Usaha cintai alam sekitar bermula dari rumah
18/9/2002
Usaha cintai alam sekitar bermula dari rumah
Oleh Marihah Suhaimi
"SUCIKANLAH nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua
alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah
bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah
mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan
selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan
semua makhluk di dalamnya.
"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan)
gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi,
bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada
di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam
ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah.
Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa
besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhluk-
Nya.
"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda
(kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3).
Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt
sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya
untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk
kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini
bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua-
duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang
dikurniakan Allah.
"Allahlah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat
belayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari
kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan
untukmu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya,
(sebagai rahmat) daripadanya. Sesungguhnya ..." (Al-Jaatsiyah: 12-13)
Ayat terakhir ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada manusia
sehingga menundukkan alam ini untuk kegunaannya. Apa yang perlu
diingat sekarang adalah alam semesta yang terbentang luas ini
sebenarnya adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik oleh semua
manusia supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang tidak
mensyukuri nikmat Allah. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa
alam semula jadi ini tidak rosak dan tercemar serta mendatangkan
kemudaratan kepada penghuninya pada masa depan.
Mencintai alam sekitar perlu dipupuk di rumah sendiri dan bermula
dengan setiap individu. Anak perlu dibabitkan dan mendidik mereka
untuk mencintai alam sekitar bukan terhad kepada kelas sains di
sekolah semata-mata kerana tanggungjawab ini sangat besar dan perlu
diamalkan bersama sehingga amalan ini menjadi amalan kebiasaan
individu, keluarga dan masyarakat Islam di negara ini.
Antara penyebab utama pencemaran alam sekitar ialah jumlah sampah
yang terlalu banyak dan tidak dibuang di tempat yang sepatutnya.
Sungai menjadi pusat pembuangan sampah, ikan dan tumbuhan air tidak
dapat hidup dengan subur dan manusia tidak dapat mengulangi kenangan
manis masa lampau seperti memancing dan bermandi-manda dalam sungai
kerana pencemaran yang terlalu ketara.
Apatah lagi jika sampah itu adalah sisa toksik, maka pencemaran akan
mencapai tahap yang membahayakan. Dalam masa 35 tahun lalu, kuantiti
sampah yang dibuang oleh seseorang bertambah dua kali ganda, daripada
1.2 kepada 2.1 kilogram sehari.
Pengalaman mengajar bahawa kita perlu ada cara yang berkesan dan
sistematik untuk mengatasi pencemaran yang sangat pesat ini demi
menyelamatkan alam sekitar. Sebagai langkah pertama, keharmonian alam
sekitar boleh dibantu dengan mengamalkan aktiviti 3M dalam kehidupan
harian kita. Jika amalan ini dilakukan setiap hari oleh semua orang,
maka masalah pencemaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Apakah amalan 3M ini? Amalannya ialah pertama, mengurangkan kuantiti
dan kandungan sampah, terutama yang bersifat toksik, kedua
menggunakan semula bekas lama, membaiki peralatan atau memberi kepada
orang lain yang boleh menggunakannya, dan ketiga pula ialah mengitar
semula termasuk membeli barang-barang yang kandungannya boleh dikitar
semula.
Amalan pertama, iaitu mengurangkan kuantiti sampah, bermakna
mengurangkan sumber. Pengurangan sumber atau pencegahan bahan buangan
bermaksud mengurangkan penggunaan dan pembuangan.
Ini termasuk membeli barang lasak dan tahan lebih lama serta bebas
daripada bahan toksik. Proses penyediaan bahan yang lebih lasak dan
tahan lama mungkin lebih rumit tetapi kesan jangka panjangnya adalah
lebih baik kerana ia tidak banyak menggunakan bahan sumber, boleh
digunakan semula dan tidak perlu dibuang.
Amalan kedua, iaitu menggunakan semula bermaksud menggunakan balik
barang yang sedia ada sebagai salah satu cara untuk memberhentikan
bahan buangan pada peringkat sumber kerana kita melambatkan atau
menahan kemasukan bahan itu ke dalam sistem pengutipan dan pembuangan
sampah.
Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa
antara dua hingga lima peratus daripada sampah yang dibuang
sebenarnya boleh diguna semula. Alangkah baiknya dan jimat jika kita
berhenti sejenak dan berfikir sebelum membeli dan membuang kerana ini
boleh mengurangkan sampah yang bergunung di pusat pembuangan sampah.
Ada beberapa cara untuk mengguna semula. Usaha ini hendaklah
diamalkan supaya dapat mengurangkan sampah yang terpaksa dibuang,
antaranya ialah menggunakan pinggan mangkuk dan perkakas yang boleh
dibasuh dan diguna semula dan bukan jenis `disposable'.
Cara kedua ialah dengan menggunakan mesin pengira dan peralatan lain
yang menggunakan kuasa matahari dan membeli bateri yang boleh dicas
semula dan ketiga ialah menggunakan kain lap atau sapu tangan untuk
mengelap dan bukan kertas tisu serta membasuh botol terpakai dan
mengisi semula.
Cara lain untuk mengguna semula ialah dengan mendermakan bahan bacaan
dan peralatan lama supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan
mengguna semula kotak sebagai tempat menyimpan barang-barang.
Sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang ada dalam usaha mengguna
semula dan ia patut digalakkan secara besar-besaran. Antaranya ialah
dengan menjimatkan sumber asli, mengurangkan kandungan toksik sampah
dan dengan mengurangkan kos.
Sementara amalan ketiga daripada konsep 3M ialah mengitar semula.
Amalan kitar semula adalah antara aktiviti paling berjaya dalam abad
ke-20. Pada tahun 2000, di Amerika Syarikat saja program mengitar
semula berjaya menyelamatkan 70 juta tan bahan daripada pusat
pembuangan dan pembakaran sampah. Ini adalah penjimatan yang sangat
tinggi dan jika diteruskan dapat mengurangkan pembaziran dan
menyelamatkan alam sekitar.
Menurut kajian, ada banyak kebaikan jika kita mengamalkan aktiviti
kitar semula, antaranya ialah dapat menjimatkan sumber alam untuk
masa depan anak-anak kita; mengurangkan pengeluaran gas hijau dan
pencemaran air; menjimatkan tenaga; membekal sumber tenaga asli
kepada industri; membuka peluang pekerjaan; merangsang pertumbuhan
teknologi hijau; dan mengurangkan keperluan kepada pusat pembuangan
dan pembakaran sampah.
Sebagai rumusan, sebenarnya banyak yang boleh dilakukan untuk menjaga
amanah Allah di dunia ini dan membuktikan kesyukuran kita terhadap
segala nikmat-Nya.
Mengurangkan pencemaran alam adalah salah satu usaha yang kecil di
samping usaha lain yang kita lakukan demi mencari keredaan Allah.
Elakkan pembaziran dan pembuangan kerana sumber asli bumi ini akan
pupus dengan cepat jika kita tidak mula berjimat dan menyelamatkannya
mulai sekarang. Kekalkan keindahan alam ini demi masa depan anak-anak
kita.
Penulis Seorang pencinta alam sekitar sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home