Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 18, 2005

Guru gigih, murid soleh pencetus sekolah cemerlang

Guru gigih, murid soleh pencetus sekolah cemerlang


PADA 1 Mei lalu, anak saya berumur 12 tahun dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Besar Kuala Lumpur kerana disyaki menghidap meningitis yang membahayakan. Doktor mengatakan untuk membunuh kuman itu sepenuhnya, anak saya perlu diberikan rawatan suntikan I/V antibiotik selama 10 hari. Berderau hati saya.

Perasaan ngeri menyelinap dalam sanubari apabila mendengar penjelasan doktor. Kebimbangan ini berasas. Saya sebenarnya sangat fobia dengan penyakit ini. Hal ini kerana seorang anak saudara (kini berumur 16 tahun) menjadi pekak dan bisu kerana meningitis ketika berumur sembilan bulan (beliau dilahirkan normal). Kemudian anak seorang sahabat meninggal dunia selepas diserang penyakit itu tahun lalu.

Selama 10 hari dalam wad menunggunya, anak saya menerima banyak kunjungan daripada kawan sekelas, teman sekolah, guru, ibu pada dan rakan saya. Mereka berdoa untuknya, membawakan hadiah dan bercerita serta memberikan harapan kepadanya.

Kalau dicongak-congak, saya melihat anak saya ialah pesakit yang paling ramai menerima tetamu atau pelawat. Ada antara ibu bapa dan guru yang tidak berkesempatan menziarahi anak saya, menelefon dan menghantar sistem pesan ringkas bertanya khabar dan mengirim doa agar dia sembuh.

Saya bersyukur apabila mendapat tahu guru besar dan pengurusan sekolah membuat program solat hajat khusus untuknya. Solat hajat itu mendapat kerjasama yang cukup baik daripada semua ibu bapa dan kakitangan sekolahnya. Ada seorang bapa menulis dalam e-group sekolah: “Saya belum pernah melihat sekolah yang sebegini prihatin terhadap muridnya!”

Alhamdulillah, 10 hari kemudian anak pulih dan bersekolah seperti biasa. Saya melihat ini adalah satu rahmat daripada Allah berkat doa dan kerjasama erat antara sekolah, murid dan ibu bapa. Maka, saya tidak hairan jika pada tahun lalu, sekolah ini mencatatkan rekod cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Kerjasama erat dan penuh ukhuwah antara sekolah dan ibu bapa jelas terpampang pada Hari Guru yang jatuh pada Isnin lalu. E-group sekolah itu penuh dengan ucapan ucapan tahniah dan terima kasih yang ditujukan khusus buat guru daripada murid, bekas murid dan ibu bapa.

Apa yang menarik adalah jawapan guru besar sekolah itu. Beliau mengatakan bahawa wawasan sekolah berjalan di landasan yang betul bersesuaian dengan tema Hari Guru di sekolahnya – Guru yang gigih, murid yang soleh dan sekolah yang cemerlang.

Guru gigih memenuhi kriteria berikut:-

l Berilmu. Sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan keilmuan bagi memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

l Berkemahiran. Berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan skil pengajaran, membimbing dan membentuk anak-anak.

l Tahap profesionalisme yang meningkat, mengubah dan membentuk sikap terpuji.

l Berpersonaliti (prihatin dan penyayang) dan berketrampilan.

Pelajar soleh pula dapat memenuhi kriteria berikut:-

l Akidah sejahtera.

l Ibadah yang sahih dan diterima Allah.

l Akhlak mantap.

l Ilmu pengetahuan yang meningkat.

l Keterampilan diri terpuji.

Sekolah cemerlang adalah sekolah yang mempunyai ciri berikut:-

l Pengurusan cekap.

l Kewangan mantap.

l Suasana keIslaman terpelihara.

l Pembinaan sahsiah terlaksana.

l Proses pengajaran dan pembelajaran baik.

l Pencapaian akademik meningkat.

l Peraturan dihormati.

l Keselamatan dan keceriaan diutamakan.

l Kerjasama padu semua pihak.

Sempena Hari Guru tahun ini, eloklah hayati sajak bertajuk Guru Oh Guru karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,

Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,

Jika hari ini seorang ulama yang mulia,

Jika hari ini seorang peguam menang bicara,

Jika hari ini seorang penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.



l PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap sebarang persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home