Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 15, 2003

Persiapan rapi sebelum menjadi tetamu Allah

15/1/03
Persiapan rapi sebelum menjadi tetamu Allah
Oleh Faridah Maludin
MUSIM haji bagi tahun 1423 Hijrah sudah bermula. Justeru, sebahagian kita mengalihkan tumpuan kehidupan buat sementara waktu kepada satu perkara penting dan meninggalkan rutin pekerjaan, anak, isteri, keluarga serta harta benda semata-mata untuk menunaikan tuntutan haji.

Firman Allah maksudnya: “... Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya”. (Surah Ali Imran, ayat 97).

Bagi wanita pula ditambahkan syarat iaitu mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti ditemani mahram.

Bagi seorang wanita menunaikan haji menuntut pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang pengasih dan sensitif dengan perpisahan terutama terhadap anak yang dikasihi. Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Ilahi.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah”. (Hadis riwayat Muslim). Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji. Cita-cita untuk menunaikan haji mestilah dekat di hati kita.

Sering kali kedengaran apabila ditanya ‘bila hendak pergi haji?’ Jawapannya ‘belum sampai seru’, walhal kemampuan sudah ada dan syarat cukup. Bagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan haji, tetapi melengah-lengahkan pelaksanaannya, hadis berikut dapat memberikan peringatan.

“Sesungguhnya seorang hamba yang Aku kurniakan tubuh badan yang sihat, lumayan hidupnya dengan kemewahan, bergelumang dengan kemewahan itu selama lima tahun tanpa mengunjungi rumah-Ku (Kaabah) maka sesungguhnya layak dia Aku haramkan dari memasuki syurga-Ku” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Pada kursus haji, bakal jemaah diingatkan supaya niat memulakan langkah untuk menunaikan haji mestilah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata. Hendaklah dijauhi dan dihapuskan sama sekali perasaan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah serta pergi untuk berseronok atau melancong.

Haji menuntut pengorbanan hati dan keyakinan, harta dan jiwa, ruang masa dan tenaga yang semuanya ditentukan syarat.

Demikianlah kebijaksanaan Allah menyusun bulan yang sungguh cantik turutannya. Haji hanya datang selepas kita membersihkan diri melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan, memohon keampunan daripada-Nya dan memohon semoga diterima segala amal, seterusnya pada Syawal pula, kita bermaafan sesama insan.

Selepas itu, didatangkan satu lagi perjalanan haji yang juga permulaan kenikmatan rohani yang begitu indah kerana terasa begitu dekat dengan Allah.

Hati kita akan disibukkan dengan menyebut dan mengingati Allah daripada mengingati perkara lain dalam kehidupan ini. Perjalanan untuk menjadi tetamu Allah dan pengunjung Arafah demi mengenali diri sendiri yang sudah terlalu banyak berdosa, lalu memohon keampunan Allah di atas setiap dosa yang dilakukan itu.

Tentulah perjalanan ini memerlukan persiapan rapi. Di antaranya:

l Mempelajari selok-belok cara dan bagaimana menunaikan haji yang penuh dengan segala macam permasalahannya.

l Memperbanyakkan taubat untuk menghapuskan dosa terdulu sama ada sebelum berangkat ke tanah suci atau ketika di sana. Hati tentu tersentuh apabila merenung kisah Nabi Adam yang menangis ketika menyatakan kekesalannya dan memohon keampunan Allah selama bertahun-tahun di bumi Arafah. Apatah lagi kita sebagai manusia yang sering melakukan dosa tidak mengira masa dan tempat.

l Memohon kemaafan sesama manusia dan memaafkan orang lain dengan seikhlas hati. Sebelum berangkat ke tanah suci, biarlah sifar dosa kita sesama manusia.

l Menjaga kesihatan untuk kekal sihat dan cergas demi menunaikan ibadat haji kerana ia menuntut banyak kerja fizikal berat.

l Melatih diri dengan sifat terpuji dan cuba sedaya upaya meninggalkan semua sifat keji.

Setiap tahun, berjuta orang menunaikan ibadat itu tetapi berapa ramai yang pulang dengan haji mabrur? Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Di antara umrah ke satu umrah berikutnya adalah penebus dosa di antara kedua-duanya dan haji mabrur ganjarannya tiada lain kecuali syurga.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Haji mardud pula ialah haji yang ditolak lagi merugikan. Ini kerana banyak belanja dihabiskan untuk persediaan haji, tetapi akhirnya hanya merugikan. Minta dijauhkan oleh Allah semua umat Islam di tanah suci makkah terhadap haji mardud.

Hayatilah semua manusia terhadap panggilan “Ya Allah, aku datang menyahut panggilan-Mu”.



l PENULIS adalah seorang perunding latihan dan boleh dihubungi di wadah_wjy2@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home