Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, September 25, 2002

Kasih sayang dalam pendekatan dakwah

25.9.2002
Kasih sayang dalam pendekatan dakwah
Oleh Sumilah Marto

l Senario 1


MALAM itu Tok Mah menelefon cucunya lagi. "Ain, bila nak balik
kampung Atuk, Atuk rindulah". Ain adalah anak tunggal Puan Salmah,
anak sulung kepada Tok Mah yang tinggal di selatan tanah air. "Atuk,
nanti Ain ajak ibu balik ya Tok", bicara anak kecil itu mengakhiri
perbualan.

Apabila diajukan persoalan ini kepada ibunya, ibunya memberikan
alasan tidak boleh bercuti kerana urusan kerja yang terlalu banyak.
Tinggallah si cucu dan si atuk memendam rindu.


l Senario 2


Sekembalinya dari pejabat, Aminah bercadang untuk menziarahi jiran
sebelah rumah, Rukayyah yang sudah hampir sebulan melahirkan anak
keduanya. Hajat ini sudah lama tertangguh kerana saban hari sebaik
saja menjejakkan kami ke rumah selepas penat seharian bekerja, Aminah
akan meneruskan pula kerja urusan rumah tangga yang tidak pernah
selesai.

Namun hari itu untuk sekian kali, hajatnya hanya tinggal hajat
seperti hari-hari sebelumnya dan Aminah masih tidak berpeluang untuk
menziarahi Rukayyah walaupun rumah mereka hanya dipisahkan oleh kawat
besi.

Dua situasi di atas menggambarkan satu sikap yang sama, tidak peka
dalam menjalin dan menjaga hubungan kasih sayang sama ada sesama
keluarga atau jiran tetangga. Menularnya sikap ini dalam masyarakat
menunjukkan bahawa unsur-unsur hubungan kasih sayang sudah tidak
begitu dititikberatkan lagi sedangkan setiap Muslim dituntut untuk
merealisasikan hubungan kasih sayang dengan masyarakat yang berada di
sekitarnya.

Hubungan yang harmonis di tengah masyarakat dapat menghasilkan
suasana yang tenteram dan damai. Sebenarnya ada tiga asas yang perlu
dipertimbangkan dalam membentuk hubungan kasih sayang ini.


1.Hubungan dengan ibu bapa

Hubungan ini adalah hubungan kewajipan yang bersifat mutlak. Ayah dan
ibu adalah orang yang sudah banyak berjasa kepada anak-anaknya.
Setiap anak sudah semestinya menyayangi ibu bapa mereka. Malahan
derhaka kepada kedua ibu bapa tergolong dalam dosa besar yang sangat
dibenci oleh Allah SWT.

Islam mengajar supaya setiap Muslim merendahkan hati dan menghormati
ibu bapa, walau bagaimana sekalipun keadaan ibu bapa mereka.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan rendahkanlah dirimu
terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan
ucapkanlah, "Wahai Tuhanku sayangilah keduanya, sebagaimana mereka
berdua telah mendidik aku sewaktu kecil" (dalam Surah Al Isra' ayat
24).

Justeru, sejauh mana sibuk seseorang anak itu namun tanggungjawab dan
kewajipannya terhadap kedua ibu bapa tidak sewajarnya diabaikan
apatah lagi di saat-saat mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang
daripada insan yang bergelar anak.


2. Hubungan dengan sanak saudara, kaum kerabat dan sesama manusia

Keluarga dan sanak saudara adalah benteng pemelihara hubungan kasih
sayang yang luas. Islam mengatur supaya hubungan yang mesra sesama
manusia menjadi terarah dan seimbang. Maka keutamaan hubungan kasih
sayang terhadap keluarga juga diakui, selagi ia tidak bertentangan
dengan prinsip iman dan amal soleh.

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 6 bermaksud: "Dan orang-orang
yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris
mewarisi) daripada orang-orang Mukmin dan Muhajirin, kecuali bila
kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama), adalah yang
demikian itu telah tertulis dalam Kitab (Allah SWT)".

Keluarga yang dididik dengan nilai Islam akan menjadi pembela dakwah
dan penyokong aktiviti ibadat yang mempunyai nilai yang tinggi. Oleh
itu dalam dakwahnya, Rasulullah SAW mengikat hubungan kekeluargaan
dengan beberapa sahabat akrab beliau seperti Abu Bakar dan Umar
sebagai mertua manakala Usman dan Ali sebagai menantu.




3. Hubungan dengan jiran tetangga


Hubungan dengan jiran tetangga adalah kunci utama untuk menggarap
hubungan kasih sayang yang berjaya di tengah masyarakat. Apabila
setiap Muslim dan Muslimah dapat menunjukkan keperibadian Islam di
kawasan tempat tinggalnya, maka secara automatik ia akan memiliki
daya tarikan untuk berdakwah.

Oleh itu Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenai hak terhadap jiran
tetangga sebagaimana sabdanya yang bermaksud, "Malaikat Jibril selalu
berpesan kepadaku mengenai tetangga sehingga aku mengira dia akan
menetapkan hak waris bagi tetangga. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Banyak hak-hak jiran tetangga yang wajib ditunaikan oleh setiap
Muslim. Antara lain sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW
yang bermaksud, "Hak tetangga ialah bila dia sakit kamu kunjungi dan
apabila wafat kamu menghantar jenazahnya. Bila dia memerlukan wang
kamu pinjamkan dan bila dia mengalami kemiskinan (kesukaran) kamu
tutupi (rahsiakan). Bila dia memperoleh kebaikan kamu mengucapkan
selamat kepadanya dan bila dia mengalami musibah kamu berjumpa
dengannya untuk menyampaikan rasa duka. Janganlah meninggikan
bangunan rumahmu melebihi bangunan rumahnya yang dapat menutupi
kelancaran angin baginya dan jangan kamu mengganggunya dengan bau
masakan makanan kecuali kamu mencedok sebahagian untuk diberikan
kepadanya," (Hadis Riwayat Al-Thabrani).

Satu kisah abadi dalam lipatan sejarah yang menunjukkan betapa
tingginya nilai kasih sayang dalam membentuk masyarakat yang
sejahtera ialah kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah
Islam, Khalifah Umar ibn al-Khatab. Khalifah Umar terkenal sebagai
pemimpin yang sangat mencintai rakyatnya. Kepekaan hubungannya
terhadap rakyat jelata khususnya fakir miskin sangat luar biasa. Pada
suatu malam beliau seperti biasa meronda di sekitar Madinah. Beliau
melakukan rondaan malam bagi mengetahui keadaan rakyatnya.

Tiba-tiba pandangannya tertumpu ke sebuah pondok di pinggir kota
Madinah. Dari dalam pondok itu terdengar rintihan seorang wanita.
Segera Umar menghampiri tempat itu. Di pintu pondok ada seorang
lelaki yang sedang duduk termenung. Ternyata beliau adalah suami
kepada wanita yang sedang mengerang kesakitan kerana hendak
melahirkan. Wanita ini sedang bertarung nyawa sementara suaminya
berada dalam kebingungan kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan
untuk menolong isterinya. Rupa-rupanya pasangan suami isteri ini
bukanlah penduduk asal kota Madinah tetapi orang asing yang sedang
merantau tanpa sanak saudara.

Melihat situasi ini, Khalifah Umar segera pulang menemui isterinya,
Ummu Kalthum lalu berkata: "Mahukah engkau mendapat pahala yang
dibukakan kesempatannya oleh Allah SWT bagi kita? Mahu, jawab
isterinya. Seorang wanita musafir sedang sarat mengandung dan sedang
menanti saat melahirkan tetapi tiada orang yang datang menolongnya,
kata Umar. Jika anda mahu, saya pasti akan menolongnya," sahut isteri
Umar.

Umar segera menyiapkan perbekalan dan bahan-bahan yang diperlukan
seperti tepung gandum, minyak samin, lembaran kain untuk membalut
bayi dan sebagainya. Sambil mengajak isterinya, Umar memikul sendiri
periuk dan tepung gandum di bahunya. Bersama isterinya beliau menuju
pondok pasangan suami isteri tadi. Ummu Kalthum terus masuk ke dalam
pondok untuk membantu wanita yang akan melahirkan itu. Manakala
Saidina Umar pula segera memasang tungku, kemudian meletakkan periuk
di atasnya dan menyalakan api di bawahnya. Umar bersiap sedia memasak
makanan bagi wanita yang akan melahirkan sementara suami wanita itu
berada di sisi Saidina Umar sambil memerhatikan perbuatan lelaki
asing yang menolongnya dengan rasa penuh syukur dan terima kasih.

Suami wanita itu sama sekali tidak mengetahui siapa penolong yang
baik hati itu. Di dalam hatinya ia berkata, "Lelaki ini lebih layak
menjadi khalifah daripada Umar bin Khattab!" Tiba-tiba terdengar dari
dalam pondok tangisan bayi. Rupanya ibu itu sudah selamat melahirkan
bayinya. Bukan main gembira hati si ayah yang menunggu di luar
pondok. Tidak lama kemudian terdengar suara keras dari Ummu
Kalthum, "Hai Amirul Mukminin, sampaikanlah berita gembira kepada
sahabatmu itu, ia dianugerahkan Allah seorang anak lelaki".

Mendengar ungkapan itu, barulah disedari oleh lelaki berkenaan bahawa
orang yang menolong keluarganya ialah pasangan suami isteri pemimpin
kaum Muslimin, lalu gementarlah seluruh tubuhnya akibat rasa terkejut
yang amat sangat. Selepas selesai semua urusan dan sebelum berlalu,
Umar berpesan kepada si suami tadi, "Pagi nanti datanglah menemui
saya di Kota Madinah. Saya akan memberikan bekalan kepada anda dengan
wang dari Baitulmal, sekadar bekal bagi anda dan akan saya keluarkan
hak bayi ini".

Demikianlah contoh seorang isteri yang sedia membantu suaminya tanpa
mengira waktu untuk menolong mereka yang berada dalam kesulitan.
Inilah hasil tarbiyah iman dan Islam sehingga mampu melahirkan suatu
masyarakat Islam yang tiada tandingan.

Apabila ketiga-tiga asas dalam menjalin hubungan kasih sayang ini
seperti yang dinyatakan di atas tadi dapat dilaksanakan, pasti seruan
dan dakwah Islam semakin tersebar luas. Apabila Islam dipersembahkan
dengan penuh kasih sayang pasti ramai manusia yang tertarik
kepadanya. Mungkin antara sebab yang menggendalakan tersebarnya Islam
dalam masyarakat adalah kerana kurangnya pendekatan unsur kasih
sayang ini dalam seruan dakwah. Sehingga Islam sering ditonjolkan
sebagai agama yang sukar, susah dan `garang'. Sesungguhnya yang silap
bukan Islam tetapi golongan penyeru Islam yang mengabaikan aspek
kasih sayang dalam pelaksanaan kehidupan seharian.


l Penulis adalah seorang pensyarah IPTA, boleh dihubungi di emel:
wjim@pd.jaring.my


0 Comments:

Post a Comment

<< Home