Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, August 07, 2002

Keluarga bahagia asas masyarakat sejahtera

7/8/2002
Keluarga bahagia asas masyarakat sejahtera
By Noormala Mohd Daud


KESERONOKAN dan suka duka membesarkan anak adalah pengalaman berharga bagi
ibu bapa.
Anak juga mendapat pengalaman awal mereka di rumah. Rumah adalah tempat
perlindungan kita daripada hiruk-pikuk dunia luar. Ia adalah tempat ahli
keluarga berehat dan menyegarkan semula fikiran dalam suasana selesa.
Manusia akan lebih berkeyakinan untuk menghadapi dunia luar apabila
mereka mempunyai asas keluarga mantap.
Begitu juga bagi kanak-kanak, suasana keluarga memainkan fungsi penting
terutama ketika mereka kecil dan pada zaman persekolahan.
Kanak-kanak berasa yakin untuk bergaul dengan kawan dan guru,
bersemangat untuk belajar, bersukan dan sebagainya jika suasana di
rumahnya stabil dan menyeronokkan.
Setiap anak berhak untuk membesar dalam keluarga selesa serta mempunyai
peraturan dan sistem. Jika rumah mempunyai peraturannya tersendiri setiap
ahli keluarga tahu fungsi masing-masing dan mudah bekerjasama.
Pembabitan bapa sangat diperlukan untuk bersama-sama mendidik anak.
Sebuah keluarga yang mendapat komitmen sepadu suami dan isteri adalah
keluarga yang dapat membentuk perkembangan minda anak-anak.
Persekitaran positif menghasilkan tindak balas positif, keluarga yang
mementingkan semangat hormat-menghormati akan menghasilkan anak yang tahu
menghormati guru, undang-undang sekolah dan kawan.
Dari kecil lagi anak perlu diajar menghargai harta-benda awam atau
bersama. Ada kanak-kanak tidak menghargai harta sekolah, mereka memecah
tingkap sekolah, merosakkan kerusi meja, menconteng meja, dinding dan
membuat pelbagai vandalisme.
Buku perpustakaan juga dirosakkan dan hilang. Adakah suasana didikan di
rumah selama ini tidak menanam sikap menghargai harta benda awam?
Di sekolah kanak-kanak diberi pelbagai tanggungjawab sebagai seorang
murid. Murid yang bersungguh-sungguh menyiapkan kerja rumah adalah mereka
yang mempunyai sifat tanggungjawab. Ramai ibu bapa mengeluh betapa anak
kurang sifat tanggungjawab.
Anak yang bertanggungjawab adalah hasil daripada keluarga yang
mengamalkan keseimbangan di antara disiplin dan kasih sayang.
Mengajar tanggungjawab mesti bermula dari kecil, diajar secara semula
jadi dengan memberi tugas yang sesuai dengan kebolehan mereka.
Ada anak yang dianggap tidak bertanggungjawab oleh orang dewasa. Di
sekolah mereka pula tergolong dalam murid yang tidak berjaya, padahal
hakikatnya mereka tidak dididik dengan betul di rumah sebelum memasuki
sekolah. Misalnya seorang anak yang biasa hidup dalam suasana rumah yang
berselerak akan terdidik dengan nilai bahawa kebersihan dan kekemasan
tidak penting. Bagaimanapun, apabila ke sekolah mereka mendapati
kebersihan sangat dipentingkan, mereka perlu membuat keputusan untuk terus
dengan nilai yang didapati di rumah atau berubah supaya sesuai dengan
sekolah.
Apa yang tidak mengubah nilainya akan tergolong dalam murid yang
dianggap tidak bertanggungjawab.
Suasana persekolahan hari ini penuh dengan persaingan, murid bersaing
untuk dapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, 9A atau 10A untuk
Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan seterusnya.
Ibu bapa mungkin secara tidak sedar menggalakkan budaya bersaing ini.
Adakah kejayaan itu betul-betul untuk kepentingan anak atau kebanggaan ibu
bapa? Tekanan daripada ibu bapa boleh membebankan anak. Tanamkan suasana
selesa untuk anak mencapai kejayaan mengikut kemampuan masing-masing.
Setiap anak adalah individu berbeza yang memiliki kelemahan dan
keistimewaan tersendiri, hakikat inilah yang membuatkan setiap anak itu
unik dan menarik.
Salah satu tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik anak mempunyai sikap
yang betul terhadap disiplin dan orang yang menjaga disiplin.
Anak yang dari kecil diajar menghormati disiplin dan memahami kesan
positif disiplin akan menjadi seorang yang boleh menyesuaikan diri di
sekolah. Sebaliknya anak yang lepas bebas dan tidak pernah berdisiplin di
rumah akan berasa tidak selesa dan terkongkong. Dia juga akan menjadi
marah.
Perasaan ini memang wajar timbul. Mendidik menghormati disiplin ini
tidak boleh ditangguh hingga anak masuk ke sekolah, ia terlalu lewat.
Untuk mengelakkan anak menghadapi masalah, ibu bapa perlu menggariskan
beberapa disiplin yang wajar dan mendidik menghormati orang yang berkuasa
(dalam apa juga bentuk).
Anak boleh dilatih sikap ini dengan cara positif, seterusnya mereka akan
lebih bersedia untuk mematuhi rutin persekolahan dan tidak takut untuk ke
sekolah.
Fungsi ibu bapa walaupun nampak berat dan memerlukan kesungguhan serta
kesabaran, ia adalah suatu nikmat yang dapat memberi kepuasan.
Kasih sayang di antara ibu bapa dan anak tidak ternilai harganya. Dalam
membina suasana rumah yang disebutkan di atas janganlah lupa untuk
bermesra dengan anak, tunjukkanlah kasih sayang kepada mereka sama ada
melalui pelukan, kata-kata, senyuman, ciuman, geletek, bahkan apa-apa saja
yang menunjukkan kasih sayang dan kemesraan.
Ada ibu bapa yang menyesal mereka tidak menunjukkan mereka menyayangi
anak hinggalah anak terjebak dengan pelbagai masalah dan lari dari rumah.
Anak yang tidak cemerlang juga menyangka mereka tidak disayangi. Mereka
perlu tahu bahawa ibu bapa tetap sayangkan mereka. Apabila yakin terhadap
kasih sayang ibu bapa mereka akan tingkatkan usaha.
Komitmen ibu bapa besar nilainya di sisi Allah, salah satu harta
peninggalan yang berterusan pahalanya ialah anak salih.
* Penulis adalah Pengurus Prasekolah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home