Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 09, 2002

Perumahan: Pandangan Ibn Taimiyah seiring PBB

9/10/2002
Perumahan: Pandangan Ibn Taimiyah seiring PBB
Oleh Dr Nor'Aini Yusof


SIAPAKAH golongan yang tidak berumah? Umum menganggap penghuni di
kaki lima, tua atau muda, yang mungkin kurang siuman, dipengaruhi
alkohol atau dadah sebagai golongan yang tidak berumah. Tetapi
golongan ini bukan saja daripada penghuni di kaki lima. Malah,
penghuni kaki lima hanya sebahagian kecil daripada masalah tidak
berumah yang lebih besar.

Tempat tinggal atau rumah boleh ditakrif sebagai tempat untuk tinggal
dalam keadaan selamat. Ia adalah keperluan asas yang juga nikmat
daripada Allah yang wajib disyukuri.

Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Allah
menjadikan bagi kamu tempat bernaung daripada apa yang Dia ciptakan,
dan Dia jadikan bagi kamu tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia
jadikan bagi kamu pakaian yang memelihara dari panas dan pakaian
(baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah
menyempurnakan nikmat-Nya atas kamu agar kamu berserah diri (kepada-
Nya)." – (Surah an-Nahl, ayat 81)

Ini bermakna tempat tinggal bukan semata-mata sebuah bangunan
berdinding, bertingkap dan berpintu, tetapi ia adalah tempat untuk
tinggal dalam keadaan gembira, selamat, tenang, selesa, diiktiraf dan
dalam batas kemampuan penghuninya. Tempat tinggal yang selamat juga
bermakna persekitaran yang bersih dan sihat.

Menurut piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika satu
daripada perkara di atas tiada, maka rumah tidak lagi berfungsi
sebagai tempat tinggal.

Oleh itu golongan miskin yang bersesak dalam rumah pangsa satu atau
dua bilik, setinggan yang menumpang di tanah milik awam atau milik
persendirian. Penduduk luar bandar yang tinggal di pondok buruk,
hinggalah kepada sebuah keluarga yang hidup dalam ketakutan kerana
keganasan rumah tangga atau pendatang asing yang menetap di kawasan
yang masyarakat setempat begitu mencurigainya, semua ini dan banyak
lagi adalah contoh golongan yang tidak berumah.

Perangkaan menunjukkan hampir 100 juta penduduk dunia tidak berumah.
Jumlah ini adalah sebahagian daripada 1.2 bilion manusia (satu
perempat daripada penduduk dunia) yang tinggal dalam keadaan yang
tidak selamat dan tidak sihat.

Sebagai manusia, kita perlu menginsafi dan mempunyai rasa kasihan
terhadap golongan ini. Dalam hal ini Islam menggariskan maksud
kebajikan. Firman-Nya bermaksud:

"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu
kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman
kepada Allah, hari kemudian, malaikat, kitab, nabi dan memberikan
harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin,
musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta;
dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan
zakat; dan orang yang menepati janjinya apabila berjanji, dan orang
yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka
itulah orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang yang
bertakwa." – (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Beberapa langkah berkesan boleh dilakukan oleh individu dan
organisasi bagi membantu golongan tidak berumah, antaranya:

Pertama mendidik diri, keluarga, rakan dan masyarakat terhadap faktor
penyebab dan kesan kepada masalah tidak berumah serta sama-sama
berusaha mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Kebolehan manusia adalah tidak sama dari segi mencari nafkah dan ia
adalah nikmat daripada Allah.

Islam walaupun mengiktiraf hak individu ke atas nafkah masing-masing,
namun mereka mesti sama-sama memberi sumbangan kecil atau besar bagi
memenuhi keperluan hidup setiap anggota masyarakat. Ini dijelaskan
oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Allah melebihkan sebahagian kami daripada sebahagian yang lain
dalam hal rezeki, tetapi orang yang dilebihkan rezekinya itu tidak
mahu memberikan rezeki mereka kepada budak yang mereka miliki, agar
mereka sama-sama merasakan rezeki itu. Maka mengapa mereka
mengingkari nikmat Allah." – (Surah an-Nahl, ayat 71)

Kebanyakan mereka tidak berumah bukan atas pilihan sendiri dan bukan
kerana kesalahan mereka. Sebab utama kepada masalah ini ialah
penawaran rumah termampu tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan
golongan miskin atau berpendapatan rendah.

Kerajaan dan sektor swasta walaupun berusaha menyediakan rumah untuk
golongan itu, namun matlamat agar setiap rakyat memiliki rumah belum
dapat dicapai sepenuhnya. Masih ramai golongan miskin dan
berpendapatan rendah yang terpaksa menunggu lama untuk membeli rumah.
Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru,
permintaan untuk rumah jauh lebih tinggi daripada penawaran.

Selain itu, faktor kewangan sama ada kerana tidak bekerja, dibuang
kerja atau hilang pekerjaan; faktor sosial, iaitu perceraian atau
keganasan rumah tangga dan faktor kesihatan seperti kecacatan atau
gangguan mental juga menyumbang kepada masalah tidak berumah.
Natijahnya golongan ini terpaksa mencari pilihan sebagai tempat
mereka berteduh.

Kajian menunjukkan masalah tidak berumah boleh memberi kesan negatif
kepada aspek kehidupan manusia lain. Ia adalah faktor utama yang
menyumbang kepada perangkap kemiskinan.

Ia juga menyebabkan tahap kesihatan rakyat menurun. Kajian di negara
maju dan negara sedang membangun menunjukkan kaitan rapat di antara
tempat tinggal yang selamat dengan mutu kesihatan manusia.

Setiap hari, hampir 500,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-
kanak mati akibat tempat tinggal yang tidak sesuai, air yang tercemar
dan sistem pembetungan yang tidak teratur.

Manakala hampir 70 juta wanita dan kanak-kanak menderita masalah
pernafasan akibat pencemaran dalam rumah yang berpunca daripada api
dapur. Masalah tidak berumah juga boleh membawa kepada masalah sosial
yang lebih serius. Sesetengah mereka cuba melupakan penderitaan yang
dialami dengan mengambil jalan singkat. Mereka meminum alkohol atau
mengambil dadah bagi mengubat rasa runsing atau menghilangkan
perasaan yang tidak selamat.

Ada yang cuba membaiki keadaan dengan cara yang salah di sisi undang-
undang seperti mencuri atau merompak.

Langkah kedua bagi membantu golongan tidak berumah ialah dengan
menyokong dasar yang memberi manfaat kepada golongan yang tidak
berumah pada peringkat tempatan, negeri, negara dan antarabangsa.
Perumahan adalah satu daripada hak asasi manusia dan ia berkaitan
mutu hidup sesebuah negara.

Oleh itu, perumahan termampu perlu diberi keutamaan dalam program
pembangunan negara.

Dalam hal di atas Ibn Taimiyah (1263 – 1328) menggariskan fungsi yang
perlu dimainkan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta.

Pertama, kerajaan perlu memudah atau menggalakkan pihak yang mampu
memenuhi keperluan perumahan rakyat (pemaju, institusi kewangan,
kontraktor dan pembuat bahan binaan) menyediakan perkhidmatan dan
mengambil untung yang munasabah.

Kedua, jika keperluan perumahan tidak dapat dipenuhi melalui peranan
pemudah cara atau galakan, kerajaan bertanggungjawab mengambil
langkah lain bagi memastikan keperluan itu dipenuhi tanpa
mengeksploitasi mana-mana pihak.

Menurut Ibn Taimiyah lagi, masyarakat dan pengusaha mestilah sama-
sama menikmati faedah dari usaha itu dan tiada siapa pun yang boleh
mengambil peluang memperoleh keuntungan yang lebih daripada
sepatutnya, hanya kerana kelemahan pihak yang satu lagi.

Pandangan Ibn Taimiyah di atas seiring dengan satu daripada perubahan
utama yang digariskan oleh PBB pada 1988 bagi mengatasi masalah
perumahan golongan miskin. Perubahan dasar yang lebih dikenali
sebagai pendekatan pemudah cara diperincikan dengan jelas
dalam `Strategi Global untuk Penempatan Menjelang Tahun 2000'.

Falsafah utama pendekatan ini ialah kerajaan perlu berfungsi bagi
memastikan insentif dan kawalan sesuai bagi memudahkan pasaran
beroperasi secara cekap. Dalam beberapa perkara tertentu, campur
tangan dalam pasaran bagi menjamin keadilan dan ketelusan agar lebih
banyak rumah termampu dibina pada skala yang besar oleh sektor swasta
(formal dan tidak formal).

Oleh itu kerajaan diminta menumpukan perhatian mewujudkan sokongan
dalam bentuk perundangan, kewangan dan institusi dalam proses
penyediaan rumah bagi memungkinkan sektor swasta, membina pelbagai
jenis rumah pada harga yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Oleh itu sokonglah program yang menggalak dan membantu sektor swasta,
badan bukan kerajaan dan organisasi komuniti untuk menambah penawaran
rumah. Subsidi yang mahal, kawalan harga dan peraturan yang tidak
berkesan perlu dihapuskan.

Sementara itu, sumber sektor awam yang sememangnya terhad perlu
dihalakan kepada perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak
lain.

Langkah ketiga ialah dengan memberi sumbangan masa dan tenaga dalam
program kejiranan dan masyarakat setempat.

Semua pihak perlu berganding bahu bagi mengatasi masalah golongan
yang tidak berumah. Hal kebajikan dan mengambil berat terhadap
golongan yang memerlukan adalah prinsip Islam yang diakui sejagat.
Kemakmuran akan tercapai bukan melalui sikap mementingkan diri tetapi
melalui perbelanjaan kebajikan pada jalan Allah, iaitu dalam bentuk
memberi perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.



PENULIS adalah pensyarah dalam bidang pengurusan binaan dan perumahan
dan boleh dihubungi di e-mel wjim@p...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home