Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 31, 2002

Kerjaya wanita Islam saluran dakwah kepada masyarakat

31/7/2002
Kerjaya wanita Islam saluran dakwah kepada masyarakat
Oleh Dr Noor Aini Raimi

TUGAS mewujudkan rumah tangga bahagia adalah tanggungjawab suami dan
isteri. Suasana penuh dengan kasih sayang antara mereka akan
melahirkan kesejahteraan. Kesejahteraan dan kedamaian rumah tangga
akan wujud apabila suami isteri bersama-sama menghayati perintah agama
dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Apa saja pembabitan wanita Islam, sama ada luar atau dalam rumah,
hendaklah dilihat dalam konteks untuk melaksanakan tugas dakwah
Islamiah.

Berdakwah di luar rumah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan
tugas dalam rumah serta pendidikan anak.

Seseorang wanita Islam yang keluar rumah untuk melaksanakan apa saja
kegiatan membabitkan dakwah (sama ada kerjayanya atau tugasan
organisasi), hendaklah dilihat sebagai penerusan dan pengembangan
usaha bagi mewujudkan kesejahteraan dan kebaikan di luar lingkungan
rumahnya.

Wanita Islam pada masa ini bergiat dalam sesuatu kerjaya atas beberapa
sebab. Wanita bekerja di luar rumah untuk membaiki ekonomi rumah
tangga.

Bagi wanita yang menghadapi kesempitan hidup, syariat Islam memang
membolehkan mereka bekerja di luar rumah untuk membantu suami atau
keluarganya.

Bagi mereka yang mempunyai kelulusan, ilmu di dada perlu dikongsi dan
khidmat ditabur kepada masyarakat untuk pembangunan umat dan negara.

Ada yang perlu menjelaskan hutang pinjaman pelajaran yang dibuat
ketika belajar di institusi pendidikan tinggi. Dengan senario
sedemikian, ramai wanita sekarang memilih untuk bekerja.

Wanita Islam seharusnya menjadikan tempat pekerjaannya sebagai medan
melaksanakan dakwah di kalangan rakan sekerja.

Jika menjaga kepentingan rumah tangga lebih besar tuntutannya daripada
keluar meringankan bebanan ekonomi rumah tangganya, maka hendaklah
(jika sudah bersuami) mereka membuat keputusan tegas bagi menangani
maslahah yang lebih besar.

Sebaik-baiknya seorang wanita Islam merencanakan dirinya bekerja di
luar rumah sebagai satu saluran dakwah kepada masyarakat, jika dapat
melaksanakan tugas asasi sebagai isteri dan ibu (dengan bantuan dan
sokongan suaminya).

Wanita Islam itu perlu menjadikan rumahnya sebagai medan utamanya.
Rumah menjadi medan merealisasikan potensinya sebagai seorang pengurus
dan pentadbir baik, di samping melatih diri dalam pengurusan masa dan
tenaga dengan baik.

Seorang wanita Islam yang bersikap betul akan mampu mengenal keutamaan
dalam hidupnya. Usaha untuk menggunakan potensinya adalah dengan
membabitkan diri dalam masyarakat.

Oleh kerana pembabitan wanita Islam dalam sesuatu kerjaya menjadi
saluran dakwah kepada masyarakat, matlamat mereka adalah dakwah dan
bukan ganjaran gaji daripada pekerjaannya.

Jawatan itu adalah wasilah dan ganjaran gaji yang baik adalah kurniaan
daripada rezeki Allah yang mesti disyukuri. Tidak ramai wanita Islam
bekerja tergolong dalam kelompok ini.

Ada beberapa panduan bagi mereka yang memilih untuk bekerja di luar
rumah:

l Pilihlah kerjaya yang disenangi dan menepati minat.

l Usahakan ke arah mewujudkan suasana kerja yang menenang dan
merangsangkan minda.

l Dampingi rakan yang dapat membantu membaiki diri dan memberi
motivasi.

l Jadikan bidang pekerjaannya sebagai satu medan untuk menonjolkan
kecemerlangan.

l Medan pekerjaan yang diceburi hendaklah menjadi tempat di mana
masyarakat dapat melihat bagaimana Islam dihayati dalam realiti
seharian.

l Datang tepat pada waktu, bekerja dengan teliti dan menyiapkan kerja
dengan baik adalah contoh kecemerlangan yang membolehkan masyarakat
melihat kesan positif daripada orang yang menghayati Islam.
Sebaik-baiknya menghabiskan kerja pejabat di pejabat.

l Sentiasa berusaha membaiki mutu kerja dan memajukan kerjaya.

l Wanita Islam yang peka terhadap misi dakwahnya tidak sepatutnya
menolak jawatan berautoriti. Sebaliknya, apabila jawatan itu
ditawarkan kepadanya dengan keyakinan bahawa tiada orang lain yang
boleh melaksanakan tugas itu dengan cemerlang, hendaklah menerimanya.

Syariat Islam tidak melarang wanita menjadi pemimpin selagi dalam
bidang berkaitan persamaan antara lelaki dengan wanita.

Apabila seorang wanita Islam memegang tugas sebagai ketua hendaklah
dia menggunakan autoritinya dengan menjaga adab Islam. Dia hendaklah
sedar bahawa akhlaknya yang mulia adalah teladan dikagumi. Ini
ditambah pula dengan autoriti sah yang dijawatnya, pasti dia akan
dapat melaksanakan tugas kemakrufan dan pembasmian kemungkaran.

l Bertanyalah khabar berkaitan kerja suami. Ini dapat membuat pasangan
suami isteri memahami dan menghormati kerjaya masing-masing.

l Usahakan untuk selalu berada di sisi suami. Pasangan anda adalah
teman seumur hidup. Temankan beliau ke acara rasmi pejabat dan
sebaliknya.

Pada hari ini, manusia begitu menekankan kecemerlangan dalam apa saja
bidang yang dilakukan. Demi untuk mencapai kecemerlangan ini manusia
moden memberikan penumpuan yang begitu besar terhadap pengkhususan.

Pengkhususan bererti penumpuan masa dan tenaga. Dengan itu adalah
wajar pembabitan wanita Islam dalam masyarakat tidak dibataskan kepada
bidang tertentu.

Sebaliknya, bentuk dan bidang itu hendaklah ditentukan oleh maslahah
yang ingin dicapai oleh umat Islam.

Keseimbangan kehidupan berkeluarga dengan kerjaya memerlukan iltizam
dan pengorbanan daripada suami isteri. Persefahaman dan perkongsian
aspirasi dan ideologi kehidupan adalah resipi kejayaan sesebuah
keluarga.

Antara paduan ke arah itu ialah:

l Waktu bujangnya patut digunakan untuk melengkapkan diri dengan
kebolehan

memasak, mengemas rumah dan menjahit. Disiplinkan diri melakukan kerja
rumah.

l Selepas berumah tangga, amalkan sifat rajin memasak, mengemas rumah,

membaca buku mengenai kehidupan berumah tangga serta berbincang dengan
suami dan rakan.

l Jangan hebohkan kelemahan suami dan keluarga.

l Babitkan diri dengan kerja amal, persatuan dan pertubuhan.

l Luangkan masa untuk hobi diminati. Berikan ruang kepada suami untuk
berbuat perkara sama. Usahakan berada di sisi suami baik dalam suka
atau duka.

l Berkomunikasi dengan baik sama ada dengan sentuhan, percakapan,
isyarat mata dan mimik muka.

l Jangan berlaku kasar terhadap pasangan atau merendahkannya.

l Sentiasa bersikap jujur antara satu sama lain.

l Sewaktu mengandung nikmati perubahan yang dialami bersama suami.
Bekalkan diri dengan membaca dan mencari ilmu berkaitan penjagaan dan
pendidikan anak. Hadirkan diri bersama suami untuk kursus keibubapaan.

l Selepas menimang cahaya mata disiplinkan diri untuk membahagikan
masa untuk semua kerja rumah, hobi dan waktu rehat. Seorang suami yang
matang dan bertimbang rasa perlu memainkan fungsinya di sini.

l Pengisian ilmu agama diteruskan agar ketenteraman jiwa dicapai.

l Hormati dan sayangi keluarga suami seperti keluarga sendiri. Bagi
yang mempunyai masalah dengan mentua dan ipar duai, terus dampingi
mereka dan jangan berputus asa. Perbaiki sikap diri sendiri dan
elakkan perbalahan keluarga. Ingat bahawa anak mencontohi ibu bapanya
dalam mengharungi kehidupan berkeluarga.

l Jangan bertengkar di hadapan anak. Selesaikan masalah dalam bilik
jauh daripada pendengaran dan pembabitan anak. Ketua keluarga perlu
ditonjolkan di sini.

l Jaga tingkah laku suami isteri kerana anak mewarisi banyak kelakuan
ibu bapanya.

l Galakkan anak untuk berfikir dan suka membaca.

l Cetuskan sifat sensitif kepada persekitaran dan hargai alam semula
jadi.

l Ajar anak berjimat cermat dan tidak membazir.

l Damaikan anak yang bergaduh dan bertengkar ketika itu juga.

l Didik anak agar menghormati yang tua dan bersikap tolak ansur kepada
yang muda.

l Rancangkan percutian keluarga sekurang-kurangnya sekali setahun.

l Apabila anak baligh, berbincanglah sekeluarga ketika membuat sesuatu
keputusan yang membabitkan ahli keluarga seperti pertukaran sekolah.

l Berikan ruang untuk anak membuat keputusan dan menanggung risiko
daripada keputusan yang dibuat.

l Tanamkan sifat rajin, berdisiplin dan berilmu ke dalam perwatakan
anak agar mereka menjadi insan lebih baik daripada ibu bapa mereka.

Apa yang penting, setiap wanita Islam hendaklah jujur dalam menangani
tugas mereka. Suami pula hendaklah menunjukkan teladan baik. Kerukunan
sesebuah rumah tangga tiada nilainya.

Fungsi suami isteri dalam menerajui sesebuah institusi keluarga yang
berjaya, memerlukan persefahaman dan penghayatan Islam dalam kehidupan
mereka. Sebuah keluarga yang berjaya mampu menghasilkan generasi
berilmu dan juga bertakwa.

Penulis adalah pengamal perubatan.

1 Comments:

  • laki-laki dan wanita harus bersinergi mengupayakan generasi Islam berikutnya yang lebih taqwa kepada Allah SWT. Istri diperkenankan bekerja di luar rumah, bila suami sudah berikhtiar optimal memajukan ekonomi keluarga. Bila suami belum optimal berikhtiar, sebaiknya istri menahan diri untuk tidak bekerja di luar rumah.
    Untuk sharing klik http://sosiologidakwah.blogspot.com

    By Blogger ARISTIONO NUGROHO, at 3:40 AM  

Post a Comment

<< Home