Bermaafan hapus dosa sesama insan
25/12/2002
Bermaafan hapus dosa sesama insan
Oleh Dr Hafidzah Mustakim
AIDILFITRI kali ini bermakna bagi kami sekeluarga. Di antara yang paling
bergembira adalah kedua-dua orang tua saya.
Buat pertama kalinya selepas sekian lama, semua anak mereka yang sepuluh
orang bersama 26 cucu berkumpul berhari raya bersama di Shah Alam, Selangor.
Malam itu, kami bertakbir memuji kebesaran Allah bersama dengan kumpulan
takbir dari masjid berhampiran. Takbir yang biasanya dibacakan di negara
ini dengan penuh sayu itu mengandungi puji-pujian kepada Allah sempena
merayakan hari kemenangan menjalani latihan mendidik hawa nafsu pada Ramadan.
"Di negara Arab , takbir dibacakan dengan penuh semangat" ujar seorang
kawan yang pernah belajar di sana. Ummi dan kakak yang sibuk memasak di
dapur tidak ketinggalan memuji kebesaran Allah sambil mengacau rendang dan
memasak ketupat.
Malam itu anak-anak saya tidur jam 3 pagi kerana terlalu seronok berjumpa
dan berbual-bual dengan sepupu mereka. Jarang sekali mereka dapat menikmati
suasana sedemikian dan saya kira inilah di antara detik peristiwa yang akan
mengeratkan lagi hubungan mereka.
Pertemuan seperti ini penting dalam keadaan persekitaran keluarga moden
yang kian berubah. Kami tidak lagi duduk sekampung berjiran tetangga,
rayalah hari pertemuan adik beradik yang duduk berjauhan masing-masing di
perantauan sejauh Sabah dan Kelantan.
Esoknya, selepas menjamah sedikit juadah yang disunatkan makan sebelum
solat Hari Raya, kami ke masjid.
Masjid pagi itu penuh sesak dengan jemaah yang melimpah ke luar masjid.
Mujurlah ada khemah yang disediakan di perkarangan masjid. Kalau tidak
kepanasan jemaah disinari mentari pagi itu.
Dalam kegembiraan berhari raya teringat saya akan saudara seIslam di tempat
lain yang dihalau dari kediaman dan tanah air sendiri. Kita bersuka ria,
sedangkan mereka dihujani peluru. Saya menguatkan azam untuk menyambut
seruan perpaduan kerana Allah dengan memulakan usaha mengeratkan hubungan
kekeluargaan tahun ini.
Sekembali dari masjid, kami sekeluarga meneruskan tradisi bermaaf-maafan
secara formal yang diamalkan turun temurun sejak arwah nenek dan datuk
dulu. Bagi yang boleh berbahasa Jawa, ada teks khas yang dilafazkan
merangkumi ucapan memohon maaf yang terdulu dan akan datang, minta
dihalalkan makan dan minum dan sebagainya. Kami akan duduk dalam bulatan
besar. Bermula dengan kakak yang sulung masing-masing kami anak menantu dan
cucu memohon maaf daripada ummi (ibu) dan abuyah (ayah) serta sesama kami
seorang demi seorang.
Sesi ini meninggalkan kesan yang begitu positif dan melegakan jiwa. Segala
yang terbuku di hati dicurahkan, biasanya diiringi deraian air mata. Ada
juga yang mengambil kesempatan menyatakan azam selepas raya ini. Hasilnya
terasa ikatan persaudaraan bertambah erat.
Anak saya yang kecil bertanya: "Ummi, kitakan merayakan kemenangan, mengapa
mesti memohon maaf?" Ye tak ye juga! Kenapa bermaafan ye? Sedang saya
tertanya-tanya, seorang sahabat karib menunjukkan saya sebuah hadis Nabi
riwayat Bukhari dan Muslim dari Huzaifah dan Anas yang menjadi landasan
kepada amalan bermaafan ini.
Kisah ini berlaku pada diri Rasulullah saw dan sahabatnya. Saat itu malam
Aidilfitri seperti biasanya baginda dan sahabat membaca takbir dan tahmid
di Masjidil Haram. Saat sedang bertakbir, tiba-tiba Rasulullah keluar dari
kelompok dan menepi ke arah dinding. Kemudian Rasulullah mengangkat
kedua-dua tangannya (seperti orang berdoa). Ketika itu Rasulullah
mengatakan amin sampai tiga kali.
Selepas baginda mengusapkan kedua-dua tangan pada mukanya (seperti orang
selesai berdoa ) sahabat mendekat dan bertanya: "Ya Rasulullah saw apa yang
berlaku sehingga engkau mengangkat kedua-dua belah tanganmu sambil
mengatakan amin sampai tiga kali?" Jawab Rasulullah:" Tadi saya didatangi
Jibril dan meminta saya mengaminkan doanya?" Apa gerangan doa yang
dibacakan Jibril itu ya Rasul?" tanya sahabat kemudian Rasul menjawab:
"Kalau kalian ingin tahu inilah doa yang disampaikan Jibril dan saya
mengaminkan?:
l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila dia masih bersalah kepada orang tuanya dan belum
dimaafkan? Rasulullah mengatakan "amin."
l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila suami isteri masih berselisih dan belum saling
memaafkan? Rasul mengatakan "amin."
l Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah diterima amal ibadah kaum Muslimin
selama Ramadan apabila dia dengan tetangga dan kerabatnya masih berselisih
dan belum saling memaafkan? Rasul mengatakan "amin."
Begitulah rupa-rupanya...bermaaf-maafan bukan saja-saja. Kita diperintah
untuk bermaaf-maafan terutama kepada tiga golongan iaitu ibu bapa, suami
isteri dan kerabat serta jiran sebagai syarat untuk puasa dan amal ibadah
pada Ramadan diterima Allah.
Cantik sungguh ajaran Islam. Saya percaya kalau semua umat Islam
bersungguh-sungguh memohon maaf sesama kita saban tahun dalam konteks
mencari reda dan kasih sayang-Nya , tiada lagi kes bermusuh-musuhan, dendam
berdendam dan kita semua akan hidup aman dan harmoni.
Bertitik tolak dari sinilah kita dianjurkan untuk kunjung-mengunjung pada
Syawal ini.
Selain merapatkan hubungan, kita bermaaf-maafan supaya dosa sesama insan
ini terhapus dan boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan fitrah suci lagi
bersih.
l Penulis adalah seorang doktor perubatan. Sebarang maklum balas sila e-mel
wadah_wjy2k@y...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home