Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 23, 2005

Tuntutan hak persamaan kena berlandaskan akhlak

Tuntutan hak persamaan kena berlandaskan akhlak



Secara umum, tiada yang mempersoalkan lagi hak asasi wanita untuk hidup terhormat tanpa penganiayaan dan penindasan. Begitu juga hak mendapat pendidikan, kemudahan jagaan kesihatan fizikal dan mental dan mendapat ganjaran ekonomi yang setimpal dengan usaha mereka.

Wanita membuktikan keupayaan mereka dalam mentadbir sumber alam dan manusia di sekelilingnya.

Apa yang dikhuatirkan, perjuangan menuntut hak wanita itu seolah-olah menjadi medan untuk menghasilkan beberapa ‘hak baru’ yang amat mengelirukan. Dalam membahaskan persoalan jantina dan gender (kejantinaan), seolah-olah timbul hak asasi baru untuk menjadi seorang yang bukan wanita dan bukan lelaki berdasarkan adat kebiasaan, menafikan kejadian asal ketika dilahirkan.

Dalam aspek berkeluarga, timbul pula hak untuk menentukan bahawa keluarga tidak lagi harus hanya dimulakan oleh seorang lelaki bergelar suami atau bapa dan seorang wanita yang bergelar isteri atau ibu. Wanita dikatakan ada hak untuk menjalani kehidupan berkeluarga walaupun tinggal berpasangan dengan sejenis dengannya.

Selain itu, wanita dikatakan punya hak untuk menggugurkan kandungan, sekiranya belum bersedia menghadapi kehamilan dan kehidupan sebagai seorang ibu.

Anak gadis pula dinobatkan mempunyai hak asasi untuk menerokai seksualitinya apabila sudah bersedia dengan siapa juga yang dirasakan sesuai.

Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Latin American and Caribbean Youth Network for Reproductive and Sexual Rights (Redlac) yang turut serta pada persidangan itu mengedarkan pelekat berbunyi Being sexually active IS NOT a sin....IT IS MY RIGHT! (Mengadakan hubungan seks bukanlah satu dosa, ia adalah hak saya!) Bagi masyarakat dunia yang masih kukuh berpegang kepada adat budaya dan agama, pandangan itu jauh menyimpang, sekiranya dituturkan oleh remaja yang belum bernikah dengan sah.

Jelaslah, sekiranya perjuangan menuntut hak asasi ini tidak didasarkan kepada garis panduan sejagat yang akan mempertahankan satu keseimbangan, usaha gergasi ini akan berakhir dengan kehancuran umat manusia itu sendiri.

Dalam membincangkan hak, ada dua perkara asas yang mesti terlebih dulu difahami dengan jelas. Pertama, aspek kewujudan hak itu sendiri. Sebenarnya, hak tidak wujud secara sendirian, malah mempunyai pasangan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali, iaitu tanggungjawab.

Tidak keterlaluan jika dikatakan seseorang itu hanya boleh menuntut haknya selepas tanggungjawabnya selesai dilakukan sebaik mungkin.

Contoh paling mudah adalah dalam urusan pengambilan pekerja baru. Hanya selepas tempoh percubaan tamat iaitu selepas dia menunjukkan keupayaannya menjalankan tanggungjawab dengan baik, barulah disahkan jawatan dan layak menikmati hak yang diperuntukkan sebagai pekerja di sesuatu syarikat atau jabatan.

Seorang suami mesti terlebih dulu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anak, sebelum boleh menagih dan menuntut haknya ke atas ahli keluarganya. Seorang wanita yang menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu, wajar diberikan hak untuk dihormati, dilindungi dan dimuliakan. Ini tentunya tidak sama sekali menafikan hak yang diperuntukkan kepada wanita atau lelaki yang tidak bergelar ibu bapa atau suami isteri.

Selagi seseorang itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai manusia yang diciptakan Allah sebagai hamba dan khalifah, dia berhak dihormati dan tidak ditindas lantaran warna kulit, rupa paras, dan adat bahasa. Seorang manusia yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, tidak kira besarnya, mempunyai hak untuk diperbetulkan. Ia mesti dilaksanakan oleh rakan manusia lain di sekitarnya. Menjadi tanggungjawab kita yang menyaksikan kemungkaran dan kemaksiatan di depan mata untuk berusaha menghalang dan memperbetulkannya. Hanya dengan usaha itu, barulah kita berhak mendapat gelaran ‘khairul ummah’ atau ummah terbaik. Ia seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 110)

Sekiranya manusia jelas terhadap aspek hak dan tanggungjawab ini, usaha memperjuangkan hak secara membabi-buta hendaknya dapat diseimbangkan dengan kesungguhan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Kedua, selain hak asasi seseorang, ada satu lagi yang amat perlu dijaga iaitu hak kolektif atau berkelompok bagi sesuatu komuniti atau masyarakat. Tiada manusia yang boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan keluarga dan masyarakat sekitar untuk memenuhi kehendak dan keperluannya. Apabila seseorang itu menjadi salah seorang anggota masyarakat, dia bertanggungjawab menjaga perkara asas dalam budaya dan cara hidup yang dipersetujui bersama. Selepas dia berjaya menjalankan peranan dan tanggungjawab itu, wajar menikmati hak kolektif tertentu yang sama-sama dikongsi dengan anggota masyarakat yang lain.

Dalam banyak hal, apabila wujud pertembungan antara hak individu dengan berkelompok, demi menjaga keharmonian bersama, individu haruslah berupaya mengalah dan mendahulukan keperluan hak kolektif.

Sekiranya itu tidak dapat diterima, cara yang paling baik adalah supaya orang berkenaan berhijrah mencari kelompok manusia lain yang dapat menyempurnakan haknya.

Contoh yang ingin dibawa di sini, adalah seperti cara hidup berpasangan dengan sesama jenis (homoseksual atau lesbian). Masyarakat Islam amat jelas pendiriannya dan tidak dapat menerima cara hidup ini. Contoh jelas dalam al-Quran adalah kerosakan yang menimpa umat Nabi Luth yang mengamalkan cara hidup ini. Umat Islam faham dan jelas bahawa homoseksualiti bertentangan dengan objektif hubungan manusia dalam aspek meneruskan zuriat nasab keturunan. Hubungan sejenis ini juga terbukti menjadi punca penyebaran virus HIV yang membawa Aids.

Individu dalam masyarakat Islam harus sensitif terhadap pandangan ini dan bertanggungjawab memelihara cara hidup yang lebih diterima umum. Mungkin dia merasakan adalah hak individunya untuk mengamalkan sebarang corak hidup yang disukainya, namun dia tidak wajar mengganggu keseimbangan yang ada.

Dalam hal ini, dia mempunyai dua pilihan. Pertama, menyembunyikan saja cara hidup yang tidak seiring dengan orang lain. Kedua, berpindah kepada kelompok manusia lain yang lebih boleh menerima cara hidup itu secara terbuka.

Menuntut agar masyarakat menerima saja secara total cara hidupnya di atas alasan dia berhak melakukan apa yang dirasakannya baik untuknya menunjukkan ketidakmatangannya. Ia juga menunjukkan kedangkalan iltizamnya untuk menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

Pada masa sama, ahli masyarakat lain yang kurang senang dengan cara hidup yang dipilih oleh sekelompok lain, tidak harus menunjukkan sikap membenci dan meminggirkan kelompok itu.

Mereka harus menjalankan tanggungjawab memperbetulkan mana yang silap dan salah dengan cara penuh berhikmah. Bukan hanya mencaci, mencemuh dan menghina. Pendekatan dakwah memang terbukti lebih berkesan dan positif kesannya daripada hukuman keras dan tegas. Teknik berdakwah yang baik akan membimbing seseorang untuk menangani segala perselisihan pendapat dengan cara bijaksana dan tidak emosional.

Mudah-mudahan dengan cara itu, pihak yang satu lagi akan dapat menerima kebenaran atau paling tidak akan menghormati pendapat dan pandangan kita sendiri. Renungilah perintah Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran, dan berdebatlah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang paling baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Semoga perjuangan menuntut hak ini akan terus diseimbangi dengan kematangan dan usaha gigih yang ikhlas serta mantap. Ia tidak melencong daripada garis panduan sejagat yang telah digariskan oleh Allah, Pencipta sekalian alam.

l PENULIS ialah Ketua Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wantajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan kepada permasalahan boleh dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com

1 Comments:

  • assalamualaikum warahmatullah ....

    sekadar ingin menegur, mungkin ada sedikit kesilapan mafhum ayat di dalam artikel ini.

    Untuk kebaikan bersama ...

    JZKK

    By Blogger abu.mujahid, at 1:32 AM  

Post a Comment

<< Home