Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 29, 2003

Menjana maslahat, elak bencana melalui poligami

29/1/03
Menjana maslahat, elak bencana melalui poligami
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BEBERAPA minggu lalu, ruangan Agama Berita Harian, memaparkan topik ‘hakikat keadilan dalam poligami’, tulisan Nik Muhammad Nasri Nik Malek. Kali ini, mari kita melihat poligami dari satu ufuk berlainan untuk membuka minda, terutama wanita yang menjadi isteri pertama.

Ahadiah menerima Saniah, tetamu yang tidak diundang pada suatu petang. Saniah kemudian memulakan perbualan: “Tolong jangan beritahu suami, saya datang berjumpa puan. Saya mengenali suami puan selama lima tahun. Kami bekerja dalam satu pejabat.

“Alhamdulillah suami puan seorang lelaki beragama, sopan, menjaga batas pergaulan, bertanggungjawab dan amat dihormati oleh semua rakan sepejabat. Pendek kata suami puan mempunyai semua ciri-ciri lelaki idaman. Puan amat bertuah memiliki lelaki sedemikian sebagai suami. Maka kedatangan saya ini, membawa hajat dengan rasa rendah diri dan pengharapan ingin berkongsi kebahagiaan dan kebaikan lelaki ini.

“Saya ada karier mantap. Saya ada segala-galanya dalam hidup ini. Rumah, hartanah dan kereta kecuali seorang suami salih dan bertangungjawab. Puan jangan risau suami puan tidak tahu menahu mengenai perasaan saya ini. Di antara kami tidak ada apa-apa hubungan cinta pun. Hanya saya yang mengaguminya. Kami tidak pernah berbual atau bercakap kosong kecuali mengenai pekerjaan.”

Apakah jawapan seorang isteri yang rasional dan matang jika dihadapkan dengan pertanyaan sedemikian?

Ramai tidak merasakan perlu untuk mengamalkan poligami mungkin kerana mempunyai suami yang memilih monogami serta berasa cukup bahagia dengan keadaannya atau seseorang wanita bujang tidak memerlukan suami. Ini kerana dia mampu menguruskan kehidupan, puas dan cukup dengan kehidupan sekarang. Atau seseorang lelaki itu merasakan dirinya tidak memilih berpoligami kerana beberapa sebab yang dia saja yang tahu.

Apatah lagi, poligami tidak wajib atau sunat, malah hanya harus. Tetapi dalam kenyataan kehidupan hari ini, masih ada yang benar-benar memerlukan poligami seperti Saniah serta bersedia menyambut dan menghadapi cabaran jika ditakdirkan bertemu jodoh buat kali kedua, tiga dan keempat.

Ada yang memandang serong dan menjauhkan diri daripada isu poligami. Tetapi di satu pihak pula mendapat banyak manfaat daripadanya. Sepatah kata orang, racun bagi orang tertentu, penawar bagi satu orang lain. Isteri pertama merasakan poligami menzalimi wanita, tetapi bagi isteri kedua, ketiga dan keempat pula ia memberi ruang baginya bersuami dan menikmati kehidupan berkeluarga.

Di sini kita melihat keadilan dan kebijaksanaan Allah yang mencipta undang-undang-Nya agar boleh diamalkan oleh hamba-Nya dalam apa suasana dan menurut keperluannya. Kita selalu menghadapi ketidaktentuan dalam kehidupan, kadang-kadang nasib tidak menyebelahi kita. Maka kita seharusnya bersikap bertoleransi dan cuba memahami perasaan orang lain. Perkara paling membahagiakan seorang insan Muslim ialah dapat memberikan kebahagiaan kepada orang lain.

Ada kes yang pernah kita lihat bagaimana seorang isteri sangat menentang poligami, tetapi tidak berapa lama kemudian suaminya meninggal dunia. Dia kemudian berkahwin semula dengan seorang lelaki beristeri.

Apabila ditanya dia hanya mampu menjawab: “Masa berubah, keadaan juga berubah, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang. Kini saya memerlukannya”. Di sini kita lihat Islam amat pratikal dalam melaksanakan keadilan dan tidak mengikat manusia kepada sesuatu hukum yang menyebelah satu pihak saja.

Sayang, sebahagian umat Islam gagal memahami ‘roh keharusan poligami’ dalam erti kata ‘kemanusiaan’ dan melihat ‘keadilan’ sebagai sesuatu yang mustahil berlaku dalam poligami, maka dikatakan perlu diharamkan.

Pandangan prejudis dan negatif serta ketidakyakinan terhadap ‘keharusan poligami’ ini semata-mata disebabkan oleh salah laku dalam amalan berpoligami di kalangan lelaki/wanita Muslim yang jahil. Ini seperti tidak mematuhi hukum syariat dalam hal poligami, menjadikan poligami sebagai peluang memuas nafsu, jahil terhadap maqasid (tujuan) syariah dalam keharusan poligami, tiada kesedaran dan semangat beragama serta tidak bertanggungjawab. Ini ditambah dengan kempen yang mempertikaikan dan memburuk-burukkan poligami oleh musuh Islam.

Di kalangan wanita pula, stigma poligami amat menakutkan kerana melihat kisah duka lara dan penderitaan isteri terdera dan mangsa ketidakadilan suami berpoligami.

Semua ini dirangkumkan dalam perkataan, takut dan bimbang seperti dalam bahasa Inggeris – FEAR (false evidence appear real). Perkara paling menakutkan seorang isteri ialah kehilangan seorang suami. Tetapi poligami bukan isu kehilangan seorang suami tetapi isu ‘perkongsian’ seorang suami. Ramai wanita tidak dapat memisahkan di antara ‘keharusan berpoligami’ dan masalah ‘keadilan’ suami.

Keharusan poligami ditentukan dan mahkamah syariah pula memastikan bahawa keharusan ini tidak disalah guna. Mahkamah yang menentukan sama ada suami itu boleh berpoligami atau tidak selepas mendapat keterangan isteri untuk membantu membuat penyiasatan dan keputusan. Kalau bukan isteri siapakah lagi yang paling hampir dengan suami untuk membantu siasatan?

Sebagai seorang isteri yang rasional dan tahu undang-undang, dia sepatutnya tahu haknya untuk hadir ke mahkamah syariah bagi membantu siasatan dan keputusan. Malah isteri boleh meminta perakuan ‘berlaku adil’ dan pembahagian harta sepencarian, nafkah anak dan perbelanjaan keluarga di depan hakim daripada suami ketika proses permohonan berpoligami dan difailkan di mahkamah.

Jika selepas berpoligami suami tidak berlaku adil dan melanggar janji serta tidak bertindak menurut perakuan yang dibuat dulu, mahkamah boleh membawa suami ke penjara. Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

Sesiapa yang mampu, bersedia dan mempunyai alasan kukuh dalam semua aspek, diharuskan berpoligami.

Sebaliknya sesiapa yang tidak memerlukannya, jangan pula memaksakan rasa tidak bersetuju anda kepada orang lain dan memandang serong terhadap pelakunya.

Mungkin kita bertuah sekarang, tetapi kita tidak tahu, apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mana tahu dalam suasana dan masa berbeza, nasib kita seperti wanita ini, ibu tunggal, janda, balu dan wanita bujang berusia matang yang memerlukan suami.

Jadi jika ada beberapa lelaki berhati mulia ingin berpoligami kerana menjaga maslahah ummah, maka kita berikan sokongan dan kerjasama. Jangan kita memandang serong terhadap lelaki berpoligami. Demikian juga jangan memandang rendah dan menurunkan martabat isteri pertama dengan kata-kata memedihkan.

Kita banyak paparkan masalah poligami daripada kes mahkamah syariah. Tentu kes di mahkamah semuanya adalah kes bermasalah. Kalau poligami tidak ada masalah, tidak perlulah dibawa ke mahkamah atau diberikan kaunseling.

Begitu juga monogami, ada yang dibawa ke mahkamah, contohnya, suami tidak memberi nafkah batin. Jadi adakah bermakna monogami itu sentiasa bermasalah dan perlu dimansuhkan?

Dalam kedua-dua hal, monogami atau poligami ada bermasalah dan tidak. Kita perlu melihat masalah secara objektif dan fokus. Ada kes isteri tidak bersetuju berpoligami dengan alasan bahawa suami pasti tidak berlaku adil, walhal perkara ini belum berlaku lagi. Hakim yang menentukan keadilan dan kemampuan suami untuk berpoligami melalui siasatan dengan bantuan isteri dan kriteria penghakimannya.

Adalah lebih baik proses ke arah poligami ini membabitkan suami, isteri pertama dan anak yang matang serta bakal isteri kedua. Mereka bersama-sama menjalani proses ini. Memudah cara melalui musyawarah, kaunseling dan semangat tolak ansur supaya poligami menghasilkan suasana ‘menang-menang’ bukan ‘menang-kalah’.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan suami yang akan berpoligami. Jika sebelum berpoligami berjaya menyerlahkan bakat ‘pengurusan emosi’ seperti ini, insya-Allah selepas berpoligami, menjadi lebih cantik.

Kita perlu menilai amalan poligami dari sudut kepentingan, hak dan tanggungjawab suami, isteri dan bakal isteri serta keluarga besarnya. Tidak perlu dilihat pada kepentingan satu pihak saja.

Perlu dilihat dari sudut ketakwaan kerana fikah tanpa takwa, buruk jadinya. Perlu juga dilihat dari sudut kemasyarakatan kerana semua hukum Allah termasuk poligami bertujuan menjana maslahat dan menolak bencana.

Dalam semua penilaian ini dan hubungan suami isteri, kejujuran dan ketakwaan menjadi tunjang dan asas kerelaan serta keharmonian. Ketidakjujuran dan pengkhianatan akan mengecewakan semua pihak.

PENULIS adalah seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi menerusi e-mel, wadah_wjy2k@yahoo.com.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home