Mendidik anak-anak melalui pendekatan kreatif
13/11/2002
Mendidik anak-anak melalui pendekatan kreatif
Oleh Saliza Zainol
SUATU petang pada Ramadan, Amin, 2, mengambil sebotol susu dari peti
sejuk. Tiba-tiba botol itu terlepas dari tangannya, jatuh ke lantai,
botol pecah dan susu tumpah berlambak di lantai.
Bayangkan apakah tindakan kita sebagai seorang ibu yang sedang
berpuasa, letih, penat dan sedang sibuk menyediakan juadah berbuka
puasa? Dapatkah kita mengawal emosi menghadapi anak sekecil ini?
Kejadian itu mengingatkan saya, pada kejayaan seorang ahli sains
perubatan yang mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kajian dunia
perubatan. Apabila dia ditanya mengenai faktor kejayaan dan
kreativitinya dia menjawab:
"Ia bermula daripada pengalaman bersama ibu ketika berumur dua tahun.
Saya hendak mengambil sebotol susu dari peti sejuk, tiba-tiba botol
itu terlepas dari tangan, lalu jatuh, pecah dan susu tumpah di
lantai."
Ibunya tidak menjerit, marah dan menghukumnya.
Ibunya berkata: "Robert, mama tidak pernah lihat kolam susu yang
begitu cantik di dapur ini. Susu sudah tumpah, kita tidak boleh buat
apa-apa, adakah awak hendak main dulu untuk beberapa minit kemudian
kita bersihkan dapur ini?
Dia gembira dan terus bermain dalam lambakan susu itu. Ibunya
kemudian berkata: "Robert, lain kali jika kita tumpahkan susu begini,
kita kena bersih dan mengemaskan mana-mana yang bersepah."
Ibunya berkata lagi: "Robert, ini kita namakan satu ujikaji yang
gagal bagaimana hendak membawa sebotol besar susu menggunakan dua
tangan yang kecil. Mari kita ke laman dan isikan air ke dalam botol
besar, kita akan lihat bagaimana membawa botol besar tanpa
menjatuhkannya."
Mendengar ia satu permainan dan ujikaji, Robert seronok! Pada saat
itu dia merasakan bahawa dirinya tidak perlu takut melakukan
kesalahan, sebaliknya ia adalah peluang mempelajari sesuatu yang baru.
Demikian juga dengan ujikaji sains. Jika ujikaji itu tidak berjaya
pun, kita selalunya mendapat sesuatu yang baru.
Alangkah bagusnya jika semua ibu bapa memberikan tindak balas seperti
ibu Robert lakukannya kepadanya?
Anak-anak adalah anugerah Allah yang amat berharga. Oleh itu, menjadi
tanggungjawab kita mendidik anak dengan acuan yang terbaik selari
dengan syariat Allah.
Sebab itu, Saidina Ali dan Imam Al-Ghazali menganggap bahawa ibu bapa
adalah sekolah pertama bagi anak.
Oleh itu, ibu bapa yang menjadi sekolah pertama untuk anak perlu
membuat persiapan dari segi fizikal, intelektual, emosi dan rohani.
Hasilnya, mereka dapat mendidik anak sihat, kreatif dan seimbang dari
keempat-empat aspek itu.
Ibu yang tidak sihat, cerdik dan tidak berilmu, tidak mungkin dapat
memberi perhatian dan tunjuk ajar sepenuhnya kepada anak, apatah lagi
bagi kanak-kanak yang sememangnya amat bergantung kepada seorang ibu.
Seterusnya, ibu atau bapa yang mengalami tekanan emosi tinggi, tentu
akan menyebabkan tekanan kepada anak.
Tekanan emosi yang berpunca dari tekanan di tempat kerja, kerja
rumah, hubungan kurang baik di antara pasangan akan menjadikan ibu
atau bapa gagal mengawal emosi di hadapan anak. Mereka seterusnya
akan menyelesaikan masalah anak yang meragam dengan tindakan yang
tidak wajar seperti memarahi dan memukul anak.
Tindakan sebegini jika berterusan akan menyebabkan kecelaruan mental
kepada kanak-kanak sepanjang proses pembesaran mereka.
Islam menggariskan beberapa kaedah untuk kesejahteraan jasmani anak.
Pertamanya, Islam mewajibkan bapa memberikan nafkah kepada anak dari
sumber halal dan baik. Oleh itu, bapa mesti memastikan pekerjaan yang
dilakukan adalah halal serta dilakukan dengan bersih dan amanah.
Bapa yang mencari rezeki juga mesti menjauhi pekerjaan syubahat atau
ada unsur keraguan, penipuan dan penyelewengan. Hasil daripada rezeki
halal akan menumbuhkan jasad anak yang mudah dibentuk dan dididik.
Kewajipan kedua ialah menjaga kesihatan anak dengan memberikan
makanan berkhasiat dan mengubati penyakit mereka.
Ketiga, ibu bapa wajib mendidik anak menjauhi perkara yang boleh
membawa kepada kemudaratan atau penyakit dengan mengetahui cara
menjaga kebersihan, memilih makanan dan persekitaran sihat.
Ibu bapa juga berkewajipan menggalakkan anak bersukan atau riadah
untuk kesihatan badan.
Dalam memberikan pendidikan mental, ibu bapa hendaklah memberikan
pendidikan seimbang sejak kecil lagi. Ilmu fardu ain dan kifayah
hendaklah diberikan sejak anak berusia lima atau enam tahun.
Kenalkan juga anak dengan kehebatan perjuangan Rasulullah saw,
tamadun Islam dan kehebatan tokoh Islam, agar mereka tidak memandang
Islam sebagai agama yang sempit. Malah mereka patut tahu bahawa Islam
adalah cara hidup yang sebenar dan terbaik.
Sekiranya mereka memiliki keimanan mantap dan mengetahui perancangan
musuh Islam, insya-Allah mereka akan terselamat daripada gejala
sosial dan keruntuhan akhlak. Apatah lagi keruntuhan aqidah.
Di samping itu, untuk menjana kehebatan minda anak-anak mesti diajar
mencintai Rasulullah saw dan al-Quran. Kecintaan kepada rasul dan al-
Quran akan menjadikan seseorang mencintai ilmu. Ini kerana al-Quran
adalah sumber segala ilmu dan Rasulullah saw adalah pengasas kepada
tamadun ilmu sebenar.
Penulis adalah seorang pendidik. Sebarang pertanyaan sila hubungi
wjim@p...
1 Comments:
Cek harga GadgeT
By SONIC Speed, at 10:11 AM
Post a Comment
<< Home