Keimanan yang mendalam Bantu wanita hidup yakin dan bebas
19/6/2002
Keimanan yang mendalam Bantu wanita hidup yakin dan bebas
Dr. Harlina Halizah Hj Siraj
Laporan mengenai kematian seorang wanita Singapura yang dikaitkan dengan penggunaan pil pelangsing baru-baru ini mendapat liputan meluas media umum. Terdapat juga laporan mengenai wanita-wanita lain yang menderita kegagalan fungsi organ-organ penting seperti hati dan ginjal akibat dari pengambilan pil pelangsing ini. Sebagaimana yang dijangkakan, reaksi umum lebih menjurus kepada persoalan mengapa dan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Umum mahu tahu mengapakah produk-produk yang boleh membahayakan kesihatan dan nyawa itu dapat menembusi pasaran tanpa kawalselia yang ketat. Tidak menghairankan sekiranya tindakan undang-undang diambil oleh pesakit dan keluarga mereka terhadap pengeluar produk tersebut. Sekalipun terdapat amaran dan nasihat yang jelas meminta sesiapa sahaja yang ingin menggunakan sebarang produk untuk menguruskan berat badan haruslah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dari doktor perubatan, tidak ramai yang berbuat demikian. Apa yang lebih membimbangkan, tanpa ilmu pengetahuan asas tentang fisiologi tubuh badan manusia, pemakanan dan kesihatan, amatlah mudah orangramai mempercayai bulat-bulat semua `testimonial’ atau dakwaan kejayaan yang dibuat oleh pengeluar produk-produk tersebut.
Persoalan pokok dalam isu ini adalah bagaimana dan kenapa orangramai terutamanya wanita sanggup menggunakan segala cara yang ada dan membelanjakan wang yang banyak untuk mengatasi masalah berat badan mereka. Adakah usaha ini terbit dari kesedaran yang mendalam untuk memastikan kesihatan tubuh badan mereka terjamin atau semata-mata satu jalan pintas ( short cut ) untuk mendapatkan bentuk badan menarik yang menjadi kegilaan dan obsesi para wanita dan remaja hari ini? Golongan yang sememangnya peka dan prihatin tentang kesihatan diri dan cenderung kepada gaya hidup sihat lazimnya menggunakan kaedah betul yang disyorkan oleh para doktor dan pakar pemakanan. Dengan kata lain, mereka ini mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pemakanan dan jumlah kalori yang diambil sehari, tahap kecergasan yang dipupuk melalui aktiviti senaman yang konsisten dan sentiasa peka terhadap perkembangan sains dan teknologi yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan. Namun terdapat pula kelompok wanita yang mahukan hasil yang segera dan pantas serta tidak sabar untuk memiliki bentuk badan yang langsing dan menarik. Mereka inilah yang sering tertipu dan mudah percaya akan keajaiban atau `miracle’ yang digembar-gemburkan di dalam media. Akibatnya, mereka mungkin akan menghadapi komplikasi kesihatan yang boleh membawa maut ataupun menjadi kecewa dan semakin rendah diri jika hasil yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
Tanpa disedari oleh kebanyakan dari kita, sebenarnya wanita pada hari ini disogokkan dengan satu keyakinan dan kepercayaan bahawa untuk menjadi wanita yang berdayasaing dalam alaf baru ini, mereka mestilah mempunyai penonjolan fizikal dan perawakan menarik lagi anggun. Wanita hari ini dinilai lebih melalui ketrampilan bergaya tubuh badan yang langsing, kulit muka yang putih melepak serta keupayaan menjadi daya tarikan lelaki terutamanya. Dalam media cetak dan elektronik serta di alam siber , imej dan citra sebeginilah yang ditonjolkan sebagai `trend’ dan sesuatu yang tidak dapat tidak mesti ada pada wanita hari ini. Wanita-wanita yang tidak memenuhi kriteria-kriteria ini sering digambarkan sebagai tidak berjaya dalam hidup dan kerjaya serta mengharungi kehidupan yang membosankan tanpa teman istimewa. Momokan ini berjaya menguasai pemikiran wanita moden hari ini, mengakibatkan wanita sanggup mencuba segala kaedah yang ada dan membelanjakan wang yang banyak untuk kelihatan cantik dan menarik. Menurut statistik, wanita sedunia membelanjakan lebih 33 billion USD setahun untuk produk diet atau menguruskan berat badan, 20 billion USD untuk bahan kosmetik dan 300 juta USD untuk pembedahan kosmetik. Tentu sekali perniagaan yang berkaitan dengan produk diet, kecantikan , kosmetik dan fesyen wanita menjanjikan pulangan yang begitu lumayan bagi para peniaga yang menceburkan diri dalam bidang ini. Nyatalah, ada pihak yang menangguk di air keroh, mengambil kesempatan di atas rasa bersalahnya kaum wanita apabila mereka merasa sedikit tidak ramping, kulit sudah sedikit berkedut dan tidak lagi kelihatan cantik serta menarik.
Wanita harus mampu membebaskan diri dari tekanan yang begitu mencengkam ini. Konsep dan filosofi `kecantikan’ serta `keanggunan’ yang dipelopori Barat ini sebenarnya menghakis keyakinan dan merosakkan wanita secara moral, psikologi dan spiritual.Kita harus mampu menonjolkan keupayaan sebenar yang mencerminkan citra yang cemerlang dalam memainkan peranan kita selaku anggota masyarakat yang berjaya. Janganlah sampai segala tumpuan daya dan kewangan dijuruskan kepada obsesi untuk mendapatkan `kecantikan’ ini hinggakan terabai usaha mempertingkatkan ilmu dan kemahiran berfikiran yang kritis dan konstruktif. Sesungguhnya isu ini bukanlah isu yang kecil. Ia sebenarnya menyentuh tentang satu bentuk kebebasan yang asasi : kebebasan untuk mencorakkan masa hadapan sendiri dan peluang untuk berbangga dengan kehidupan yang dijalani, tanpa perlu dikongkong oleh satu aliran pemikiran yang penuh kepura-puraan.
Dalam hal ini, Islam memberikan jawapan kepada mereka yang masih tercari-cari identiti dan citra diri mereka sendiri. Dengan memberikan penekanan kepada keseimbangan perkembangan fizikal dan rohaniah dalam manifestasi iman, seorang wanita Islam mampu menjalani kehidupan penuh yakin dan bebas. Keimanan yang mendalam akan dapat melahirkan individu yang yakin terhadap dirinya sendiri dan mampu menerokai segala potensi yang dianugerahkan Allah SWT.Penilaian dan analisanya tidaklah hanya berligar dangkal di sekitar dunia yang sempit , malah mampu menerjah jauh dan menghasilkan buah fikiran yang bernas untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang. Jennifer Calvo, seorang wanita Amerika yang memeluk Islam dua tahun lepas telah menyatakan,` Islam memberikan sesuatu yang hilang dalam hidup saya selama ini. Sebelum ini, saya sering murung apabila terpaksa menyesuaikan diri dalam budaya gila yang menentukan bentuk imej wanita tentang bagaimana kami harus kelihatan menarik dari gaya rambut,solekan dan pakaian. Hidup saya sentiasa terasa kosong. Sekarang, semuanya lebih mudah. Saya hanya perlu mematuhi perintah Allah dan menyesuaikan diri dengan pengabdian saya kepada-Nya. Buat sekelian kalinya, saya rasa cukup aman dan merdeka.( rujuk National Geographic keluaran Januari 2002 dalam artikel ` In Focus : The World of Islam’ - mukasurat 85 ) .
Bagi mereka yang berazam untuk mengurangkan berat badan terutamanya jika mereka tergolong dalam kelompok yang mengalami masalah berlebihan berat badan, berikut adalah beberapa saranan yang wajar dipertimbangkan :
· Niatkan usaha anda untuk Allah. Dengan mengurangkan berat badan, anda akan mendapatkan tahap kesihatan optimum dan seterusnya dapat menjalankan ibadah dengan baik. InsyaAllah, niat murni itu pastinya akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.
· Dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui apakah sebab utama anda mempunyai berat badan yang berlebihan. Sebaiknya, jalani pemeriksaan menyeluruh untuk mengetahui tahap kesihatan anda sekarang sebelum menjalani sebarang program khusus.
· Ikuti program khusus untuk menguruskan badan – selain pemakanan, amalan senaman yang sesuai juga penting.
· Lakukan riadah berkumpulan atau bersama-sama pasangan anda. InsyaAllah, motivasi yang tinggi akan dapat dikongsi bersama dan anda akan lebih istiqamah dalam mengikuti program.
· Jangan tergesa-gesa atau mahukan hasil yang segera. Anda sebenarnya perlu mengubah banyak lagi aspek kehidupan seperti sikap, cara hidup dan amalan negatif yang sudah sebati dengan gaya hidup anda.
Semoga anda dapat mempertingkatkan amal dan usaha mencari keredhaan Allah SWT.
Penulis adalah merupakan seorang doktor pakar sakit puan dan boleh dihubungi di emel , wjim@pd.jaring.my
0 Comments:
Post a Comment
<< Home