Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 28, 2004

Bukan Islam boleh diajak tangani isu Palestin

28/4/04

Oleh Maryam Jailani
MINGGU Palestin atau ‘Palestinian Week 2004’ yang berakhir 19 April lalu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menimbulkan ra-sa prihatin ‘masalah umat’ di kalangan remaja yang cintakan keamanan sejagat.
Program yang dirancang pada kali ini diberi nafas baru dan meniupkan kesedaran yang sungguh mengguris jiwa setiap yang hadir. Program begitu seharusnya disuburkan di pusat pengajian tinggi lain dan seterusnya di sekolah menengah seluruh negara. Malah, saya amat yakin program ‘Video and Talk Show’ dalam program itu yang menampilkan Datuk Dr Jemilah Mahmood (dari Persatuan Bantuan perubatan Malaysia – MERCY) sebagai ahli panel tunggal dan Nizal Mohamad (dari TV3) sebagai pengerusi majlis, berjaya memberi kesan sangat mendalam kepada hadirin yang memenuhi dewan.
Antara isu berkaitan yang perlu diambil perhatian ialah perkongsian isu Palestin dengan seluruh masyarakat yang lebih meluas termasuklah masyarakat bukan Islam. Isu Palestin yang sudah lebih 50 tahun diperjuangkan tidak harus terus diperjuangkan masyarakat Islam saja. Demi mewujudkan dunia yang aman, perpaduan dan kesatuan dalam isu antarabangsa ini harus diperluaskan dan diperjelaskan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuklah masyarakat bukan Islam. Saya pasti rakyat Palestin juga mahukan masa depan dunia yang damai dan harmoni.
Saya juga yakin mereka bersedia menyahut cabaran untuk terus memperjuangkan kebenaran. Malah, saya amat pasti ramai di kalangan masyarakat bukan Islam yang sangat sensitif dengan isu pencabulan hak asasi manusia walaupun di mana saja, apatah lagi isu Palestin yang memaparkan episod pencabulan hak asasi manusia yang tidak dapat diterima oleh sesiapapun yang mengaku dirinya sebagai manusia.
Hati siapa yang tidak tersentuh dengan penderitaan rakyat Palestin yang juga berbilang agama?
Hati mana yang tidak terusik dengan pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa dan pencabulan maruah wanita yang lemah tidak berdaya?
Nurani siapa yang tidak terguris dengan pengeboman Sheikh Ahmad Yasin, pejuang Palestin yang lumpuh di kerusi rodanya?
Alangkah baiknya jika kita sebagai insan pencinta keamanan, ‘berkongsi’ rasa hati dan idealisme perjuangan dengan mereka di luar sana? Mengapa kita kecilkan medan perjuangan keamanan dan hak Palestin ini hanya dikalangan umat Islam? Mengapa tidak kita bersatu dengan semua pencinta keamanan lain?
Bumi ini dikongsi bersama, maka mengapa hanya berjuang seorang diri berusaha untuk memastikan bumi aman? Malah di Palestin sendiri, ramai sukarelawan dan masyarakat Palestin bukan Islam yang turut memperjuangkan kemerdekaan dan hak rakyat Palestin hingga mereka sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Mengapa? Ini kerana, mereka juga manusia yang mempunyai naluri kemanusiaan. Mengapa? Ini kerana, mereka juga cintakan keamanan. Mereka juga tahu membezakan prinsip keadilan dan kezaliman. Mereka juga percaya bahawa masih ada peluang untuk kebenaran bertapak kukuh di bumi Palestin dan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa peperangan lebih membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.
Malah, sebagai pelajar perbandingan agama, saya juga yakin semua agama menuntut penganutnya berpegang dengan prinsip etika yang sama sekali akan menidakkan tindakan kejam dan bersifat haiwan ke atas manusia.
Bagi penganut agama Buddha yang berpegang dengan konsep ‘Nirvana’ dan ‘10 Precepts’ tentu sekali tidak akan membenarkan pembunuhan kejam yang berlaku di Palestin berdekad-dekad lamanya. Penganut agama Kristian pula tentu sudah lazim dengan ajaran Kitab Injil yang menolak kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia. Maka, di sinilah relevan isu ini untuk dikongsi bersama hatta dengan masyarakat bukan Islam. Titik pertemuan yang sangat berhubung kait ini sudah tentunya akan membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat dunia yang memperjuangkan keamanan.
Penyatuan tenaga dan usaha seumpama inilah yang kita nantikan selepas sekian lama. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tentu sekali masih ada ruang untuk kita bergabung tenaga dan idea, menyumbangkan bantuan kewangan dan harta benda, malah menyebarkan isu perjuangan di Palestin dengan fakta yang sahih ke dalam kepelbagaian bahasa dan bangsa di negara ini. Umpamanya, seluruh lapisan masyarakat boleh memperluaskan isu ini melalui lagu, kartun, majalah dan akhbar dalam pelbagai dialek dan bahasa.
Pendek kata, pendidikan dan pemahaman mengenai isu sebenar di Palestin ini perlu disebarkan melangkaui batasan bangsa, bahasa dan agama dengan satu matlamat yang kita semua impikan iaitu mewujudkan dunia yang lebih aman. Masyarakat Malaysia berbilang kaum bersatu menyumbang dan membantu misi kemanusiaan di wilayah Bam, Iran dan juga Iraq. Pengorbanan itu tentunya tambah bermakna dengan kesediaan untuk terus mengekalkan perpaduan dan sokongan dalam isu Palestin ini. Kesatuan dan perpaduan unik ini tentunya akan menghasilkan suara baru yang teguh memperjuangkan keamanan dan kedamaian.
Maka, seluruh masyarakat Islam perlu diajak untuk bersama-sama ‘bercerita dan berkongsi’ isu Palestin sebenar dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat bukan Islam perlu diajak untuk sama-sama menganalisis tragedi di Palestin daripada kaca mata pencinta kedamaian. Justeru, marilah kita berganding bahu demi merealisasikan keamanan dunia yang kita impikan.
Penulis adalah Pelajar Jurusan Perbandingan Agama, UIAM dan boleh dihubungi melalui e-mel di alamat wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home