Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 28, 2003

Suburkan budaya membaca elak kemunduran ummah

28/5/03
Suburkan budaya membaca elak kemunduran ummah
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SABTU lalu, saya dan suami ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa yang berakhir 1 Jun ini.

Kami yang ‘hantu buku’ memang sentiasa menanti kedatangan pesta buku ini.

Pada waktu beginilah kita akan dapat menjamu mata dan mengufuk minda terhadap buku terbaru. Inilah peluang keemasan sekali dalam setahun. Jika tertinggal peluang ini, kita terpaksa menunggu setahun lagi.

Ketika membelek-belek buku di pondok nombor 3074, satu suara mengejutkan kami.

“Assalamualaikum! Muhamad! Apa khabar? Takkan berdua saja?” Ahmad menyapa sahabat lamanya yang hampir 10 tahun tidak berjumpa.

“Waalaikumussalam, khabar baik! Ahmad, hari ini kami hanya berdua, nanti apabila cuti sekolah bermula kami akan bawa anak-anak pula,” jawab suami dengan wajah ceria kerana dapat bertemu sahabat lamanya.

“Ehh lama kita tak jumpa, dekat 10 tahun. Banyak buku awak beli? Kebetulan awak dah lama berada di sini saya nak tanya, tingkat berapa buku teknikal? Saya nak cari buku mengenai kerja perkhidmatan dan perundingan kejuruteraan M & E (mekanikal & elektrikal),” tanya Ahmad dengan penuh minat.

“Buku teknikal M & E terletak di paras 4, di paras 3 ni banyak bahan bacaan agama pendidikan dan bacaan umum,” suami memberikan maklumat lanjut.

“Ini buku Jalan Dakwah (Mustafa Masyhur), Langkah Bermula (Al Munthalaq), Pelembut Hati (Ar Raqaiq) dan Hambatan-hambatan dakwah (Al Awaiq) buku baru keluar ke?” tanya Ahmad kepada suami saya.

“Buku ini adalah buku panduan penggerak dakwah dan pencinta Islam yang mewakafkan diri mereka untuk dakwah dan Islam. Pendakwah yang bertekad menjadi pendakwah bukan penghukum.

“Nak jadi pendakwah ni kena ada ilmu dakwah. Buku ini ditulis oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rashid seorang ulama dan pendakwah kontemporari yang mengotakan apa yang dikata serta berkaliber dan sepanjang hidupnya dihabiskan dengan berdakwah.

“Buku tulisannya macam pisang goreng panas di kalangan generasi muda Islam di pasaran Asia Barat sehingga ada yang dicetak 18 kali. Kini buku beliau yang ‘best seller’ diterjemahkan ke dalam bahasa kita,” suami memberi penerangan mengenai buku itu.

“Memang sepatutnya begitu, setiap perkara yang kita nak lakukan mestilah ada ilmu, jika kita nak berniaga kena ada ilmu bagaimana berniaga, malah kalau nak dirikan rumah tangga dan berkeluarga pun pun kita perlu ada ilmu demi kelangsungan keluarga bahagia.

“Apatah lagi jika kita nak berdakwah, tugas nabi dan ulama, kita seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu dakwah yang boleh melembutkan dan menarik hati objek dakwah kita, bukan lari kerana ketaksuban dan kejahilan kita,” Ahmad menyampuk dengan penuh semangat.

“Lihat! Awak dah berkecimpung dalam kejuruteraan M & E lebih 20 tahun, tetapi awak masih lagi mencari buku terbaru dalam bidang itukan, jadinya dalam ilmu dakwah dan Islam pun begitu juga.

“Teknik, strategi dan pengalaman penggerak dakwah kontemporari dan terkini perlu dibaca, dicontohi dan pelajari. Mengapa begitu?

“Sebab kita nak tambah nilai dalam ilmu dan amal kita” terang suami saya.

“Saya ingat dalam perkhidmatan dan pemasaran kejuruteraan saja ada istilah tambah nilai, rupa-rupanya dalam ilmu dan amalan Islam pun ada istilah itu,” katanya Ahmad cuba berjenaka.

“Dengan membaca kita menambah nilai ilmu dan amal kita,” jawab suami ringkas.

Pertemuan dan perbualan di PWTC hari itu semakin menginsafkan saya mengapa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah perkataan "iqra" atau "bacalah". Arahan Allah kepada Rasulullah yang ‘buta huruf’ adalah satu petunjuk bahawa untuk menjadi umat yang disegani, bertamadun tinggi dan beradab mulia, kita mesti menjadi umat yang tekun membaca. Ini kerana membaca adalah kunci ilmu dan kejayaan. Dengan luas membaca pula, seseorang akan dapat menambah pengetahuannya dan meningkatkan kematangan ilmiahnya.

Oleh kerana itu, pada zaman kegemilangan kerajaan Islam Abbasiah ada beribu-ribu kitab yang terkumpul di perpustakaan, sama ada di kota Baghdad dan pemerintahan Islam lain seperti Basrah dan Kaherah.

Lihatlah bagaimana umat Islam zaman itu, amat menyanjung ilmu dan menghargainya. Kitab dan buku adalah benda yang amat berharga, lebih berharga daripada wang.

Bukti banyaknya kitab yang tersimpan di Baghdad ketika itu apabila kota itu diserang oleh tentera Mongol yang dipimpin Timurlane. Diberitakan bahawa beratus ribu kitab di perpustakaan diraja kota Baghdad dihumban ke Sungai Furat sehingga air sungai itu bertukar warna menjadi hitam lantaran dakwat daripada kitab itu. Begitu juga dengan asap hitam dan gelap yang menyelubungi ruang udara kota Baghdad, selama 30 hari 30 malam kerana pembakaran perpustakaan Baghdad.

Malangnya, kita masih melihat lagi zaman kemunduran umat. Kemunduran ini berlaku di antaranya kerana kita mula meninggalkan medan ilmu. Umat Islam kembali menjadi umat yang majoritinya buta huruf, malas membaca, cintakan hiburan dan tiada lagi keghairahan serta dahaga ilmu.

Ini mengingatkan saya kepada bekas Perdana Menteri Israel, Golda Meir dalam satu syarahan perdana mengenai strategi ‘Perluasan Empayar Israel Raya (the bigger Israel)’. Sebaik menamatkan ucapannya seorang wartawan bertanya:

“Tindakan mendedahkan rahsia agenda Israel Raya ini akan diketahui oleh orang Islam, ini boleh membahayakan perancangan kita.”

Jawab Meir selamba: “Saya tidak takut dan tidak hairan kerana lebih 99 peratus umat Islam tidak membaca!”

Nah kita lihat bagaimana persepsi mereka terhadap umat Islam.

Kini walaupun tahap peratus umat Islam yang membaca meningkat, namun sebahagian besar masyarakat Islam kita masih tidak minat membaca.

Statistik terkini ialah setiap rakyat Malaysia membaca satu buku dalam setahun! Mereka lebih suka menonton dan mendengar daripada membaca. Ilmu walaupun boleh juga didapati melalui menonton dan mendengar, namun tetap tidak dapat menandingi fungsi membaca.

Maklumat yang boleh didapati daripada buku dan bahan cetak adalah lebih terperinci dan teliti untuk dijadikan rujukan. Budaya membaca akan memperkaya khazanah minda perbendaharaan ilmu.

Bagaimana kita menghidupkan budaya membaca dalam keluarga kita? Bagaimana kita boleh menggalakkan anak agar suka membaca? Beberapa kaedah boleh digunakan:

l Pertama, ia harus dimulakan oleh ibu bapa. Ibu bapa adalah contoh. Sekiranya kita suka dan rajin membaca, sifat itu akan ditiru oleh anak. Kita mesti menghakis pandangan salah bahawa masyarakat kita malas membaca.

Kita lebih suka melaksanakan kegiatan berbentuk fizikal bersama anak-anak seperti bermain bola sepak daripada melaksanakan kegiatan berbentuk mental seperti membaca. Adakah kita mahu selama-lamanya menjadi masyarakat yang ketinggalan, menjadi penumpang dan bukan nakhoda, dipimpin dan tidak memimpin? Tentu tidak!

Kita juga mahu menyumbang dalam kepemimpinan. Kita mahu maju. Dan caranya adalah satu, iaitu dengan menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin. Dan ilmu tidak dapat ditimba melainkan dengan membaca. Maka tanamkan sifat membaca dalam diri kita dulu. Barulah anak kita akan mempunyai minat membaca.

l Kedua, minat membaca saja tidak mencukupi jika tiada bahan yang hendak dibaca. Oleh itu, penting bagi kita untuk melengkapkan rumah kita dengan sudut bacaan atau perpustakaan kecil.

Di sudut inilah kita mengisinya dengan buku berfaedah, yang dibaca oleh kita sekeluarga. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam keluarga untuk membaca.

Masyarakat bertamadun berbangga dengan ilmu pengetahuannya dan bukan perhiasan dunia yang sementara bentuknya. Oleh itu, janganlah kita lokek membelanjakan wang untuk membeli buku. Jika tidak mampu, bawalah anak ke perpustakaan agar mereka dapat juga membacanya.

l Ketiga, kita harus menjinakkan anak kepada buku dan menyemai sikap suka membaca dari kecil.

l Keempat, kita harus rajin bertanya anak mengenai apa yang dipelajarinya di sekolah. Bagi ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka boleh mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan alam sekeliling.


l PENULIS adalah seorang jurutera. Buku dakwah dan Islam di Pesta Buku Antarabangsa boleh didapati di pondok 3074, 3171, 3237 dan 4081.

Wednesday, May 21, 2003

Doa adalah ibadat, senjata orang beriman

21/5/03
Doa adalah ibadat, senjata orang beriman
Oleh Karimah Abdullah


DOA ialah senjata orang beriman. Rasulullah saw melalui sunnah
Baginda mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dalam setiap amalan
dan urusan yang dilakukan.

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah.
Firman Allah, yang bermaksud : "Mintalah (berdoalah) kepadaku,
nescaya akan Kuperkenankan." (Surah Al-Mukminun, ayat 60).

Doa juga satu bentuk ibadat. Sebaik-baik doa ialah yang diamalkan
oleh Rasulullah (doa ma'thur). Rasulullah adalah teladan terbaik
kepada umat manusia yang sentiasa berdoa dalam melakukan setiap
urusan Baginda. Beginilah juga yang sepatutnya dilakukan oleh kita
selaku umatnya, supaya kehidupan seharian menjadi ibadat dan
mendapat keberkatan Allah.

Kenapa kita dituntut supaya berdoa? Dalam menjalani kehidupan
seharian, tentu kita akan berhadapan dengan pelbagai cubaan,
tekanan, masalah dan sebagainya, yang semuanya adalah ujian daripada
Allah.

Hati manusia sering lalai dan tertipu dengan godaan syaitan dan hawa
nafsunya. Sebab itu, Islam mengajar kita supaya sentiasa mendekatkan
diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya. Berdoa adalah salah satu
jalan untuk seseorang hamba itu terasa dekat dengan Penciptanya.

Jika kita meneliti kehidupan Rasulullah, Baginda memulakan setiap
hari dengan berdoa kepada Allah. Untuk masuk ke tandas, ada doa
Baginda, yang diajarkan kepada kita, yang bermaksud : "Ya Allah! Aku
berlindung dengan Mu daripada kejahatan (syaitan) dan ahli-ahlinya."

Pengajaran yang dapat diambil daripada perkara ini, walaupun
Rasulullah dijamin oleh Allah daripada kejahatan syaitan dan hawa
nafsu, namun Baginda masih mengharapkan perlindungan Allah daripada
godaan itu. Bagaimana pula kita yang tiada jaminan selamat daripada
gangguan itu?

Sebenarnya doa juga dapat menjauhkan seseorang itu daripada
melakukan perkara keji dan maksiat. Rasulullah mengajarkan kita doa
sebelum keluar rumah, yang bermaksud : "Dengan nama Allah, aku
bertawakal kepada Allah dan tiada daya dan kekuatan melainkan
(dengan sokongan) Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung." Jika
seseorang membaca doa ini dan menghayatinya, yang mana dalam doa ini
terkandung pengakuannya untuk bertawakal dan berserah diri kepada
Allah, tentu apabila keluar dari rumahnya, dia merasa dirinya dalam
pemerhatian dan kawalan Allah.

Ketika berada di luar rumah, dia tidak akan melakukan perkara keji
seperti melihat perkara haram. Jika dia ke tempat kerja misalnya,
dia tidak akan melakukan perbuatan mungkar seperti pecah amanah,
rasuah, mengumpat, memfitnah dan curi tulang.

Begitu juga, Rasulullah mengajar kita supaya berdoa ketika menaiki
kenderaan. Selain memohon supaya perjalanan selamat, doa itu,
apabila dibaca, memberikan kita perasaan dekat dengan Allah yang
mempermudahkan urusan kita dengan kenderaan itu. Oleh itu,
sepatutnya kita tidak memandu kenderaan itu ke tempat maksiat kerana
kita tahu kita sentiasa berada dalam pemantauan Allah, walau di mana
saja berada.

Selain itu, doa memberi pengaruh dalam hubungan kemasyarakatan. Kita
digalakkan supaya banyakkan berdoa untuk sahabat dan saudara mara
sempena sesuatu peristiwa. Contohnya, doa keberkatan untuk saudara
dan sahabat kita yang melangsungkan perkahwinan, baru berpindah
rumah, menyambut kelahiran bayi dan menziarahi mereka yang sakit.

Hikmahnya bukan sekadar dapat mencontohi sunnah, bahkan mengeratkan
ukhuwah sesama kita. Bagi yang mendoakan keberkatan itu, dia berjaya
menghidupkan sunnah Rasulullah dalam dirinya dan sahabat handainya.
Bagi pihak yang didoakan itu pula, dia akan merasakan dirinya
diambil berat oleh saudaranya itu, seterusnya menimbulkan rasa kasih
sayang berpanjangan terhadap orang yang mendoakannya.

Di samping itu, doa melambangkan kesatuan hati di kalangan orang
beriman. Setiap kali selepas menunaikan solat biasakanlah diri
berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu
bapaku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku
sewaktu kecil, dan ampunilah seluruh Muslimin dan Muslimat, Mukminin
dan Mukminat, yang masih hidup atau yang meninggal dunia di kalangan
mereka."

Oleh itu, dalam keadaan umat Islam menghadapi pelbagai kemelut
sekarang, marilah kita sama-sama menghulurkan doa untuk saudara yang
jauh di Iraq, Palestin, Afghanistan dan tempat lain di dunia ini.
Sesungguhnya doa yang menjadi penghubung hati di antara kita dan
mereka di sana.

Kepada ibu bapa, ajarkan anak membaca doa ketika melakukan setiap
urusan dan didiklah mereka supaya menghayati setiap doa yang
dibacakan. Ini supaya mereka dapat merasai hubungan dengan Allah.
Sebagaimana yang kita ketahui, doa anak salih adalah di antara
bekalan yang kekal untuk ibu bapa ketika menghadap Allah nanti.

Akhirnya, marilah kita menghayati doa ini dan jadikan ia sebagai
amalan harian pagi dan petang, supaya kehidupan sentiasa di atas
landasan benar di sepanjang kehidupan ini.

Daripada Ubai Bin Kaab Radhiallahu Anhu, katanya, Rasulullah
mengajar kami ketika berada pada waktu pagi supaya berdoa, yang
bermaksud : "Kami hayati (suasana) pagi ini atas landasan fitrah dan
perwatakan Islam. Berpegang kepada kalimah ikhlas (dan prinsip
keikhlasan). Berpegang kepada Din (agama) Nabi kami Muhammad agama
yang juga agama ayah kami Ibrahim dengan setulus hati. Dan Nabi
Ibrahim sama sekali bukan seorang musyrik."

Doa yang sama dibaca juga pada waktu petang.



l PENULIS adalah seorang pensyarah institut pengajian tinggi Islam
dan beliau boleh dihubungi melalui emel wadah_wjy2k@y...

Wednesday, May 14, 2003

Pentingnya rakan sebaya dalam hidup remaja

14/5/03
Pentingnya rakan sebaya dalam hidup remaja
Oleh Roha Hassan

PAKAR psikologi Barat, Carl Rogers (1985), menyatakan, ada beberapa perubahan ketara kepada seseorang remaja. Perubahan itu sedikit sebanyak mampu memperjelaskan bagaimana rakan sebaya begitu penting dan perlu dalam memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja.

Berikut ialah di antara perubahan itu:-

Perubahan fizikal

Bagi seorang gadis contohnya, tubuh mula menampakkan sifat kewanitaannya seperti datang haid, payu dara membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Simbol daya tarikan seks mula kelihatan. Rangsangan seksual juga mula meningkat.

Perubahan emosi dan pemikiran

Pada peringkat remaja, manusia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal mengenai kehidupan golongan dewasa.

Perubahan ini mendatangkan kegelisahan kepada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu, manakala untuk mengikut jejak langkah golongan dewasa, mereka tidak berdaya. Hasilnya, mereka kadang kala gembira, kesunyian dan berkhayal terhadap idola masing-masing. Mereka juga cenderung meniru gaya berpakaian, cara pergaulan dan cara berfikir golongan dewasa.

Narcisma

Ia adalah keadaan ketagihan cinta, perasaan ingin dicintai dan keinginan mendapatkan kasih sayang untuk diri sendiri. Ketika kanak-kanak, perasaan ini diarahkan kepada ibu bapa atau keluarga. Pada usia remaja, perasaan ‘narcisma’ memuncak kerana remaja mengalami ‘emotional vacuum’ iaitu rasa kesunyian yang hebat, kesan daripada peralihan masa untuk berdikari serta memperluaskan jaringan dan kuantiti rakan sosial yang sesuai. Berbanding remaja lelaki, remaja perempuan dikatakan memiliki perasaan ‘narcisma’ yang amat tinggi kerana dari segi biologinya, seorang remaja perempuan memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar daripada kesunyian. Faktor inilah yang mungkin menyebabkan aktiviti bercinta dan bertukar pasangan di kalangan remaja menjadi satu lumrah dalam kehidupan sesetengah mereka.

Menyertai kumpulan.

Perubahan emosi dan fikiran juga mendorong remaja memperluas dan memperbesarkan kuantiti dan jaringan rakan sosialnya. Ia dilakukan mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup, cara pakaian yang sama dan sebagainya. Menjadi satu kebiasaan jika remaja dilihat mempunyai identiti tersendiri walaupun ada di antara mereka yang mengalami krisis identiti. Ini adalah tanda perubahan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun, jika mereka tersalah pilih, mereka akan terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat.

Menentang kekuasaan

Remaja mudah terasa kekuatan kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa yang boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa, akan mencetuskan rasa permusuhan. Ini kerana golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang bergelora. Konflik harga diri ini menyebabkan remaja akan menjadikan rakan sebaya tempat mengadu masalah atau melakukan sesuatu untuk membuktikan mereka boleh berdikari dan berkemampuan seperti orang dewasa.

Selain faktor di atas, peranan rakan sebaya dalam kehidupan remaja menjadi bertambah penting apabila:

Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk dengan urusan masing-masing tanpa mampu meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga akan mendapatkannya daripada orang luar, termasuk rakan sebaya.

Sekali pun ibu bapa dan keluarga mampu menghabiskan banyak masa bersama anak mereka, kurang berkomunikasi atau komunikasi yang kurang berkesan, akan menyebabkan remaja lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Sikap ibu bapa dan keluarga yang mudah menghukum sebelum menyiasat menyebabkan anak remaja kecewa. Tambahan, apabila mereka berhadapan dengan permasalahan yang kompleks sehingga membabitkan nama baik keluarga dan maruah dirinya. Mereka bimbang akan dihukum sekiranya permasalahan itu dimaklumkan kepada keluarga

Kurang yakin terhadap diri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari seseorang atau kumpulan tertentu seperti rakan sebaya sebagai tempat bergantung. Sikap acuh tak acuh ibu bapa terhadap tanggungjawab mereka, menyebabkan remaja memandang rendah kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila bersama rakan sebaya berbanding keluarga.

Satu perkara yang perlu diingat oleh ibu bapa dan remaja sendiri adalah, ketiadaan garis panduan yang jelas dalam membuat keputusan untuk menyertai mana-mana kumpulan dari kalangan rakan sebaya, boleh menyebabkan remaja tersalah pilih kumpulan dan terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat.

Allah berfirman, yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menurut orang yang kami lalaikan hatinya dari mengingati Allah, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (Surah al-Kahf, ayat 28)

Bukan semua rakan sebaya patut dijadikan sahabat. Sabda Rasulullah saw, yang bermaksud: “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memperhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”

Imam Al-Ghazali menyatakan: “Hendaklah sahabat yang dipilih seorang yang waras fikirannya, baik budi pekerti, tidak fasik dan tidak terlampau mementingkan hal keduniaan.

“Sifat waras fikiran itu menjadi pokok dalam kehidupan kerana tiada guna bersahabat dengan orang yang kurang akal disebabkan ia akan membawa kepada perasaan tidak tenteram dan perselisihan.”

Setiap orang patut memiliki budi pekerti luhur. Tiada gunanya bersahabat dengan orang yang sering dikuasai oleh perasaan marah dan hawa nafsu yang buruk.

PENULIS adalah seorang pengurus sumber manusia dan ketua kelab remaja pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi menerusi email di wadah_wjy2k@yahoo.com

Wednesday, May 07, 2003

Memuliakan ibu bukan sekadar sekali setahun

7/5/03
Memuliakan ibu bukan sekadar sekali setahun
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

“SAYA hendak balik kampung hujung minggu ini,” Hamisah membuka mulut dengan nada riang.

“Mengapa tiba tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal ni?” Adilah menjawab dengan penuh kehairanan.

“Hai, tak tahu hujung minggu ini, 12 Mei, adalah Hari Ibu?,” kata Hamisah.

“Bila kali terakhir awak balik kampung tengok emak awak?,” tanya Adilah.

“Enam bulan lalu, masa Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk meraikan Hari Ibu bersama emak?” tanya Hamisah.

“Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya sebanyak lima kali sehari, sehabis solat lima waktu, saya mendoakan kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali untuk memberikannya wang bulanan sebanyak RM500,” jawab Adilah, tegas.

“Banyaknya awak bagi duit kat mak awak, habis awak hendak makan apa?”, tanya Hamisah, hairan.

“Jasa dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tisak ternilai. Emak berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian, emak membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar ibu jari. Emak didik saya menjadi orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi warga yang tahu erti tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung budinya! Semoga Allah merahmati emak saya,” kata Adilah.

“Tetapi mengapa susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh masukkan saja dalam akaun dia, cukuplah,” kata Hamisah.

Jawab Adilah: “Sebenarnya, saya sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa tenang berada bersamanya. Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya. Saya mahu balik memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.

“Lagipun Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman sekarang ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu kita, Subhanallah.

“Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila masa saja Allah akan menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin sedikit. Kita masih muda, duit boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.

Jawapan itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata, “Terima kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya hendak peluk dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti seorang permaisuri apabila saya balik kampung nanti.

“Saya berjanji saya akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari semalam ketika dia hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak. Saya tidak mahu kesusahan hidup menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak saya. Kesibukan bekerja dan urusan peribadi bukan alasan untuk saya tidak menjenguk dan bertanya khabar emak yang kesunyian di kampung.”

Perbualan dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”

Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”

Dia menjawab: “Masih.”

Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.

Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga stau sebaliknya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka,” (Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).

Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan ‘Hari Ibu’. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan luaran bersifat material.

Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara enak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pendidikan dan pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan dan keikhlasan, berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik.

Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan sebagai ‘budaya setahun sekali’, sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang tahun supaya amanah memulia dan memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan hadis, memberi galakan dan mengajar umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka masih hidup atau sudah tiada.

Kita seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai ‘peringatan’, apakah semua ibu (wanita) telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan kepada dua. Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu besar cintanya kepada anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau lelaki.

Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga bagi ibu/wanita, untuk menggunakan ‘tangannya’ dengan sebaik-baiknya, supaya insan kecil yang dididik dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat membacakan ayat suci dan tidak memperlecehkan kedudukan wanita/ibu.

Semoga dari ‘tangan’ ibu/wanita ini, akan lahir manusia berbudi luhur yang mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya negara tidak dipenuhi manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan merosakkan alam serta masyarakat sekelilingnya.

- PENULIS seorang jurutera dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam serta boleh dihubungi di e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com