Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 20, 2005

Mulakan Perubahan diri dengan kenali kelemahan diri

Mulakan perubahan dengan kenali kelemahan diri

Oleh Rosnah Ahmad
PROSES mengandung dan melahirkan anak bagi saya adalah tazkirah panjang daripada Allah. Perkara ini lebih lagi dirasakan ketika hamil dan melahirkan anak ketiga kira-kira tiga tahun lalu


Saya menghidap gestational diabetes atau kencing manis ketika mengandung yang agak teruk. Pengalaman dimasukkan ke hospital tiga kali dan terpaksa menyuntik sendiri insulin empat kali sehari sangat menginsafkan. Syukur ke hadrat Allah. Berkat mengikut nasihat doktor dengan menjaga pemakanan, saya berjaya melahirkan anak lelaki yang sihat, sempurna dan bebas daripada kencing manis.

Kesan peristiwa itu, sangat mendalam dalam diri. Tambah menginsafkan setahun kemudian saya disahkan menghidap kencing manis peringkat awal. Ia sangat merisau dan menakutkan. Akhirnya, saya tiada pilihan, memilih untuk reda menerima ujian Allah dan cuba melawan penyakit ini.

Melawan kencing manis memerlukan saya mengubah gaya hidup, pola pemakanan dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya membuahkan hasil menakjubkan. Saya rasa lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih positif menjalani kehidupan.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Hal ini bukan bermaksud kita tidak boleh membaiki diri. Kalau difikirkan tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan membaiki diri .

Kerap kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran sebagai manusia untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi untuk berjaya seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah at-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri. Ia menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan daripada kita agak bersikap tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara tersendiri.

Apabila mengenali diri, akan kurang terikat kepada diri sendiri dan keunikan diri akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum.

Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hamba-Nya seperti firman Allah bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (al-Quran) adalah sebagai sebuah ‘misykaat’ yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari ketika naiknya dan bukan saja ketika turunnya; hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah diri sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah dengan berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Hal ini bagi memastikan supaya nur hidayah Allah dapat menembusi diri dan tidak terhalang oleh hati yang gelap serta perisai tebal yang dibina dalam diri.

Dari perspektif kerohanian, masalah dan cabaran bukan ancaman, tetapi membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan terhadap diri. Kita mengalami cabaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Ia menunjukkan bahawa sesuatu dalam diri tidak selari dengan fitrah. Apa saja yang menghalang aliran semula jadi akan menyebabkan tekanan dan penyakit.

Malu, risau, takut dan rendah diri adalah antara penghalang kemajuan diri. Kita sering menggunakan tenaga untuk mengelak, melupakan atau memindahkan penghalang itu satu bentuk kepada bentuk lain. Jarang sekali penghalang itu dilepas dan disembuhkan.

Sekiranya mahu menghilangkan tekanan dan kesakitan, berusaha mendapatkan kesedaran lebih tinggi. Penghalang mempunyai banyak hikmah.

Mekanisme membela diri juga adalah penghalang kepada perubahan. Ramai yang sering memberi penjelasan dan alasan untuk tidak memajukan diri sendiri. Tidak kurang menyalahkan orang lain dan keadaan.

Faham dan cari jawapan kepada mengapa bersikap demikian. Ia dapat membantu berubah. Contohnya, seorang yang apabila ditegur akan menipu. Hal ini kerana ketika kecil apabila mengaku kesalahan dia akan dipukul oleh ayahnya. Dia tidak diterangkan mengapa sikap itu tidak baik, apa kesan dan pilihan kepada sikap itu.

Perubahan positif pada diri seseorang mempunyai kesan besar kepada orang lain. Jika sering muhasabah diri dan berubah dengan sendirinya orang lain akan merasakan perubahan kita dan turut berubah.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal tinggi, kita dapat mencapai wawasan wanita solehah, bertamadun dan cemerlang.

PENULIS ialah pengusaha tadika dan taska boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap persoalan artikel boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com.

(Diterbitkan dalam Berita Harian bertarikh 20 April 2005)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home