Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 12, 2002

Ke arah mewujudkan keluarga bahagia

12/06/2002
Ke arah mewujudkan keluarga bahagia
By Dr Niekmah Adam

APABILA seorang ibu melahirkan anak, bermulalah satu perhubungan antara
ibu dan anak serta bapa dan anak. Tidak kurang penting juga, perhubungan
suami isteri antara ibu dan bapa memasuki era yang serba baru dan tidak
sama dengan perhubungan sebelumnya.
Pada peringkat bayi sehingga praremaja, perhubungan ibu dan anak adalah
lebih kepada perhubungan untuk mencukupkan keperluan biologi si anak.
Tidak dinafikan keperluan mendidik mengambil sebahagian besar daripada
perhubungan itu.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, yang berlaku sebenarnya ialah
pembinaan asas penerimaan ilmu pengetahuan seperti membina tubuh badan
sihat dan pemakanan seimbang untuk sel otak membesar dengan sempurna. Ini
adalah satu bentuk untuk mencukupkan keperluan biologi si anak.
Untuk menjaga sense of security kanak-kanak, ibu bapa akan sentiasa
berada di sisi. Jika ada sebarang tanda tekanan seperti tangisan, ibu bapa
akan segera mengurangkannya dengan mendukung atau mendodoi si anak.
Apabila anak melepasi umur mumaiyiz dan menjangkau umur sembilan tahun,
perkembangan emosinya berkembang dengan amat pesat sekali.
Mereka mula mahu membuat penemuan sendiri dalam kehidupan. Mereka tidak
mahu dilihat terlalu bergantung kepada ibu bapa.
Mereka berasa bahawa mereka cukup dewasa untuk berdikari. Cuba kita
perhatikan kanak-kanak ketika ditegur atau dileter oleh ibu atau bapa,
mereka kelihatan gelisah.
Sebabnya ialah mereka tidak mahu tekanan. Ada juga remaja, terutama
lelaki yang berasa bahawa apa yang dileterkan itu sudah dibuat, oleh itu
tidak perlu ditegur lagi.
Perhubungan ibu bapa dengan anak remaja memang mencabar. Anak yang
selama ini dididik dengan kasih sayang serta taat kepada ibu bapa, tiba-
tiba berani menunjukkan tanda tidak taat.
Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh cepat membuat rumusan. Contohnya
dengan berkata kesetiaan anak tercemar.
Ada ibu bapa yang murung serta hilang punca atau keliru dengan keadaan
sedemikian.
Jalan mudah ialah dengan menyuruh dan memaksa anak taat sebab Islam
mewajibkan anak taat kepada ibu bapa. Masalahnya remaja sukar `taat',
sebab mereka berasa tidak wajar ibu bapa menegur mereka kerana beranggapan
berada pada pihak yang benar.
Inilah bermulanya konflik antara ibu bapa dan anak. Mungkin ibu bapa
tidak terlalu mengambil mudah sebelum mengkaji sama ada perubahan pada
anaknya itu memang akibat gejala buruk yang menimpa atau hanya fenomena
biasa bagi remaja.
Sebagai contoh seorang remaja lelaki, mereka akan mula berenggang dengan
bapanya apabila berumur lebih kurang 15 tahun. Mereka lebih suka menyimpan
sendiri masalah mereka atau berkongsi dengan kawan dan teman.
Bapa adalah yang terakhir sekali dirujuk. Sekurang-kurangnya dengan
ibunya bolehlah juga berbincang dan meluahkan perasaan. Apa yang hairannya
si bapa pula mula kurang memikirkan hal ehwal anak lelakinya.
Bapa biasanya beranggapan anak lelakinya sudah besar dan tahu menjaga
diri. Oleh itu, tidak perlu risau. Berbeza tanggapan bapa terhadap anak
remaja perempuan. Bapa akan berasakan bahawa beban memelihara keselamatan
anak gadisnya terletak sepenuhnya di atas bahunya.
Bagi anak lelaki yang merokok, ibu bapa tidak perlu terus menghukumnya
sebaik sedar yang dia merokok, mungkin sejak sekian lama. Berbual dengan
telus dan baik untuk mencungkil mengapa dia merokok.
Mungkin sebabnya ialah tekanan menghadapi pelajaran. Jadi perlu didiknya
dengan teknik pengurusan tekanan. Beri dia rawatan jika perlu. Apa yang
penting ialah dia mahu berhubung dengan ibu bapa dan mula menunjukkan
tanda mengurangkan tabiat merokok.
Bagi remaja yang mula mengenal cinta. Apa yang penting ialah kawalan dan
hala tuju hidup. Bukan hanya setakat menghukum tidak boleh bercinta,
sedangkan perasaan cinta adalah tabiat semula jadi yang baru berputik pada
setiap insan remaja.
Tegasnya dinamika perasaan, kejantinaan, kematangan dan pemikiran anak
remaja perlu difahami sebelum satu perhubungan yang baik dapat diwujudkan.
Ibu bapa Muslim perlu memiliki kesepaduan dan keperkasaan hubungan yang
baik sebagai suami isteri supaya boleh dijadikan contoh oleh anak.
Selepas itu, segala aspek dinamika tabii yang diperkatakan perlu
dihayati, dicantikkan dengan pelaksanaan hukum hakam Islam hingga wujud
sebuah keluarga bahagia.
* Penulis adalah seorang doktor gigi. Sebarang pertanyaan dan komen boleh
dihubungi di e-mel: wjim@pd.jaring.my

0 Comments:

Post a Comment

<< Home