terasa bagai ditarik untuk melangkah ke Tanah Suci menyahut panggilan Baitullah.

Sesungguhnya peluang untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci, menjadi tetamu Allah Yang Maha Esa adalah satu kesempatan yang tidak mungkin dilupakan oleh setiap insan beriman yang pernah mengalaminya.

Setiap Muslim beriman percaya bahawa Islam yang dipegangnya tidak akan berdiri tegak tanpa tiang. Dan satu daripada tiang itu adalah menunaikan haji. Lantaran itu hasrat untuk menunaikan haji adalah cita-cita murni yang sentiasa tersemat dalam hati.

Selepas selesai menunaikan haji, jemaah akan berangkat pulang dengan hati penuh kesayuan. Segala kepayahan dan kesulitan sepanjang berada di Tanah Suci, terpahat sebagai kenangan paling manis. Ia menjadikan kita terus berazam dan bertekad untuk kembali lagi ke sana.

Demikianlah hebatnya rukun Islam yang kelima ini. Ia adalah puncak pengabdian, pengorbanan dan kecintaan hamba yang kerdil terhadap penciptanya Yang Esa.

Setiap hari sepanjang tahun, umat Islam di serata pelusuk alam ini mengerjakan Rukun Islam kedua iaitu solat lima waktu sehari semalam. Rukun dalam solat semuanya terserlah serta dapat dirasakan kemanisannya sewaktu mengerjakan haji.

Ketika solat kita mengadap ke arah kiblat. Apabila kita menunaikan haji, kiblat benar-benar tersergam di depan mata. Ia berdiri megah, di kelilingi jutaan manusia dalam keadaan berjalan dan berlari bukan kerana dikejar musuh atau mengejar emas permata yang menjadi kebanggaan di dunia. Sebaliknya, tiada lain yang dikejar, melainkan satu saja iaitu keredaan Ilahi.

Selepas wajah di hadapkan ke arah kiblat kita mengangkat tangan melafaz takbir, mengaku akan kebesaran-Nya yang tiada tanding. Di sini, kita menyaksikan secara nyata betapa Maha Besar Kuasanya. Tiada seorang pun dari kalangan jutaan makhluk yang datang dari seluruh pelusuk dunia boleh mendakwa dia lebih besar dan lebih mulia daripada manusia lain. Semuanya tunduk terpaku menghadap-Nya memohon ampun di atas segala dosa, membawa sejuta harapan agar ibadat diterima dan dianugerahkan syurga.

Selesai bertakbir, kita lakukan rukun qauli yang kedua iaitu membaca surah al-Fatihah. Dalam ayat kedua surah al-Fatihah, kita memuji Allah, Pencipta dan Penguasa semesta Alam (Alhamdulillahi Rabbil-‘alamin).

Di sini, kita saksikan jutaan manusia pelbagai bangsa dan budaya berkumpul di bawah naungan Kaabah yang mulia. Semuanya mengaku dan berikrar dengan penuh khusyuk dan tawaduk bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Alunan talbiah bergema dalam satu bahasa dan satu nada: Labbaikallahumma labaik... (maksudnya “Kami menyahut seruan-Mu ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji hanya untuk-Mu dan segala nikmat hanya daripada-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu)

Seterusnya apabila membaca ‘Maliki Yaumiddin’, mengingatkan kita akan hari kebangkitan pada akhirat nanti. Di sana nanti, semua manusia akan dihitung segala amalan dan diberi ganjaran atau balasan seadil-adilnya. Dalam perjalanan ke Padang Arafah untuk menyempurnakan rukun haji yang paling utama, seterusnya berangkat ke Mina melalui Muzdalifah benar-benar menjadi iktibar bagi hari kebangkitan yang agung di Padang Mahsyar nanti. Perjalanan yang sama jaraknya tidak menjamin ketibaan dalam jangka waktu yang sama. Ada jemaah yang berjaya tiba dalam masa singkat, ada yang berjam-jam, malah ada yang tersesat dan tidak tiba langsung. Semuanya berlaku dengan kehendak dan izin-Nya semata-mata. Tidak ada siapa yang dapat mengatasinya.

Selepas itu kita berikrar di hadapan-Nya bahawa hanya Dia satu-satunya yang kita sembah dan hanya Dia satu-satunya tempat kita memohon pertolongan (IyyaKa na’budu wa iyyaKa nasta’ein). Sesungguhnya mukmin yang berangkat untuk menunaikan haji, berpisah dengan keluarga untuk waktu lama, membelanjakan wang banyak, menanggung kesusahan perjalanan yang jauh serta menggadaikan kesenangan dan keselesaan. Semua itu adalah penzahiran kepada pengakuan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Itulah matlamat hidup kita dan segala apa yang ada pada kita adalah nikmat yang diberikan-Nya untuk digunakan demi mencari keredaan-Nya.

Bacaan seterusnya adalah memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus, jalan mereka yang diberikan nikmat sebelum kita. Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.

Menjejaki bumi Makkah dan Madinah pastinya menggamit kenangan pada orang yang telah berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk menegakkan jalan lurus. Di sini, lahirnya Rasulullah saw. Di sinilah tempat Baginda mula menerima wahyu, berdakwah dan berjihad bersama sahabat yang ikhlas dan amanah.

Tanpa perjuangan suci mereka, kita tidak akan kenal jalan yang lurus ini. Malah, tidak kenal siapa Tuhan kita dan apa matlamat hidup di dunia ini.

Sebelum mengakhiri solat, kita membaca selawat Ibrahimiyah. Dengan mengerjakan haji baru terasa hikmah di sebalik bacaan selawat itu.

Sesungguhnya hampir keseluruhan rukun, wajib dan sunat haji yang dilakukan seperti tawaf, saie, melontar dan korban adalah jejak pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam menegakkan agama tauhid di bumi ini. Malah, kerinduan untuk mengunjungi Tanah Suci berulang kali dalam jiwa Muslimin juga hasil doa baginda beberapa abad lalu, ketika meninggalkan putera kesayangannya, Nabi Ismail di bumi Makkah yang tandus, bersama ibunya, Siti Hajar yang imannya lebih kukuh daripada binaan Kaabah.

Hayati dan renungilah firman Allah bermaksud: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan pencerobohannya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37).

PENULIS ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan kepada persoalan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, January 12, 2005

Barangan lusuh, riak cacatkan amalan sedekah

Wadah Wanita Islam: Barangan lusuh, riak cacatkan amalan sedekah
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir


Sketsa 1: “Roha, ada tak sukarelawan untuk memilih, membungkus, mengemas serta menyusun sumbangan orang ramai untuk mangsa tsunami?” Seorang kawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menelefon Roha, seorang sukarelawan.

“Maaf Kak Yani, rumah saya pun tengah penuh sesak dengan sumbangan baju daripada orang keliling yang bercampur baur antara terpakai dan baru. Sudah berapa malam tidur sehingga jam 2 pagi bersama sukarelawan lain. Saya tidak tergamak nak bagi mangsa baju buruk dan tidak lengkap, ada kain tanpa baju, ada baju tanpa kain. Kami sedang memilih yang terbaik dan boleh dipakai untuk dibungkus,” Roha menjawab.

Sketsa 2: “Kami dapati baju terpakai banyak di sana sehingga ada kanak-kanak bermain dan melompat di atas baju yang bertimbun.” Demikian kata ketua kampung di ground zero sambil tangannya menuding ke beberapa timbunan baju terpakai di hujung khemah mangsa tsunami.

Ariff seorang sukarelawan sempat melihat longgokan pakaian itu. Tapi ternyata kain baju yang diberi amat daif. Seluar yang terlalu lusuh dan koyak. Tidak kurang juga pakaian dalam buruk. Aduhai! Mereka rasa dihina. Fahamlah dia mengapa mangsa tsunami tidak menghiraukan sumbangan baju terpakai itu. Kain baju yang diberikan hanya untuk menambahkan kesesakan di rumah.

Sketsa 3: “Kalau tidak ada orang surat khabar atau orang TV ambil gambar penyerahan sumbangan orang ramai, lambat kami dapat sumbangan.” keluhan mangsa yang baru saja mendapatkan bantuan makanan dan pakaian.

Sketsa 4: “Kita amat prihatin dengan tuan dan puan, sebelum depa sampai kita dah cacak dulu! Seorang ahli politik berceramah berapi-api, namun mangsa belum mendapat apa apa pun selepas beberapa hari!

Sketsa 5: “Ketika sukarelawan bomba mengepam keluar lumpur dari rumah, bantuan beberapa agensi berwajib juga sampai pada hari itu. Sedih pula melihatkan keadaan mangsa ombak, apabila hendak mendapatkan RM500 mereka terpaksa mendengar ‘rungutan’ wakil berkenaan dulu. Ada pula yang membidas kampung terbabit dengan menyatakan nelayan membuang sampah di laut walaupun ada kemudahan tong sampah sebelum bencana.

Kini ombak menghantar kembali sampah ke rumah tuan. Kasihan melihat mangsa berkenaan hanya tunduk mendengar leteran pegawai.

Sketsa 6: “Pengagihan bantuan RM500 daripada kerajaan ada yang tidak menurut kriteria. Ada yang kena serpihan saja dapat bantuan. Ada pula yang terkorban ahli keluarga tidak dibantu.

“Suaminya seorang pesakit jantung yang meninggal akibat terkejut mendengar kampung mereka dilanda tsunami. Pendeknya cara pembahagian bantuan kepada sebahagian mangsa tidak menurut prosedur keutamaan.” Demikian keluhan sukarelawan lain.

Beberapa sketsa diatas didengar daripada sukarelawan yang bertugas di kawasan yang dilanda tsunami.

Ada beberapa perkara yang perlu kita renungkan untuk diambil iktibar daripada bencana tsunami dan hubungan kita sebagai pemberi sumbangan.

Dalam masyarakat kita, derma atau sumbangan adalah bersedekah yang boleh meringankan beban orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja.

Supaya bersedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’. Beberapa perkara perlu diambil perhatian dan tindakan demi kesempurnaan bersedekah.

Pertama: Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik, elok dan tidak malu untuk dipakai (boleh dipakai). Adalah tidak wajar dan paling tidak munasabah barang yang disedekahkan itu tidak tergamak kita gunakan sendiri. Biarlah bersedekah dengan barang yang disenangi penerima. Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.

“Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji.” (Al-Baqarah ayat 267)

Kedua: Sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.

Ketiga: Sunat bagi pemberi sedekah atau derma bersedekah dan berderma daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak.

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Imran ayat 92)

“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan amalan bersedekah walaupun hanya separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka.

Keempat: Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.

“Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

“Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264)

Kelima: Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Perbuatan ini dekat kepada keikhlasan dan jauh daripada riak kerana sifat ini boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian dan dikatakan pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala diperoleh.

“Jika menampakkan sedekah kamu, ini sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya, dan memberikan orang fakir, maka itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu daripada kejahatan kamu; Allah menyedari apa yang kamu buat” (Al Baqarah – 271).

Keenam: Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

“Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba’ – 39).

Ketujuh: Sedekah membersihkan harta dan menyucikan diri kita.

“Ambil sedekah daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa engkau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah maha mendengar lagi maha mengetahui” (At Taubah-103).

Ayat itu menjawab dua soalan pokok, iaitu apa yang harus disedekahkan dan mengapa umat harus bersedekah. Sedekah adalah untuk membersih dan menyucikan (jiwa) dan disedekahkan daripada harta atau benda yang dimiliki.

Walaupun pemikiran kebanyakan umat Islam masih menghubungkaitkan sedekah dengan kebendaan, renungkan sepotong ayat Allah (yang juga ajaran Rasul yang wajib) berbunyi: “…tentang sedekah dan orang yang tidak mendapati sesuatu melainkan tenaganya (usaha mereka)” (At Taubah - 79)

Sebenarnya sedekah bukan saja berbentuk kebendaan. Bagi yang tidak mampu atau tiada harta, Allah menghendaki mereka menyumbangkan usaha dan doa.

Usaha termasuk menjadi sukarelawan, daya upaya, idea dan ikhtiar, kegiatan, perbuatan untuk mencapai, melaksanakan dan menyempurnakan sesuatu usaha yang disumbangkan dan memanfaatkan mereka yang layak menerima sedekah. Walaupun hanya sekadar doa dan senyuman. ‘Senyum itu adalah sedekah’ (maksud hadis).


Penulis boleh dihubungi di e-mel, wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan terhadap kemusykilan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com.

Wednesday, January 05, 2005

Iman harus meningkat selaras pertambahan usia

5 Januari 2005

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

KITA baru berada dalam tahun 2005. Oleh itu, elok kita muhasabah diri untuk melihat kembali senarai resolusi awal tahun lalu. Sejauh mana kejayaan pelaksanaan. Jika berjaya dicapai, perlu difikirkan lagi bagaimana untuk meningkatkan prestasi.

Apabila disemak, banyak juga resolusi tidak tercapai dan gagal mencapai sasaran. Kegagalan perlu diselidik. Di manakah kekurangan dan kelemahan diri sendiri? Jika hendak berjaya, perlu berani menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku ke atas diri. Jika asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan, pasti akhirnya tidak akan menjadi golongan cemerlang. Hal itu mengingatkan kita kepada lagu ’Bangau Oh Bangau’, satu lagu kesukaan pada zaman kanak kanak. Mesej yang menonjol daripada lagu itu adalah tabiat suka mencari alasan dan menyalahkan orang lain. Apabila masalah timbul kita akan mencari alasan dan mencari kambing hitam untuk menyalahkan orang lain. Bangau menyalahkan ikan. Ikan menyalahkan rumput. Rumput menyalahkan kerbau dan begitu seterusnya. Sikap cepat menyalahkan orang lain, tanpa usul periksa adalah budaya keji. Fenomena ’Bangau Oh Bangau’ menjadi budaya kita. Apabila umat Islam ditimpa tragedi, kita salahkan orang lain. Walhal kita juga sebahagian daripada masalah dan tragedi itu. Kita perlu mencari kesalahan sendiri, kemudian perbaiki kesilapan itu.Sekarang mari kita muhasabah diri untuk memperbaiki kesilapan. Dengan itu, semoga insya-Allah meningkatkan ilmu, takwa dan amal. Beralih ke tahun baru, kita pun berkira kira ingin mencipta resolusi baru lagi. Tidak ada salahnya mengarang resolusi demi resolusi. Hal ini kerana resolusi melambangkan keghairahan cita-cita dan wawasan masa depan yang lebih baik. Namun, resolusi perlulah realistik dan berpijak di bumi nyata. Ia perlu praktikal dan boleh dilaksanakan. Wawasan yang realistik penting. Firman Allah bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286) Ayat ini menunjukkan untuk mencapai kejayaan, matlamat dan cita-cita, seseorang itu perlu menyesuaikannya dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki, iaitu ia hendaklah realistik. Adalah tidak munasabah jika seorang sasterawan ingin membuka klinik perubatan untuk merawat orang sakit. Demikian juga, tidak realistik jika seseorang bercita-cita untuk melaksanakan ibadah seumur hidupnya tanpa tidur. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, pada zaman Rasulullah saw ada beberapa sahabat yang berazam untuk melakukan perkara luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Antara mereka berazam untuk terus menerus berpuasa. Seorang lain, berazam untuk melaksanakan ibadah tanpa tidur dan ada yang berazam tidak berkahwin agar ibadahnya tidak terganggu. Apabila Nabi diberitahu mengenai perkara itu, Baginda tidak bersetuju dengan tindakan mereka. Hal itu kerana ia bercanggah dengan sifat semula jadi manusia. Rasulullah bersabda bermaksud: “Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.” Resolusi dan cita-cita yang akan menjadi kenyataan adalah yang realistik disusuli dengan amal berterusan.Sebaik melangkah tahun baru, bertambah usia, kita semakin tua. Seharusnya, kita semakin hebat berperanan. Bertambah kesungguhan dan komitmen terhadap melakukan kebaikan untuk masyarakat. Ada antara kita apabila mencapai umur tua, ‘pencen’ dalam segala hal. Mereka bukan saja pencen di sudut kerjaya, malah membuat amal kebajikan, dakwah, mengeluarkan idea serta pemikiran untuk kemajuan dan kebaikan masyarakat.Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Semakin tua, seharusnya semakin menjadi dalam hal kebaikan. Semakin berumur, semakin gigih menegakkan kebenaran. Semakin berumur, semakin komited dengan kebajikan dan makruf. Mari kita mengenang kembali sirah kehidupan Nabi Muhammad. Baginda diutus menjadi rasul ketika berumur 40 tahun. Berjuang di Makkah selama 13 tahun sebelum berhijrah ke Madinah. Umur baginda ketika berhijrah adalah 53 tahun. Lebih kurang umur pekerja di Malaysia yang akan pencen. Namun, Baginda tidak pencen. Semakin tua semakin menjadi.Sewaktu, penghijrahan itu, tidak ada kereta Chevrolet, Honda, Toyota atau Kancil, yang ada cuma unta. Bayangkan penghijrahan itu yang memerlukan pengorbanan tinggi. Ia dipenuhi penderitaan. Contoh lain, yang tidak kurang menarik adalah pengorbanan panglima Islam terkenal, Musa bin Nusair. Apabila sebut nama ini, kita teringat pada sebuah negara yang satu ketika dulu ditakluk oleh beliau. Negara itu bernama Sepanyol, yang dahulunya dikenali sebagai bumi Andalus. Musa bin Nusair adalah penakluk gagah berani dan handal hingga majoriti rakyat Sepanyol menerima Islam dan negara itu mencapai kegemilangan di tangan umat Islam. Umur Musa bin Nusair ketika berangkat ke Sepanyol lebih kurang 70 tahun. Umur 70 tahun ini kita boleh panggil beliau dengan gelaran tok wan atau datuk. Namun, semakin tua, semakin menjadi perjuangan dan kebaikannya.Oleh itu, janganlah jadikan umur tua sebagai alasan untuk melembapkan diri. Ambillah iktibar daripada Rasulullah dan panglima Islam Musa bin Nusair yang membuka Sepanyol untuk menerima kehebatan Islam. Semua ini merangsang kita ke arah sentiasa komited dengan usaha baik walaupun tua. Jadi, itulah yang dimaksudkan dengan semakin tua, semakin menjadi, bukan dalam bentuk negatif, tetapi dalam bentuk positif. Jadikan setiap penggantian tahun sebagai hari peningkatan (Az-Ziyadah) ilmu dan amal sebagai tanda syukur. Hal ini supaya kita tidak termasuk golongan orang yang terkena azab pedih Allah. Mungkin antara resolusi ingin dicontohi adalah seekor lebah yang hinggap pada bunga untuk membantu dan tidak merosak. Menjadikan setiap tempat adalah ladang amal, setiap orang adalah objek untuk meraih keredaan Allah tanpa mengoyak-ngoyak perasaan dengan perbezaan pendapat.Ya Rabbi! Tanamkan ladangku dengan keinsafan Nabi Adam, ketahanan Nuh, kecerdasan Ibrahim, ketulusan Ismail, kesederhanaan Ayub, kesabaran Yunus, kelapangan Yusuf, kesungguhan Musa, kefasihan Harun, kesucian Isa dan kematangan Muhammad. Bukan hanya ungkapan “Selamat Tahun Baru” diucapkan, tetapi “Selamat Merenungi Nikmat Allah, Selagi Roh Masih Bersatu Dalam Jiwa.”l PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan permasalahan boleh dilihat di www.wanitajimceria.blogspot.com.

Saturday, January 01, 2005

Bisik doa pada telinga mangsa Tsunami

Bisik doa pada telinga mangsa Tsunami
Endok Sempo Mohd Tahir
RAKYAT Malaysia begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa ombak tsunami. Bukan sekadar kata-kata, malah bantuan dalam bentuk kebendaan dan wang ringgit dihulurkan bagi meringankan penderitaan dan beban mangsa
Sementara keperluan kebendaan mangsa tsunami diuruskan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan politik, kita boleh mencurah bakti secara persendirian atau melalui badan bukan kerajaan (NGO) setempat sebagai sukarelawan. Satu lagi keperluan yang amat ketara adalah kekuatan emosi dan kerohanian tinggi. Mangsa tragedi harus diingatkan agar bersabar dan menguatkan semangat menanggung penderitaan ini. Mereka perlu diberikan motivasi kerohanian dalam bentuk kekentalan akidah dan keyakinan kepada Allah. Di sinilah peranan NGO Islam dan sukarelawan.Selain keperluan kebendaan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan membersihkan persekitaran, mangsa terutama yang kehilangan ahli keluarga memerlukan sokongan emosi dan kerohanian. Biasanya dalam adat orang Melayu Islam, majlis tahlil selepas kematian diadakan. Kita jelas, ia amalan yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah. Namun, kalau dilihat dari sudut lain, majlis itu sebenarnya sebahagian daripada tanda bahawa seluruh kampung dan komuniti turut berkabung dengan keluarga yang ditimpa musibah. Kesannya amat positif. Seorang sahabat saya pernah kehilangan beberapa orang yang dikasihi, terasa kehilangan dan kesunyian. Kedukaannya dapat diringankan apabila sanak saudara dan jiran tetangga berkumpul pada majlis itu. Perkara ini sebenarnya menunjukkan keprihatinan masyarakat dalam membantu meringankan beban, penderitaan dan kesedihan orang lain.Oleh itu, kita perlu tumpukan amal sukarelawan terhadap sokongan emosi dan kerohanian ini. Kita gerakkan masyarakat setempat untuk turut mendoakan kesejahteraan mangsa bencana ini dengan mengadakan solat jenazah ghaib bukan saja di Malaysia, malahan di Sumatera, Sri Lanka, India dan Thailand.Kita penuhkan masjid atau surau di kampung yang terbabit, jemput seramai mungkin mangsa dan ajak rakan sukarelawan lain bersama meramaikan program itu. Selepas majlis tahlil, berikan sedikit tazkirah, peringatan serta kata-kata perangsang dan motivasi. Kita bungkuskan sedikit hadiah seperti peralatan sekolah baru kepada keluarga terbabit. Sebagai sokongan emosi, kita peluk erat-erat mangsa dan bisikkan doa pada telinga mereka. Jika ikhlas, spontan titisan air mata penuh simpati akan menyejukkan hati mereka. Kalau ada kelapangan dan permintaan, hadirlah lagi untuk majlis tahlil dan bacaan Yassin di surau lain pula. Kita lahirkan keprihatinan dalam bentuk amal.Mereka kini berada dalam kebingungan, dalam keadaan yang amat tidak berdaya, sedih dan sugul. Terngiang-ngiang pada telinga mereka, jeritan ahli keluarga meminta tolong, umpama mengalami mimpi ngeri. Kerohanian mereka ditampar dengan cukup hebat! Mereka perlu diberikan pengharapan bahawa ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Mereka perlu kena diperingatkan bahawa mereka ada Allah untuk mengadu.Hal ini mengingatkan saya kepada e-mel yang diterima daripada seorang sahabat bukan Islam ketika gempa bumi yang berlaku setahun lalu. Kedahsyatan gempa bumi berkekuatan 6.3 skala Richter itu menghancurkan kota Bam di Tenggara Iran pada Jumaat, 26 Disember 2003. Kejadian pada jam 5.28 pagi waktu tempatan masih segar dalam ingatan. E-mel kawan itu antaranya berbunyi : “Kalau gempa bumi terjadi di Amerika Syarikat atau Eropah dan mangsanya adalah bukan Islam, orang Islam akan berkata ‘Itu bala daripada Allah’. Kini apa pula yang akan kamu katakan mengenai bencana yang menimpa kaum Muslim di kota Bam, Iran?” Saya bingung sejenak untuk menjawabnya. Ya, ada antara kaum Muslimin memang suka menghukum dan menjatuhkan kecaman atas nama Allah. Apabila ada musibah menimpa orang lain yang tidak seagama atau tidak sefahaman, jangankan hendak menolong, malah lidah itu spontan tanpa rasa simpati akan terus mengatakan: “Itulah bala daripada Allah atas kesesatan mereka.”Sewaktu kecil, seorang pak cik yang berjiran dengan rumah kami memberikan komen: “...itulah hukuman kepada masyarakat daerah itu.” Hal itu kerana menurut pengetahuannya, orang di sana malas sembahyang. Komen itu adalah berikutan banjir besar di sebuah negeri di tanah air.Oleh kerana masih kecil pada masa itu, saya percaya bulat-bulat perkataan pak cik itu yang juga seorang guru agama. Saya menjadi seorang anak yang rajin sembahyang kerana takut tertimpa bencana banjir. Kini, apabila difikirkan komen sebegini tidak harus tuturkan kerana tidak boleh diterima akal. Mengapa sekarang banyak negara Eropah yang makmur, hidup sejahtera, negaranya nyaman, tidak ada banjir dan gempa bumi? Walhal, majoriti penduduknya tidak bersembahyang kerana mereka bukan Islam. Jika benarlah alasan turunnya musibah hanya kerana tidak sembahyang, alangkah tidak adilnya Allah yang sering menimpakan banjir kepada penduduk penduduk Islam di Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan negara Islam lain.Sikap suka menghukum dan mengecam bukan sikap bijaksana. Ketika kita atau orang lain ditimpa musibah, tindakan yang terbaik adalah bersabar, melihat dalam diri, bermuhasabah dan saling-menolong. Bencana boleh saja datang pada bila-bila masa dan di mana saja. Penderitaan akibat bencana alam yang dialami orang Islam dan bukan Islam sama saja menyakitkan. Kesedihan seorang ayah yang kehilangan lima anak akibat hentaman ombak besar tsunami di Pulau Pinang dengan kesedihan keluarga gadis mangsa rogol di Kedah, baru baru ini, sama beratnya.Ketika berita mengenai ombak besar tsunami tersiar, tiba-tiba saya berasa takut. Apa jadinya apabila kejadian itu menimpa saya? Menjelang tidur, terlintas ketakutan dalam hati, bagaimana kalau menjelang Subuh nanti, tiba-tiba atap rumah saya runtuh? Gempa itu hanya terjadi 15 saat, apa yang boleh saya dilakukan dalam waktu sesingkat itu? Lari? Mustahil! Dari pintu bilik saya hingga halaman luar yang beratap langit memerlukan memerlukan masa paling minimum satu minit. Belum lagi masa yang saya perlukan untuk mencari dan memakai tudung? Mengejutkan anak-anak yang sedang tidur, Demikian juga dokumen penting dan wang ringgit yang diperlukan pada saat genting. Namun, akhirnya saya tersedar, tidak ada tempat untuk lari! Ketika kematian menjelang, ke manakah manusia akan lari? Bukankah Allah telah berfirman bermaksud: “Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat melambatkannya barang sesaat pun, dan tidak pula dapat menyegerakannya.” (Surah Yunus, ayat 49).Firman-Nya lagi bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa, ayat 78)Akhirnya, barulah saya boleh tidur.Mungkin reaksi yang paling bijaksana dalam menghadapi musibah seperti ini adalah dengan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah. Ujian pertama adalah kesabaran bagi yang ditimpa musibah dan juga ujian kepada kita, untuk melihat sejauh mana rasa keprihatinan, persaudaraan, keimanan dan keikhlasan dalam membantu saudara seIslam atau bukan Islam.Satu musibah juga ujian hati nurani, kewibawaan dan kecekapan pegawai serta agensi kerajaan, tokoh masyarakat setempat dan korporat dalam menangani masalah bencana alam yang paling dahsyat sejak empat dekad ini.Musibah juga seperti test-case untuk melihat apakah seseorang boleh terkesan atau tersedar daripada segala perilaku negatifnya selama ini. Ketika kita melihat musibah menimpa orang lain, kita harus sedar dan bersiap-sedia menghadapi kematian. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, menjemput pada bila-bila masa saja. Tanpa amaran. Untuk itu, sebelum kematian menjelang, kita harus menyiapkan bekal amal sebanyak-banyaknya. Akhirnya, hayati kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya:“Telah datang seorang lelaki Ansar untuk bertemu Rasulullah yang sedang berkumpul dengan sahabat. Lalu lelaki itu bertanya: Siapakah yang paling cerdik dan mulia wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingat kematian serta yang gigih membuat persiapan menghadapi kematian itu. Merekalah orang yang paling cerdik. Mereka meninggalkan dunia dengan kemuliaan dan menuju akhirat dengan keagungan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi al-Dunya).