Rumah tempat paling sesuai keluarga berjimat
26. Rumah tempat paling sesuai keluarga berjimat
Oleh Atika Surini Awang Suhaili
PADA 20 September lalu, seperti tahun sebelumnya bajet tahunan negara
dibentangkan. Pembentangan bajet ini memang dinanti-nantikan oleh
setiap warga Malaysia, amnya kakitangan kerajaan dan badan korporat.
Pernahkah kita terfikir kenapa bajet negara ini teramat penting?
Sekiranya kerajaan tidak memperuntukkan bajet untuk setiap kegiatan
yang bakal diadakan, tentunya negara akan menghadapi masalah dalam
menguruskan kewangan negara. Prestasi negara juga sukar ditafsirkan
dan seterusnya ia membawa masalah kepada negara secara keseluruhannya.
Begitu juga halnya dengan keluarga. Seperti yang diketahui, wang
adalah `item' penting dalam kehidupan. Pengurusan wang yang baik
diperlukan oleh setiap orang, terutama bagi mereka yang sudah berumah
tangga.
Pernahkah terlintas di fikiran anda bagaimanakah sebuah keluarga yang
berpendapatan RM600 sebulan masih boleh mengekalkan kebahagiaan rumah
tangga sama seperti keluarga berpendapatan RM6,000 sebulan?
Dalam masyarakat kita pada hari ini masih ada lagi keluarga yang
berpendapatan lima angka, tetapi masih mempunyai masalah kewangan.
Disebabkan itulah pengurusan wang yang baik akan menjamin
kesejahteraan dan keharmonian berpanjangan. Firman Allah
bermaksud: "Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya,
kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah
kamu membelanjakan harta kamu secara boros.
"Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu
adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 26-27).
Apabila kita berbincang mengenai bajet keluarga, bermakna kita
membincangkan bajet sekumpulan yang melebihi seorang. Usaha ke arah
bajet yang baik bukan hanya bergantung kepada beberapa orang dalam
keluarga, malah membabitkan komitmen semua ahli dalam keluarga.
Perancangan kewangan tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa
ada kerjasama di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Namun,
bagaimana bajet keluarga ini boleh dilaksanakan dengan jayanya?
Secara sedar mahupun tidak, bajet berhemat seharusnya bermula di
rumah.
Rumah adalah tempat ahli dalam sesebuah keluarga berkumpul,
berinteraksi dan berkongsi segala masalah dalam kehidupan. Disebabkan
itulah perancangan kewangan juga seharusnya bermula di rumah.
Ada beberapa panduan untuk mengurus bajet keluarga dengan berkesan.
Pertama, biasakan ahli keluarga dengan sikap berjimat cermat di
rumah. Budaya berbelanja mewah semakin menular di kalangan umat Islam
hari ini. Ia menjadi satu budaya yang mempengaruhi secara langsung
dan tidak langsung gaya hidup masyarakat. Ia bukan saja menyerang
golongan berpendapatan tinggi, malah berpendapatan rendah juga
berbelanja secara berlebihan di luar kemampuan mereka. Ini dilakukan
semata-mata untuk meniru gaya hidup mewah yang dianggap sebagai suatu
kemestian dan lambang kebanggaan. Maka mereka lupa dan berada di luar
batasan normal dari segi akhlak dan perbelanjaannya.
Mereka sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk menyambut perayaan
atau hari jadi di hotel mewah dengan melakukan pembaziran wang.
Kehidupan mewah tanpa batasan adalah bertentangan dengan etika Islam
n berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kami hendak
membinasakan sesuatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang yang
hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah, tetapi mereka
melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya
berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan) Kami, kemudian Kami
hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."(Surah al-Isra', ayat 16).
Oleh itu, di rumah adalah tempat yang sesuai untuk mendidik ahli
keluarga agar berjimat cermat. Penjimatan penggunaan air dan elektrik
perlu dilakukan agar tidak membazirkan wang ringgit.
Begitu juga dengan makan minum seharian. Hidangan seharian perlulah
ala kadar dan tidak berlebih-lebihan sehingga boleh menyebabkan
makanan dan minuman terbuang begitu saja.
Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud:
"...Makan dan minumlah, dan jangan kamu berlebih-lebihan." (Surah al-
A'raf, ayat 31)
Kedua, biasakan ahli keluarga hidup secara wasatiah (sederhana),
walaupun mampu dari segi kewangan. Sekiranya hendak membeli barangan
seperti perabot rumah adalah lebih baik membeli perabot keluaran
tempatan yang tidak memerlukan pengeluaran wang yang banyak
berbanding barang import.
Ini bukan saja mengurangkan beban kerana terpaksa membayar lebih
disebabkan cukai, malah akan melatih anak kita hidup secara sederhana
dan tidak berlebihan. Ini seperti sabda Nabi Muhammad saw yang
bermaksud: "Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya."
Ketiga, latihlah ahli keluarga merancang dulu sebelum berbelanja.
Sebaik-baiknya, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ketika di
pusat membeli-belah kita kerap membelanjakan wang untuk barangan yang
tidak perlu. Oleh itu, dengan adanya senarai barangan yang hendak
dibeli sekurang-kurangnya kita boleh mengelak daripada berbelanja ke
atas barangan di luar daripada perancangan.
Keempat, amalkan sikap suka menabung di kalangan ahli keluarga. Anak
patut dilatih sejak kecil untuk menabung dan sediakan tabung untuk
menarik minat anak berjimat cermat dalam penggunaan wang belanja
seharian.
Ada keluarga yang memperuntukkan sejumlah wang untuk anak mereka
setiap bulan sejak kecil lagi. Malah, kebanyakan bank menyediakan
perkhidmatan simpanan untuk pendidikan anak pada masa depan. Peluang
sebegini perlulah direbut oleh ibu bapa sekiranya mampu. Sekiranya
bajet hendak diselaraskan dengan lebih teratur, sediakan peruntukan
kewangan bulanan keluarga.
Agihkan peruntukan yang sepatutnya berdasarkan pendapatan dan
kemampuan sesebuah keluarga.
Di sini, sesebuah keluarga perlu bijak melihat kepentingan sesuatu
perbelanjaan. Bagi perkara yang kurang penting tidaklah perlu
dimasukkan ke dalam bajet bulanan. Dengan ini, kedudukan kewangan
keluarga akan lebih stabil dan meyakinkan.
Janganlah kita berbelanja mengikut hawa nafsu tanpa perancangan. Ini
juga disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud : "Adapun
yang takut maqam tuhannya, mencegah diri menurut nafsu maka syurgalah
tempat kembalinya." (Surah al-Nazi'at, ayat 40-41). Oleh itu, bajet
berhemat harus bermula di rumah bagi menjamin kebahagiaan rumah
tangga dan sekali gus mengekalkan keharmonian masyarakat sejagat.
Semoga kita semua termasuk di dalam golongan orang yang bersyukur dan
tidak rugi di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Dan
ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan: sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan jika kamu
mengingkari nikmatku maka sesungguhnya azabku sangat pedih." (Surah
Ibrahim, ayat 7)
Penulis adalah seorang Pembantu Penyelidik Pusat Pengajian
Pengurusan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan boleh
dihubungi di wjim@p...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home