Ada masyarakat Islam Malaysia ‘bakhil salam’
Wadah Wanita Islam, 8 Disember 2004
Ada masyarakat Islam Malaysia ‘bakhil salam’
Beliau mengeluh panjang. Keluhannya bukan disebabkan perangai orang Arab yang banyak kerenah, tetapi melihatkan sikap segelintir masyarakat Islam Malaysia yang hanya ‘pentingkan diri sendiri’.
Keluhan itu juga dirasakan oleh rakan Muslim dari negara lain yang menetap di Malaysia sama ada untuk belajar atau bekerja.
Mereka tidak menafikan orang Melayu adalah bangsa yang lembut dan mudah mesra. Namun, sayang beberapa kerat daripada orang kita bukan setakat pentingkan diri sendiri malah ‘bakhil salam’.
Pengucapan salam itulah yang kita bakhil.
Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Sebakhil-bakhil manusia ialah mereka yang bakhil untuk memberikan salam.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani dalam Mu'jam Awsat dan Mu'jam Kabir. Ia dikategorikan Hassan oleh al-Haithami dalam Majma' al-Zawaid, lihat: Al-Haithami, Majma' al-Zawaid, Beirut: Dar al-Fikr al-Arabi, jilid 8, halaman 32).
Saya bukanlah hendak mengatakan orang Islam di Malaysia langsung tidak memberikan salam.
Mereka tetap memberi salam, namun konsepnya di kalangan masyarakat Islam di negara ini unik dan mempunyai versi tersendiri.
Unik kerana salam kita di sini bersifat ‘eksklusif’ untuk orang yang dikenali saja. Jika orang yang tidak dikenali, biasanya tidak akan dipeduli kecuali jika kita ‘ada hal’ dengan mereka saja.
Memberi salam di tempat awam seperti ketika menaiki bas, LRT, masuk ke dalam restoran atau di mana saja dianggap ‘pelik bin ajaib’. Jika tidak percaya, cubalah memberikan salam di tempat seumpama itu, nescaya kita akan dipandang pelik, jika tidak dikatakan gila.
Adat memberikan salam ini semakin asing di kalangan remaja yang lebih seronok mengatakan ‘Good Morning, Selamat Malam, Hai, Hello, Oooiiii, Eyyyyyy’ atau menggunakan laras bahasa remaja atau slanga muda mudi.
Apabila seseorang remaja memberikan salam kepada rakan sebaya, mereka akan menerima akibat diketawa atau dipersendakan dengan kata-kata yang menjadikannya rendah diri dan terasing. Keadaan itu hingga menyebabkan mereka tidak akan mengucapkan salam hingga bila-bila.
Fenomena ini memang menyedih dan memalukan, malah menjijikkan kerana mereka malu untuk memberikan salam tetapi selesa dengan kata-kata tadi.
Rasulullah pernah ditanya: “Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?” Lantas Baginda bersabda : “Memberi makan (kepada orang miskin) dan memberikan salam kepada orang yang kamu kenali dan yang kamu tidak kenali.” (Hadis sahih riwayat Muslim, Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihyaa al-Turath al-Arabi, hadis no 54, jilid 1, halaman 74).
Jelas dalam hadis itu kelebihan memberikan salam, hatta kepada mereka yang tidak kita kenali.
Apakah tujuan perbuatan itu?
Rasulullah bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman hingga kamu berkasih-sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu amalan yang jika dilakukan akan masuk syurga? Sebarkan salam di kalangan kamu.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Salam itu untuk persaudaraan dan kasih sayang, lebih-lebih lagi di kalangan Muslimin dan menjadi identiti umat Islam .
Timbul juga pengamalan bidaah di kalangan masyarakat Islam Malaysia berkaitan budaya salam.
Bidaah ini berkaitan hubungan kita dengan kawan yang bukan Islam. Jika beliau memberikan salam kepada kita, selepas itu kita lihat sama ada kita memarahi mereka atau membalasnya dengan ucapan "Walaikumussaam" yang membawa maksud ‘Celaka ke atas kamu.’
Adakah betul akhlak seorang Muslim sedemikian rupa?
Kawan kita yang bukan Islam mengucapkan selamat ke atas kita, tetapi dijawab dengan celaka!
Celaka sungguh Muslim seperti ini. Bukan sekadar perbuatan itu tidak pernah dilakukan Rasulullah, malah bertentangan dengan akhlak Islam.
Nasib baik bukan Islam di Malaysia tidak semua faham bahasa Arab, jika tidak apakah persepsi mereka terhadap sikap umat Islam?
Menurut sunnah, sama ada kita menjawab seperti mana dia memberi salam kepada kita atau sekadar mengatakan ‘Waalaikum’ saja (lihat hadis “Jika ahli Kitab memberikan salam kepadamu, makan katakan : “Waalaikum”, hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Beirut : Dar Ibn Kathir, 1987, hadis 2,163, jilid 4, halaman 1,705, Muslim, opcit, hadis 2,167, jilid 4, halaman 1,705).
Bukankah akhlak seumpama ini lebih elok?
Kesimpulannya, hendaklah kita berusaha mempopularkan sunnah memberikan salam sama ada kepada mereka yang dikenali atau tidak.
Latih diri untuk memberikan salam di tempat umum seperti ketika menaiki bas, LRT, komuter, masuk pejabat, pasar raya dan kedai makan.
Logiknya, pada peringkat permulaan pasti kita akan berasa kekok, namun lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan budaya.
Berkaitan membalas salam bukan Islam, janganlah kita meneruskan budaya buruk yang berleluasa dalam masyarakat.
Jika dapat kita menjadikan salam sebagai budaya di kalangan masyarakat Malaysia, hatta di kalangan bukan Islam, itulah yang terbaik.
Tingkah laku remaja dan orang muda ialah pantulan daripada orang dewasa. Jika ia dibudayakan oleh orang dewasa terlebih dulu, sedikit demi sedikit budaya ini akan terbawa-bawa dalam kehidupan seharian mereka.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home