Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, November 27, 2002

Mengukur takwa pada bulan Ramadhan

27/11/2002
Mengukur takwa pada sepanjang Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud

TIDAK sampai 10 hari lagi, Ramadan yang penuh rahmah dan barakah ini
akan meninggalkan kita sekali lagi. Pemergiannya disusuli pula dengan
kehadiran Syawal yang bahagia.

Tentu ramai umat Islam, terutama wanita semakin sibuk membuat
persiapan menyambut Aidilfitri.

Kediaman mula berseri dengan hiasan langsir, sarung kusyen dan
gubahan bunga baru.

Pusat beli-belah yang `bermurah hati' menawarkan pelbagai potongan
harga, tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak pernah cukup
dengan keperluan menyambut hari raya.

Stesen televisyen pula riuh dengan promosi pelbagai rancangan
istimewa sempena hari raya.

Demikian selintas gambaran suasana umat Islam pada hari-hari terakhir
Ramadan.

Dalam kesibukan kita bercampur keriangan, sempatkah kita bertanya
tercapaikah objektif puasa kita? Apabila anak-anak kita mengambil
sesuatu peperiksaan, kita berdebar-debar menanti keputusan diumumkan.
Berjayakah dia? Dapat berapa A?

Kini tiba masa untuk kita bertanya diri sendiri, keputusan yang kita
peroleh sama ada A, B, C atau E?

Mungkin ada yang mempersoalkan, mengapa hendak ditanya? Apa kaitan
Ramadan dengan semua itu? Adakah puasa juga satu ujian?

Memang benar. Puasa adalah satu ujian dan latihan.

Allah mewajibkan hamba-Nya berpuasa untuk menguji mereka dalam
pelbagai aspek. Pertama aspek kesabaran. Sabar dalam semua aspek,
termasuk sabar dalam mengerjakan ibadah dan sabar atau menahan diri
dari melakukan maksiat.

Ketika berpuasa mereka wajib mengawal semua anggota daripada
melakukan perkara yang haram.

Tangan tidak boleh mengambil hak orang lain tanpa izin tuannya. Kaki
tidak boleh melangkah ke tempat yang dilarang. Telinga tidak wajar
mendengar perkara yang tidak diharuskan. Mata mesti dijaga daripada
melihat benda maksiat. Dan mulut bukan saja ditegah daripada makan
dan minum, malah mulut juga mesti berhenti daripada bercakap bohong,
mengumpat, mengeji, memfitnah, bertengkar dan sebagainya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Sesiapa yang
tidak meninggalkan kata dusta dan terus mengamalkan sikap suka
berdusta, maka Allah tidak berhajat untuk menerima daripadanya amalan
meninggalkan makan dan minumnya itu.

"Susungguhnya puasa adalah satu benteng. Apabila salah seorang
daripada kamu berpuasa, janganlah dia mencarut dan menista.

"Sekiranya ada seseorang cuba menyerangnya dengan kata-kata atau
perbuatan, maka ucapkanlah "sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya
aku berpuasa."

"Diceritakan pada suatu hari, pada zaman Rasulullah saw, dua wanita
berpuasa.

"Lewat tengah hari mereka sungguh lapar dan dahaga sehingga tidak
berdaya menahannya.

"Mereka menghantar utusan meminta izin daripada Rasulullah saw untuk
berbuka.

"Baginda menghantar kepada mereka mangkuk besar dan menyuruh kedua-
duanya memuntahkan ke dalam mangkuk itu apa yang mereka makan. "Lalu
mereka memuntahkan sebagaimana yang disuruh.

"Keluarlah dari mulut mereka darah bercampur nanah dan daging yang
sangat busuk sehingga penuh mangkuk itu. Keadaan ini menghairankan
orang yang melihatnya.

"Rasulullah saw menjelaskan dengan sabdanya yang bermaksud "Inilah
kamu menahan diri daripada perkara yang Allah halalkan (makan dan
minum), tetapi kamu tidak menahan diri daripada perkara yang Allah
haramkan. Kamu duduk mengadap di antara satu sama lain mengumpat dan
menceritakan keburukan orang lain. Inilah dia daging mereka yang kamu
makan."

Berdasarkan hadis di atas, setiap daripada kita boleh memberikan gred
puasa yang kita jalani sepanjang Ramadan ini.

Jika kita berjaya mendapat gred A maka bersyukurlah kepada Allah dan
sambutlah satu Syawal dengan takbir dan tahmid sebanyak-banyaknya.

Jika tidak, mohonlah keampunan daripada-Nya. Tampungi kekurangannya
dengan memperbanyakkan puasa sunat selepas ini.

Selain ujian, puasa adalah latihan untuk menjadi orang yang bertakwa.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu
puasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-
mudahan (dengan puasa itu) kamu menjadi orang yang bertakwa." –
(Surah al-Baqarah, ayat 183)

Mengapa Allah mahu melatih kita agar menjadi orang bertakwa?

Takwa adalah bekalan untuk kita masuk ke syurga sebagaimana. Firman-
Nya bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan syurga yang
bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang
bertakwa."– (Surah Ali Imran, ayat 133)

Takwa juga prasyarat untuk kita dipilih menerima hidayah daripada al-
Quran. Ini sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Kitab al-Quran ini,
tidak ada padanya sebarang syak, menjadi petunjuk bagi orang yang
bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Dan banyak lagi kelebihan yang Allah sediakan bagi hambanya yang
bertakwa.

Bagaimana hendak mengukur pencapaian sifat takwa sepanjang Ramadan
ini?

Allah menggariskan beberapa ciri yang dimiliki oleh orang yang
bertakwa. Di antaranya: "Mereka mengambil sedikit saja daripada waktu
malam untuk tidur, pada waktu akhir malam pula (sahur) mereka selalu
beristighfar kepada Allah, dan pada harta mereka (ada pula bahagian
yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin dan meminta dan
orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)."– (Surah adz-
Dzariat, ayat 17 hingga 19).

Orang bertakwa juga disifatkan sebagai: "Iaitu orang yang mendermakan
hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan
kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang.

"Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang berbuat perkara baik dan
juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan
dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa,
melainkan Allah - dan mereka yang tidak meneruskan perbuatan keji
yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan
akibatnya)." – (Surah Ali Imran, ayat 134-135)

Ayat di atas menekankan beberapa ciri orang bertakwa. Di antaranya
suka menderma, tidak lekas marah, senang memberi maaf, segera
bertaubat apabila terlanjur melakukan dosa, banyak beribadat pada
waktu malam dan bangun sebelum Subuh untuk memohon ampun .

Ciri itu boleh dikatakan semuanya bertepatan dengan ibadah puasa dan
apa yang dituntut sepanjang Ramadan.

Jadi, jangan biarkan Ramadan berlalu sebelum kita menghisab diri
sejauh mana ciri itu dapat ditingkatkan.

Jika kita berjaya, maka wajarlah kita menyambut 1 Syawal dengan
takbir dan tahmid sebanyak-banyaknya. Jika tidak, maka jangan tunggu
Ramadan satu lagi untuk berlatih. Teruskan usaha mendidik diri
menjadi orang bertakwa agar kita termasuk dalam golongan insan yang
berjaya di sisi Allah.



PENULIS adalah pensyarah di institusi pengajian tinggi awam tempatan
dan boleh dihubungi di wjim@p...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home