Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 17, 2002

Enam agenda martabatkan wanita Islam

17/4/2002
Enam agenda martabatkan wanita Islam
( Harlina Halizah bt Hj Siraj)

Perjuangan memartabatkan status wanita sebenarnya bukanlah dipelopori oleh kelompok wanita yang menggelarkan diri mereka feminis. Kemunculan pendokong-pendokong idealisme feminisme di barat pada awal kurun ke-19 adalah di dorong dari sifat kekecewaan terhadap sistem hidup masyarakat pada masa itu yang jelas menindas dan menyisihkan kaum wanita dan memperlakukan mereka selaku warga kelas dua.

Pada hakikatnya, pemartaban status wanita telah dipelopori oleh Rasulullah (SAW) lebih kurang 1500 tahun yang lalu. Dengan tersebarnya ajaran suci Islam yang mengingatkan manusia akan tanggungjawab ‘khalifah’ di atas muka bumi, konsep ‘istikhlaf al-insani’ atau memartabatkan manusia sebagai khalifah menjadi tunjang utama dalam mendasari sumbangan setiap manusia yang bergelar wanita dan lelaki. Tergolongnya lelaki dan wanita dalam konsep istikhlaf ini ditunjukkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an Al-Karim, surah An-Nahl, ayat 97, mafhumnya:

‘Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, samada lelaki atau wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan’

Jelas di sini bahawa status wanita di dalam Islam telah dimartabatkan oleh Al-Quran. Pengiktirafan ini termaktub sebagai dokumentasi kekal dan rekod yang sentiasa segar sepanjang zaman. Amatlah wajar bagi wanita Islam memahami hakikat ini, seterusnya bangun memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam semua aspek kehidupan masyarakat sekelilingnya. Malangnya wanita kerana kejahilan, dibaluti dengan perasaan rendah diri dan kejumudan fikrah, masih menerima taqlid buta pandangan-pandangan yang berbau ‘patriachIal’ atau bersifat ‘al-abawiah’ yang merupakan pengaruh budaya hidup setempat dan bukannya berdasarkan kepada asas Islam yang bersifat adil dan saksama. Pemerkasaan (empowerment) bukanlah istilah yang dipinjam dari kelompok feminis, malahan adalah merupakan intipati ajaran Islam yang sebenarnya berperanan memperkasakan semua manusia lelaki dan wanita dalam menggembeling segala daya usaha mereka kepada pengabdian total terhadap Allah (SWT).

Kefahaman dan kesedaran mendalam terhadap peri pentingnya wanita memainkan peranan dalam memastikan Islam menjadi perlembagaan hidup adalah tanggungjawab kepemimpinan wanita. Dari penelitian kami akar umbi kepada permasalahan yang ada pada hari ini terletak kepada kecetekan ilmu dan kepincangan penghayatan Islam di dalam setiap lapisan masyarakat, walhal “Knowledge is Power” (Ilmu adalah Kuasa). Akibat dari itu, umumnya wanita terus menerus berada dalam kejahilan dan kemunduran, tanpa pemerkasaan yang berkesan dan mengesankan.

Barisan kepimpinan wanita seharusnya melihat permasalahan ini secara lebih objektif. Kebanyakannya mempunyai tanggapan bahwa pemartabatan status wanita adalah sebahagian besarnya, dicapai melalui peningkatan tahap ekonomi dan kekayaan materialistik. Ini mendorong wanita secara en-mass beramai-ramai menyertai pasaran buruh. Kekuatan ekonomi semata-mata tidak mampu menjanakan wanita berilmu yang prihatin dan peka serta berfungsi sebagai agen perubahan yang positif terhadap persekitarannya.

Sehinggakan hari ini keutamaan atau priority dalam hidup kebanyakan wanita hanya tertumpu kepada kekayaan mata benda, perhiasanan diri yang berlebih-lebihan, sedangkan peranan khusus dan unik para wanita ialah “agen pembentukan keluarga” yang efektif sudah tidak lagi menjadi perhatian utama.

Oleh itu saya menyarankan bahwa pergerakan wanita masa kini mestilah mempunyai agenda terancang agar mampu menjadi agen perubahan dan kemajuan negara dan agama:



Agenda pertama: Menyusun Satu Model Kepimpinan Kolektif Wanita yang unggul, dinamik, disegani dan Berkaliber. Pemimpin-pemimpin Wanita ini mestilah terdiri dari mereka yang tinggi keikhlasannya dan amanahnya, mempunyai ilmu dan kemahiran yang mendalam, dihiasi dengan akhlak dan keperibadian yang cemerlang di samping mempunyai kerendahan hati dan ketinggian pekerti. Mereka mestilah memegang paradigma ‘ Great leaders produce other leaders’ dan bukannya ‘ Great leaders produce massive followers’, supaya akan berlaku satu proses yang dinamik di mana pemimpin-pemimpin yang baru dan bertenaga terus-menerus dihasilkan bagi mengisi ruang-ruang kepimpinan yang ada. Pandangan serta tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Wanita ini menggambarkan kematangan, kebernasan, ketinggian fikiran dan ketajaman akal hinggakan ketokohan mereka disegani dan diiktiraf bukan sahaja oleh kaum wanita yang dipimpin, malahan juga oleh kaum lelaki dalam organisasi dan masyarakat. Pemimpin-pemimpin Wanita ini tidaklah boleh dikuasai oleh sifat-sifat mazmumah seperti perasaan hasad dengki, dendam kesumat ataupun mudah berburuk sangka. Mereka juga mestilah bersikap lapang dada menerima teguran dan muhasabah dari sesiapa sahaja demi untuk memperbaiki mutu kepimpinan mereka. Pemimpin-pemimpin Wanita ini juga mestilah mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi dengan ahli-ahli serta masyarakat umum, mampu menjana inovasi dan sentiasa proaktif dalam usaha pengislahan masyarakat demi untuk mengembangkan dakwah yang menjadi keutamaan perjuangan ini –
Agenda kedua: Membentuk satu Konsep Keluarga mithali yang Efektif
Agenda ketiga: Mewujudkan Satu Komuniti Wanita Intelektual yang Mahir ICT dan Berbudaya R&D
Agenda keempat: Menghasilkan Kelompok Wanita yang Celik Undang-Undang serta Prihatin Terhadap Kesihatan Reproduksi dan Seksual:

Dalam menganalisa sebahagian besar isu-isu seperti keganasan terhadap wanita, masalah nikah-cerai, gangguan seksual di tempat kerja serta permasalahan kesihatan asas wanita, amatlah jelas bahawa punca utama permasalahan tersebut adalah kejahilan dan kedangkalan pengetahuan kaum wanita sendiri terhadap dua aspek yang penting iaitu perihal perundangan serta kesihatan reproduksi dan seksual. Wanita Islam perlu diberikan pendedahan dan pendekatan kepada hal-ehwal perundangan melalui modul-modul latihan dan juga program-program pendidikan berbentuk seminar dan symposium yang berkaitan agar mereka tahap celik undang-undang, dan lebih mengambil tahu tentang aspek perundangan yang amat penting dalam hidup seharian mereka. Dengan itu, diharapkan wanita tidak lagi menderita ditindas dan ditekan tanpa tahu dimana tempat hendak mengadu atau mendapat pengadilan serta pembelaan

Sementara dari aspek kesihatan reproduksi, secara peribadi sebagai seorang pakar dalam bidang perbidanan dan sakit puan (Obstetrik dan Ginekologi), saya melihat punca utama mengapa kaum wanita masih tidak dapat menikmati kemudahan kesihatan asas terutamnya di negara-negara membangun yang ramai diduduki oleh umat Islam, adalah disebabkan oleh tanggapan primitif terhadap fungsi biologi wanita di dalam masyarakat tersebut. Peranan tradisional wanita tersebut dijalankan secara berterusan seawal usia yang boleh, demi untuk memastikan adanya pewaris generasi akan datang. Namun hal-ehwal kebajikan kaum wanita itu sendiri tidak dijadikan sebarang keutamaan dalam hiraki komuniti. Akibatnya taraf kesihatan yang rendah mutunya seringkali dikaitkan dengan kadar kematian dan morbidity yang tinggi. Kesihatan seksual pula amat jarang diperbincangkan dengan serius di kalangan umat Islam lantaran tanggapan menyimpang yang mengatakan perbincangan seterusnya tentang topik ini akan menggalakkan amalan seks rambang yang tiada batas dan hadnya. Namun saya berani mengatakan di sini, kejahilan kita hari ini dalam mendalami ketetapan Islam yang syumul berhubung aspek kesihatan reproduksi dan seksual menjadikan kita sekolompok manusia yang terperangkap dalam kejahilannya. Masyarakat yang memahami konsep kesihatan reproduksi dan seksual yang jelas tidak akan dibelenggu masalah sosial seperti penguguran, kehamilan luar nikah, sumbang mahram, hubungan jenis, pencabulan dan pemerkosaan.

Oleh itu disarankan samada lelaki dan wanita menjadi lebih peka terhadap aspek kesihatan reproduksi dan seksual ini disamping aspek kesihatan fizikal, mental dan pemakanan seimbang yang telah biasa didengar sebelum ini. Dalam hal ini, setiap pasangan diingatkan kepada dasar kedua dalam ‘Ten Point Bill of Reproductive Health’ yang diajukan oleh Prof. Abdel Rahim Omran dalam bukunya ‘ Family Planning in the Legacy of Islam’ yang berbunyi:

‘Parenthood is a grave responsibility. Every child must be wanted, planned and provided for with social and psychological equity between male and female children’

Saya ingin mengambil perhatian agar perbincangan mengenai perancangan keluarga dari aspek saiz besar atau kecilnya, mestilah dilandaskan kepada hakikat bahawa kita menganggap setiap anak itu adalah anugerah dan amanah Allah swt yang amat tinggi nilainya, bukannya mengganggap anak sebagai bebanan tanggungan yang menyulitkan semata-mata. Kehadiran manusia-manusia istimewa ini mestilah benar-benar dirancang, dihargai dan ditatang, bukanya secra ‘tidak sengaja’ atau diiringi dengan kata-kata penuh kekesalan ‘Alaihai, mengandung lagi. Macammana boleh jadi macam ni?’

Ketetapan menundukan pandangan dan penutupan aurat yang dikenakan keatas lelaki dan wanita yang beriman di dalam surah An-Nur Ayat 30 dan 31, mestilah dilihat dari aspek saranan Islam ke arah satu skop kesihatan seksual yang seimbang, sejahtera dan mulia di dalam masyarakat. Pandangan ini berlainan sama sekali dengan tanggapan sesetengan pihak yang melihat saranan dan perintah penutupan aurat tersebut sebagai kongkongan dan ‘memenjarakan, wanita di dalam tudungnya, semata-maat untuk menjaga dan memastikan keteguhan iman kaum lelaki. Saya melihat penutupan aurat yang sempurna sebagai lambang wanita emansipasi atau pembebasan wanita yang sebenar-benarnya, di mana wanita dinilai dan dan diberikan tempat dalam masyarakat kerana kredibiliti dan keupayaannya, bukannya disanjung dan dipuja semata-mata kerana tarikan kecantikan fizikal atau luaran sahaja.

Namun, cara pemakaian yang menutup aurat ini tidak boleh sama-sekali menjadikan Wanita Islam terasing dan memencilkan diri dari wanita-wanita muslim lain yang belum menutup aurat mereka, apatah lagi untuk merasakan dirinya lebih sempurna, mulia dan terpuji. Allah swt sahajalah yang lebih utama dalam menetapkan darjat kemuliaan dan ketinggian seseorang itu berdasar amal yang ikhlas dan takwa yang mantap.

Agenda kelima: Mempersembahkan Satu Model Pusat Perlindungan dan Bimbingan Remaja Puteri yang Mithali. Pusat seperti ini mempunyai objektif murni bagi membantu remaja-remaja puteri Islam yang bermasalah terutamanya yang hamil di luar nikah, mangsa sumbang mahram yang jika tidak di urus akan menjadi mangsa keruntuhan akidah. Anak anak luar nikah yang tidak diurus dengan professional akan diambil dan dibela oleh penganut agama lain yang lebih proaktif. Kewujudan pusat ini adalah merupakan satu langkah preskriptif ‘nahi mungkar’ yang perlu diperbanyakkan di seluruh negara. masa itu. Sejauhmana keberkesanan pusat ini dalam mencapai objektifnya masih belum dapat dinilai dan dianalisa memandangkan ianya masih baru lagi. Tujuan utama projek ini semata mata untuk cuba menyelamatkan jiwa-jiwa remaja puteri Islam dari kegelinciran yang lebih jauh. Ini lah juga salah satu cara untuk meneruskan pengislahan masyarakat yang semakin hari semakin porak peranda sistem nilainya.

Agenda keenam : Pengislahan dalaman diri wanita itu sendiri.

Memandangkan betapa besarnya cabaran di hadapan kita demi untuk menjayakan visi yang telah digariskan, amatlah wajar bagi Wanita Islam menanamkan azam bagi memperbaiki diri dan melakukan islah dalaman atau internal secara serentak dengan tugas-tugas yang lain. Segmen terakhir dalam tulisan ini, menekankan tentang pentingnya satu proses membudayakan muhasabah atau penilaian terbuka yang bersifat dua hala untuk disuburkan di semua peringkat organsisai dalam perjalanan rutin seharian organisasi ini.

(Penulis adalah merupakan seorang Doktor Pakar Sakit Puan. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi email, wjim@pd.jaring.my)






0 Comments:

Post a Comment

<< Home