Mengubah adat puasa menjadi ibadat puasa
7/11/02
Mengubah adat puasa menjadi ibadat puasa
Oleh :
Endok Sempo bt Hj Mohd Tahir
“Ramadhan, bulan rahmat, bulan pengampunan dan penebusan dari api neraka!”. Masih terngiang ngiang tazkirah itu ditelinga ini. Namun dapatkah diri ini merealisasikan amal di bulan mulia ini dalam bentuknya yang asal?. Bentuk ibadah, taqarrub dan perubahan sahsiyah diri?.
Sedari kecil lagi emak membangunkan kita sebelum subuh untuk bersahur, ayah mengajarkan niat untuk berpuasa esok hari nya sebaik sahaja selesai makan sahur.
Apabila bermula ramadan jiran dan rakan taulan sekeliling sibuk bercerita mengenai tawaran dan sambutan hari raya. Masuk separuh ramadan emak dan kakak sibuk membuat kueh, buat baju baru sejak dari pagi sehingga larut malam. Inilah gambaran adat amalan sepanjang bulan puasa dalam keluarga dan masyarakat kita. Atau hanya sebilangan sahaja yang beramal sedemikian.
Tetapi inikah yang sebenarnya ?. Dapatkah kita menghayati dan merasa nikmat Taqwa? Sebagaimana firman Allah;” La’allakum tattaqunn”: semoga kamu bertaqwa?
Mungkin kah adat ini dapat kita ubah menjadi ‘ibadat’ dengan cara yang lebih afdhal dan akan mengangkat maruah umat?
Beberapa perubahan paradigma berpuasa perlu dilihat kembali. Agar ‘adat puasa’ berubah menjadi ‘ibadat puasa’:
1. Yang adatnya puasa baru bermula, tetapi perayaan hari raya yang di uar uarkan, suasana Ramadan tenggelam tidak bermaya. Marilah kita tukarkan adat ini menjadi ibadat dengan mewujudkan suasana beribadah, taqarrub dan berlumba lumba merebut tawaran dari Allah dengan membanyakkan membaca dan tadarrus Al Quran sekaligus memahami erti yang terkandung dalamnya, bersedekah, bertarawih dan sunnah nawafil
2. Yang adatnya , bila berpuasa, perut kosong, bila diusik maka marah mudah naik kemuka, bila di kata di nesta, hati mendidih dan tangan rasa hendak melayang. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyabarkan diri, redakan rasa marah dengan berkata kepada diri :” Sesungguhnya AKU berpuasa, sesunguhnya aku berpuasa”, apabila ada orang cuba menjolok rasa. Pupuklah rasa ukhuwah walaupun pada mulanya dengan rasa terpaksa. Jadikan lah bulan Ramadan sebagi bulan rekonsiliasi dan bulan kemananan dan mahabbah kasih sayang. Buang yang keruh ambil yang jernih. Mana bumi yang tidak di timpa hujan.
3. Yang adatnya, siang hari, apabila berpuasa, badan rasa letih, tidak bermaya terutama menjelang tengahari dan petang, mata pun mengantuk dan terus tidur sepanjang hari atau jiwa merasa lesu, maka melepak lah didepan Televisyen. Marilah kita tukarkan adat ini dengan bertadarrus Al Quran, membaca, mengkaji dan menghayati Sirah nabawiah, meningkatkan ilmu dan kemahiran diri. Gunakanlah masa yang terluang untuk muhasabah prestasi diri.
4. Yang adatnya kita mengutamakan puasa fizikal (tidak makan minum di siang hari, tetapi apabila tiba waktu berbuka, juadah dan hidangan sepenuh meja dan makan semahu mahu nya menjadikan kan nya pesta makan yang melimpah ruah. Badan menjadi letih dan lesu kerana penat menyediakan makanan dan kekenyangan selepas makan. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dan ‘tarbiah ruhiyah’ dengan melatih jiwa dan mendidik nafsu (makan dan syahwat batiniah). Makanlah berpada pada dan simpan lah tenaga untuk beribadah tarawih dan nawafil di malam hari.
5. Yang adatnya, dalam bulan puasa kita tidak rasa perubahan ketara dalam kelakuan harian, dosa dosa kecil kita buat tanpa disedari kerana telah terbiasa. Marilah kita tukarkan adat kebiasaan melakukan dosa kecil dengan menyedarkan dan menyemak kembali dalam diri apakah dosa kecil yang sering kita lakukan di bulan bulan yang lain dan tinggalkan lah kelakuan buruk itu untuk mendapat pahala dan keredaan Allah.
6. Yang adatnya semasa awal ramadhan surau dan masjid penuh dengan orang tua dan muda. Sayangnya semakin hari jemaahnya semakin kurang dan hanyalah orang tua yang tetap setia. Marilah kita tukarkan adat ini kepada ibadah dengan memastikan setiap kita tua dan muda mengimarahkan surau dan masjid untuk menunaikan solah tarawih tanpa gagal sehingga ramadan berakhir.
7. Yang adatnya bermula pertengahan bulan ramadhan sehingga keakhirnya kita sibuk membuat persiapan Hari Raya , membeli belah, membuat kueh raya pelbagai warna dan rasa, bunyi mercun berdentum dentum, percikan bunga api pancawarna menyinari laman rumah, sehingga mengalahkan rumah Orang China. Surau dan masjid menjadi lesu. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyibukkan diri , melipat gandakan ibadah di sepuluh hari terakhir Ramadan untuk merebut ‘Malam lailatul Qaqar’, malam yang lebih baik dari seribu bulan, Seribu bulan? Berapa tahun kah itu?.Sampaikah umur kita sehingga mencecah 83 tahun?
8. Yang adatnya kita teramatlah gembira apabila menjelang raya, makumlah hendak ‘merdeka’ dari bermacam macam larangan yang ‘menyesakkan’ jiwa, merancang pesta hiburan sehebat mungkin, halal dan haram di baur demi sambutan hari raya, roh ramadhan lenyap sekelipmata. Marilah kita tukarkan adat ini dengan menyisip dan menitip rasa kesedihan, kepiluan kerana perpisahan dengan dengan bulan rahmat dan maghfirah. Teguhkan doa dan pengharapan agar tahun depan berjumpa lagi denganya. Maka Syawal disambut dengan rasa penuh kesyukuran kerana menang trofi Ramadan.
9. Syukur kerana ‘berjaya’ mengekang nafsu dan shawat dan kembalilah ke bulan syawal dengan fitrah insaniah yang suci dan bersih. Bertekad mengekal kesucian ini dengan menjaga batas halal dan haram dalam menempuhi kehidupan di hari hari yang mendatang.
Selamat menyambut Ramadan dan sama sama merebut rahmat dan maghfirahnya!
[Sebarang pertanyaan boleh di emelkan ke: wjim@pd.jaring.my]
0 Comments:
Post a Comment
<< Home