Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 25, 2003

Bahasa tubuh berkesan erat hubungan suami isteri

25/6/03
Bahasa tubuh berkesan erat hubungan suami isteri
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

“SUAMI saya tidak pandai melayan saya,” Roziah mengadu kepada Hamdiah, teman baiknya yang kebetulan adik iparnya.


“Entah, adik saya seorang tu memang tak pandai nak bermesra dengan perempuan sejak dulu lagi,” jawab Hamdiah kesal dengan sikap adiknya.

“Tetapi kak, ketika bujang lain, zaman dah kahwin sepatutnya tidak sama, seorang lelaki perlu memahami perasaan isterinya.

“Jika tidak tahu perlu bertanya daripada orang yang tahu atau pun kena banyak membaca dan mengetahui perasaan wanita. Ini penting untuk kebahagiaan rumah tangga,” kata Roziah dengan penuh semangat.

Perbualan ipar duai ini berkisar sekitar kemesraan, itulah yang membuat hubungan suami isteri terasa indah dan nikmat.

Kemesraan berputik daripada cara berkomunikasi. Ada dua jenis lambang komunikasi yang biasa digunakan, iaitu lambang lisan dan bukan lisan.

Menurut penelitian Profesor Birdwhistell, nilai keberkesanan lambang lisan berbanding bukan lisan adalah 35:65. Justeru, lambang bukan lisan lebih berkesan dalam menyampaikan pesanan dan penzahiran kasih sayang.

Bermesraan adalah upaya suami isteri untuk menunjukkan saling kasih sayang dalam bentuk lisan. Sentuhan tangan dan gerak tubuh lainnya, adalah termasuk lambang bukan lisan ketika suami berkomunikasi dengan isterinya. Komunikasi lisan semata-mata belumlah berkesan jika belum disertai oleh komunikasi bukan lisan.

Rasulullah pun merasakan pentingnya bermesraan dengan isteri. Bahasa cinta Rasulullah kepada isterinya banyak digambarkan dalam bentuk bukan lisan hingga baginda mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Ini tercermin dalam hadis beriku: Daripada Atha' bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah dan Aisyah biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika beliau sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya: “Mengapa engkau bangkit?” Jawabnya: “Kerana saya haid, wahai Rasulullah.”

“Sabdanya: “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali kepadaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama baginda.” (Hadis riwayat Sa'id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada auratnya

Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi apabila meminyakkan badannya, baginda memulakan dari auratnya dan menyapunya dengan nurah (sejenis bubuk pewangi) dan isterinya meminyakkan bahagian lain seluruh tubuhnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Mandi bersama isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dengan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disisir isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya biasa menyisir rambut Rasulullah, saat itu saya sedang haid.” (Hadis riwayat Ahmad).

Meminta isteri meminyakkan badannya

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya meminyakkan badan Rasulullah pada Aidiladha selepas baginda melakukan jumrah 'aqabah.” (Hadis riwayat Ibnu 'Asakir)

Minum bergantian pada tempat yang sama

Daripada Aisyah, beliau berkata : “Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya.

“Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya.” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur)

Membelai isteri

“Adalah Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu baginda bermalam di tempatnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tidur di pangkuan isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca al-Quran.” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq)

Memanggil dengan kata-kata mesra

Rasulullah biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti 'Aisy dan Humaira (pipi merah delima).

Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra.

Rasulullah biasa memicit hidung Aisyah jika beliau marah dan berkata: “Wahai 'Uwaisy, bacalah doa: 'Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Memberikan hadiah.

Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: “Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.”

Beliau (Ummu Kultsum) berkata: “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah kepada isterinya. Ia memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan komunikasi bukan lisan kerana bahasa tubuh ini akan lebih berkesan menyatakan cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.

Wednesday, June 18, 2003

Bapa penyayang tonggak kecemerlangan keluarga

18/6/03
Bapa penyayang tonggak kecemerlangan keluarga
Oleh
Dr. Harlina Halizah bt Hj Siraj

Tidak ramai yang menyedari bahawa Hari Bapa yang disambut baru-baru ini, diilhamkan oleh seorang wanita bernama Sonora Smart Dodd hampir seratus tahun yang lalu. Beliau mencadangkan kepada kerajaan Amerika Syarikat ketika itu untuk memperuntukkan satu hari khusus mengenang jasa dan pengorbanan para bapa, khususnya untuk memperingati bapa beliau William Smart yang menjadi `bapa tunggal’ memelihara Sonora dan lima orang adik beradiknya selepas kematian ibu di kala usia mereka masih kecil. Pengorbanan dan payah jerih kaum bapa diberikan pengiktirafan pada tahun 1966, apabila Presiden Amerika ketika itu, Presiden Lyndon John menandatangani satu proklamasi mengisytiharkan hari Ahad ketiga dalam bulan Jun setiap tahun disambut sebagai Hari Bapa.
Sekalipun mungkin ada yang berpendapat , amalan meraikan sambutan Hari Bapa adalah sesuatu yang janggal dalam budaya kita, namun hari tersebut tetap dapat dimanfaatkan, terutamanya dalam menyorot semula sejauhmana keberkesanan dan kejayaan para bapa dalam memainkan peranannya dalam keluarga dan masyarakat. Tiada siapa yang dapat menafikan sedikit pun pengorbanan besar yang disumbangkan oleh kaum bapa selama ini. Namun, demi untuk menjadikan profesyen kebapaan menjadi lebih kompetatif dan efektif, amatlah wajar satu penilaian semula dibuat sebagai muhasabah dan peringatan.
Agama Islam meletakkan tanggungjawab yang berat di atas bahu kaum bapa. Al-Quranul Karim banyak memperingatkan kaum lelaki agar tidak lalai menjalankan peranan mereka, seperti dalam ayat ke- 34, Surah An-Nisa’ dan ayat ke-6, Surah At-Tahrim yang mafhumnya seperti berikut :
Kaum lelaki adalah pembela dan pelindung bagi kaum wanita’ ( An-Nisa : 34)
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu .’ ( At-Tahrim : 6)
Malahan, umat Islam dapat melihat contoh teladan kebapaan yang hebat melalui cara hidup Ar-Rasul SAW yang mulia. Al-Quranul Karim juga memberikan satu lagi garis panduan dan `role-model’ seorang bapa yang hebat melalui cerita bagaimana Luqmanul Hakim mendidik aspek-aspek aqidah dan akhlak kepada anaknya melalui ayat 12 – 19, Surah Luqman.
Sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita, kaum bapa dianggap sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan hal-ehwal kewangan dan ekonomi dalam menyara setiap ahli keluarganya. Lantaran itu, kaum bapa sentiasa perlu mempertingkatkan keupayaan menjana pendapatan bagi menampung keluarga yang semakin besar. Seringkali juga, kerana tuntutan mencari rezeki di luar rumah, kaum bapa tidak dapat meluangkan masa yang banyak di dalam rumah , sekalipun ramai kaum bapa yang amat prihatin dan peka terhadap keperluan serta tanggungjawab mereka mendidik anak-anak. Malahan ada diantara kaum bapa yang terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaan, siang dan malam untuk menampung perbelanjaan dan keperluan keluarga, terutamanya yang hidup di bandar. Dalam ketiadaannya di rumah, kaum bapa sering dijadikan satu `lambang kuasa ‘ (figure of authority) yang digeruni dan menjadi momokan kepada anak-anak. Menjadi satu kebiasaan bagi kita mendengar para ibu yang sudah tidak terdaya mengawal anak-anak yang nakal, mengugut dan mengancam,` Tunggu nanti ayah balik ! Emak bagi tahu kat ayah – siap kau orang!’
Pendekatan sebegini telah secara tidak langsung, menghasilkan satu jurang pemisah atau tembok yang menghalang terjalinnya satu hubungan mesra di antara bapa dan anak-anaknya. Apatah lagi sekiranya para bapa pula hanya akan berinteraksi dengan anak-anaknya dalam waktu yang terbatas, bertindak lebih sebagai `penguatkuasa disiplin’ yang memberikan reaksi kepada aduan dan sungutan ibu yang seharian suntuk terpaksa menangani karenah anak-anak. Tidak hairanlah mengapa anak-anak sering tidak merasa selesa berkomunikasi dengan para bapa. Tambahan pula anak-anak remaja lelaki, tidak ramai yang dapat duduk semeja berbual mesra dengan bapa-bapa mereka. Keadaan ini sebenarnya tidak sama sekali membantu para bapa dalam menjalankan peranan mereka dengan lebih berkesan lagi.
Hari ini, masyarakat kita terpaksa berdepan dengan berbagai gejala sosial yang menggambarkan secara langsung kepincangan institusi kekeluargaan. Apa yang lebih membimbangkan lagi, statistik menunjukkan majoriti dari golongan yang terlibat dalam gejala-gejala tidak sihat ini adalah anak-anak remaja lelaki Melayu Islam. Menurut sumber rasmi Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia, dari Disember 1986 hingga Disember 2002, seramai 51,256 orang telah didapati dijangkiti HIV,yang mana 73% adalah orang Melayu Islam dan 94% adalah terdiri dari kaum lelaki. Majoriti dari penagih dadah yang menggunakan suntikan adalah lelaki berusia 20 hingga 35 tahun. 99.8% pesalah kes lumba haram adalah lelaki. Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan pengurangan peratusan kemasukan pelajar lelaki ke IPT dan juga peratusan graduan lelaki jika dibandingkan dengan pelajar wanita. Perkembangan ini pasti akan mempengaruhi keseimbangan atau `equilibrium’ dalam dinamik sosialisasi masyarakat. Persoalan yang harus ditimbulkan adalah bagaimana institusi kekeluargaan yang diketuai oleh bapa dan ibu tidak lagi dapat memainkan peranan utama dalam mendidik dan melatih generasi akan datang yang lebih bertanggungjawab dan cemerlang. Seperkara lagi, sekiranya prestasi kepimpinan ibu bapa dalam keluarga dan masyarakat tidak dipertingkatkan serta dipaksikan kepada pegangan prinsip yang betul hari ini, kita mungkin terpaksa berhadapan dengan satu generasi akan datang yang hilang panduan dan arah, lantaran tidak mendapat satu contoh dan `role-model yang baik dan berwibawa.
Adalah tidak adil sama sekali meletakkan segala kesalahan di atas bahu kedua ibu dan bapa sekiranya anak-anak tidak berjaya menjadi insan yang berguna. Banyak faktor persekitaran dan suasana lain yang dapat mempengaruhi anak-anak terutamanya remaja. Namun tidak pula keterlaluan sekiranya dikatakan tidak banyak penekanan diberikan kepada peningkatan kemahiran para bapa dalam memperbaiki gaya kebapaan mereka. Amatlah wajar sekiranya para bapa dalam menghadapi cabaran yang hebat ini, diberikan keutaman dan penekanan agar mereka dapat menimba ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia berguna di kemudian hari. Gaya kebapaan tradisional yang lebih banyak menekankan soal penguatkuasan dan otoriti, harus dapat diubah kepada fungsi rakan dan teman kepada setiap ahli keluarganya terutama anak-anak. Mengikut satu kajian yang dihuraikan dalam buku ` Seven Secrets of Effective Fathers’ tulisan Ken Calfield, didapati pengaruh bapa kepada anak-anak amat ketara dalam aspek- aspek berikut :
· Keupayaan intelektual anak-anak
· Perangai yang akan dicontohi
· Pilihan kerjaya anak-anak di masa depan
· Sikap yang akan dibentuk oleh anak terhadap anak-anak mereka sendiri di kemudian hari
Sempena Hari Bapa tahun ini, tanamkanlah keazaman untuk memperbaiki keadaan rumahtangga dengan menukar gaya kebapaan dan keibuan yang lebih efektif. Bagi para ibu, berikan penekanan sewajarnya serta berikanlah peluang seluas-luasnya kepada para bapa agar terlibat aktif dalam urusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Pastikan ada peruntukan masa dan ruang untuk anak-anak berinteraksi bersama bapa mereka setiap hari. Biarkan anak-anak dan bapa mereka melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama bila mereka bercuti, walaupun kadangkala anda merasa rimas dengan kualiti kerja yang tentunya tidak dapat menandingi hasil kerja anda. Akhir sekali, panjatkan doa agar suami dan bapa anak-anak kita akan dapat menjalankan tugas berat melindungi diri dan ahli keluarganya dari api neraka sebagaimana yang disarankan dalam Al-Quran.
Penulis seorang doctor pakar sakit puan dan boleh dihubungi di emel wadah_wjy2k@yahoo.com


Wednesday, June 11, 2003

Pembentukan umat Islam sejati menerusi amalan solat jemaah

11/6/03
Pembentukan umat Islam sejati menerusi amalan solat jemaah
Oleh Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa

JARUM jam menunjukkan 5.30 petang, ketika saya memeriksa e-mel. Terasa puas dengan kemudahan penyaluran maklumat yang serba cekap dan pantas ini.

Saya seakan terlupa akan kewajipan diri terhadap Rabb yang masih belum lagi ditunaikan.

Waktu Asar yang kian suntuk seakan-akan tidak terasa lagi. Dunia digital serba canggih ini menyebabkan dunia yang besar terasa seakan-akan kecil dan jarak yang jauh terasa seakan-akan dekat.

Jarak di antara Kuala Lumpur dan Dubai, bagaikan bersebelahan.

‘Global village’ yang dihasilkan mencipta suatu keselesaan hidup kepada manusia, di mana maklumat dapat disebarkan melalui medan maya saja.

Namun begitu, sering kali harga sebuah kemajuan teknologi harus dibayar dengan kemelut norma kemanusiaan. Manusia semakin hilang pengertian terhadap ketuhanan, kasih sayang, pengorbanan dan erti kehidupan sebenar.

Sering kali kelekaan manusia dalam melayari era kemodenan mengalpakan mereka daripada menghayati dan merenungi hakikat kejadian diri mereka yang sebenar. Kesibukan masa melayari web, menyelusuri ‘homepage’, bersembang dan sebagainya terkadang menyebabkan sebahagian daripada kita mengabaikan tanggungjawab sebenar terhadap Yang Maha Rahim.

Satu e-mel yang baru saya terima ini benar-benar menyentuh hati, lantas mengingatkan saya akan tanggungjawab diri terhadap Rabb yang belum lagi ditunaikan. E-melnya berbunyi begini.

“Semoga Allah memberikan ganjaran kepada orang yang berjuang untuk mencari reda-Nya dan semoga Dia sentiasa mengingatkan mengenai kelemahan kita melalui orang seperti mereka.”

”Dalam perjalanan ke Dubai, saya dan suami singgah sebentar di sebuah masjid untuk menunaikan solat Asar. Dari dalam kereta, saya lihat kelibat seseorang yang sedang bergerak dari kawasan perumahan berhampiran.”

”Lama kemudian, barulah saya menyedari bahawa ia adalah kelibat seorang lelaki yang sedang merangkak menuju ke masjid.

”Dengan hanya berbekalkan selipar getah pada kedua-dua belah tangannya, bahagian bawah badannya diheret di atas permukaan bumi yang keras dan berbatu. Dengan suhu setinggi, badannya basah dihujani peluh. Sebaik tiba di perkarangan masjid, bajunya basah lencun dan mukanya merah kepanasan.”

”Orang yang melintasinya hanya memerhati, mungkin sudah biasa dengan kehadirannya. Seorang lelaki yang baru keluar dari sebuah kedai, memerhatikannya, kemudian masuk semula ke kedai dan membelikannya sebotol air sejuk. “

”Mereka berbual sebentar. Lelaki itu menawarkan pertolongan untuk membantunya menaiki tangga masjid. Namun, lelaki cacat itu menolak bantuan berkenaan dengan baik. “

”Khuatir akan terlewat menyertai jemaah solat, lelaki cacat itu meminta diri, lantas meneruskan perjalanannya menuju ke dalam masjid.”

”Saya tidak mampu untuk melihatnya terus berusaha memanjat tangga masjid. Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah cara untuk membantunya. Saya hanya mampu menangis ketika mana mengingatkan hadis Nabi, maksudnya: “Orang munafik mendapati bahawa solat Subuh dan Isyak berjemaah adalah perkara yang membebankan. Sekiranya mereka mengetahui akan besarnya nilai kedua-dua solat itu, mereka akan berusaha untuk menyertai jemaah solat itu, walaupun terpaksa merangkak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)”

”Lelaki itu sanggup merangkak ke masjid, meskipun di bawah terik matahari, tidak merasakan bahawa solat berjemaah adalah suatu beban, walau sedikit pun.”

Solat berjemaah sebenarnya sangat dituntut ke atas setiap Muslim. Kelebihannya sering diperkatakan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Di antaranya adalah sebuah hadis daripada Ibn Umar yang bermaksud: “Solat berjemaah adalah lebih utama daripada solat sendirian dengan dua puluh kali darjat.” (Muttafaq alaih)

Hadis di atas sebenarnya menyokong firman Allah mengenai solat jemaah yang disyariatkan. Firman-Nya bermaksud: “Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hendaklah mendirikan solat bersama-sama mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 102)

Dilihat pada solat berjemaah ini, hukumnya turut berubah mengikut solat jemaah tertentu seperti sembahyang Jumaat yang wajib dikerjakan secara berjemaah. Oleh itu, anjuran solat berjemaah ini sewajarnya diambil perhatian oleh setiap Muslim kerana ia adalah sesuatu yang dititikberatkan oleh Rasulullah dan sahabat.

Lihat perbandingan di bawah yang berasaskan hadis di atas:

- Solat bersendirian

= 1 darjat x 365 hari (setahun) x 5 waktu = 1,825 darjat.

- Solat berjemaah

= 27 darjat x 365 hari (setahun) x 5 waktu = 49,275 darjat

Jelas di sini, sembahyang bersendirian selama 27 tahun, darjatnya hanyalah bersamaan setahun solat berjemaah. Bayangkan gandaan darjat kurniaan daripada Allah kepada mereka yang bersolat secara berjemaah. Jawapan ini sebenarnya, memberi gambaran kepada kita betapa hikmah perintah Allah dan rasul-Nya tersembunyi pelbagai hakikat yang kadang-kala tidak disedari oleh kita.

Lantaran itu, tunaikanlah perintah dan anjuran daripada Allah dan Rasulullah seperti solat berjemaah sama ada bersama keluarga di rumah dan bersama masyarakat di masjid atau surau.

Bersempena dengan Hari Bapa pada 14 Jun ini, marilah kita meminta bapa dan pemuda agar lebih gigih mengimarah dan menghidupkan masjid dengan solat berjemaah, sekali gus menjadi contoh ikutan yang baik (qudwah hasanah) kepada anak lelaki mereka.

PENULIS adalah seorang doktor pelatih dan boleh dihubungi di wadah_wjy2k@yahoo.com.


Wednesday, June 04, 2003

Generasi sedia sahut cabaran tuntut ilmu perlu disuburkan

4/6/03
Generasi sedia sahut cabaran tuntut ilmu perlu disuburkan
Nafisah Osman

Sejak akhir-akhir ini semakin ketara kebimbangan masyarakat tentang kemampuan anak lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terutamanya dalam peringkat usia remaja. Hal ini adalah kerana pencapaian remaja lelaki kini agak ketinggalan dibandingkan dengan remaja perempuan. Banyak bukti yang menunjukkan pencapaian remaja perempuan lebih menonjol terutamanya dalam bidang pelajaran atau pencapaian akademik. Pelajar cemerlang di peringkat peperiksaan umum seperti peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STP lebih dikuasai oleh pelajar perempuan, begitu juga dengan prestasi yang ditunjukkan di peringkat institusi pengajian tinggi. Jumlah pelajar perempuan adalah lebih ramai dibandingkan dengan pelajar lelaki. Hal ini adalah kerana bilangan pelajar perempuan yang berkelayakan memasuki institusi pengajian tinggi lebih tinggi dibandingkan dengan pelajar lelaki. Dengan pelaksanaan sistem meritokrasi dalam pendidikan masa kini maka tentulah pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Keadaan ini semakin menyebelahi pelajar perempuan kerana mereka menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan umum peringkat sekolah.

Ada pendapat menyatakan bahawa isu ini tidak perlu dilihat sebagai satu isu yang membimbangkan. Hal ini kerana kematangan remaja lelaki adalah lambat, dan mereka kemudiannya akan menerajui semula medan kehidupan dalam masyarakat. Bagaimanapun pendapat begini perlu juga mengambil kira aspek-aspek lain dalam memastikan perkembangan kemahiran pendidikan dan perkembangan minda seseorang remaja. Dalam tempoh yang sepatutnya seorang remaja mengasah bakat dan mengembangkan potensi diri, hal yang sebaliknya pula berlaku. Sudah tentulah banyak masa yang terbuang; begitu juga dengan peluang yang hilang dan kerugian yang dialami tidak mungkin untuk dibayar semula. Selain itu haruslah difikir kembali tentang generasi yang akan diwarisi . Apakah generasi yang terhasil dapat memenuhi aspirasi dan keperluan negara?.

Negara memerlukan generasi yang berketrampilan dan intelektual yang dapat memajukan negara. Alangkah ruginya setelah beberapa dekad merdeka, negara berhadapan pula dengan masalah kelompok remaja yang bermasalah ini. Negara kita masih lagi kekurangan tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi; seperti perubatan, perkomputeran, IT, pertanian, perindustrian, dan bidang-bidang yang melibatkan kajian dan pembangunan. Walaupun tidak dinafikan terdapat pelajar-pelajar yang cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa, tetapi bilangan yang masih boleh dikira dengan jari ini tentunya tidak mampu untuk membentuk gelombang generasi yang dapat memacu pembangunan negara dan bersaing dengan negara-negara lain yang sudah maju.

Berbalik kepada isu kecemerlangan remaja atau pelajar lelaki; hal ini sebenarnya telah sampai ke tahap perlu diambil tindakan-tindakan yang wajar. Hal ini demikian bertepatan dengan peranan lelaki yang diletakkan oleh Islam sebagai pemimpin. Sama ada institusi keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat seluruhnya mesti melaksanakan program-program yang terancang yang dapat melahirkan remaja lelaki yang cemerlang. As Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya ‘Pendidikan anak-anak dalam Islam’ menyatakan pendidikan mestilah meliputi 7 aspek bagi seseorang iaitu pendidikan keimanan, moral, jasmani, mental(minda), rohani, sosial dan seks. Para ibu bapa semestinya menyedari bahawa mereka perlu menjalankan usaha-usaha melengkapkan anak-anak dengan bekalan ilmu dan amal dalam aspek-aspek yang disebutkan tadi. Inilah yang menjadi persoalan kini. Sejauh manakah ibu bapa telah melengkapkan anak-anak mereka terutamanya anak lelaki dengan tuntutan pendidikan tadi?.

Sebenarnya ada banyak faktor yang menyebabkan anak-anak lelaki ‘terbiar’ dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Antaranya berpunca daripada silap faham tentang peranan lelaki dan wanita bagi segelintir ibu bapa. Anak-anak perempuan biasanya diberi tanggungjawab yang lebih jelas dan terperinci apabila berada di rumah. Sedangkan anak-anak lelaki dibiarkan(dilepaskan) daripada tanggungjawab kerana mereka ‘ketua’ keluarga. Keadaan tiada bimbingan dan panduan ini menyebabkan anak-anak lelaki hilang tujuan dan matlamat dan tiada jadual aktiviti seharian.

Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya ada ibu bapa yang berpendirian anak-anak remaja harus dibiarkan menerokai kehidupan mereka sendiri, dengan alasan bahawa mereka juga pada suatu masa dahulu telah melalui cara hidup begitu. Namun satu hal yang perlu difikirkan bahawa suasana dan masyarakat yang dihadapi oleh remaja suatu masa dahulu amat berbeza dengan suasana dan masyarakat yang dihadapi oleh remaja masa kini. Kita bimbang dalam penerokaan itu remaja jatuh ke dalam jurang yang merosakkan kehidupan mereka.

Begitulah juga dalam kehidupan mereka sebagai pelajar. Pelajar lelaki umumnya lebih berani untuk melakukan salah laku disiplin di sekolah . Ponteng sekolah, ponteng kelas, tidak membuat kerja sekolah, dan tidak menghormati guru lebih ketara dilakukan oleh pelajar lelaki berbanding dengan pelajar perempuan. Selain itu terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat mengimbangi antara keperluan dengan kehendak di kalangan pelajar. Sebagai pendidik; penulis biasa menemui pelajar yang diberikan kenderaan untuk ke sekolah, tetapi malangnya pelajar-pelajar ini masih lewat sampai ke sekolah.

Gejala-gejala ini banyak membawa kesan dalam menentukan pencapaian akademik para pelajar lelaki.Ajaran Islam sebenarnya tidak mempertikaikan lagi tentang tuntutan terhadap anak lelaki dalam mencari ilmu. Hal ini terbukti dengan tiadanya pertikaian pendapat tentang isu ini, berbanding masih ada pandangan-pandangan yang berbeza tentang aspek pendidikan anak-anak perempuan.

Imam Syafii rahimahullah berkata;` Sesiapa yang mempelajari al-Quran, nescaya tinggi nilai dirinya. Sesiapa yang mendalami ilmu Fiqh, nescaya diangkat darjatnya. Sesiapa yang mencatat hadis Nabi, nescaya kukuh hujahnya. Sesiapa yang menguasai ilmu bahasa nescaya lembut tabiatnya. Dan sesiapa yang menguasai ilmu matematik, nescaya teguh pendapatnya.’ Pesanan ini seharusnya ditanamkan ke dalam jiwa anak-anak lelaki demi memperkukuh dan membina daya tahan dalam jiwa-jiwa mereka untuk menghadapi cabaran hidup masa kini yang semakin kencang dan tiada sempadan. Menanamkan nilai bertanggungjawab serta sikap sentiasa ingin memajukan diri dan peka tentang persekitaran masyarakat akan membantu para remaja membina jati diri yang mantap. Remaja yang mempunyai jati diri tentulah sentiasa memastikan pencapaian akademiknya memuaskan dan tidak mudah terpengaruh akan kehendak diri yang cenderung ke arah bersenang-lenang dan cara hidup hedonisme. Begitu juga remaja beridentiti tidak mudah terikut-ikut akan rakan sebaya yang suka berfoya-foya dan membuang masa. Remaja beridentiti juga tidak menjadikan sekolah hanya sebagai tempat mengisi masa lapang kesan daripada keadaan rumah yang dianggap membosankan dan tidak memuaskan hati mereka atau sekadar untuk melepaskan tanggungjawab di rumah.

Kita mahu melahirkan generasi remaja seperti yang telah ditunjukkan dalam sejarah Islam. Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ketika akan keluar dalam perang Uhud mendapati bersama-sama tentera Muslimin ialah anak-anak yang masih belum mencapai usia baligh. Rasulullah s.a.w tidak sampai hati melihat mereka lalu dikembalikan sebahagian daripada mereka termasuk Rafi’bin Khadij dan Samurah bin Jundub, tetapi kemudian kemudian Rafi’ diterima semula kerana dikatakan mahir melimpah panah. Samurah telah menangis dan memberitahu ayah tirinya bahawa dia pernah mengalahkan Rafi’ dalam tanding pergelutan. Apabila sampai berita itu kepada Nabi s.a.w maka bagindapun menyuruh mereka berdua bergelut, lalu Samurah menang dalam pergelutan itu. Lalu Rasulullah s.a.wpun membenarkan Samurah turut serta dalam peperangan Uhud. Begitulah sikap tanggungjawab dan keyakinan diri generasi sahabat terdahulu.

Wahai ibu bapa, para pendidik, dan guru-guru, kita bukan mahu melahirkan generasi remaja yang bertindak membuta-tuli, kerana Saidina Umar r.a telah berpesan supaya pendidikan anak-anak disesuaikan dengan zaman kehidupan mereka. Remaja lelaki yang mahu dilahirkan pada zaman kini ialah remaja yang dapat bersaing dalam era globalisasi, perkembangan intelektual dan komunikasi. Kita mahu remaja lelaki yang lebih positif dalam menyambut cabaran menuntut ilmu pengetahuan, lebih berkeyakinan dalam menentukan matlamat dan wawasan diri dan lebih memahami serta dapat mengenal pasti peranan dan tanggungjawab terhadap diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Janganlah kita menyalahkan remaja semata-mata, walaupun mereka memang boleh disalahkan tetapi cubalah teliti madah ini;

Bukanlah yatim
Sesiapa yang ibu bapanya terhenti daripada menanggung hidupnya
Dan meninggalkannya rendah tak berdaya
Sesungguhnya si yatim itu anak yang mempunyai
Ibu yang selalu mencuaikannya
Dan ayah yang sentiasa sibuk bekerja

[Penulis adalah seorang guru berijazah dan boleh dihubungi di emel: wadah_wjy2k@yahoo.com]