Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, September 01, 2004

Wanita kita tadbir negara selaras zaman Rasulullah

1 SEPT 2004

Oleh Ruswati Hashim
WANITA, tempatnya di ceruk dapur. Wanita tidak boleh menjadi ketua. Mereka mesti menjadi pengikut lelaki. Demikian antara nilai yang menjadi pegangan sebahagian besar masyarakat Islam hingga perkara itu menjadi fitnah besar kepada din Islam.
Musuh Islam mengambil kesempatan itu untuk melemparkan tohmahan bahawa Islam adalah agama yang menindas kaum Hawa, merendah-rendahkan martabat mereka dan menganggap wanita adalah manusia kelas dua! Persoalannya, benarkah begitu? Tulisan ini tidak akan menyentuh isu lain berkaitan wanita seperti hak dalam perkahwinan, harta pusaka dan kesaksian. Penulis hanya akan membincangkan skop sejauh mana Islam membenarkan wanita terbabit dalam sosiopolitik masyarakat dan negara. Sebenarnya, menjadi hukum yang jelas bahawa ulama mengharuskan pembabitan wanita dalam soal pentadbiran, pengurusan dan sebahagian kepemimpinan negara. Contoh nyata daripada sirah Rasulullah saw dan sahabat menjadi dalil kepada keharusan pembabitan wanita dalam pentadbiran masyarakat dan negara. Kaum wanita pada zaman Rasulullah turut menyumbangkan saranan mengenai isu politik dan negara. Ummu Salamah, misalnya, pernah mencadangkan jalan keluar kepada Baginda dalam Peristiwa Hudaibiah ketika sahabat tidak bersetuju untuk kembali ke Madinah dan mengerjakan haji pada tahun berikutnya. (Bukhari, Kitab: Syarat, bab: Syarat-syarat dalam berjihad dan berdamai dengan musuh perang, jilid 6, muka 257, 269 dan 276 ). Begitu juga cadangan Ummu Sulaim kepada Rasulullah ketika Perang Hunain mengenai orang yang cuba lari daripada medan perang. (Muslim, Kitab: Jihad, Bab: Kaum wanita berperang bersama kaum lelaki, jilid 5, muka 196). Dalam suasana kegawatan politik umat Islam selepas pembunuhan Saidina Uthman, kita dapati Saidatina Aishah turut membabitkan diri dengan pendapat dan tuntutan bersama sahabat lain, supaya pembunuh Uthman dihukum qisas. Malah, beliau turut dalam Perang Jamal melawan Saidina Ali (semoga Allah mengampunkan mereka!) Demikian juga ketegasan, keberanian dan ketajaman lidah Asma’ binti Abu Bakr ketika berhadapan dengan penguasa zalim Al-Hajjaj bin Yusuf As-Saqafi selepas mereka membunuh dan mensalibkan anaknya Abdullah bin Zubair. (Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab : Kebohongan suku Thaqif dan kecurangannya, jilid 7, muka 190) Kaedah usul mengatakan bahawa asal segala sesuatu adalah harus, selagi tidak ada dalil lain yang mengharamkannya. Dalam konteks negara kita, tugas wanita mentadbir negara perlu dilihat dari dua sudut. Pertama, penggubal undang-undang dan peraturan dan kedua, pelaksana atau pemantau undang-undang dan peraturan. Mengenai penggubalan undang-undang, Islam tidak pernah melarang wanita menjadi penggubal undang-undang. Perkara sedemikian kerana penggubalan undang-undang memerlukan ilmu pengetahuan luas dan pemahaman mendalam terhadap tuntutan serta keperluan masyarakat. Dalam hal ini, Islam memberi hak yang sama kepada lelaki dan wanita untuk mendapatkan ilmu. Dalam sejarah banyak ditemui wanita yang alim dalam bidang hadis, fiqh, sastera dan sebagainya. Berkenaan soal pelaksanaan dan pengawasan, hal ini tidak lepas daripada tugas amar makruf dan nahi mungkar. Pada pandangan Islam, lelaki dan wanita sama-sama berkewajipan menjalankan tugas ini. (Surah at-Taubah, ayat 71) Menurut Dr Yusuf Qradhawi ketika menghuraikan ayat 34, surah an-Nisa’, menjelaskan bahawa pemilihan beberapa wakil rakyat wanita ke dalam Parlimen hanya bersifat minoriti dan majoriti mutlak masih di tangan lelaki. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa pemilihan wanita ke Parlimen akan menjadikan mereka pemimpin lelaki. Beliau juga menambah, ayat itu mengenai kepemimpinan lelaki ke atas wanita lebih cenderung kepada permasalahan kehidupan dalam keluarga. Ertinya kaum lelaki adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab penuh terhadap keluarganya. Ungkapan “dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian harta mereka” menunjukkan bahawa kepemimpinan yang dimaksudkan adalah terhadap keluarga. Adapun kepemimpinan sebahagian wanita ke atas sebahagian lelaki di luar lingkungan keluarga, tidak ada nas yang melarangnya. Apa yang dilarang adalah kepemimpinan umum seorang wanita ke atas lelaki (pemimpin umat). Sementara maksud sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Bakr bahawa tidak akan pernah berjaya satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita adalah kepemimpinan umum ke atas umat secara keseluruhan. Kalimat “urusan mereka” bererti urusan kepemimpinan dan ketua negara, tetapi jika kepemimpinannya untuk sebahagian urusan saja seperti dalam urusan fatwa, ijtihad, pendidikan, periwayatan hadis, pentadbiran dan seumpamanya, tidak ada larangan bagi wanita. Malah, dalam menentukan keputusan pengadilan (hakim), Imam Abu Hanifah mengharuskannya, selagi tidak berkaitan dengan hudud dan qisas. Sementara itu, ada sebahagian ulama fiqh salaf yang memperbolehkan kesaksian wanita dalam masalah hudud dan qisas seperti yang disebutkan oleh Ibnu al-Qaiyim dalam kitab ath-Thuruq al-Hukmiyah. At-Thabari dan Ibnu Hazm pula mengharuskan kesaksian wanita secara umum. Ulama juga sepakat bahawa ada beberapa hal dalam masalah membuat hukum berkaitan wanita dan keluarga serta pelbagai hubungannya perlu ditangani oleh wanita. Tidak dapat tidak dan barang kali dalam beberapa hal, pandangan kaum wanita lebih tajam daripada lelaki. Dr Yusuf Qardhawi memberi contoh ketika pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab, beliau mengambil pendapat wanita dalam beberapa perkara seperti tidak perlunya menetapkan bayaran maksimum mas kahwin dan tempoh seorang wanita boleh bersabar sewaktu ketiadaan suami kerana keluar berperang. Apa pun, perlu diingatkan di sini bukanlah apabila wanita dibenarkan mentadbir masyarakat dan negara, mereka boleh bercampur dengan lelaki ajnabi tanpa syarat dan batas atau kegiatannya sampai merugikan suami, rumah tangga dan anak-anak. Begitu juga pembabitannya menyebabkan norma Islam berkaitan pakaian, gerak-geri dan pembicaraan diketepikan. Sebaliknya semuanya hendaklah dijaga dan diperhatikan sepenuhnya tanpa kecuali. l PENULIS ialah pendidik berijazah dan boleh di hubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com dan jawapan sebarang permasalahan di www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home