Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 06, 2004

Bijak agih tanggungjawab raih keberkatan Ramadan

Oleh Masdiana Hashim

SAHL bin Saad berkata, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya dalam syurga ada pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka.
“Kelak akan ada pengumuman: ‘Di manakah orang yang berpuasa?’ Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu itu. Selepas orang yang terakhir daripada mereka masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.” (Hadis riwayat Muslim)Allah berfirman yang bermaksud: “ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa adalah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. “Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. “(Dengan ketetapan itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran serta juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)Ramadan adalah bulan yang sangat dinanti oleh setiap Muslim. Betapa besarnya peluang ibadat dan seterusnya peluang pahala yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya pada bulan ini. Alangkah sayangnya jika peluang yang datang setahun sekali itu disia-siakan begitu saja. Namun, hakikat pada masa moden kini ialah kita terlalu disibukkan dengan hal duniawi hingga tidak dapat menumpukan 100 peratus terhadap ibadat berkaitan pada Ramadan. Perkara ini lebih ketara bagi seorang wanita bekerjaya yang berkeluarga.Haid adalah satu fitrah kurniaan Allah terhadap wanita. Kelonggaran diberikan kepada wanita yang uzur syarie untuk tidak perlu berpuasa serta melakukan sebarang ibadat, tetapi ibadat puasa saja yang perlu diganti. Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Ma’adzah berkata: “Saya bertanya kepada Aisyah: ‘Mengapa orang haid diwajibkan menggantikan puasa, dan tidak diwajibkan menggantikan solat?’ Jawab Aisyah balik sambil bertanya: ‘Apakah engkau orang Haruriyah?’ “Jawabku: ‘Tidak! Aku bukan Haruriyah tetapi aku bertanya.’ Kata Aisyah: ‘Itulah keuntungan kita. Kita diperintah men qada puasa, tetapi tidak mengqada solat.” Hukum itu dipersetujui oleh jumhur ulama. Hikmah yang tersembunyi di situ untuk wanita itu sendiri kerana puasa wajib Ramadan hanya datang setahun sekali, sedangkan solat lima waktu sehari dan purata waktu haid wanita adalah lima hingga tujuh hari dalam sebulan.Penulis pernah mendengar pengalaman wanita yang begitu ingin menjalani ibadat sepanjang bulan tanpa gangguan (yakni tanpa terkena uzur syarie). Lalu, beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Allah sepanjang Rejab dan Syaaban supaya dilewat atau diawalkan waktu haidnya supaya tidak terkena Ramadan. Dengan izin Allah, doa itu dimakbulkan. Mungkin juga ada yang bertanya mengenai penggunaan ubat untuk menahan haid seperti yang diamalkan mereka yang menjalani ibadat haji. Haya binti Mubarok al-Barik dalam Ensiklopedia Wanita Muslimah ada menerangkan bahawa hal ini tiada dalilnya dalam Islam dan diterima oleh ulama mutakhir yang ia dibolehkan. Bagaimanapun, sebaik-baiknya untuk merujuk pandangan doktor ginekologi akan kesan sampingan. Sebagai wanita, sedikit sebanyak kita akan disibukkan dengan persiapan hari raya. Menjadi norma (yang tidak sepatutnya) semakin hampir ke penghujung Ramadan maka semakin kurang bilangan saf Muslimah bersolat Tarawih disebabkan persiapan hari raya, sedangkan dinyatakan dalam al-Quran dan hadis bahawa Lailatul Qadar yang terlalu tinggi nilainya terletak pada 10 malam terakhir Ramadan. Pekara ini dinyatakan dalam satu surah yang dikhaskan untuk malam itu iaitu surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” Sebaik-baik persiapan seperti menjahit atau membeli baju atau langsir dan perhiasan rumah lain disiapkan sebelum Ramadan lagi. Membuat kuih dan sebagainya boleh dilakukan pada siang (pada hujung minggu bagi yang bekerja). Perkara ini kerana kita mengikut resipi yang tidak perlu merasa (sekiranya puasa) atau dimanfaatkan waktu ‘cuti’ yang diberikan Allah. Adanya pelbagai jenis kuih yang dijual juga menyenangkan kaum wanita. Tidak kurang juga pentingnya pertolongan suami. Suami boleh menolong dalam persediaan berbuka, bersahur atau berkemas selepas berbuka dan bersahur. Begitu juga menjaga anak-anak bagi meringankan beban isteri supaya tidak terlalu penat untuk melakukan ibadat lain seperti solat Tarawih dan qiamullail.Pendek kata sebagai Muslim cemerlang, menjaga dan mengatur masa dengan bijaksana sangat penting. Semua lelaki dan perempuan diberi peluang yang sama untuk menanam benih di dunia ini untuk dinikmati di akhirat kelak. Ini dinyatakan Allah dalam surah at-Taubah, ayat 71 dan 72 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal dalamnya dan beroleh tempat yang baik dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.”PENULIS ialah seorang Eksekutif Telekom Malaysia Sarawak dan boleh dihubungi melalui e-mel, wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh dibaca di www.wanitajimceria.blogspot.com.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home