Taatilah ibu selepas Allah, Rasulullah
20/11/2002
Taatilah ibu selepas Allah, Rasulullah
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj
TRADISI balik kampung pada Aidilfitri selari dengan tuntutan agama
Islam. Malah, ramai bersetuju jika dikatakan itulah juga yang
menambahkan seri dan makna Aidilfitri.
Namun, amalan ini juga sering kali mencetuskan sengketa dan
perselisihan faham di antara suami dan isteri serta ipar duai,
terutama jika tiada tolak ansur dalam menentukan kampung siapa yang
akan dikunjungi pada hari raya ini.
Ada yang mungkin akhirnya berhari raya di bandar saja bagi
mengelakkan perbalahan lebih parah. Malah, ada yang membawa diri
balik ke kampung masing-masing dan menyambut hari lebaran ini secara
berasingan.
Fenomena ini timbul kerana tidak ada penghayatan terhadap matlamat
pembentukan sebuah usrah atau keluarga sejak awal perkongsian hidup
berumah tangga. Apatah lagi, jika rumah tangga itu dibina tanpa restu
dan doa keluarga masing-masing.
Prof Khurshid Ahmad dalam bukunya "Family Life in Islam" menyatakan
ada beberapa objektif pembentukan sebuah keluarga mengikut al-Quran
dan sunnah. Satu daripadanya untuk menyebarluaskan ukhuwah dan tali
persaudaraan (silaturahim ) sesama insan.
Namun tentu ada banyak perbezaan dari sudut budaya, pemikiran dan
cara hidup di antara pasangan yang memerlukan banyak kesabaran, tolak
ansur dan masa untuk menyesuaikan diri.
Bagi mereka yang sudah lama berumah tangga, perbezaan ini begitu
ketara di peringkat awal perkahwinan. Dan ada kalanya boleh
menimbulkan pertelingkahan dan pergeseran.
Sering kali, masalah semakin sulit sekiranya perbezaan ini
membabitkan hubungan di antara pasangan dengan keluarga kedua-dua
pihak. Jika tidak ditangani dengan betul dan bijaksana, perselisihan
faham akan berlanjutan bertahun-tahun lamanya dan mungkin mengganggu-
gugat keharmonian sesebuah rumah tangga.
Hubungan di antara menantu perempuan dan ibu mentua, sering kali
dijadikan contoh biasa dan tipikal dalam menggambarkan fenomena itu.
Tetapi, kita tidak dapat menafikan ada banyak juga kes yang
membabitkan hubungan di antara menantu lelaki dengan mentua yang
membawa kesan sama.
Apa pun yang menjadi dasar dan alasan kepada ketidakserasian dan
persengketaan itu, anak dan menantu mestilah mengambil sikap proaktif
dan bukannya reaktif terhadap sifat, perangai dan tindak tanduk orang
tua mereka. Janganlah pula hendaknya perbezaan pangkat, keturunan dan
harta menjadi asas utama fenomena ini.
Sekiranya kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, tentunya kita
akan dipandu dan dibimbing untuk menyelesaikan masalah ini. Sebagai
seorang beriman, kita haruslah mampu memahami wujud perbezaan di
antara tuntutan ketaatan di antara seorang lelaki dan wanita Islam
dewasa.
Bagi seorang lelaki, senarai keutamaan bagi beliau memberikan
kehormatan, ketaatan dan kebaikannya adalah seperti berikut:
Pertama; Allah, kedua; Rasulullah saw, ketiga; ibu kandung, keempat;
ibu kandung; kelima; ibu kandung; keenam; ayah kandung; ketujuh,
isteri dan kelapan, anak-anak.
Ini berasaskan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim yang mafhumnya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw,
lalu bertanya: Wahai Rasulullah saw, siapakah orang yang paling
berhak untuk aku hormati? Baginda menjawab: Ibumu. Lelaki itu kembali
bertanya: Kemudian siapa? Nabi saw menjawab: Ibumu. Lelaki itu terus
bertanya: Kemudian siapa? Nabi saw menjawab lagi: Ibumu. Sekali lagi
lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi? Nabi saw menjawab pula:
Kemudian bapamu."
Namun bagi seorang wanita Islam berumah tangga, senarai keutamaan
untuk ditaati meletakkan suaminya di tempat ketiga selepas Allah dan
Rasulullah saw. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas
yang mafhumnya:
"Sekiranya seorang isteri menunaikan solat yang lima, melaksanakan
puasa pada Ramadan, taat serta patuh kepada suaminya, menjaga
kehormatannya, maka jelas ia akan masuk syurga."
Kejelasan pemahaman seorang isteri terhadap perkara yang digariskan
oleh Islam seperti di atas sebenarnya akan dapat mengelakkan
berlakunya sengketa di antara menantu dan ibu mentua.
Dalam erti kata lain, menantu perempuan perlu menerima hakikat ini,
biarpun jiwanya mungkin meronta-ronta dan memberontak. Apatah lagi
jika perkara yang dilakukan ibu mentua begitu menyakitkan hati dan
seolah-olah disengajakan. Terima ia sebagai kelemahan dan kekurangan
seorang insan biasa yang lemah dan hina. Mungkin juga ibu mentua
bersikap begitu kerana bimbang anak lelaki akan melupakannya selepas
berkahwin.
Tambahan pula jika kita sendiri memang mempunyai niat supaya suami
hanya akan menumpukan sepenuh kasih sayangnya kepada kita saja dan
tidak rela berkongsi kasih, walaupun dengan ibu kandungnya sendiri!
Tunjukkanlah perasaan hormat tulen dan kasih sayang kepada ibu
mentua. Sekiranya anda dapat berkomunikasi dengan baik, nyatakan
dengan jelas kepada ibu mentua (kalau boleh, dengan kehadiran suami)
terhadap pemahaman kedudukan anda dan ibu mentua di sisi suami.
Katakan padanya yang anda faham benar mengapa ada pepatah orang tua
yang mengingatkan kaum lelaki `kasih isteri itu ada batas talaknya,
kasih terhadap ibu kandung berterusan hingga akhir hayat.'
Insya-Allah, jika ibu mentua dapat merasakan keikhlasan anda
menyayangi dan menghormatinya, tentu sekali sikap dinginnya akan
berkurangan digantikan pula dengan perasaan saling hormat-
menghormati.
Suami juga akan gembira anda kerana tidak perlu lagi pening melayan
kerenah anda dan ibunya.
Tidak perlu hidup dengan prinsip diluah mati emak, ditelan mati
isteri. Banyakkan bersabar, ingatlah bahawa panjang umur, anda akan
menjadi seorang ibu mentua juga suatu hari nanti.
Anda tentunya mahukan menantu perempuan sedar siapa dirinya di sisi
anak lelaki dan mengiktiraf kedudukan anda sebagai ibu kandung suami
mereka. Dengan kata lain, sekiranya anda tidak menghormati ibu mentua
anda hari ini, jangan terkejut jika anda pula akan terpaksa melayani
kerenah kesombongan menantu yang tidak menghormati anda sebagai
mentua.
Ibu bapa pula mestilah memainkan peranan dalam memastikan
kesejahteraan rumah tangga anak mereka. Berikanlah restu kepada
keluarga anak anda jika tahun ini mereka ingin berhari raya di rumah
keluarga besan anda. Hulurkanlah pemberian ikhlas sebagai buah tangan
Aidilfitri untuk dibawa bersama, semoga ikatan ukhuwah bertambah
kekal.
Jangan terlalu mengongkong anak, menantu serta cucu untuk hanya
berkunjung ke rumah anda. Insya-Allah, Allah akan memberikan lebih
banyak kerahmatan dan kebahagiaan kepada kita semua.
Marilah kita mengambil iktibar pada Ramadan ini untuk mengubah
suasana kepada satu keadaan yang lebih sempurna. Apa kata tahun ini,
masing-masing mengalah dan mencapai kata sepakat untuk merayakan
Aidilfitri tahun ini di rumah keluarga yang paling kurang dikunjungi
pada tahun sebelumnya. Buangkan yang keruh, ambillah yang jernih –
semoga Syawal kali ini membawa erti yang lebih mendalam dan bermakna.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home