Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 24, 2002

Tiga kaedah menghindari penyakit

24/7/2002
Tiga kaedah menghindari penyakit
Rosliya Abbas

SETIAP hari kita mendengar perbincangan mengenai ubat, sakit dan penyakit. Ubat dibincangkan dalam skop penggunaan yang pelbagai. Fenomena ini adalah lumrah dan bertepatan dengan satu hadis Rasulullah saw. Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad saw bersabda: "Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit kecuali menurunkan juga ubatnya." Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan makna yang sama. Secara umumnya penyakit boleh dielakkan dengan tiga cara. Pertama dengan penjagaan kesihatan dan mengamalkan cara hidup sihat. Kita perlu mengambil makanan seimbang untuk keperluan tenaga badan secukupnya saja. Kedua, menjauhi dan melindungi diri daripada sesuatu yang menyakiti/memudaratkan tubuh badan seperti merokok, menghidu asap rokok, persekitaran tidak sihat, tidur dan rehat tidak cukup. Ketiga adalah membuang zat yang merosakkan. Ia boleh dicapai dengan senaman mencukupi setiap minggu dan pengambilan makanan tertentu yang boleh membantu pengeluaran toksin. Ubat memang dikaitkan dengan kesakitan dan penyakit. Penyakit boleh datang secara mendadak dan akan pergi secara perlahan-lahan pada jasmani. Ia akan kembali normal dengan mengubati dan merawatnya. Bagaimana sesuatu ubat itu diketahui boleh mengubati sesuatu penyakit? Tentunya melalui pemerhatian kesan dan pengalaman mereka yang terdahulu terhadap punca dan tanda yang ditunjukkan daripada percubaan menggunakannya. Usaha ini diteruskan oleh pakar dan penyelidik bagi mengetahui bahan kimia apakah sebenarnya yang membantu dalam sesuatu penyembuhan. Hasilnya adalah kemudahan pelbagai ubatan dalam pelbagai bentuk dan cara pengambilannya, walaupun merujuk kepada sesuatu penyakit atau kesakitan yang sama. Contohnya ubat Paracetamol ada dalam bentuk tablet, sirap dan `suppositori'. Hingga kini kegiatan penyelidikan ini masih berterusan. Sebagai pengguna ubatan, mahupun pengurus ubat-ubatan keluarga, kita perlu mengambil tahu beberapa perkara berkaitan penyakit dan ubat yang dipreskripsikan. Semua ubatan yang ada dijual di negara ini mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Secara kasar ubatan akan dikelaskan kepada dua kelas utama iaitu kelas racun dan bukan racun. Kita boleh mengenali nombor pendaftaran ini dengan kod yang dimulai dengan MAL atau PBKD sebagai cont. MAL19911139X. Huruf X pada hujung menandakan ubat itu dalam kelas utama `BUKAN RACUN'. Sediaan bukan racun mempunyai rekod julat keselamatan yang luas. Oleh itu ia boleh dijual oleh sesiapa tanpa memerlukan Lesen Racun A dari kerajaan. Contoh ubatan ini adalah seperti Paracetamol 500mg Tablet yang boleh dibeli di kedai kopi hingga ke farmasi. Sebaliknya sediaan ubat yang mempunyai kod berakhir dengan huruf A, adalah ubatan yang tergolong dalam kumpulan besar kelas `RACUN'. Kita boleh mengetahuinya dengan melihat label yang ada pada kotak atau bungkusan ubatan itu. Kita boleh juga menyemak kesahihan pendaftaran sediaan ini pada lawan web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di alamat www.bpfk.gov.my. Selain perkataan RACUN, label itu juga mengandungi nama dan alamat pengimport dan pengedarnya di negara ini. Pastikan label ini ada pada ubatan anda bersama dengan maklumat penting seperti tarikh pembuatan, rujukan pembuatan dan tarikh lupus iaitu tarikh akhir ubatan itu dijamin memberi kesan optimum setiap kali kita membeli atau menerima ubatan Sediaan dalam kelas RACUN pula dibahagi kepada beberapa sub kelas lagi. Dua sub kelas yang besar adalah sub kelas B dan sub kelas C. Sediaan dalam kelas ini hanya boleh digunakan untuk penyakit dan keadaan pesakit tertentu dalam pelan rawatan dalam jangkamasa tertentu. Oleh itu sediaan ubat kelas ini hanya boleh didapati di farmasi, klinik dan hospital. Sub kelas B hanya boleh diperoleh dengan preskripsi doktor dan dibeli dari klinik, hospital dan farmasi. Sub kelas C boleh di beli di farmasi tanpa preskripsi dengan kehadiran Ahli Farmasi Berdaftar. Penjualan dan pembelian semua sediaan ini mesti mengikut peraturan dan direkodkan seperti yang ditetapkan dalam Akta Racun 1952. Oleh itu, sebagai pengguna kita seharusnya memberi kerjasama kepada pihak klinik, hospital dan farmasi memenuhi keperluan akta bagi membolehkan sediaan itu dibekalkan kepada yang memerlukan. Pengambilan atau penggunaan sediaan ubatan akan memberi beberapa kesan kepada pengguna. Ini kerana manusia mempunyai sistem badan kompleks dan saling berhubungan antara satu sama lain. Oleh itu pengambilan dan penggunaan ubatan dari kelas Racun atau Bukan Racun sama ada untuk penjagaan kesihatan atau perawatan semestinya mendapat preskripsi dari doktor atau nasihat ahli farmasi. Berhubung perkara ini, Islam amat menjaga kebajikan dan keselamatan umatnya dengan panduan daripada al-Quran. Firman-Nya bermaksud : "Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."- (Surah al-Nahl, ayat 43). Perawatan dan penjagaan kesihatan bagi setiap orang adalah berbeza kerana faktor fizikal dan keperluan berbeza. Perkembangan industri farmaseutikal berkembang dengan pesatnya membolehkan kita mempunyai pelbagai pilihan ubatan yang lebih menjurus kepada keperluan seseorang pengguna. Oleh itu pengguna dilarang berkongsi ubatan dengan orang lain tanpa mendapat nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu. Sediaan ubatan ini mempunyai waktu mula bertindak balas dan berakhirnya kesan kepada tubuh badan. Pengguna perlu membaca label arahan pengambilan atau penggunaan ubatan dengan teliti. Pastikan nama pengguna dan ubat adalah sama dengan apa yang diterangkan ketika mendapat preskripsi daripada doktor atau nasihat ahli farmasi. Penggunaan dan pengambilan mesti mengikuti dos dan arahan pengambilan atau penggunaan ubatan itu. Sebarang kecuaian akan mengganggu tindak balas ubatan dalam badan dan ini akan mengganggu kesan yang ingin diperoleh. Kecuaian akan merugikan pengguna dari segi kesihatan, masa dan wang ringgit. Bidang farmaseutikal di negara ini juga pesat berkembang dan kita mempunyai banyak kilang ubat. Oleh itu, kita boleh mendapati satu sedia-an ubatan yang diimport dari pengeluar yang memegang hak milik jenama asal, mempunyai beberapa jenama tempatan. Keberkesanan dan mutu ubatan jenama tempatan tidak perlu diragui, selagi mana didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Biro itu dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan dan status halal bahan yang digunakan dalam sediaan itu. Sebagaimana yang kita maklum ubatan tempatan ini lebih murah berbanding diimport. Hubungan baik dan maklum balas semua yang terbabit dalam penjagaan dan perawatan amat disyukuri. Pengguna seharusnya mengambil peluang daripada kemudahan maklumat media cetak dan elektronik untuk meningkatkan pengetahuan. Usaha menambah ilmu dan membaiki diri dari segi kesihatan seiring dengan hadis yang dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Orang mukmin yang kuat itu lebih disukai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah." Semoga usaha mendapat tahap kesihatan yang diinginkan dengan meningkatkan ilmu dan mengamalkannya akan diberkati dan dipermudahkan Allah. * Penulis adalah ahli farmasi .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home