Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 03, 2002

Kalimah zikrullah penenang jiwa

3/7/2002
Kalimah Zikrullah penenang Jiwa
Siti Marhamah Abdul Wahid

MANUSIA perlu bekerja untuk hidup. Kenapa mesti bekerja? Bekerja untuk
mendapat upah atau ganjaran. Upah inilah yang digunakan untuk memenuhi
keperluan hidup.
Semakin banyak keperluan yang dapat dipenuhi, selalunya semakin selesa,
maka bahagialah hidup.
Apatah lagi jika upah yang diperoleh itu daripada kerja dan usaha halal.
Semakin tinggi upah atau ganjaran didapati selalunya menggambarkan
tingginya hasil kerja yang dilakukan.
Oleh itu, manusia selalu berlumba-lumba, sanggup bersaing dan
menggunakan pelbagai perancangan dan strategi, sanggup berkorban masa dan
umur yang banyak untuk meningkatkan mutu kerja supaya boleh mendapat upah
atau ganjaran lebih baik dan banyak.
Inilah gambaran biasa dalam dunia kerjaya manusia yang menjadi ragam
kehidupan.
Alangkah indahnya sekiranya manusia yang meyakini kehidupan kekal pada
akhirat serta tempat pembalasan, kembali yang pasti dan bertemu dengan
Yang Maha Pencipta menjadikan kehidupannya penuh dengan perancangan
strategi.
Mereka membuat persaingan untuk meningkatkan amal bersepadu tanpa
pengasingan dalam semua bidang kehidupan, selaras dan seimbang antara
keperluan kehidupan dunia dan bekalan menuju alam kekal abadi.
Marilah kita berfikir sejenak, manusia apabila ingin memenuhi keperluan
hidup di dunia ini sanggup berkorban jiwa raga.
Mereka sanggup meredah hutan rimba serta melangkah onak dan duri, tetapi
kenapa tidak sedemikian pengorbanan untuk persediaan ke akhirat. Pepatah
Melayu ada mengatakan "Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dulu, Bersenang-senang kemudian".
Dalam mencari kesenangan di dunia pun pastinya didului dengan kesediaan
menanggung kesakitan dan susah payah.
Ia boleh diterima sebagai logik akal dan dianggap sebagai penerimaan
sebab serta diterima sebagai hipotesis umum.
Apakah mungkin kita bercita-cita mendapatkan kesenangan pada alam baqa
yang ganjarannya kesenangan syurga yang tiada bandingannya, tanpa usaha
dan susah payah juga? Atau usaha yang menuju keredaan.
Salah satu amalan mudah yang tidak memerlukan tenaga dan masa yang
banyak untuk melakukannya tetapi cukup besar ganjaran pahala di sisi Allah
ialah menyebut kalimah zikrullah
Amalan ini sekalipun diketahui, tetapi sering dilupakan kecuali oleh
orang yang benar-benar beriman. Dalam satu hadis, Rasulullah saw ditanya
oleh sahabat Baginda yang miskin berkaitan keinginan mereka mendapat
pahala besar di sisi Allah. Baginda bersabda yang maksudnya:
"Bukankah Allah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah?
Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu
sedekah, tiap-tiap tahlil itu sedekah, menyuruh yang makruf (kebaikan) itu
sedekah, melarang suatu yang mungkar (kejahatan) itu sedekah. - (Riwayat
Muslim dari Abi Zar sumber rujukan hadis ke-25, 40 An-Nawawi).
Alangkah besarnya pahala yang disediakan bagi mereka yang menjadikan ia
sebagai zikir ketika saja terluang masanya. Bahkan, alangkah bahagianya
mereka yang boleh menjadikannya sebagai pembasah bibir dan menjadikannya
sebutan kebiasaan ketika diam.
Tiga kalimah zikir ini juga menjadi penenang jiwa kepada sahabat
Rasulullah saw, iaitu golongan miskin yang mencemburui kelebihan sahabat
yang berharta lagi dermawan ditambah pula dengan kemuliaan ilmu dan
kedudukannya di sisi Rasulullah saw.
Dengan membiasakan berzikir dengan tiga kalimah ini, mereka juga mampu
mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah, sekalipun mereka tidak
mampu membuat kebajikan dengan harta benda lantaran kefakiran mereka.
Kisah inilah juga menjadi `asbab wurud al-hadis' (sebab datang hadis
yang dinyatakan di atas).
Begitu juga ketika Fatimah AzZahra' puteri Rasulullah saw yang
dikasihinya berulang kali memohon kepada ayahadanya agar diberikan
kepadanya seorang pembantu rumah yang boleh membantunya menguruskan kerja
rumah tangganya. Diceritakan tangan Fatimah berkematu dan pecah-pecah
kerana menguli gandum, begitu juga belakangnya kerana memikul air,
sedangkan suaminya Saidina Ali Karamallu Wajhah (bakal Ketua Pemuda
Syurga) lantaran kemiskinannya tidak mampu menyediakan jariah untuk
isterinya.
Permohonan puteri Rasulullah saw tidak dijawab, bahkan Baginda hanya
mewasiatkan kepada Fatimah agar membiasakan dengan ketiga-tiga zikir ini.
Selepas mengamalkannya, Fatimah merasakan ketenangan dan hilang
kepenatannya.
Sekalipun zikrullah ini kelihatan menyebutnya mudah tetapi ia hanya
mampu diamalkan oleh mereka yang jiwanya hampir dengan Allah.
Semakin menyebutnya semakin hampir dirinya dengan Penciptanya. Benarlah
firman Allah bermaksud: "Orang beriman dan hati mereka tenteram kerana
mengingati Allah, Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram." (Surah ar-Raad, ayat 28)

1 Comments:

Post a Comment

<< Home