Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, September 04, 2002

Memahami erti kemerdekaan sebenar


4/9/2002
Memahami erti kemerdekaan sebenar
Dr Suriya Osman

MELIHAT anak muda mengayuh basikal yang diikat dengan Jalur Gemilang,
membuat seorang tua tersenyum. Pak cik yang minum di kedai kopi
berkata, "Dulu kami tidak macam ini. Mana ada masa hendak beraksi
begini? Sekarang hidup senang!, Saya juga melihat aksi anak muda ini,
hari ini basikal, esok akan bermotosikal pula.

Terkenang kepada ipar saya yang keretanya remuk dilanggar seorang
anak muda yang sedang menguji motor tanpa lesen. Motosikal itu diubah
suai supaya berbunyi kuat dan mempunyai lebih kuasa! Anak muda yang
masih berpakaian sekolah hanya cedera sedikit pada kaki. Untung
sekali nyawanya tidak melayang sebab pemandu sempat membrek keretanya!

Apabila dibawa ke balai polis, saya memberikan `kuliah pendek' sambil
merenung anak muda berumur 16 tahun yang menggigil ketakutan dengan
ucapan saya tadi.

Ini rupanya konsep merdeka anak muda ini. Membawa motornya dengan
laju tanpa lesen. Mungkin dia sedang berlatih untuk membuat konvoi
motor pada 31 Ogos.

Ya! 31 Ogos tarikhnya bekas pekerja saya kehilangan anak remajanya
yang menemui ajal dalam satu kemalangan ketika menyertai konvoi motor
remaja yang terlalu riang menyambut kemerdekaan dengan cara mereka
sendiri.

Kebebasan tanpa batas menjejaskan kebebasan individu lain dan boleh
merosakkan diri sendiri. Namun demikian kita perlu lihat merdeka ini
dalam konteks hak dan tanggungjawab

Renungan ini menembusi jiwa saya dan membawa saya berfikir kembali
apakah sebenarnya erti `Merdeka'.

Semua orang tahu ia bermakna kebebasan. Tetapi apakah dia kebebasan.
Bolehkah kita menuntut kebebasan tanpa batasan atau kebebasan juga
mempunyai batasan? Adakah kebebasan segala-galanya atau lebih
berharga daripada kebebasan?.

Kebebasan mutlak adalah kebebasan manusia daripada diperhambakan oleh
manusia/makhluk lain. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah
Al Zaariyaat, ayat 56-58: "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka menyembahku. Aku tidak sekali kali
menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan aku tidak menghendaki
supaya mereka memberi aku makan, sesunguhnya Allahlah yang maha
pemberi rezki yang mempunyai kekuatan dan sangat kukuh".

Rousseou, pernah mengatakan "Man is born free but everywhere he found
is chains" yang membawa maksud manusia itu dilahirkan merdeka, tetapi
merata rata manusia dijumpai terbelenggu!. Kenyataannya manusia hari
ini terbelenggu oleh nafsu mereka dan pengaruh kebendaan melampau.

Manusia tunduk kepada kekuasaan manusia lain, manusia terbelenggu
dengan adat resam yang merosakkan, manusia terbelenggu dengan
pemikiran yang mengongkong dan menzalimi diri mereka sendiri. Manusia
ini masih boleh memilih untuk terbelenggu atau merdeka. Pemilihan ini
melibatkan `pemerkasaan' diri, jati diri dan maruah, memerlukan
pengorbanan dan kekuatan jasad, mental dan rohani.

Kekuatan ini hanya akan dapat digarap jika manusia dapat membebaskan
diri daripada sikap `mengharapkan orang lain' selain Allah. Sebaik
saja dia bertekad untuk mengharapkan Allah semata-mata, satu kekuatan
tersendiri akan tercerna dalam diri mereka. Keputusan `untuk memilih'
yang dibuat adalah daripada suara hati nuraninya yang bersih dan
tidak tercemar oleh tarikan duniawi.

Terkenang juga kepada seorang pesakit saya (seorang Pengurus
Syarikat) yang menyinga marah apabila saya menolak permintaannya
untuk memasukkan bil rawatan anak saudaranya sebagai pesakit dalam
bil panel syarikatnyanya. "Maaf, encik, ini amanah, saya hanya boleh
merawat encik dan anak isteri encik." Sambil mendengus dengan suara
bengis dia membentak. "Saya Pengurus Syarikat dan ini akaun saya,
doktor patut ikut saja arahan saya".

Saya menjawab lembut: "Tidak mengapalah encik, bil rawatan anak
saudara encik ini dikira percuma sebagai ehsan klinik saya". Pengurus
itu terdiam, termalu seketika. Sebulan kemudian klinik saya menerima
surat penamatan kontrak klinik panel dengan syarikatnya yang
mempunyai cawangan di seluruh Malaysia. Walhal beliau hanyalah
pengurus di bandar kecil di mana terletaknya klinik saya.

Jelas dia menuntut kebebasannya untuk berbuat sesuka hati dengan
kemudahan yang sudah disediakan, namun saya terikat dengan amanah dan
kejujuran, demi setiap lafaz ketika sembahyang, "Inna solati wanusuki
wamahyaya wamati." Sesungguhnya sembahyang ku, hidupku dan matiku
adalah untuk Allah.

Saya boleh memilih dan mengambil jalan mudah lagi dan menguntungkan,
Ikut saja arahannya, klinik saya akan mendapat wang untung yang
lebih. Saya ingin merdeka untuk memilih jalan yang lurus dan mengelak
daripada jalan bengkok.

Saya mengunjungi pejabat bangunan Tabung Haji untuk membuat sedikit
pengeluaran. Gilang gemilang pejabat yang dihias untuk menyambut Hari
Kemerdekaan.

Tabung Haji suatu kejayaan kita! Sayang, pegawai yang melayani saya
nampak muram dan bengkeng. Belum makan barang kali. Itulah nasib saya
yang hanya ada masa waktu makan tengah hari!.

Saya mempersoalkan mengenai keuntungan dividennya yang agak rendah
dari tahun sebelumnya. Terlompat perkataan dari mulutnya. "Itu bukan
urusan saya, saya tak tahu menahu mengenainya". Mengapa begitu
sedikit sekali! Apa sebabnya? Boleh jadi, ada juga pelaburan yang
tidak bijak.

"Kasihan kamu banyak dimarahi pelanggan mengenai perkara ini," kata
saya. "Ya," jawabnya. Saya tersenyum. "Tetapi itu bukan salah kamu,"
kata saya lagi.

"Itu kata Puan, tetapi kami yang menjaga kaunter ini yang terpaksa
menghadapi kemarahan penyimpan," balasnya.

Saya berkata, "Punyalah banyak tahun mendapat pulangan lumayan, ini
baru sekali dapat pulangan sedikit, patut bersyukur."

Terukir sebuah senyuman pada bibir pegawai itu. "Kalaulah mereka
fikir macam Puan. Itu tengok rakan sekerja saya, sering pergi bilik
belakang dan menangis sebab dimarahi pelanggan". Saya cuma dapat
geleng kepala... "Merdeka dan bebas..."

Inilah yang diperkatakan oleh Ibni Arabi... "setiap harta kamu adalah
tuan kamu dan kamu adalah hamba kepada harta kamu." Aduh, rupa-
rupanya saya masih hamba! Belum lagi saya merdeka...


l PENULIS adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi di
wjim@pd.jaring.my

0 Comments:

Post a Comment

<< Home