Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 19, 2005

Ibadah haji kemuncak pengabdian, pengorbanan

Wadah Wanita Islam:
19 Januari 2005

Ibadah haji kemuncak pengabdian, pengorbanan
Oleh Prof Madya Maznah Daud


BULAN haji Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

DEMIKIAN sebahagian lirik lagu Panggilan Haji. Mendengarnya hati bergetar, jiwa terusik dan kaki terasa bagai ditarik untuk melangkah ke Tanah Suci menyahut panggilan Baitullah.

Sesungguhnya peluang untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci, menjadi tetamu Allah Yang Maha Esa adalah satu kesempatan yang tidak mungkin dilupakan oleh setiap insan beriman yang pernah mengalaminya.

Setiap Muslim beriman percaya bahawa Islam yang dipegangnya tidak akan berdiri tegak tanpa tiang. Dan satu daripada tiang itu adalah menunaikan haji. Lantaran itu hasrat untuk menunaikan haji adalah cita-cita murni yang sentiasa tersemat dalam hati.

Selepas selesai menunaikan haji, jemaah akan berangkat pulang dengan hati penuh kesayuan. Segala kepayahan dan kesulitan sepanjang berada di Tanah Suci, terpahat sebagai kenangan paling manis. Ia menjadikan kita terus berazam dan bertekad untuk kembali lagi ke sana.

Demikianlah hebatnya rukun Islam yang kelima ini. Ia adalah puncak pengabdian, pengorbanan dan kecintaan hamba yang kerdil terhadap penciptanya Yang Esa.

Setiap hari sepanjang tahun, umat Islam di serata pelusuk alam ini mengerjakan Rukun Islam kedua iaitu solat lima waktu sehari semalam. Rukun dalam solat semuanya terserlah serta dapat dirasakan kemanisannya sewaktu mengerjakan haji.

Ketika solat kita mengadap ke arah kiblat. Apabila kita menunaikan haji, kiblat benar-benar tersergam di depan mata. Ia berdiri megah, di kelilingi jutaan manusia dalam keadaan berjalan dan berlari bukan kerana dikejar musuh atau mengejar emas permata yang menjadi kebanggaan di dunia. Sebaliknya, tiada lain yang dikejar, melainkan satu saja iaitu keredaan Ilahi.

Selepas wajah di hadapkan ke arah kiblat kita mengangkat tangan melafaz takbir, mengaku akan kebesaran-Nya yang tiada tanding. Di sini, kita menyaksikan secara nyata betapa Maha Besar Kuasanya. Tiada seorang pun dari kalangan jutaan makhluk yang datang dari seluruh pelusuk dunia boleh mendakwa dia lebih besar dan lebih mulia daripada manusia lain. Semuanya tunduk terpaku menghadap-Nya memohon ampun di atas segala dosa, membawa sejuta harapan agar ibadat diterima dan dianugerahkan syurga.

Selesai bertakbir, kita lakukan rukun qauli yang kedua iaitu membaca surah al-Fatihah. Dalam ayat kedua surah al-Fatihah, kita memuji Allah, Pencipta dan Penguasa semesta Alam (Alhamdulillahi Rabbil-‘alamin).

Di sini, kita saksikan jutaan manusia pelbagai bangsa dan budaya berkumpul di bawah naungan Kaabah yang mulia. Semuanya mengaku dan berikrar dengan penuh khusyuk dan tawaduk bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Alunan talbiah bergema dalam satu bahasa dan satu nada: Labbaikallahumma labaik... (maksudnya “Kami menyahut seruan-Mu ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji hanya untuk-Mu dan segala nikmat hanya daripada-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu)

Seterusnya apabila membaca ‘Maliki Yaumiddin’, mengingatkan kita akan hari kebangkitan pada akhirat nanti. Di sana nanti, semua manusia akan dihitung segala amalan dan diberi ganjaran atau balasan seadil-adilnya. Dalam perjalanan ke Padang Arafah untuk menyempurnakan rukun haji yang paling utama, seterusnya berangkat ke Mina melalui Muzdalifah benar-benar menjadi iktibar bagi hari kebangkitan yang agung di Padang Mahsyar nanti. Perjalanan yang sama jaraknya tidak menjamin ketibaan dalam jangka waktu yang sama. Ada jemaah yang berjaya tiba dalam masa singkat, ada yang berjam-jam, malah ada yang tersesat dan tidak tiba langsung. Semuanya berlaku dengan kehendak dan izin-Nya semata-mata. Tidak ada siapa yang dapat mengatasinya.

Selepas itu kita berikrar di hadapan-Nya bahawa hanya Dia satu-satunya yang kita sembah dan hanya Dia satu-satunya tempat kita memohon pertolongan (IyyaKa na’budu wa iyyaKa nasta’ein). Sesungguhnya mukmin yang berangkat untuk menunaikan haji, berpisah dengan keluarga untuk waktu lama, membelanjakan wang banyak, menanggung kesusahan perjalanan yang jauh serta menggadaikan kesenangan dan keselesaan. Semua itu adalah penzahiran kepada pengakuan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Itulah matlamat hidup kita dan segala apa yang ada pada kita adalah nikmat yang diberikan-Nya untuk digunakan demi mencari keredaan-Nya.

Bacaan seterusnya adalah memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus, jalan mereka yang diberikan nikmat sebelum kita. Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.

Menjejaki bumi Makkah dan Madinah pastinya menggamit kenangan pada orang yang telah berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk menegakkan jalan lurus. Di sini, lahirnya Rasulullah saw. Di sinilah tempat Baginda mula menerima wahyu, berdakwah dan berjihad bersama sahabat yang ikhlas dan amanah.

Tanpa perjuangan suci mereka, kita tidak akan kenal jalan yang lurus ini. Malah, tidak kenal siapa Tuhan kita dan apa matlamat hidup di dunia ini.

Sebelum mengakhiri solat, kita membaca selawat Ibrahimiyah. Dengan mengerjakan haji baru terasa hikmah di sebalik bacaan selawat itu.

Sesungguhnya hampir keseluruhan rukun, wajib dan sunat haji yang dilakukan seperti tawaf, saie, melontar dan korban adalah jejak pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam menegakkan agama tauhid di bumi ini. Malah, kerinduan untuk mengunjungi Tanah Suci berulang kali dalam jiwa Muslimin juga hasil doa baginda beberapa abad lalu, ketika meninggalkan putera kesayangannya, Nabi Ismail di bumi Makkah yang tandus, bersama ibunya, Siti Hajar yang imannya lebih kukuh daripada binaan Kaabah.

Hayati dan renungilah firman Allah bermaksud: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan pencerobohannya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37).

PENULIS ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan kepada persoalan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home