Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 29, 2003

Menjana maslahat, elak bencana melalui poligami

29/1/03
Menjana maslahat, elak bencana melalui poligami
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BEBERAPA minggu lalu, ruangan Agama Berita Harian, memaparkan topik ‘hakikat keadilan dalam poligami’, tulisan Nik Muhammad Nasri Nik Malek. Kali ini, mari kita melihat poligami dari satu ufuk berlainan untuk membuka minda, terutama wanita yang menjadi isteri pertama.

Ahadiah menerima Saniah, tetamu yang tidak diundang pada suatu petang. Saniah kemudian memulakan perbualan: “Tolong jangan beritahu suami, saya datang berjumpa puan. Saya mengenali suami puan selama lima tahun. Kami bekerja dalam satu pejabat.

“Alhamdulillah suami puan seorang lelaki beragama, sopan, menjaga batas pergaulan, bertanggungjawab dan amat dihormati oleh semua rakan sepejabat. Pendek kata suami puan mempunyai semua ciri-ciri lelaki idaman. Puan amat bertuah memiliki lelaki sedemikian sebagai suami. Maka kedatangan saya ini, membawa hajat dengan rasa rendah diri dan pengharapan ingin berkongsi kebahagiaan dan kebaikan lelaki ini.

“Saya ada karier mantap. Saya ada segala-galanya dalam hidup ini. Rumah, hartanah dan kereta kecuali seorang suami salih dan bertangungjawab. Puan jangan risau suami puan tidak tahu menahu mengenai perasaan saya ini. Di antara kami tidak ada apa-apa hubungan cinta pun. Hanya saya yang mengaguminya. Kami tidak pernah berbual atau bercakap kosong kecuali mengenai pekerjaan.”

Apakah jawapan seorang isteri yang rasional dan matang jika dihadapkan dengan pertanyaan sedemikian?

Ramai tidak merasakan perlu untuk mengamalkan poligami mungkin kerana mempunyai suami yang memilih monogami serta berasa cukup bahagia dengan keadaannya atau seseorang wanita bujang tidak memerlukan suami. Ini kerana dia mampu menguruskan kehidupan, puas dan cukup dengan kehidupan sekarang. Atau seseorang lelaki itu merasakan dirinya tidak memilih berpoligami kerana beberapa sebab yang dia saja yang tahu.

Apatah lagi, poligami tidak wajib atau sunat, malah hanya harus. Tetapi dalam kenyataan kehidupan hari ini, masih ada yang benar-benar memerlukan poligami seperti Saniah serta bersedia menyambut dan menghadapi cabaran jika ditakdirkan bertemu jodoh buat kali kedua, tiga dan keempat.

Ada yang memandang serong dan menjauhkan diri daripada isu poligami. Tetapi di satu pihak pula mendapat banyak manfaat daripadanya. Sepatah kata orang, racun bagi orang tertentu, penawar bagi satu orang lain. Isteri pertama merasakan poligami menzalimi wanita, tetapi bagi isteri kedua, ketiga dan keempat pula ia memberi ruang baginya bersuami dan menikmati kehidupan berkeluarga.

Di sini kita melihat keadilan dan kebijaksanaan Allah yang mencipta undang-undang-Nya agar boleh diamalkan oleh hamba-Nya dalam apa suasana dan menurut keperluannya. Kita selalu menghadapi ketidaktentuan dalam kehidupan, kadang-kadang nasib tidak menyebelahi kita. Maka kita seharusnya bersikap bertoleransi dan cuba memahami perasaan orang lain. Perkara paling membahagiakan seorang insan Muslim ialah dapat memberikan kebahagiaan kepada orang lain.

Ada kes yang pernah kita lihat bagaimana seorang isteri sangat menentang poligami, tetapi tidak berapa lama kemudian suaminya meninggal dunia. Dia kemudian berkahwin semula dengan seorang lelaki beristeri.

Apabila ditanya dia hanya mampu menjawab: “Masa berubah, keadaan juga berubah, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Kini saya memerlukannya”. Di sini kita lihat Islam amat pratikal dalam melaksanakan keadilan dan tidak mengikat manusia kepada sesuatu hukum yang menyebelah satu pihak saja.

Sayang, sebahagian umat Islam gagal memahami ‘roh keharusan poligami’ dalam erti kata ‘kemanusiaan’ dan melihat ‘keadilan’ sebagai sesuatu yang mustahil berlaku dalam poligami, maka dikatakan perlu diharamkan.

Pandangan prejudis dan negatif serta ketidakyakinan terhadap ‘keharusan poligami’ ini semata-mata disebabkan oleh salah laku dalam amalan berpoligami di kalangan lelaki/wanita Muslim yang jahil. Ini seperti tidak mematuhi hukum syariat dalam hal poligami, menjadikan poligami sebagai peluang memuas nafsu, jahil terhadap maqasid (tujuan) syariah dalam keharusan poligami, tiada kesedaran dan semangat beragama serta tidak bertanggungjawab. Ini ditambah dengan kempen yang mempertikaikan dan memburuk-burukkan poligami oleh musuh Islam.

Di kalangan wanita pula, stigma poligami amat menakutkan kerana melihat kisah duka lara dan penderitaan isteri terdera dan mangsa ketidakadilan suami berpoligami.

Semua ini dirangkumkan dalam perkataan, takut dan bimbang seperti dalam bahasa Inggeris – FEAR (false evidence appear real). Perkara paling menakutkan seorang isteri ialah kehilangan seorang suami. Tetapi poligami bukan isu kehilangan seorang suami tetapi isu ‘perkongsian’ seorang suami. Ramai wanita tidak dapat memisahkan di antara ‘keharusan berpoligami’ dan masalah ‘keadilan’ suami.

Keharusan poligami ditentukan dan mahkamah syariah pula memastikan bahawa keharusan ini tidak disalah guna. Mahkamah yang menentukan sama ada suami itu boleh berpoligami atau tidak selepas mendapat keterangan isteri untuk membantu membuat penyiasatan dan keputusan. Kalau bukan isteri siapakah lagi yang paling hampir dengan suami untuk membantu siasatan?

Sebagai seorang isteri yang rasional dan tahu undang-undang, dia sepatutnya tahu haknya untuk hadir ke mahkamah syariah bagi membantu siasatan dan keputusan. Malah isteri boleh meminta perakuan ‘berlaku adil’ dan pembahagian harta sepencarian, nafkah anak dan perbelanjaan keluarga di depan hakim daripada suami ketika proses permohonan berpoligami dan difailkan di mahkamah.

Jika selepas berpoligami suami tidak berlaku adil dan melanggar janji serta tidak bertindak menurut perakuan yang dibuat dulu, mahkamah boleh membawa suami ke penjara. Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

Sesiapa yang mampu, bersedia dan mempunyai alasan kukuh dalam semua aspek, diharuskan berpoligami.

Sebaliknya sesiapa yang tidak memerlukannya, jangan pula memaksakan rasa tidak bersetuju anda kepada orang lain dan memandang serong terhadap pelakunya.

Mungkin kita bertuah sekarang, tetapi kita tidak tahu, apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mana tahu dalam suasana dan masa berbeza, nasib kita seperti wanita ini, ibu tunggal, janda, balu dan wanita bujang berusia matang yang memerlukan suami.

Jadi jika ada beberapa lelaki berhati mulia ingin berpoligami kerana menjaga maslahah ummah, maka kita berikan sokongan dan kerjasama. Jangan kita memandang serong terhadap lelaki berpoligami. Demikian juga jangan memandang rendah dan menurunkan martabat isteri pertama dengan kata-kata memedihkan.

Kita banyak paparkan masalah poligami daripada kes mahkamah syariah. Tentu kes di mahkamah semuanya adalah kes bermasalah. Kalau poligami tidak ada masalah, tidak perlulah dibawa ke mahkamah atau diberikan kaunseling.

Begitu juga monogami, ada yang dibawa ke mahkamah, contohnya, suami tidak memberi nafkah batin. Jadi adakah bermakna monogami itu sentiasa bermasalah dan perlu dimansuhkan?

Dalam kedua-dua hal, monogami atau poligami ada bermasalah dan tidak. Kita perlu melihat masalah secara objektif dan fokus. Ada kes isteri tidak bersetuju berpoligami dengan alasan bahawa suami pasti tidak berlaku adil, walhal perkara ini belum berlaku lagi. Hakim yang menentukan keadilan dan kemampuan suami untuk berpoligami melalui siasatan dengan bantuan isteri dan kriteria penghakimannya.

Adalah lebih baik proses ke arah poligami ini membabitkan suami, isteri pertama dan anak yang matang serta bakal isteri kedua. Mereka bersama-sama menjalani proses ini. Memudah cara melalui musyawarah, kaunseling dan semangat tolak ansur supaya poligami menghasilkan suasana ‘menang-menang’ bukan ‘menang-kalah’.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan suami yang akan berpoligami. Jika sebelum berpoligami berjaya menyerlahkan bakat ‘pengurusan emosi’ seperti ini, insya-Allah selepas berpoligami, menjadi lebih cantik.

Kita perlu menilai amalan poligami dari sudut kepentingan, hak dan tanggungjawab suami, isteri dan bakal isteri serta keluarga besarnya. Tidak perlu dilihat pada kepentingan satu pihak saja.

Perlu dilihat dari sudut ketakwaan kerana fikah tanpa takwa, buruk jadinya. Perlu juga dilihat dari sudut kemasyarakatan kerana semua hukum Allah termasuk poligami bertujuan menjana maslahat dan menolak bencana.

Dalam semua penilaian ini dan hubungan suami isteri, kejujuran dan ketakwaan menjadi tunjang dan asas kerelaan serta keharmonian. Ketidakjujuran dan pengkhianatan akan mengecewakan semua pihak.

PENULIS adalah seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi menerusi e-mel, wadah_wjy2k@yahoo.com.

Wednesday, January 22, 2003

Musibah Kesakitan ada hikmah tersendiri

Oleh Ir Hjh Endok Sempo bt Mohd Tahir.

Rasulullah saw bersabda;” Tidaklah sesuatu musibah yang menimpa seseorang muslim melainkan Allah menghapuskan baginya dosanya walaupun hanya dengan kesakitan akibat terkena duri – Hadith Riwayat Al Bukhari.

Hadith ini menjadi pengubat duka dan rasa hiba ketika terlantar sakit di wad hospital semasa umat Islam merayakan aildilfitri baru baru ini. Bayangkan kepiluan ini pabila saudara mara, sahabat handai serta rakan dan taulan telah pulang ke kampung masing masing tetapi diri ini bersendirian di katil penuh kesenduan!.

Memang sungguh pilu, namun musibah kesakitan mempunyai hikmah nya yang tersendiri. Antaranya untuk menyedarkan kepada kita betapa lemahnya kita dalam mengawal faktor luaran dan betapa perlunya kita kepada kekuatan Allah, firman Allah :” ….dan manusia dijadikan bersifat lemah. [An Nisa’:28].

Kita juga perlu disedarkan bahwa mungkin kesakitan ini merupakan satu kaffarah (penghapusan ) dosa kita masa lalu samada kita sedari atau tidak sedari. Selain itu mungkin juga Allah hendak meningkatkan martabat taqwa kita.

Lalu apakah tindakan kita dalam menghadapai saat yang sungguh memeritkan itu? Adakah kita merayu rayu berlebih lebihan kepada orang keliling, merintih merintih mengenang nasib malang dan menyalahkan keadaan?

Islam telah menggariskan adab adab orang sakit, agar hatinya tenang, pasrah malah memberikan kepuasan dalam jiwa dan mempercepatkan kesembuhannya:

Merayu dan merintih hanya kepada Allah dan bersabar serta redha dengan musibah ini. Bacalah doa doa perangsang sebagaimana rintihan Nabi Ayub Alaihissalam yang bermakdud: “ Wahai tuhanku sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit (kemudharatan) dan engkaulah yang yang Maha mengasihani” [Q: Al Anbiya’: 83]
Bersangka baik dengan Allah. Daripada Jabir (ra), Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: ”Janganlah mati salah seorang daripada kamu melainkan setelah dia bersangka baik terhadap Allah Taala”-HR Muslim
Tidak mencela penyakit. Jabir (ra) meriwayatkan: Rasulullah (saw) melawat seorang sahabiah bernama Ummu as Saib ( Ummu Al Musaiyyab) dan bertanyakan nya: ” Apakah yang telah berlaku kepadamu sehingga kamu mengeluh sedemikian rupa?, Ummu As Saib menjawab: “Demam, tiada keberatan Allah kepadanya”. Rasululullah lantas beresbsda:” Janganlah engkau mencela demam, sesunguhnya demam itu menghilangkan kesalahan kesalahan anak adam sebagaimana relau (meleburkan) besi- [HR Muslim]
Tidak mengharapkan mati. Janganlah kita meminta agar kita dimatikan cepat sebab tak tertahan menanggung penderitaan sakit ini. Sebagaimana hadis:” Janganlah seseorang daripada kamu mengharapkan mati disebabkan kemudaratan (kesakitan) yang menimpanya, tetapi jika terpaksa hendaklah dia berdoa: “Ya Allah hidupkan lah aku jika hidup ini lebih baik untuk diriku dan matikan lah aku jika kematianku itu lebih baik untuk diriku. [HR Al Bukhari dan Muslim]
Mesti berubat. Ini adalah satu kemestian, marilah kita menghayati ruh hadis ini :” Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan baginya ubat selain daripada sesuatu yang haram.[HR At Tarmizi]

Apabila kita cuba amalkan adab adab diatas dan dirambah pula dengan beberapa tips motivasi kontemporari, hidup kita akan lebih gembira walaupun dalam kesakitan. Umpamanya jika kita menggunakan teknik motivasi yang biasa dikenali sebagai teknik ‘rahsia 90/10’. Tidak ramai yang mengetahui rahsia ini, itulah sebabnya ribuan manusia hidup menderita, tertekan, penuh masalah, sakit kepala, sakit jiwa dan tidak bahagia. Kadang kadang terasa hidup ini membosankan penuh penderitaan, kejam dan tidak adil kepada kita. Tetapi janganlah berputus asa. Cuba kita fahami dan amalkan rahsia ‘90/10’ ini, InsyaALlah kehidupan kita akan berubah. Apakah rahsia 90/10?

10% dari kehidupan ini adalah terdiri daripada apa yang terjadi pada diri kita dan 90% dari kehidupan ini adalah ditentukan oleh bagaimana reaksi kita dalam menangani apa yang terjadi keatas kita. Jadi apakah maksudnya pernyataan ini?. Kita sebenarnya tidak boleh mengawal factor luara dan sebarang kejadian yang menimpa kita. Tetapi kita boleh mengawal apa yang ada dalam diri kita . Kita boleh bentuk hati kita, memujuk perasaan kita dan melentur persepsi kita.

Contohnya jadual penerbangan kapalterbang ditunda, habis program kita terbengkalai! Kita tidak boleh mnegawal jadual penerbangan tetapi boleh mengawal perasaan dan reaksi kita. Kita memujuk diri kita menerima kenyataan secara pasarah dan redha, memang kaplaterbang lambat dan program terbengkalai, tetapi jangan memburukkan keadaan (perasaan kekecewaan kita) dengan menyumpah seranah kejadian malanag atau menyalahkan diri sendiri atau orang lain.

Apa kata kita ambil bahan bacaan yang menarik dan terkini, Bagi yang membawa mushaf al quran (saiz poket) terjemahanm bacalah. Bertegur sapa dengan kawan yang sama sama terkandas sambil menjalinkan persahabatan baru, berkongsi pengalaman dan kegiatan yang menyeronokkan. Nescaya kekecewaan dan tekanan emosi akan berkurangan.
Demikian juga jika kita mengalami kesakitan.

Kawal emosi, bentuk persepsi positif dan jangan biarkan orang lain atau keadaan yang memperbodohkan kita. Kita yang rasa tertekan. Hubungi kawan kawan rapat melalui sms, minta mereka doakan kesejahteraan kita. Ambil peluang merapatkan hubungan dengan orang orang yang menziarahi kita. Gunakan peluang sebagai waktu rehat yang Allah kurniakan untuk hubungan lebih intim dengan ahli keluarga kita.

Penulis seoranfg jurutera professional dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Musibah kesakitan ada hikmah tersendiri

22/1/2003
Musibah Kesakitan ada hikmah tersendiri
Oleh Endok Sempo bt Mohd Tahir.

Rasulullah saw bersabda;” Tidaklah sesuatu musibah yang menimpa seseorang muslim melainkan Allah menghapuskan baginya dosanya walaupun hanya dengan kesakitan akibat terkena duri – Hadith Riwayat Al Bukhari.

Hadith ini menjadi pengubat duka dan rasa hiba ketika terlantar sakit di wad hospital semasa umat Islam merayakan aildilfitri baru baru ini. Bayangkan kepiluan ini pabila saudara mara, sahabat handai serta rakan dan taulan telah pulang ke kampung masing masing tetapi diri ini bersendirian di katil penuh kesenduan!.

Memang sungguh pilu, namun musibah kesakitan mempunyai hikmah nya yang tersendiri. Antaranya untuk menyedarkan kepada kita betapa lemahnya kita dalam mengawal faktor luaran dan betapa perlunya kita kepada kekuatan Allah, firman Allah :” ….dan manusia dijadikan bersifat lemah. [An Nisa’:28].

Kita juga perlu disedarkan bahwa mungkin kesakitan ini merupakan satu kaffarah (penghapusan ) dosa kita masa lalu samada kita sedari atau tidak sedari. Selain itu mungkin juga Allah hendak meningkatkan martabat taqwa kita.

Lalu apakah tindakan kita dalam menghadapai saat yang sungguh memeritkan itu? Adakah kita merayu rayu berlebih lebihan kepada orang keliling, merintih merintih mengenang nasib malang dan menyalahkan keadaan?

Islam telah menggariskan adab adab orang sakit, agar hatinya tenang, pasrah malah memberikan kepuasan dalam jiwa dan mempercepatkan kesembuhannya:

1. Merayu dan merintih hanya kepada Allah dan bersabar serta redha dengan musibah ini. Bacalah doa doa perangsang sebagaimana rintihan Nabi Ayub Alaihissalam yang bermakdud: “ Wahai tuhanku sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit (kemudharatan) dan engkaulah yang yang Maha mengasihani” [Q: Al Anbiya’: 83]
2. Bersangka baik dengan Allah. Daripada Jabir (ra), Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: ”Janganlah mati salah seorang daripada kamu melainkan setelah dia bersangka baik terhadap Allah Taala”-HR Muslim
3. Tidak mencela penyakit. Jabir (ra) meriwayatkan: Rasulullah (saw) melawat seorang sahabiah bernama Ummu as Saib ( Ummu Al Musaiyyab) dan bertanyakan nya: ” Apakah yang telah berlaku kepadamu sehingga kamu mengeluh sedemikian rupa?, Ummu As Saib menjawab: “Demam, tiada keberatan Allah kepadanya”. Rasululullah lantas beresbsda:” Janganlah engkau mencela demam, sesunguhnya demam itu menghilangkan kesalahan kesalahan anak adam sebagaimana relau (meleburkan) besi- [HR Muslim]
4. Tidak mengharapkan mati. Janganlah kita meminta agar kita dimatikan cepat sebab tak tertahan menanggung penderitaan sakit ini. Sebagaimana hadis:” Janganlah seseorang daripada kamu mengharapkan mati disebabkan kemudaratan (kesakitan) yang menimpanya, tetapi jika terpaksa hendaklah dia berdoa: “Ya Allah hidupkan lah aku jika hidup ini lebih baik untuk diriku dan matikan lah aku jika kematianku itu lebih baik untuk diriku. [HR Al Bukhari dan Muslim]
5. Mesti berubat. Ini adalah satu kemestian, marilah kita menghayati ruh hadis ini :” Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan baginya ubat selain daripada sesuatu yang haram.[HR At Tarmizi]

Apabila kita cuba amalkan adab adab diatas dan dirambah pula dengan beberapa tips motivasi kontemporari, hidup kita akan lebih gembira walaupun dalam kesakitan. Umpamanya jika kita menggunakan teknik motivasi yang biasa dikenali sebagai teknik ‘rahsia 90/10’. Tidak ramai yang mengetahui rahsia ini, itulah sebabnya ribuan manusia hidup menderita, tertekan, penuh masalah, sakit kepala, sakit jiwa dan tidak bahagia. Kadang kadang terasa hidup ini membosankan penuh penderitaan, kejam dan tidak adil kepada kita. Tetapi janganlah berputus asa. Cuba kita fahami dan amalkan rahsia ‘90/10’ ini, InsyaALlah kehidupan kita akan berubah. Apakah rahsia 90/10?

10% dari kehidupan ini adalah terdiri daripada apa yang terjadi pada diri kita dan 90% dari kehidupan ini adalah ditentukan oleh bagaimana reaksi kita dalam menangani apa yang terjadi keatas kita. Jadi apakah maksudnya pernyataan ini?. Kita sebenarnya tidak boleh mengawal factor luara dan sebarang kejadian yang menimpa kita. Tetapi kita boleh mengawal apa yang ada dalam diri kita . Kita boleh bentuk hati kita, memujuk perasaan kita dan melentur persepsi kita.

Contohnya jadual penerbangan kapalterbang ditunda, habis program kita terbengkalai! Kita tidak boleh mnegawal jadual penerbangan tetapi boleh mengawal perasaan dan reaksi kita. Kita memujuk diri kita menerima kenyataan secara pasarah dan redha, memang kaplaterbang lambat dan program terbengkalai, tetapi jangan memburukkan keadaan (perasaan kekecewaan kita) dengan menyumpah seranah kejadian malanag atau menyalahkan diri sendiri atau orang lain.

Apa kata kita ambil bahan bacaan yang menarik dan terkini, Bagi yang membawa mushaf al quran (saiz poket) terjemahanm bacalah. Bertegur sapa dengan kawan yang sama sama terkandas sambil menjalinkan persahabatan baru, berkongsi pengalaman dan kegiatan yang menyeronokkan. Nescaya kekecewaan dan tekanan emosi akan berkurangan.
Demikian juga jika kita mengalami kesakitan. Kawal emosi, bentuk persepsi positif dan jangan biarkan orang lain atau keadaan yang memperbodohkan kita. Kita yang rasa tertekan. Hubungi kawan kawan rapat melalui sms, minta mereka doakan kesejahteraan kita. Ambil peluang merapatkan hubungan dengan orang orang yang menziarahi kita. Gunakan peluang sebagai waktu rehat yang Allah kurniakan untuk hubungan lebih intim dengan ahli keluarga kita.

Wednesday, January 15, 2003

Persiapan rapi sebelum menjadi tetamu Allah

15/1/03
Persiapan rapi sebelum menjadi tetamu Allah
Oleh Faridah Maludin
MUSIM haji bagi tahun 1423 Hijrah sudah bermula. Justeru, sebahagian kita mengalihkan tumpuan kehidupan buat sementara waktu kepada satu perkara penting dan meninggalkan rutin pekerjaan, anak, isteri, keluarga serta harta benda semata-mata untuk menunaikan tuntutan haji.

Firman Allah maksudnya: “... Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya”. (Surah Ali Imran, ayat 97).

Bagi wanita pula ditambahkan syarat iaitu mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti ditemani mahram.

Bagi seorang wanita menunaikan haji menuntut pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang pengasih dan sensitif dengan perpisahan terutama terhadap anak yang dikasihi. Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Ilahi.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah”. (Hadis riwayat Muslim). Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji. Cita-cita untuk menunaikan haji mestilah dekat di hati kita.

Sering kali kedengaran apabila ditanya ‘bila hendak pergi haji?’ Jawapannya ‘belum sampai seru’, walhal kemampuan sudah ada dan syarat cukup. Bagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan haji, tetapi melengah-lengahkan pelaksanaannya, hadis berikut dapat memberikan peringatan.

“Sesungguhnya seorang hamba yang Aku kurniakan tubuh badan yang sihat, lumayan hidupnya dengan kemewahan, bergelumang dengan kemewahan itu selama lima tahun tanpa mengunjungi rumah-Ku (Kaabah) maka sesungguhnya layak dia Aku haramkan dari memasuki syurga-Ku” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Pada kursus haji, bakal jemaah diingatkan supaya niat memulakan langkah untuk menunaikan haji mestilah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata. Hendaklah dijauhi dan dihapuskan sama sekali perasaan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah serta pergi untuk berseronok atau melancong.

Haji menuntut pengorbanan hati dan keyakinan, harta dan jiwa, ruang masa dan tenaga yang semuanya ditentukan syarat.

Demikianlah kebijaksanaan Allah menyusun bulan yang sungguh cantik turutannya. Haji hanya datang selepas kita membersihkan diri melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan, memohon keampunan daripada-Nya dan memohon semoga diterima segala amal, seterusnya pada Syawal pula, kita bermaafan sesama insan.

Selepas itu, didatangkan satu lagi perjalanan haji yang juga permulaan kenikmatan rohani yang begitu indah kerana terasa begitu dekat dengan Allah.

Hati kita akan disibukkan dengan menyebut dan mengingati Allah daripada mengingati perkara lain dalam kehidupan ini. Perjalanan untuk menjadi tetamu Allah dan pengunjung Arafah demi mengenali diri sendiri yang sudah terlalu banyak berdosa, lalu memohon keampunan Allah di atas setiap dosa yang dilakukan itu.

Tentulah perjalanan ini memerlukan persiapan rapi. Di antaranya:

l Mempelajari selok-belok cara dan bagaimana menunaikan haji yang penuh dengan segala macam permasalahannya.

l Memperbanyakkan taubat untuk menghapuskan dosa terdulu sama ada sebelum berangkat ke tanah suci atau ketika di sana. Hati tentu tersentuh apabila merenung kisah Nabi Adam yang menangis ketika menyatakan kekesalannya dan memohon keampunan Allah selama bertahun-tahun di bumi Arafah. Apatah lagi kita sebagai manusia yang sering melakukan dosa tidak mengira masa dan tempat.

l Memohon kemaafan sesama manusia dan memaafkan orang lain dengan seikhlas hati. Sebelum berangkat ke tanah suci, biarlah sifar dosa kita sesama manusia.

l Menjaga kesihatan untuk kekal sihat dan cergas demi menunaikan ibadat haji kerana ia menuntut banyak kerja fizikal berat.

l Melatih diri dengan sifat terpuji dan cuba sedaya upaya meninggalkan semua sifat keji.

Setiap tahun, berjuta orang menunaikan ibadat itu tetapi berapa ramai yang pulang dengan haji mabrur? Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Di antara umrah ke satu umrah berikutnya adalah penebus dosa di antara kedua-duanya dan haji mabrur ganjarannya tiada lain kecuali syurga.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Haji mardud pula ialah haji yang ditolak lagi merugikan. Ini kerana banyak belanja dihabiskan untuk persediaan haji, tetapi akhirnya hanya merugikan. Minta dijauhkan oleh Allah semua umat Islam di tanah suci makkah terhadap haji mardud.

Hayatilah semua manusia terhadap panggilan “Ya Allah, aku datang menyahut panggilan-Mu”.



l PENULIS adalah seorang perunding latihan dan boleh dihubungi di wadah_wjy2@yahoo.com

Wednesday, January 08, 2003

Didik anak tanggungjawab suami isteri

8/1/03
Didik anak tanggungjawab suami isteri
Oleh Siti Zaiton Abdul Aziz
INSTITUSI sekolah diwujudkan untuk membina generasi yang tinggi ilmu dan budinya serta cemerlang keperibadiannya dan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada Allah.

Oleh itu, tugas dan usaha mulia guru dan pendidik dalam membentuk keperibadian anak-anak perlu disokong dan dibantu sepenuhnya. Semua umat yang cintakan Islam, tanpa mengira mempunyai anak yang belajar atau tidak, perlu melihat usaha ini sebagai salah satu jihad fi sabilillah.

Mereka dialu-alukan memberikan cadangan, sumbangan, kepakaran dan idea untuk memajukan institusi ini demi kemaslahatan dan memartabatkan umat Islam.

Cita-cita dan harapan sebegini besar dan mulia tentu menuntut pelbagai pengorbanan dari pelbagai pihak. Menginsafi hakikat ini, sekolah tidak mungkin mampu membina generasi unggul ini bersendirian.

Sekolah adalah tempat anak-anak menerima pendidikan secara sistematik dan formal. Di sekolah juga anak-anak diberi peluang untuk memperkembangkan bakat dan potensi mereka.

Di sekolah, proses pembentukan peribadi, pemindahan ilmu dan kemahiran terletak pada bahu guru.

Suasana dan persekitaran di sekolah bertanggungjawab sepenuhnya mengadun dan mencorakkan bentuk pelajar yang ingin dibina.

Namun, apabila mereka ini pulang ke rumah, ibu bapa perlu mengambil alih tugas ini. Ilmu, nilai, sikap dan amalan mestilah selari dan konsisten dengan apa yang diterap oleh sekolah. Malah tugas ini menjadi lebih kritikal kerana manusia lazimnya lebih banyak terpengaruh dengan pendidikan informal berbanding pendidikan formal, khususnya dalam aspek pembentukan peribadi dan akhlak.

Pendidikan informal ini sebenarnya lebih berkesan dan mudah diikuti oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari hakikat ini dan berusaha untuk memastikan suasana di rumah menyokong apa yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah.

Sikap memadai dengan apa yang anak-anak dapati di sekolah, hanya akan mengecewakan ibu bapa. Ibu bapa perlu mengiktiraf diri mereka adalah guru pertama bagi anak-anak. Segala nilai, pertuturan dan tingkah laku mereka, banyak mempengaruhi anak-anak. Kefahaman bahawa, cukuplah sekolah berfungsi untuk membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang adalah tidak tepat.

Semangat yang perlu ada dalam jiwa ibu bapa ialah mereka secara automatik adalah rakan kongsi kepada sekolah. Natijahnya ialah ibu bapa merasakan sekolah ini sebahagian daripada milik mereka, ada semangat kekitaan.

Setiap kelemahan dan kekurangan dalam apa juga aspek dalam pendidikan di sekolah perlu dilihat sebagai masalah bersama. Apa saja yang perlu diperbaiki, dibantu dan ditingkatkan perlu dilakukan dengan semangat muafakat di antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Satu lagi pihak yang tidak kurang penting adalah institusi masjid. Anak-anak perlu dibiasakan bergaul dengan masyarakat masjid yang berhampiran dengan rumah mereka. Ini kerana, jika anak-anak tidak berada di sekolah atau di rumah, tugas membentuk mereka adalah jatuh kepada masyarakat masjid.

Tanggapan sesetengah orang bahawa tidak perlu menjaga hal ehwal anak orang lain adalah satu kesilapan yang besar. Sebagai anggota masyarakat yang lebih dewasa dan matang, mereka perlu mengajak, menghargai, memimpin dan menegur di mana yang perlu setiap perbuatan anak-anak di sekeliling mereka. Sikap tidak peduli dan tidak endah akan perbuatan anak-anak perlu ditukar kepada sikap penyayang, prihatin dan hormat kepada mereka. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh junjungan kita Rasulullah terhadap anak-anak.

Ibu bapa yang menaruh kepercayaan kepada sekolah untuk mendidik dan membentuk anak mereka perlu memiliki beberapa komitmen. Ini untuk memudahkan proses pendidikan dan pentarbiahan yang perlu dilakukan. Di antaranya ialah:

l Membenarkan anak-anak menghadiri setiap program yang dimestikan anak-anak hadir (kecuali diberi pilihan ).

l Menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh sekolah untuk ibu bapa.

l Menghindari amalan menjatuhkan kewibawaan guru depan anak-anak. Sebaliknya berbincang dengan sekolah jika ada perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru.

l Menerima pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh sekolah dalam membentuk dan mendisiplinkan anak-anak.

l Menanamkan sikap menghormati dan mentaati guru untuk mendapatkan keberkatan.

l PENULIS adalah seorang guru besar sekolah swasta. Sebarang maklum balas sila hubungi

wadah_wjy2k@yahoo.com


Wednesday, January 01, 2003

Isteri boleh main fungsi penting dalam perjalanan

1/1/03
Isteri boleh main fungsi penting dalam perjalanan
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

ISTERI: Abang, ingat tak saat paling manis dalam hidup kita?

SUAMI: Saat mana tu sayang?”

ISTERI: Saat ketika kita dipertemukan pertama kali selepas diijab kabul?

SUAMI: Saat itu abang paling tak terlupakan!”

ISTERI: Sebab?

SUAMI: Sebab berakhirnya satu pencarian yang panjang, abang bertemu dengan
wanita Melayu soleh terakhir dalam impian abang.”

ISTERI: Ala...abang ni. (sambil tangan halus mencubit sayang paha suaminya).

Perbualan suami isteri penuh kasih sayang dan usik mengusik sebegini dalam
satu perjalanan balik kampung yang jauh dan memenatkan sebenarnya boleh
menolong menghindarkan kemalangan jalan raya.

Pada musim cuti, tentu lebuh raya dan jalan utama akan sesak dengan
kenderaan. Sebagaimana kebiasaan juga, kadar kemalangan jalan raya
dan bilangan kematian akan meningkat, sekalipun pihak berkuasa
menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan penguatkuasaan ketat.

Antara penyebab utama kemalangan pada musim perayaan adalah faktor
kecuaian manusia. Amat wajar setiap orang dan keluarga berusaha
mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan dengan membuat
perancangan teliti sebelum sesuatu perjalanan itu dibuat.

Ingatlah bahawa menjaga nyawa adalah termasuk dalam lima matlamat
syariah Islam, selain dari menjaga agama, keturunan, maruah dan harta benda.

Ahli keluarga lain, terutama isteri dan ibu mesti mempunyai
kesedaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai fakta bagaimana
sesuatu kemalangan jalan raya itu boleh dielakkan. Tips cara
pemanduan berhemah dan perancangan perjalanan jarak jauh yang
teliti dapat menolong isteri dan ibu serta ahli keluarga lain,
dalam memastikan suami atau bapa yang sering kali
bertanggungjawab membawa kereta itu berhati-hati dan
berada dalam keadaan paling optimum dan selesa.

Dengan kata lain, isteri boleh bertindak selaku ‘co-pilot’ yang
proaktif membantu memastikan suami segar-bugar, mengesan tanda
keletihan atau mengantuk ketika memandu. Isteri juga boleh
menjadi pemandu gantian sekiranya suami letih dan memerlukan rehat.
Tidaklah seperti kebiasaan, isteri sendiri tidak sabar hendak
melelapkan mata dalam kereta dan membiarkan suami memandu
bersendirian sepanjang perjalanan yang memakan masa berjam-jam lamanya.

Mengikut kajian, keadaan persekitaran mempengaruhi keupayaan seseorang
itu memandu. Suasana malam yang gelap, apatah lagi hujan, biasanya
menghalang seseorang pemandu itu untuk membuat penilaian tepat
sepanjang pemanduannya.

Keadaan semakin bahaya jika pemandu tidak mendapat rehat mencukupi
sebelum memandu.

Pendek kata, seseorang itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya
enam hingga lapan jam tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan yang jauh.
Biasanya pemandu disarankan memulakan perjalanan pada awal pagi
selepas tidur merehatkan diri dari kepenatan hari sebelumnya.

Mengikut sirah, Rasulullah juga sering kali memulakan perjalanan
pada awal pagi selepas cukup berehat. Rancanglah perjalanan seawal
jam 4 atau 5 pagi, selepas anda sekeluarga masuk tidur awal sebelum itu.
Selepas mandi dan bersolat sunat. mulakan perjalanan yang diniatkan
semata-mata untuk mengikat silaturahim dan ukhuwah itu dengan
penuh keikhlasan dan harapan diredai Allah.

Sebaik saja memegang stereng dan menghidupkan enjin, bacalah
dengan nama Allah. Bacalah doa Safar: ”Subhanallazi sakhhara
lana haza wa ma kunna lahu muqrinin wa inna ila rabbina la
mungqalibun”, (Surah az-Zukhruf, ayat 13) bermaksud: “Maha
suci Allah yang menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami
sebelumnya tidak mampu menguasainya”. Perdengarkan bacaan ayat
suci al-Quran melalui perakam kaset kereta dan berhentilah untuk solat
Subuh.

Perjalanan selepas Subuh biasanya begitu menyegarkan apabila kita
dapat menikmati suasana pagi yang nyaman, di samping menikmati
keindahan alam ciptaan Ilahi.

Pemandu dinasihatkan untuk berhenti sebentar selepas memandu
kira-kira 150 kilometer atau selepas dua jam memandu, terutama
jika anda memandu pada siang hari yang panas terik. Kenali
tanda-tanda keletihan ketika memandu seperti kerap kali menguap,
kurangnya penumpuan kepada pemanduan, fikiran melayang dan
mendapati kereta anda menyusur masuk ke lorong sebelah tanpa
disedari. Penumpang yang duduk di sebelah pemandu (sekiranya
dia sendiri tidak tidur) dan anak yang duduk di belakang
haruslah peka terhadap tanda-tanda ini dan nasihatkan
pemandu agar berhenti berehat.

Berikan pemandu sedikit minuman berkafein seperti kopi dan
ajaklah beliau berbual-bual. Berhentilah di hentian sebelah
(sekiranya anda berada di lebuh raya ) atau di tempat teduh
di tepi jalan. Tidurlah sebentar selama 20 hingga 40 minit
selepas pasti tempat anda berhenti itu selamat.

Sekiranya anda mahu meneruskan perjalanan, inilah masanya
untuk penumpang lain mengambil alih tanggungjawab memandu
kenderaan anda. Gunakan cermin mata gelap untuk mengurangkan
keletihan mata ketika memandu di tengah panas terik terutamanya
di lebuh raya. Pastikanlah juga keadaan kenderaan berada dalam
keadaan baik.

Janganlah kerana mahu berjimat , kenderaan anda tidak diservis
dan akibatnya mungkin anda terpaksa membayar harga yang lebih
tinggi sekiranya kenderaan itu rosak di tengah jalan.

Itu belum lagi sekiranya ada kemalangan yang membabitkan maut
dan kecederaan akibat dari masalah teknikal kenderaan anda.
Janganlah hanya mementingkan diri sendiri, banyakkan tolak
ansur dan bersabar ketika memandu.

Pastikan kenderaan anda mudah dilihat oleh pemandu lain,
sebagaimana pentingnya juga untuk anda sentiasa dapat
melihat kenderaan lain dengan baik. Patuhilah peraturan
jalan raya yang sememangnya diadakan untuk keselamatan
semua. Awasilah anak kecil dalam kenderaan anda.

Elakkan memangku bayi kecil anda di riba sekiranya anda
duduk di tempat penumpang bersebelahan dengan pemandu.
Tahukah anda, itulah tempat duduk paling bahaya dan sering
membawa maut dalam kereta, sekiranya berlaku kemalangan?

Gunakanlah tempat duduk khas untuk bayi dan anak-anak kecil.
Mungkin harganya mahal sedikit, namun ia tetap jauh lebih
murah dari harga nyawa seorang anak yang kita kasihi.

PENULIS adalah doktor pakar sakit puan. Sebarang
pertanyaan dan maklum balas sila hubungi e-mel : wadah_wjy2k@y...)