Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 10, 2002

Komunikasi eratkan hubungan suami isteri




10/7/2002
Komunikasi eratkan hubungan suami isteri)
Oleh: Dr. Suriya Osman

Siti dan Mat (bukan nama sebenar) kedua-duanya sibuk bekerja. Pasangan muda ini masing-masing bekerja di syarikat swasta. Siti bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan Mat sebagai jurutera electronik. Mereka baru saja mendirikan rumah tangga dua bulan lepas. Walaupun telah lama berkenalan, perkahwinan membuka lembaran baru di dalam perhubungan mereka.

Pada hari Ahad lepas, Siti bangun awal dari Mat, ia bergegas ke dapur menyediakan sarapan. Sambil menyanyi riang dan dengan penuh minat, Siti menyediakan nasi goreng kesukaan Mat. .Bau kopi panas di ruang dapur amat menyelerakan Siti. Mat belum juga muncul dari bilik tidur ! Siti pergi mendapatkan Mat.

”Bang, mari lah makan, nanti dah sejuk tak sedap! Siti masak nasi goreng kesukaan Abang”. Mat masih mengantuk. Dia telah tidur lambat semalam setelah tidak dapat membuat rumusan pada kertas kerja yang perlu dihantar pada hari Isnin.

“Siti makan la dulu, Abang nak tidur ni”. Mat berkata ,sambil mata masih pejam...

“Alaaaa jumlaaaa, kalau Siti nak makan sorang tak payahlah Siti kahwin, dah la hari lain pun Siti makan sorang kat kantin, takkan hari Ahad pun Siti makan sorang juga”...

Mat cuma mengumam sesuatu dimulutnya….”Hmmmm sambil menarik selimut dan terus tidur”. Tidak lama kemudian hanya dengkuran nafasnya yang kedengaran menunjukkan dia sudah pun lena.

Siti mengeluh panjang, menuju kemeja makan dan memakan sarapan seorang diri.

Mari kita lihat semula dailog ini dengan memasukkan sekali suara hati masing-masing:

Siti didapur memikir, hari ini dapat saya bermesra dengan suami ku!Lepas saya sediakan sarapan boleh kita makan bersama. Rindu saya pada suami, banyak yang nak saya beritahu padanya!

Mat pula menganggap hari Ahan hari untuk dia berehat. Mengikut contoh ibu bapa Mat. Mat beranggapan suami isteri tidak perlu berkomunikasi dan berinteraksi sangat. Mat terbiasa dengan sikap ayahnya yang tidak pernah duduk berborak dengan isterinya. Ibu Mat pula memang pendiam bila berhadapan dengan suaminya dan hanya akan bercakap bila berjumpa dengan kawan-kawan perempuannya.

Semasa Siti kejut Mat dari tidur, Mat berasa marah sebab Siti menganggu tidurnya. Mat berasa Siti tidak prihatin tentang kehendak dan keperluannya.

Semasa Siti didapur memakan nasi goreng seorang diri, Siti terkenang ayah ibunya yang sentiasa bergurau dan bercerita diantara satu sama lain. Siti tidak faham kenapa Mat bersikap begini dan tidak mahu bangun untuk makan sarapan bersama. Bukanlah awal sangat, waktu sudah pukul sepuluh pagi, takkan mengantuk lagi! Hilang perasaan riang Siti, malahan terus jadi masam dan murung. Siti tak jadi kemas rumah, langsung mengambil buku cerita dan baring di sofa ruang tamu .Rancangan Siti tadi kemas rumah bersama, sepertimana kebiasaan ayah ibunya yang kedua-duanya bekerja.

Apa pula kata Mat nanti bila dia bangun tidur dan lihat isterinya dengan rumah berselerak membaca buku cerita?

Semasa kita mula berumah tangga, kita mempunyai tanggapan masing-masing tentang tugas dan tanggung jawab pasangan kita. Contoh teladan ibu ayah akan menyebabkan kita mempunyai ekspektasi tentang pasangan kita. Namun demikian, pasangan kita pula yang dari keluarga yang mempunyai perhubungan yang berbeda dari perhubungan ibu ayah kita akan mempunyai ekspektasi dan tanggapan yang berlainan pula.


Ini tidak bererti kita tidak boleh berumah tangga tetapi apa yang perlu adalah komunikasi yang baik. Agar kita lebih memahami kehendak danpengharapan masing masing.

Di dalam kisah Mat dan Siti, keluarga Mat berbentuk keluarga zaman silam dimana wanita tidak disayangi tetapi dianggap memenuhi keperluan lelaki untuk berkelamin, membesarkan anak dan menguruskan rumah tangga. Di dalam bentuk keluarga begini, suami sebagai ketua dan tuan, perlu dihornati dan ditakuti serta dipatuhi segala kemahuan dan arahannya. Diantara suami isteri ini, tidak ada jalinan mesra, malahan kadang kala isteri berasa geram dengan arahan yang pada pendapat isteri kurang munasabah. Suami sebagai ketua rumah tangga bekerja dan isteri tidak bekerja.

Keluarga Siti pula sangat berlainan. Ibu ayahnya berkahwin atas dasar cinta. Kedua-duanya bekerja sebagai guru semasa muda dan mereka selalu berbincang sebelum membuat apa-apa keputusan. Siti pernah melihat ibu ayahnya bertengkar tetapi Siti tidak pernah cemas melihat pertengkaran mereka sebab masing-masing akan mendengar dengan baik dan akan selesaikan perbezaan pendapat mereka dengan masing-masing beralah sedikit dari pendapat asal. Semasa ibu Siti perlu menghadiri aktiviti tambahan di luar, ayah Siti akan mengambil alih tugas memasak dan kerja rumah dan demikian juga sebaliknya.

Siti perlu memahami latar belakang Mat dan bersabar dengan kelemahan Mat yang berpunca dari scripting keluarga Mat, Mat pula perlu sedar tentang perbezaan persepsi kehidupan berkeluarga diantara Siti dan ibunya sendiri. Mat perlu faham Siti bekerja dan sama penat pada hujung minggu. Jadi Mat dan Siti perlu menyedari bahwa perhubungan suami isteri yang intim bergantung kepada kelicinan komunikasi diantara mereka. Mendalami ajaran Nabi tentang hubungan suami isteri akan menolong pasangan ini.

Tindakan ini amatlah bertepatan dengan ayat Al Qur’an dari Surah An Nisa’: ayat 35 bermaksud:
“ Dan jika kamu khawatirkan ada persingketaan (perbezaan pendapat) antara keduanya, maka kirimlah ‘juru pendamai’ dari pihak lelaki dan perempuan. Jika kedua pihak itu bertujuan mengadakan ‘pembaikan(perdamaian), nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenali.

Maksud juru pendamai termasuklah ‘kaunselor, psikiatri, ahli psikologi, hakim, ketua keluarga, dimana dalam proses ini melibatkan komunikasi yang licin, saling memahami, penuh kasih sayang dan bertangungjawab untuk mencari penyelesaian dan ketenangan.

Model keluarga Melayu zaman silam yang kurang kemesraan di antara suami isteri tidak boleh dijadikan contoh untuk keluarga zaman sekarang dengan dinamik keluarga dan keperluan serta keadaan yang berbeza.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home