Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 01, 2003

Isteri boleh main fungsi penting dalam perjalanan

1/1/03
Isteri boleh main fungsi penting dalam perjalanan
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

ISTERI: Abang, ingat tak saat paling manis dalam hidup kita?

SUAMI: Saat mana tu sayang?”

ISTERI: Saat ketika kita dipertemukan pertama kali selepas diijab kabul?

SUAMI: Saat itu abang paling tak terlupakan!”

ISTERI: Sebab?

SUAMI: Sebab berakhirnya satu pencarian yang panjang, abang bertemu dengan
wanita Melayu soleh terakhir dalam impian abang.”

ISTERI: Ala...abang ni. (sambil tangan halus mencubit sayang paha suaminya).

Perbualan suami isteri penuh kasih sayang dan usik mengusik sebegini dalam
satu perjalanan balik kampung yang jauh dan memenatkan sebenarnya boleh
menolong menghindarkan kemalangan jalan raya.

Pada musim cuti, tentu lebuh raya dan jalan utama akan sesak dengan
kenderaan. Sebagaimana kebiasaan juga, kadar kemalangan jalan raya
dan bilangan kematian akan meningkat, sekalipun pihak berkuasa
menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan penguatkuasaan ketat.

Antara penyebab utama kemalangan pada musim perayaan adalah faktor
kecuaian manusia. Amat wajar setiap orang dan keluarga berusaha
mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan dengan membuat
perancangan teliti sebelum sesuatu perjalanan itu dibuat.

Ingatlah bahawa menjaga nyawa adalah termasuk dalam lima matlamat
syariah Islam, selain dari menjaga agama, keturunan, maruah dan harta benda.

Ahli keluarga lain, terutama isteri dan ibu mesti mempunyai
kesedaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai fakta bagaimana
sesuatu kemalangan jalan raya itu boleh dielakkan. Tips cara
pemanduan berhemah dan perancangan perjalanan jarak jauh yang
teliti dapat menolong isteri dan ibu serta ahli keluarga lain,
dalam memastikan suami atau bapa yang sering kali
bertanggungjawab membawa kereta itu berhati-hati dan
berada dalam keadaan paling optimum dan selesa.

Dengan kata lain, isteri boleh bertindak selaku ‘co-pilot’ yang
proaktif membantu memastikan suami segar-bugar, mengesan tanda
keletihan atau mengantuk ketika memandu. Isteri juga boleh
menjadi pemandu gantian sekiranya suami letih dan memerlukan rehat.
Tidaklah seperti kebiasaan, isteri sendiri tidak sabar hendak
melelapkan mata dalam kereta dan membiarkan suami memandu
bersendirian sepanjang perjalanan yang memakan masa berjam-jam lamanya.

Mengikut kajian, keadaan persekitaran mempengaruhi keupayaan seseorang
itu memandu. Suasana malam yang gelap, apatah lagi hujan, biasanya
menghalang seseorang pemandu itu untuk membuat penilaian tepat
sepanjang pemanduannya.

Keadaan semakin bahaya jika pemandu tidak mendapat rehat mencukupi
sebelum memandu.

Pendek kata, seseorang itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya
enam hingga lapan jam tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan yang jauh.
Biasanya pemandu disarankan memulakan perjalanan pada awal pagi
selepas tidur merehatkan diri dari kepenatan hari sebelumnya.

Mengikut sirah, Rasulullah juga sering kali memulakan perjalanan
pada awal pagi selepas cukup berehat. Rancanglah perjalanan seawal
jam 4 atau 5 pagi, selepas anda sekeluarga masuk tidur awal sebelum itu.
Selepas mandi dan bersolat sunat. mulakan perjalanan yang diniatkan
semata-mata untuk mengikat silaturahim dan ukhuwah itu dengan
penuh keikhlasan dan harapan diredai Allah.

Sebaik saja memegang stereng dan menghidupkan enjin, bacalah
dengan nama Allah. Bacalah doa Safar: ”Subhanallazi sakhhara
lana haza wa ma kunna lahu muqrinin wa inna ila rabbina la
mungqalibun”, (Surah az-Zukhruf, ayat 13) bermaksud: “Maha
suci Allah yang menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami
sebelumnya tidak mampu menguasainya”. Perdengarkan bacaan ayat
suci al-Quran melalui perakam kaset kereta dan berhentilah untuk solat
Subuh.

Perjalanan selepas Subuh biasanya begitu menyegarkan apabila kita
dapat menikmati suasana pagi yang nyaman, di samping menikmati
keindahan alam ciptaan Ilahi.

Pemandu dinasihatkan untuk berhenti sebentar selepas memandu
kira-kira 150 kilometer atau selepas dua jam memandu, terutama
jika anda memandu pada siang hari yang panas terik. Kenali
tanda-tanda keletihan ketika memandu seperti kerap kali menguap,
kurangnya penumpuan kepada pemanduan, fikiran melayang dan
mendapati kereta anda menyusur masuk ke lorong sebelah tanpa
disedari. Penumpang yang duduk di sebelah pemandu (sekiranya
dia sendiri tidak tidur) dan anak yang duduk di belakang
haruslah peka terhadap tanda-tanda ini dan nasihatkan
pemandu agar berhenti berehat.

Berikan pemandu sedikit minuman berkafein seperti kopi dan
ajaklah beliau berbual-bual. Berhentilah di hentian sebelah
(sekiranya anda berada di lebuh raya ) atau di tempat teduh
di tepi jalan. Tidurlah sebentar selama 20 hingga 40 minit
selepas pasti tempat anda berhenti itu selamat.

Sekiranya anda mahu meneruskan perjalanan, inilah masanya
untuk penumpang lain mengambil alih tanggungjawab memandu
kenderaan anda. Gunakan cermin mata gelap untuk mengurangkan
keletihan mata ketika memandu di tengah panas terik terutamanya
di lebuh raya. Pastikanlah juga keadaan kenderaan berada dalam
keadaan baik.

Janganlah kerana mahu berjimat , kenderaan anda tidak diservis
dan akibatnya mungkin anda terpaksa membayar harga yang lebih
tinggi sekiranya kenderaan itu rosak di tengah jalan.

Itu belum lagi sekiranya ada kemalangan yang membabitkan maut
dan kecederaan akibat dari masalah teknikal kenderaan anda.
Janganlah hanya mementingkan diri sendiri, banyakkan tolak
ansur dan bersabar ketika memandu.

Pastikan kenderaan anda mudah dilihat oleh pemandu lain,
sebagaimana pentingnya juga untuk anda sentiasa dapat
melihat kenderaan lain dengan baik. Patuhilah peraturan
jalan raya yang sememangnya diadakan untuk keselamatan
semua. Awasilah anak kecil dalam kenderaan anda.

Elakkan memangku bayi kecil anda di riba sekiranya anda
duduk di tempat penumpang bersebelahan dengan pemandu.
Tahukah anda, itulah tempat duduk paling bahaya dan sering
membawa maut dalam kereta, sekiranya berlaku kemalangan?

Gunakanlah tempat duduk khas untuk bayi dan anak-anak kecil.
Mungkin harganya mahal sedikit, namun ia tetap jauh lebih
murah dari harga nyawa seorang anak yang kita kasihi.

PENULIS adalah doktor pakar sakit puan. Sebarang
pertanyaan dan maklum balas sila hubungi e-mel : wadah_wjy2k@y...)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home