Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 18, 2002

Antara dua kecintaan

18/12/02
Antara Dua kecintaaan
Oleh
Norhayati Siddikah bt Abu Bakar

Alhamdulillah, bagi orang-orang yang telah Allah cukupkan keperluannya maka pada hari ini mereka beramai-ramai sedang menjadi tetamu Allah di Baitullah ,Makkah Al Mukarramah.

“Orang yang mengerjakan haji dan melakukan umrah adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun nescaya Allah mengampuni mereka”
(diriwayatkan al Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, dan Ibn Hibban daripada Abu Hurairahr.a)
.
Ibadah haji adalah ibadah yang paling agung. Ia merupakan manifestasi keimanan seseorang . Puncak ketaatan seorang Hamba kepada Tuhannya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar”
(al Hujurat:15)

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Haji adalah jihad yang paling besar”

Jihad membawa erti pengorbanan,yakni pengorbanan yang bukan sedikit ,dilakukan semata-mata kerana Allah. Tidak dapat tidak tetamu Allah ini perlu mengorbankan harta yang banyak,masa yang panjang ,kerehatan yang sedikit dan perasaan ketika melangkah ke Baitul Allah.

Bagi kebanyakan orang,peluang untuk menjadi tetamu Allah ini hanyalah sekali seumur hidup. Maka wajarlah haji yang pertama dan wajib ini dijaga dan diperlakukan bersungguh-sungguh dengan tenaga zahir,tetapi disertai dengan keimanan dan ketaqwaan,penuh keikhlasan dan kesabaran serta menuntut keredaan Allah .Idamkanlah haji yang mabrur dan bukan haji yang mardud.

Haji mabrur adalah haji yang diterima , diberi ganjaran pahala dan dijaminkan syurga manakala haji mardud adalah haji yang ditolak,menjadi sia-sia dan kerugian semata-mata.

Sayangnya, sejak akhir-akhir ini perlakuan ibadah haji dan kurban yang dilakukan oleh tetamu-tetamu Allah ini tidak turut dihayati oleh umat Islam yang lain. Malah satu budaya baru sedang hebat disambut oleh ramai orang Islam di seluruh dunia. Iaitu budaya baru menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day .

Pada tahun ini tarikh yang dianggap keramat 14 Februari 2003 akan jatuh bertepatan pada hari Jumaat bersamaan 12 Zulhijjah atau Hari Tasyrik ke 2. Ketika Allah sedang meraikan berjuta-juta tetamu Nya di Mina bagi menyempurnakan ibadat melontar di 3 Jumrah maka sibuklah juga pasangan yang sedang berkasih-kasihan memperbaharui ikrar cinta mereka.Jika ibadat melontar ini diwajibkan Allah ke atas jemaah haji bagi memperingati bagaimana Nabi Allah Ibrahim a.s pernah melontar syaitan yang cuba menggagalkan usaha nya untuk menyempurnakan ibadatnya kepada Allah maka, dimasa yang sama juga syaitan berlumba-lumba menyesatkan anak-anak Adam di mana saja.

Ketika hari dimana Nabi Allah Ismail a.s pernah menyerahkan lehernya untuk dikurbankan tanda kepatuhan kepada Allah atas nama cinta juga ramai pasangan yang sanggup mengurbankan maruah diri dan agama atas nama cinta.Sesungguhnya penyembelihan kurban adalah sunnat muakkad bagi yang mampu dan wajib jika dinazarkan.

Jadi adakah wajar Hari Valentine ini disambut oleh umat Islam? Budaya asing ini semakin popular dan kian menular ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Jika kita berjalan-jalan di Kompleks Membeli-belah kelihatan simbol hati yang besar dipamerkan dimana-mana. Penanam bunga di Cameron Highlands kabarnya menghadapi masalah membekal kuntuman-kuntuman mawar segar untuk memenuhi permintaan para kekasih yang sedang bercinta. Media cetak dan elektronik turut menyediakan ruangan ucapan ,SMS dan peraduan bagi menggalakkan masyarakat melahirkan perasaan kasihsayang mereka.

Ia seolah-olah satu hari yang amat penting. Pada hari ini lafaz kasih-sayang diucapkan dan diperbaharui.Tidak ketinggalan juga budaya bertukar-tukar hadiah.. Maka berebut-rebutlah para usahawan mencipta dan menjual pelbagai cenderamata yang berlambangkan hati yang merah membara. Hotel-hotel, restoran dan pusat-pusat peranginan turut sama mempergiatkan promosi untuk sambutan tersebut. Antaranya mengadakan jamuan malam dengan hanya disinari kerdipan lilin. Bagi pasanagan yang ingin meraikannya dalam suasana mewah dan sungguh romantik pelbagai pakej ditawarkan. Contohnya bermalam di hotel dengan sarapan pagi percuma atau hi-tea bersama pasangan dan dihiburkan pula oleh artis-artis terkenal dari dalam dan luar negara.

Ratusan , ribuan dan mungkin jutaan ringgit akan dilaburkan bagi memenangi sekeping hati. Amatlah malang sekali jika sambutan ini turut diraikan oleh pasangan Islam yang belum diijabkabulkan. Sungguh bermakna rasanya hati pada hari tersebut,masing-masing dibuai arus “Happy Valentine Day.” Malah kian ramai pasangan Islam yang sanggup menunggu hari tersebut untuk melamar pasangan masing-masing atau bangga jika melakukan ijab dan kabul pada hari tersebut.

Persoalannya perasaan cinta, kasih dan sayang yang dilafazkan pada hari tersebut adakah benar-benar ikhlas dan paling penting menepati tuntutan syariah?Sayang menyayangi adalah fitrah semua insan. Perlu diingati bahawa silaturrahim dalam Islam adalah diutamakan.Penerapan nilai kasihsayang dalam Islam adalah menyeluruh, tidak hanya sesama insan malah kepada seluruh isi alam..

Mungkin kepada ibu yang mempertarung nyawa melahirkan, bersengkang mata saban malam menjaga anak yang kesakitan, ataupun kepada si ayah yang saban hari mencari rezeki hingga sanggup meredah lautan bergelora mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah. Tidak salah kita jika ingin menyatakan dan membuktikan kasih sayang kepada seseorang yang disayangi. Tetapi mestilah menepati batas-batas yang telah Islam ajarkan.

Dalam lipatan sejarah kita pernah diceritakan tentang seorang musafir yang dijanjikan syurga hanya kerana sifat kasihannya terhadap seekor anjing yang kehausan. Beralaskan kasutnya ia telah menceduk sedikit air dan memberikan kepada anjing tersebut. Alangkah tingginya nilai kasih sayang yang tersemai dijiwa.Kasihsayang bukan boleh diukur seperti berapa bintang hotel yang dijejaki atau berapa kuntuman mawar merah yang diberi,tetapi ia adalah ukuran antara perasaan dan jiwa yang murni.

Kerana sifat kasih sayang inilah para rasul sanggup dihina , dicerca ,disiksa dan dibunuh ketika menyampaikan dakwah kepada ummat mereka. Kerana sifat kasihsayang inilah Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya kpd seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Tanpa sifat inilah juga kita melihat pihak yang berkuasa sanggup menindas puak yang lemah. Negara yang kaya dan gagah sanggup melancar serangan ke atas negara yang miskin dan lemah.

Namun budaya memperatkan kasihsayang pada Hari Kekasih atau Valentine’s Day bukanlah budaya Islam dan tiada hubungan langsung dengan ajarannnya.

Valentine atau Valentino adalah nama seorang paderi Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan ajaran Kristian. Pada masa itu Rom diperintah oleh Claudius II, baginda memenjarakan ramai orang Kristian kerana mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan agama yanag dianutinya. Paderi Velentino tidak terkecuali.

Meskipun di dalam penjara Valentino tetap menyebarkan agamanya kepoada banduan-banduan di penjara. Kegiatan ini akhirnya diketahui oleh oleh Raja Rom. Lalu diperintahkan disiksa dan dibunuh pada 14 Februari, 296M. Orang Kristian menganggap paderi ini orang yang mulia, sanggup berkorban dan mati kerana mempertahankan agama Kristian.

Jesteru besarnya pengorbanan Valentino beliau di beri gelaran Saint atau St . Kedudukannya sama dengan Jesus yang mati disalib kerana menebus dosa yang dilakukan oleh penganutnya.Pada tahun 350M sebuah gereja dibina berhampiran kuburnya,

Dari sumber lain juga didapati ketika di dalam penjara Valentino jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh,tetapi sebelum dibunuh Raja Claudius II memberi dua pilihan .Meninggalkan agama Kristian atau dibunuh. Namun beliau lebih rela dibunuh tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan “From Your Valentine”.

Sejak peristiwa itu orang Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati kematain St Valentine.Idola kesayangan mereka.

Jadi adakah wajar kita sebagai orang Islam turut merayakan hari tersebut? Tambahan pula pada tahun ini ia jatuh pada hari Tasyrik iaitu pada hari kita masih lagi dituntut melafazkan takbir dan tahmid tanda membesar dan memperagungkan Allah disamping melakukan penyembelihan kurban . Adakah wajar ketika saudara-saudara kita di Mina sedang mempertaruhkan nyawa untuk mencari redha Allah kita sanggup membiarkan diri kita hanyut dek runtunan syaitan dan hawa nafsu?

Firman Allah:

“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya? Dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan meletak tutupan hati penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah membiarkanya sesat ? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”

al:Jasiah:23

Sepatutnya gambaran-gambaran perlakuan ibadah haji membantu mengingatkan kita kepada kematian. Seawal melangkah kita memakai pakaian putih.Seolah-olah mengambarkan bahawa kita akan mati.Maka berjalanlah kita di lapangan terbang dan diperiksa satu persatu seolah-olah disoal Mungkar dan Nakir di dalam kubur.

Bila tiba di Jeddah pula, berbondong-bondong kita bersama ramai lagi saudara-saudara kita dari lain negara,ia mengingatkan kita kepada detik kita keluar dari kubur masing-masing. Dari Jeddah, kita berhimpun pula di Mekah, Padang Arafah, Muzdhalifah dan Mina. Perhimpunan ini mengambarkan kepada kita keadaan manusia berhimpun di Padang Mahsyar dimana kita akan dihitungkan segala amalan semasa hidup di dunia.

Kesukaran demi kesukaran terpaksa ditempuh ,berasak-asak dan berebut-rebut kerana terlalu ramainya manusia yang ingin mencari perlindungan. Jika di Padang Arafah kita masih mampu berteduh di bawah khemah, pokok-pokok dan payung-payung,tetapi di Padang Mahsyar sudah pasti tidak akan ada sebarang perlindungan melainkan mereka yang dipilih Allah untuk bernaung di bawah naungan Al qur’an dan Al Arasyh sahaja.

Sesungguhnya, pengajaran dari perlakuan ibadat haji dan kurban sememangnya banyak. Perlu diingat, mulianya kita ummat Islam ini selagi kita sanggup berkurban menjunjung syariat Allah .Andainya budaya-budaya lain kita terima dan akur tetapi budaya yang diajarkan Al Qur’an dan rasulullah kita ketepikan sampai bila-bila pun ummat Islam tidak akan mampu mencapai darjat ummat yang terbaik dan terpilih yang dijanjikan Allah.

Kepada pasangan kekasih sayugia diingatkan janganlah sampai kita sanggup melakukan kurban untuk perkara keji dan mungkar. Usahlah terdera dalam jerat percintaan sesungguhnya kembalilah kepada tatacara yang telah Islam gariskan.Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat .

“Wahai orang-orang yang beriman,ingatlah Allah sebanyak-banyaknya,dan bertasbihlah akan Allah pada waktu pagi dan petang. Dia beserta malaikat-malaikatNya tentu memberi rahmat kepadamu.,dikeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan,Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”

al Ahzab:41-43

Penulis adalah Sukarelawan Dakwah

0 Comments:

Post a Comment

<< Home