Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Tuesday, November 25, 2003

Hari raya adalah hadiah untuk orang yang lulus ujian kem latihan Ramadhan

25.11.2003
HARIRAYA ADALAH HADIAH UNTUK ORANG YANG LULUS UJIAN KEM LATIHAN RAMADHAN
Oleh : Dr.Harlina Halizah Hj Siraj

Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, ramai yang menarik nafas lega dan gembira menyambut kehadiran satu Syawal. Ramai yang merasa tidak sabar-sabar untuk kembali kepada rutin harian di rumah atau di tempat kerja – tidak lagi perlu bangun awal untuk bersahur, merasa lapar dan dahaga, keletihan dan mengantuk di tempat kerja, bergegas pulang untuk berbuka dan terperangkap dalam kesesakan jalanraya serta menghabiskan sebahagian besar malam di surau untuk solat terawih berjemaah. Tibalah pula waktu untuk bersukaria dan bergembira menyambut kehadiran Syawal yang sering dikaitkan dengan keseronokan `balik kampung’, berkumpul semua adik beradik dan sanak saudara, menjamu selera dengan hidangan juadah istimewa dan berziarah ke rumah jiran tetangga dan sahabat handai.
Semangat menimbulkan serta menzahirkan suasana kegembiraan di Aidilfitri ini sememangnya disarankan oleh Rasullullah SAW. Namun tidak ramai diantara kita yang menghayati apakah sebenarnya asas dan dasar kepada kegembiraaan dan keceriaan tersebut. Pada hakikatnya, hari raya Aidilfitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah lulus dalam ujian bulan Ramadhan serta mereka yang telah berjaya kembali kepada fitrahnya selepas berjuang mengekang hawa nafsunya. Bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai satu medan latihan pembangunan insaniah yang melatih manusia melalui latihan-latihan ibadah yang sekiranya dilakukan penuh disiplin, akan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah murni sepertimana sewaktu kelahirannya ke dunia. Melalui amalan berpuasa, mujahadatunnafsi (mujahadah membersihkan diri dengan melawan kehendak nafsu dan syaitan), bertadarus Al-Quran, bersolat terawih berjemaah dan bersedekah dan berzakat, manusia dapat mengikis sifat-sifat buruk (mazmumah) untuk digantikan dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang sesuai dengan fitrah insaniah yang murni. Selain daripada itu, bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai satu madrasah atau kem yang menggilap tiga kekuatan manusia iaitu kekuatan akal, jiwa dan fizikal. Akal ditajamkan melalui tadabbur Al-Quran, di mana kita menghayati setiap ayat yang dibaca serta berusaha beramal dengannya. Jiwa pula dibangunkan dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat serta menahan diri dari menuruti runtunan nafsu dan syahwat. Secara saintifik pula, puasa telah dibuktikan mampu membantu meningkatkan kesihatan fizikal manusia sepertimana yang dikatakan oleh Dr Adolf Meyer dari German, ` “Fasting is the most efficient means of correcting any disease" ( Berpuasa adalah cara paling efektif untuk memperbetulkan sebarang penyakit).
Dengan kejayaan tersebut, orang yang telah `lulus’ dalam ujian Ramadhan ini layak beroleh anugerah dari Allah SWT. Walaupun hadiah dan ganjarannya itu tidak berupa penyampaian segolong sijil atau ijazah dalam satu majlis konvokesyen yang gemilang di pagi Aidilfitri, namun anugerah tersebut tetap tersimpan untuk diserahkan di pentas Hari Akhirat kelak. Di antara janji-janji ganjaran istimewa yang diperuntukkan oleh para `graduan’ yang lulus cemerlang dari madrasah Ramadhan ini dapat disimpulkan dari dua mafhum hadith Rasullullah SAW yang dinyatakan di bawah ini :
`Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal- amal kebajikan seperti bersolat, memberikan zakat, bertasbih dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah hari di mana Allah SWT mengampuni dosa-dosa kamu sekelian dan memperkenankan doamu serta memandang kamu sekelian dengan pandangan rahmat.’
`Apabila tiba saat hari raya, Allah SWT akan mengirimkan para malaikat. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap negara, sambil berseru : `Hai umat Muhammad, keluarlah kamu sekelian menuju Tuhan yang Maha Pemurah.’ Maka apabila mereka keluar menuju tempat sembahyang masing-masing, Allah berfirman :` Saksikanlah, wahai para malaikat-Ku, bahawa sesungguhnya Aku memberikan pahala bagi puasa mereka iaitu keredhaan-Ku dan keampunan-Ku.’
Dapatlah disimpulkan bahawa orang yang berjaya menghadapi ujian dan menjalani latihan di bulan Ramadhan akan dianugerahkan empat ganjaran besar iaitu keampunan terhadap dosa-dosa mereka, doa yang dimakbulkan, mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Persoalannya, dapatkah seseorang itu mengetahui dan meneka siapakah di kalangan kita yang telah berjaya dan siapakah pula mereka yang gagal? Hanya Allah SWT sahajalah yang mempunyai sepenuh pengetahuan mengenai urusan tersebut. Walaubagaimanapun, kita boleh melihat tanda-tanda lahiriah bagi orang-orang yang layak menerima anugerah Syawal lantaran kejayaan mereka menempuhi Ramadhan dengan sempurna. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
· Fikiran telah dibersihkan serta dimantapkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, kepercayaan tahyul, ideologi atau isme-isme bikinan manusia. Fahaman kebendaaan atau materialistik dan sikap mementingkan diri sendiri juga turut terhapus.
· Nafsu syahwat dapat dikawalselia dan dididik agar mudah dan ringan melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya.
· Interaksi sesama manusia dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, berkasih-sayang, bersopan santun dan pemurah serta pemaaf.
· Daya tahan meningkat dalam menghadapi ujian-ujian getir yang menimpa selepas bulan Ramadhan.
Tanda-tanda ini dapatlah dijadikan kayu ukur serta timbangan untuk kita menilai serta menyuluh ke dalam diri sendiri, sama ada kita berhak bergelar graduan Ramadhan atau sebaliknya gagal sama sekali mendidik jiwa dan menyemai keimanan dalam dada sepanjang tempoh sebulan berpuasa. Bagi sesiapa yang berjaya, dialah yang paling layak untuk merayakan Aidilfitri ini dalam suasana penuh kesyukuran dan keceriaan. Amalan bermaaf-maafan,mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara, membuat jamuan serta rumah terbuka bagi meraikan sahabat handai adalah antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran tersebut serta berkongsi kegembiraan. Bagi sesiapa yang gagal pula, sepatutnya mereka merasa malu untuk bergembira di hari raya dan seharusnya lebih banyak menganalisa diri serta berazam untuk cuba memperbaiki diri mereka.
Apa yang membimbangkan hari ini, kekaburan serta kejahilan umat Islam dalam menghayati pengertian sebenar kemenangan yang dirayakan pada satu Syawal itu mengakibatkan ramai diantara kita yang banyak melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya atau tidak bersesuaian dengan prinsip perayaan tersebut. Laungan takbir yang bergema di masjid-masjid di pagi Aidifitri haruslah dihayati penuh kesyukuran dengan semangat yang tinggi , memuji dan memuja Allah yang Maha Agung dan Maha Besar. Sebaliknya, ramai antara kita yang bersedih dan menganggap laungan takbir yang mendayu-dayu itu sebagai nada yang mengingatkan kita dengan orang-orang yang kita kasihi yang telah tiada bersama-sama kita. Tidak salah menangis hiba merindui ibu bapa, suami atau isteri yang telah meninggalkan kita terlebih dahulu di pagi Aidilfitri,namun janganlah sampai perkara itu menjadi agenda utama dalam kita menyambut hari kemenangan tersebut. Pancarkanlah kesyukuran dan kegembiraan serta doa untuk satu sama lain apabila kita bertemu dengan kaum keluarga dan sahabat handai sepanjang perayaan Aidilfitri kali ini. Seperkara lagi yang harus ditekankan adalah mengenai amalan bersukaria dan berpesta yang seringkali diadakan, terutamanya oleh mereka yang sebenarnya menunjukkan ciri-ciri kegagalan dalam ujian berhadapan dengan Ramadhan. Bagi mereka yang masih terus menerus melakukan maksiat dan kemungkaran terhadap Allah SWT dalam bulan Ramadhan , harus diperingatkan agar tidak mencemarkan pula perayaan Syawal yang dikhususkan untuk mereka yang telah bertungkus-lumus mengharungi pahit getir ujian di bulan Ramadhan. Ingatlah mafhum hadith Rasulullah SAW ini :
` Sesungguhnya Iblis akan memekik melolong pada setiap hari raya. Lalu berkumpullah anak-anak buah Iblis mengeruminya dan mereka bertanya; `Wahai tuan kami, apakah yang menyebabkan kemarahanmu ini?’ Iblis menjawab ,` Sesungguhnya Allah SWT benar-benar mengampuni umat Muhammad pada hari ini. Maka wajiblah diatas kamu menyibukkan mereka dengan segala macam kelazatan dan kesenangan nafsu.’
Semoga kita semua beroleh kejayaan dan kemenangan dalam mengharungi ujian di kem latihan Ramadhan yang baru berlalu. Jiwa mukmin akan merintih dan sedih melihat Ramadhan berlalu pergi, sekalipun gembira menyambut kedatangan Syawal yang mulia. Semoga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang, dalam keadaan penuh bersedia untuk menjalani siri latihan pembangunan insan yang direkacipta oleh Pencipta semesta alam untuk kita semua. Amin wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 22, 2003

Jadikan sambutan Aidilfitri tahun ini tanpa maksiat

Oleh Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa
(Sambungan semalam 21 Nov)

TENANGKAH perasaan ketika menjalani kehidupan pada Ramadan. Adakah kita masih ada perasaan resah, gelisah, khuatir dan risau? Jika ya, maka itu juga tanda gagal Ramadan. Pesan Rasulullah: “Sesungguhnya telah datang Ramadan yang penuh barkah. Allah telah memfardukan atas kamu berpuasa dalamnya. Dibuka semua pintu syurga, dikunci semua pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sungguh tidak diberikan kebajikan atasnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i, Baihaqi daripada Abu Hurairah) Apabila seseorang meraih barkah bulan suci ini, jiwanya mantap, hatinya tenteram dan perasaannya tenang dalam menghadapi apa juga keadaan. l Keazaman meningkatkan syiar Islam. Salah satu ciri utama alumni Ramadan yang berjaya ialah semakin tinggi ketakwaannya. Tanda ketakwaan yang meningkat ialah semakin kuat semangat dan keazamannya meninggikan syiar Islam. Pelbagai kegiatan amar makruf nahi mungkar dilakukannya kerana ingin sebanyak mungkin orang merasakan kelazatan iman seperti yang alaminya. Jika semangat ini tidak ada, gagallah Ramadan kita. Atau kita berasa malas membela dan menegakkan kebenaran. Walhal sejumlah peperangan dilakukan kaum Muslimin melawan tentera kafir berlangsung pada Ramadan. Kemenangan Badar dan penaklukan Makkah (Futuh Makkah) berlaku pada Ramadan. Di tengah gelombang kebatilan dan kemungkaran yang semakin berani menunjuk taring, kita sebagai alumni akademi Ramadan seharusnya semakin gigih dan berstrategi dalam membela dan menegakkan kebenaran. Jika bulan suci ini tidak memberi bekal perjuangan baru cemerlang, maka kemungkinan besar kita sudah kecundang. l Motivasi untuk berjemaah. Ramadan seharusnya menguatkan motivasi untuk kita semakin rajin berjemaah di masjid. Semakin rajinkah kita? l Mencintai fakir miskin dan mereka tertindas. Adakah kita menghayati maksud Syahru Rahmah, bulan kasih sayang atau Ramadan. Ini kerana pada bulan ini, Allah melimpahi hamba-Nya dengan kasih sayang yang berlebihan. Siyam Ramadan menanam benih kasih sayang terhadap orang yang paling lemah di kalangan masyarakat. Fakir miskin, anak yatim dan mereka yang hidup dalam kemelaratan. Rasa cinta kita terhadap mereka seharusnya bertambah. Jika cinta jenis ini tidak bertambah selepas bulan suci ini, bererti kita wajib bersegera memeriksa semula diri. l Menghidupkan hari terakhir Ramadan. Adakah kita benar benar memahami makna ‘hari-hari terakhir Ramadan’? Khalifah Umar ibn Abdul Aziz memerintahkan seluruh rakyatnya supaya mengakhiri puasa dengan membanyakkan istighfar dan memberikan sedekah. Ini kerana istighfar dan sedekah dapat menampal amalan puasa kita yang berlubang atau pecah. Menapak hari-hari berlalunya Ramadan, semestinya kita semakin kerap melakukan muhasabah diri. “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18) Marilah kita bandingkan ‘kemeriahan’ anak kita dengan kesayuan anak di Iraq, Chechnya dan Palestin yang dikejutkan dengan bunyi dentuman roket, bom dan rempuhan kereta kebal. Anak-anak dan ibu dikejut dengan rempuhan pintu askar penceroboh pada waktu sahur, tangan mereka diikat, hanya atas nama memerangi keganasan dan mengembalikan keamanan. Apakah yang membezakan kita dengan mereka? Kita turut tumpang seronok melihat anak bermain mercun dan bunga api hingga berbelanja puluhan, malah ratusan ringgit? Sedangkan Rasulullah menyeru umatnya merebut 10 malam terakhir Ramadan dengan banyak beribadat. Semakin akhir Ramadan seharusnya kita semakin bersedih kerana sebenarnya tidak layak untuk syurga, tetapi kita tidak sanggup melihat api neraka. Rasulullah menyuruh umatnya melipatgandakan amalan menjelang akhir Ramadan. Rebutlah peluang beristighfar dan memohon kelepasan daripada api neraka pada Ramadan ini. l Kita lebih sibuk dengan sambutan raya. Adakah kita seperti orang lain? Semakin disibukkan oleh urusan lahiriah persediaan menyambut kedatangan Aidilfitri? Hingga lupa bahawa 10 malam terakhir adalah saat genting yang menentukan nilai akhir kita pada mata Allah pada bulan mulia ini. Adakah kita menjadi pemenang sejati atau kecundang yang kecewa? l Kefahaman makna Aidilfitri. Adakah kita menganggap Aidilfitri adalah ‘kebebasan’. Secara harfiah makna Aidilfitri ialah hari kembali ke fitrah. Kebanyakan orang memandang Aidilfitri laksana hari pembebasan daripada ‘penjara’ Ramadan. Jadikanlah Aidilfitri kali ini hari raya tanpa maksiat. Sambutlah kedatangan 1 Syawal dengan takbir dan tahmid sebanyak-banyaknya. Semoga Allah menerima puasa kita dan menjadikan kita orang bertakwa agar termasuk dalam golongan insan berjaya di sisi Allah. – wanitajim0@yahoo.com

Friday, November 21, 2003

Audit amalan sepanjang Ramadan nilai prestasi diri

Oleh Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa

KEHADIRAN 1 Syawal semakin hampir dan ini bererti kita berada pada hari-hari terakhir Ramadan. Dalam tempoh beberapa hari menyambut kedatangan Syawal, kita sebenarnya tidak terlambat untuk memuhasabah diri dalam melalui Ramadan ini. Adakah tercapai objektif puasa kita? Berdebar-debarkah sanubari kita menanti keputusan Allah? Diterimakah amalan kita? Untungkah kita? Rugikah kita? Adakah puasa juga satu ujian? Memang benar. Puasa adalah satu ujian dan latihan. Oleh itu, perlulah kita mengaudit amalan sepanjang Ramadan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik kerana mendapat rahmat dan pengampunan-Nya. Kita boleh mengaudit puasa kita melalui beberapa aspek. l Aspek kesabaran. Sabar dalam semua aspek, termasuk mengerjakan ibadat. Sabar atau menahan diri daripada melakukan maksiat. Adakah kita berjaya mengawal semua anggota daripada melakukan perkara haram. Tangan tidak mengambil hak orang tanpa izin tuannya. Kaki tidak melangkah ke tempat dilarang agama. Telinga tidak mendengar perkara yang tidak diharuskan. Mata dijaga daripada melihat benda maksiat. Mulut bukan saja tidak makan dan minum, malah berhenti berbohong, mengumpat, mengeji, memfitnah, bertengkar dan sebagainya. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata dusta dan terus mengamalkan sikap suka berdusta, maka Allah tidak berhajat untuk menerima daripadanya amalan meninggalkan makan dan minumnya itu. “Sesungguhnya puasa adalah satu benteng. Apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, janganlah dia mencarut dan menista. Sekiranya ada seseorang cuba menyerangnya dengan kata-kata atau perbuatan, maka ucapkanlah, sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.” l Melakukan kebajikan dan amal soleh. Adakah kita menepati maksud firman Allah seperti ayat di bawah? “Sesungguhnya mereka adalah orang yang bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang yang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbia, ayat 90) “Dan hamba-Ku masih mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah, sampai Aku mencintainya.” (Hadis Qudsi). l Kemurahan hati. Adakah Ramadan kali ini menjadikan kita insan pemurah, tidak kedekut dan rakus pada harta benda. Adakah kita takut rugi jika mengeluarkan banyak infaq dan sedekah. Sedangkan salah satu tujuan utama puasa agar manusia mampu mengendalikan sifat rakus pada makan minum mahupun pada harta benda. Ini kerana ia termasuk sifat kehaiwanan (Bahimiyah). Cinta dunia dan bergelumang kemewahan hidup, sering membuat manusia lupa akan tujuan hidup sebenarnya. Mendekatkan diri kepada Allah akan menguatkan sifat utama kemanusiaan (Insaniah). l Mencintai al-Quran. Adakah kita masih malas membaca al-Quran. Sedangkan Ramadan juga disebut ‘Syahrul Quran’, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran. Orang soleh pada masa lalu menghabiskan waktu siang dan malam Ramadan untuk mendampingi dan membaca al-Quran. Sabda Rasulullah bermaksud : “Ibadah umatku yang paling utama adalah pembacaan al-Quran.” (Hadis riwayat Baihaqi) Ramadan adalah saat yang tepat untuk menimba dan menggali sebanyak mungkin kemuliaan al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan. Kebiasaan baik ini seharusnya berterusan selepas Ramadan berlalu sebagai tanda kejayaan latihan pada bulan suci ini. l Mengawal emosi. Adakah kita masih mudah menghambur kemarahan. Ramadan adalah bulan kekuatan. Nabi bersabda bermaksud: “Orang kuat bukanlah orang yang selalu menang ketika berkelahi. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai diri ketika marah.” l Ukhuwah yang marak, hati yang lunak. Adakah kita mengeratkan tali silaturahim yang sudah renggang? Ketika menyambut kedatangan Ramadan, Rasulullah bersabda: “Barang siapa menyambung tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya...” Puasa mendidik peribadi untuk menumbuhkan jiwa kasih sayang dan tali cinta. Jiwa orang berpuasa seharusnya dibersihkan daripada kekerasan hati dan kesombongan, diganti dengan perangai yang lembut, halus dan tawaduk. l Pengurusan masa. Al-Quran mendokumentasikan dialog Allah dengan orang yang menghabiskan waktu mereka untuk bermain-main. Firman Allah bermaksud : “Allah bertanya: Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi? “Mereka menjawab: ‘Kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari. Maka tanyakanlah kepada orang yang menghitung. “Allah berfirman: Kamu tidak tinggal di bumi melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui. “Maka apakah kamu mengira sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? “Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Tuhan yang mempunyai ‘Arsy yang mulia.” (Surah al-Mu’minun, ayat 112-116). Kita gagal dalam menghidupkan Ramadan, kiranya lalai, menggunakan masa dengan melakukan perbuatan sia-sia, kemaksiatan dan berfoya-foya. Disiplin mengurus masa sepanjang Ramadan semestinya terus kekal dalam diri dalam bentuk cinta ketertiban. – wanitajim0@yahoo.com Bersambung

Thursday, November 13, 2003

Walaupun seteguk air, sahur pelihara kesihatan

WALAUPUN SETEGUK AIR, SAHUR PELIHARA KESIHATAN

ersahur adalah amalan penting pada Ramadhan. Bagi mereka yang mengkaji ilmu Fikah akan berkata: “Oh, bersahur hukumnya adalah sunat sahaja.” Andai kata hokum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari betapa pentingnya sahur ini walaupun hukumnya adalah sunat.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah). Melalui hadis ini amalan sahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa makna rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”
Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air.
Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredhaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabbani).
Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “kami pernah bersahut bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat(Subuh).”
Zaid ditanya: “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al Quran.” (Hadis riwayat Bukhari). Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir.
Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan mengidap kencing manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran. Tamabahan daripada itu, satu kajian Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.(Iaitu) orang yang berdoa, Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Al Imran, ayat 15 hingga 17)


Oleh Dr Danial Zainal Abidin
Berita Harian, 13 November 2003

Thursday, November 06, 2003

Manfaat tidur siang sekejap untuk beribadat malam

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

TIDUR seketika pada tengah hari disebut qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico. Tidur siang sebegini adalah kebiasaan bagi orang yang mementingkan kesihatan, kesegaran dan produktiviti. Ia adalah budaya baik, apatah lagi Rasulullah pernah mengamalkannya. Dalam kitab Mishkatul Masabih disebutkan: “Tidur sekejap pada waktu tengah hari (qailulah) bukanlah perbuatan keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.” Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, kalaupun dibuat, tidak mengikut spesifikasi sunnah. Dalam masyarakat Inggeris, amalan ini menjadi kebiasaan. Saya melihat ia diamalkan di Britain, terutama di kalangan kanak-kanak prasekolah dan peringkat rendah. Saya teringat anak saya ketika di prasekolah di London mempunyai jadual tidur pada waktu tengah hari. Mungkin ini adalah mekanisme atau langkah membiasakan mereka supaya menghargai ‘makna’ tidur tengah hari apabila dewasa kelak. Mereka mempunyai falsafah sendiri. Di kalangan masyarakat Sepanyol dan Mexico, mereka mesti melakukan siesta (tidur siang) kerana keadaan cuaca pada siang yang terlalu panas dan tidak membolehkan mereka keluar melakukan kegiatan luar. Tidur seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadan, tetapi pada hari biasa, khususnya pada musim panas. Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan qailulah ini agar pada malam harinya mereka boleh bangun untuk mendirikan solat tahajud. Jadi tidur siang atau qailulah ini hanya kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu. Saya agak terkejut mendengar keterangan bahawa tidur sebentar waktu siang adalah suatu hal yang dianjurkan hanya kerana syaitan tidak pernah tidur siang. Ini terutama apabila saya melihat orang berpuasa menggunakan tidur siang sebagai alasan untuk melayan rasa malas dan letih mereka. Sebenarnya banyak keterangan lain yang menganjurkan tidur seketika terutama bagi orang berpuasa. Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada waktu siang hari, iaitu qailulah. Waktu qailulah adalah selepas solat Zuhur hingga Asar selama beberapa minit saja iaitu antara 20 hingga 30 minit. Jika memang untuk membolehkan bangun malam untuk solat tahajud, tentu ini adalah sunnah Rasulullah. Kalau tidur siang ini hanya untuk bermalas-malasan, dan malam harinya tidak solat tahajud, Tarawih dan solat sunat lain, apakah nilai sunnah daripada tidur siang ini? Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailulah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang. Intinya, harus mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang (yang hanya seketika bukan sepanjang hari) meskipun pada Ramadan. Hadis ada menyebut bahawa: "Tidurnya orang puasa adalah ibadah." Seperti penjelasan Iraqi dalam Takhrij Hadis-Hadis Ihya, bahawa hadis ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Abi Aufa, namun semua sanadnya antara dha’if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Jadi di mana kita harus melihat ‘kekuatan’ maksud hadis ini? Kita perlu melihat secara positif, pengertian hadis itu harus dimaknai bahawa tidurnya orang puasa adalah terjaganya (terpelihara) diri orang yang puasa daripada setiap perbuatan maksiat dan mungkar, dari situlah wujud makna ibadah itu. Kalau tidur hanya untuk bermalas-malasan dan meninggalkan kewajiban serta melalaikan tugas, tentulah ini sangat bertentangan dengan makna ibadah puasa itu. Sahabat Rasulullah menjalani puasa Ramadan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah. Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas-malasan, tetapi pencetus semangat agar memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa. Malah, tidur seketika pada siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari. Tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan manusia secara biologi bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate. Antara tokoh yang menggalakkan tidur seketika pada tengah hari ialah Dr William A Anthony, (PhD) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art Of Napping At Work. David F Dinges and Roger J Broughton dalam bukunya, Sleeps and Alertness: Chronological, Behavioral and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini. Kajian itu menunjukkan mereka yang secara rutin tidur 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30 peratus lebih rendah berbanding mereka yang lain. – Wanitajim0@yahoo.com

Monday, November 03, 2003

Berbuka, sahur ikut sunnah lebih menyihatkan badan

Oleh Dr Suriya Osman

BERPUASA Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang, malah lebih daripada itu mengajar umat Islam supaya mengawal nafsu daripada perkara dilarang syariat dan boleh memudaratkan. Bagi tujuan itu, Islam menetapkan adab ketika berpuasa supaya ibadat mereka itu mendapat keberkatan dan mencapai tujuannya. Adab itu juga seiring dari segi perubatan dan kesihatan. Dari segi perubatan atau kesihatan cara puasa yang tidak berkesan seperti: · Makan terlalu banyak sewaktu sahur dan berbuka. · Makan terlalu banyak daging, terutama bagi penghidap batu karang, gout dan alahan. · Mengulangi makanan sepanjang malam. · Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan. · Tidur selepas kenyang makan. Amalan yang seperti di atas boleh mengikis manfaat dan tujuan berpuasa. Mereka juga akan berasa letih dan mungkin mengalami pelbagai masalah kesihatan daripada amalan itu. Puasa berjaya adalah yang diamalkan mengikut sunnah Rasulullah. Puasa berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui! Apa yang di perlukan ialah kawalan yang baik sewaktu berbuka dan bersahur. Ketika berbuka, sebaiknya makanlah makanan yang senang hadam, mengandungi serat dan dalam kadar sedikit. Amalan Rasulullah memakan tamar adalah baik sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, di samping asid amino, antaranya triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan. Untuk mengawal apa yang dimakan, perlulah bersederhana dalam menghidang juadah berbuka atau bersahur. Jika banyak yang dihidang dengan aneka jenis dan rasa, tentulah sukar untuk mengawal apa yang ada di depan mata. Ambil peluang bulan puasa ini untuk berjimat belanja, hadkan jenis dan makanan. Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum daripada bahan semula jadi. Elakkan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan dan gantikan ia dengan gula merah, madu lebah dan jus buah asli. Sediakan air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selasih serta getah anggur. Ini kerana makanan ini mencuci usus dan menyenangkan buang air besar. Elakkan juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi terlalu banyak rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut yang menyebabkan asid hidroklorik berlebihan dan ini akan menyebabkan keadaan gastritis. Protein binatang adalah makanan yang paling kompleks dan susah hadam. Ia juga makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan kimia dan pelbagai jenis racun, termasuk kuman, hormon, antibiotik dan logam berat serta racun serangga. Oleh kerana antara manfaat puasa ialah bahawa badan dapat mengeluarkan bahan racun yang kian lama terselit dalam lemak, daging, hati dan buah pinggang, wajar kita meminimumkan memakan protein haiwan ketika berpuasa. Protein haiwan boleh digantikan dengan protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dal, soya, hijau dan merah, walaupun protein dalamnya tidak lengkap. Dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan antara satu sama lain. Puasa yang berjaya dari segi kesihatan melalui tiga fasa iaitu:- · Fasa pertama (dua hingga tiga hari) – Perut lapar, badan letih dan cepat marah (kadar glukos dalam darah rendah). Pada fasa pertama inilah orang berpuasa terasa amat terduga dan paling susah hendak dilalui. Ini kerana pada masa ini, badan belum terbiasa dengan keadaan perut kosong dan rutin baru yang diamalkannya. · Fasa asidosis. (tiga hingga 14 hari) – Kurang selera makan, nafas berbau, lidah menjadi ‘putih’ atau ‘berdaki’, badan lesu. Fasa ini tidak berapa terkesan sebab cara puasa yang diamalkan ialah puasa separuh masa dan makan minum separuh masa. Jika kita terlalu sedikit makan, fasa ini akan dikesan dengan nyata. · Fasa ketiga (14 hari hingga akhir puasa ) – Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukos kembali normal. Pada fasa ini, mental, emosi dan badan semakin ‘optimum’ dan anda menjadi seperti orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses ‘asidosis dan ketosis’ dalam badan berjalan lancar. Wali Allah mencapai peringkat spiritual yang tinggi kerana ketajaman ‘mata hati’ mereka kerana puasa yang mencapai matlamatnya. – wanitajim0@yahoo.com

Saturday, November 01, 2003

Puasa lancarkan sistem penghadaman, buang toksin

Oleh Dr Suriya Osman

PUASA atau menahan diri daripada makan dan minum menjadi amalan manusia pelbagai kaum dan agama. Ada yang yang puasa daripada makan, tetapi tidak daripada minum. Ada yang puasa daripada makan berhari-hari dan berminggu-minggu. Ada yang berpantang daripada memakan daging dan hanya makan sayur. Pendek kata, puasa digunakan sebagai amalan ibadat manusia. Amalan puasa yang dituntut oleh syariah Islam ialah menahan diri daripada makan dan minum dari fajar hingga senja. Puasa adalah amalan yang sangat sukar dan lumrahnya tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan mentaati perintah Allah. Apakah hikmah puasa dan manfaatnya dari segi kesihatan? Amalan puasa adalah suatu pembersihan dari segi rohani dan jasmani. Jika dilihat definisi puasa mengikut Islam iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta menahan diri daripada semua perkataan pemikiran atau pendengaran perkara yang tidak baik, ini adalah gambaran menahan nafsu. Faedah yang diperoleh ialah kekuatan rohani. Faedah dari sudut kesihatan fizikal jarang diketahui. Lumrahnya kita tidak faham cara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan. Ini kerana terlalu mengikut tradisi yang menjadi kebiasaan apabila berpuasa. Disebabkan terlalu rindu dengan makanan, orang ramai biasanya akan makan sepuas-puasnya apabila berbuka. Amalan ini bukan saja akan mengurangkan pahala puasa, malah boleh memudaratkan orang yang berbuat demikian. Dalam keadaan tidak berpuasa, banyak tenaga badan digunakan untuk penghadaman. Proses metabolisma dalam sel sentiasa berjalan selagi kita makan dan minum. Sel badan mempunyai fungsi memproses bahan makanan untuk dijadikan bahan yang boleh digunakan oleh sel dan badan. Dalam proses ini bahan buangan dihasilkan dan perlu dikeluarkan dari sel. Jika sel badan terlalu sibuk memproseskan makanan yang diterima, proses pembuangan ini kurang berkesan. Dalam keadaan biasa pergerakan zat makanan (dan toksin) ke arah lemak dan daging. Makanan yang dimakan dengan kadar berlebihan daripada yang diperlukan akan menyebabkan terkumpul bahan yang disimpan sebagai lemak. Jika apa yang kita sebut tadi, fungsi perkumuhan kurang berkesan, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan dalam lemak. Bahan yang diproses juga mengalir ke otot-otot dan struktur lain dalam badan yang memerlukannya. Sewaktu tidak berpuasa juga, proses pembakaran lemak tidak berkesan (maka proses pembuangan toksin tergendala). Ini kerana lemak adalah tenaga yang tersimpan dan hanya akan digunakan jika bahan bakar biasa yang terhasil daripada karbohidrat tidak ada. Untuk menghadamkan makanan, darah mengalir ke perut serta hati dan ini akan mengurangkan pengaliran darah ke otak. Jika proses perkumuhan sentiasa tidak berjalan dengan berkesan, lama kelamaan sel badan akan berfungsi dengan tidak optimum kerana proses pembuangan tergendala. Ini akan menyebabkan sistem pertahanan, penghadaman dan sebagainya turut tergendala yang menyebabkan seseorang itu lenguh badan, cepat letih, mudah demam dan sebagainya. Dalam keadaan puasa, tidak ada kegiatan memproses makanan, tetapi proses perkumuhan tetap dijalankan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan toksin dan bahan buangan, kegiatan ini berjalan lancar. Dengan itu, sumber tenaga beralih daripada glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak akan mengeluarkan toksin dari sel. Dalam keadaan puasa juga, hati dan ginjal memberi tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana berehat daripada memproses bahan makanan. Darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel) mengalir ke otak dan organ lain. Kelesuan badan berkurangan selepas beberapa hari berpuasa kerana badan mengambil tenaga daripada lemak Proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku ketika berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu sembelit. Ini disebabkan organ perkumuhan utama dalam badan kita ialah sistem usus besar yang termasuk hati dan sistem ginjal. Jika kurang air dalam badan, buah pinggang akan kurang lancar. Ini bermakna, ketika berpuasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya ia berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel ke arah yang optimum. Proses pembuangan toksin dari dalam sel badan, terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke dalam darah sebelum dapat keluar dari badan. Ini menimbulkan beberapa gejala yang sering berlaku pada awal puasa, termasuk: - · Sakit kepala. Ini berlaku disebabkan toksin yang terkumpul dalam sel mengalir semula ke dalam darah sebelum boleh dikeluarkan dari badan seterusnya · Lenguh badan. · Lidah berdaki dan mulut berbau. · Kencing pekat dan berbau. · Cirit-birit. · Letih. Keadaan ini pada awal puasa disebabkan badan enggan menggunakan tenaga yang tersimpan dan masih mengharapkan tenaga daripada makanan. Justeru, kadar gula dalam darah berada pada tahap rendah dan badan terasa lemah, walaupun hakikatnya, tenaga tersimpan dalam lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan. – wanitajim0@yahoo.com