Hubungan majikan, amah ibarat perkongsian pintar
30/6/04
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj
PEMBABITAN wanita dalam sektor guna tenaga di luar rumah, menimbulkan satu keperluan bagi mengupah tenaga luar sebagai pembantu rumah. Mereka diperlukan untuk melakukan kerja harian dan asas yang sebelum ini diuruskan sendiri oleh isteri dan ibu.
Pembantu rumah ini biasanya warga asing kerana tidak ramai rakyat tempatan berminat dengan kerja ini. Mereka menganggap kerja ini tidak memberikan kebebasan dan kurang `glamour’ berbanding kerja kilang atau perkhidmatan lain.
Dalam pada itu, kita juga sering membaca dan mendengar laporan mengenai penderaan fizikal majikan terhadap pembantu rumah mereka.
Melihat keadaan ini, timbul persoalan adakah kita kembali hidup ke zaman kuno di mana perhambaan sesama manusia menjadi norma kehidupan? Di manakah hilangnya rasa belas ihsan dan kasihan serta rasa hormat kepada insan lain?
Islam mengambil berat hubungan antara majikan dengan pembantu rumah yang berkhidmat untuk keluarga dan rumah tangga mereka. Imam Al-Ghazali menggariskan dalam hasil karyanya agungnya ‘ Al-Adab Fi Ad-Deen’ – Tata Susila Dalam Agama Islam, mengenai adab yang mesti dilaksanakan oleh kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah.
Dalam susun atur yang ditunjukkan, majikan mestilah terlebih dulu menjaga adab dan peraturan terhadap pembantu rumahnya. Kemudian barulah dijelaskan mengenai adab yang mesti dilaksanakan oleh pembantu rumah kepada majikannya.
Dalam membincangkan adab majikan terhadap pembantu rumahnya, Imam Al-Ghazali menggariskan tujuh perkara yang mesti diperhatikan:
· Janganlah seorang majikan itu memaksa pembantu rumahnya melakukan sesuatu yang di luar keupayaan dan kesanggupannya.
· Majikan hendaklah sentiasa bertimbang rasa dan mempunyai perasaan kasihan belas terhadap pembantunya, terutama pada waktu mereka menghadapi kesukaran atau keletihan.
· Majikan tidak boleh sesekali memukul atau mencederakan tubuh badan pembantunya.
· Majikan hendaklah menjaga tutur kata dan tidak memaki hamun serta mencaci pembantu rumahnya kerana dikhuatiri pembantu akan bertindak balas.
· Sentiasa menegur dan memaafkan kesalahan pembantu rumah.
· Berikan pertimbangan sewajarnya kepada permintaan mereka seperti permohonan bercuti atau perlepasan.
· Pastikan makanan pembantu rumah sama dengan apa yang dimakan oleh majikan, bukannya diberikan makanan sisa atau tidak berkhasiat.
Ada dua hadis sahih yang disertakan dalam penerangan lanjut mengenai adab majikan terhadap pembantu atau pekerjanya. Satu mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ialah ‘Rasulullah tidak pernah memukul seseorang dengan tangannya, tidak memukul wanita dan tidak pula memukul pelayannya kecuali ketika baginda berperang di jalan Allah.’
Sebuah lagi mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah adalah mengenai upah yang harus disempurnakan: ‘Berikanlah upah kepada pekerjamu, sebelum kering peluhnya.’
Dalam konteks semasa, hendaklah majikan tidak melambat-lambatkan bayaran gaji dan upah bulanan kepada pembantu rumah mereka apabila tamat tempoh sebulan.
Menyentuh adab yang mesti ditunjukkan oleh pembantu rumah terhadap majikannya, Imam Al-Ghazali menyenaraikan enam perkara seperti berikut:
· Seseorang pembantu itu mestilah mengikuti arahan majikannya.
· Hendaklah melaksanakan pekerjaan dengan baik ketika ketiadaan majikannya.
· Hendaklah bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan tugas dan pekerjaannya.
· Memelihara maruah majikannya.
· Bersikap lemah lembut dan kasih sayang kepada anak majikannya.
· Janganlah dia mengkhianati amanah serta harta benda majikannya.
Sebuah mafhum hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim: ‘Dibentangkan kepadaku tiga golongan yang awal memasuki syurga, pertama – orang yang mati syahid (kerana berperang di jalan Allah), kedua – hamba (pembantu) di mana mereka melakukan sebaik-baik ibadat kepada Tuhannya dan mereka pula menjadi sebaik-baik pelayan kepada tuannya dan ketiga – orang yang baik hati dengan memberikan kemaafan dan boleh hidup dalam kemiskinan.’
Sekiranya majikan dan pembantu saling memelihara adab serta tata susila perhubungan mereka, tentulah akan terhasil satu hubungan persaudaraan yang kukuh dan dapat menjamin keharmonian dalam rumah tangga.
Sebenarnya hubungan antara majikan dan pembantu rumah boleh dianggap satu perkongsian pintar serta berkeadaan ‘menang-menang’ yang dapat membawa manfaat dan keuntungan yang besar kepada kedua belah pihak.
PENULIS adalah Ketua Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home