Ummah dituntut tentukan kepemimpinan
10/3/04
Oleh Ir.Hjh. Endok Sempo Mohd Tahir
ROKIAH bertanya rakan sejawatnya, Salmah mengenai pilihan raya. Dia bertanya, di manakah Salmah akan mengundi. Namun, jawapan yang diterima begitu mengecewakan.
“Aku malas nak mengundi!,” balas Salmah.
Rokiah kehairanan dan bertanya mengapa. “Aku mengundi ke, tidak mengundi ke, nasib aku macam tu juga. Aku tetap menjadi kerani cabuk! Sesiapa pun yang menang dalam pilihan raya ini aku tetap macam tu juga, ibu tunggal yang melarat, wanita yang terbiar,” kata Salmah.
Hujah Salmah lagi:
“Kadang-kadang saya juga terfikir, pilihan raya ni menjadikan ramai antara kita menjadi manusia yang kurang siuman. “Kerana di masa inilah berlaku perkara perkara yang dilarang Allah, memutuskan silaturahim, mengata orang, memaki hamun, merendah rendahkan saudara sendiri, pulau memulau, mengadu domba, kempen angkat bakul yang berlebih-lebihan hingga memualkan tekak.”
Rokiah membalas: “Kamu tak boleh cakap macam tu, sebab tidak semua orang macam tu, asalkan kita tidak menjadi seperti mereka. “Kita mesti menjalankan tanggungjawab sebagai warga negara yang baik. Setiap langkah kita yang soleh akan diberi ganjaran daripada Allah jika niat kita kerana-Nya.”
Ini hanya satu daripada banyak contoh mentaliti ‘ketidakpedulian’ rakyat yang layak mengundi dalam menentukan kepemimpinan negara. Pilihan raya umum hanya datang lima tahun sekali, namun ramai rakyat tidak menghargai peluang ini.
Mengapakah sikap ini masih berlaku di kalangan umat Islam di negara ini? Mungkin kerana umat Islam berasa selamat dan berbangga dengan biangan yang ramai. Ketidakpedulian ini perlu dibetulkan dan kefahaman rakyat mengenai ‘poilitik warga’ seharusnya di ketengahkan.
Menurut ulama terkenal, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihan raya dan pungutan suara sama dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik.
Pada pandangan beliau, sesiapa yang memberikan undian/suaranya kepada seorang calon kerana alasan kerabat dekat atau sekampung atau kerana berharap dapat mengambil manfaat apabila calon itu terpilih nanti, maka dia telah menentang firman Allah dalam surah at-Talaq, ayat dua, bermaksud,
“Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah.”
Sementara sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihan raya (tidak keluar mengundi) hingga golongan yang jujur kalah dan golongan yang tidak layak memimpin menang dengan suara majoriti, maka dia juga menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian.
Firman Allah bermaksud, “Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)
“Dan janganlah kalian (saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283).
Kita perlu membabitkan diri dalam proses pilihan raya sebagai warga negara Malaysia yang bertanggungjawab sama ada sebagai jentera pilihan raya, pengundi atau pemantau rasmi. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk memilih calon yang tepat dengan mencari sebanyak mungkin maklumat mengenainya.
PENULIS seorang Jurutera professional dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home