Kanak-kanak dibiar bebas meneroka cepat membaca
3/3/04
Oleh Rosnah Ahmad
PERSOALAN yang sering diajukan ibu bapa apabila menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak ialah: “Bila anak saya nak mula belajar menulis?” Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis kerana ia adalah faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan kerjaya mereka. Mengajar anak menulis adalah amanah sebagaimana sabda Rasulullah:
“Hak anak atas ibu bapanya adalah diajarnya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal.” – (Hadis Riwayat At-Tarmizi).
Cara yang digunakan kebanyakan ibu bapa untuk mengajar anak mereka menulis ialah dengan memegang tangan anak dan menunjukkan cara menulis A,B,C atau 1,2,3. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan kemahiran itu sudah ada sejak awal lagi kerana bayi dilahirkan dengan tindak balas genggaman sangat kuat hingga boleh menampung berat badan sendiri.
Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan kasar secara tiba-tiba, tindak balas terkejut akan menyebabkan bayi membuka jarinya seperti bintang dan kejutan itu perlu hilang sebelum bayi memperoleh kemahiran manipulatif. Perkembangan memanupulasi tangan seperti memegang sesuatu berlaku dengan pesat pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap tahap perkembangan ini supaya mereka dapat menyediakan persekitaran dan rangsangan yang sesuai untuk menyokong setiap perkembangan anak.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menolong mempercepatkan tindak balas genggaman dengan membuka jari anak satu persatu dengan lagu atau nasyid kerana suasana gembira memudahkan bayi membuka genggaman secara perlahan-lahan. Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur berlainan seperti kain, kertas dan plastik pelbagai jenis bagi menolong menguatkan otot jari tangan selain membiasakan mereka dengan pelbagai objek.
Ada ibu bapa yang sering memarahi anak kerana suka mengutip dan memasukkan apa saja mereka jumpa ke dalam mulut sedangkan peri laku itu adalah penunjuk anak sudah boleh menggunakan ibu jari serta jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manipulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.
Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegang, sedangkan hakikatnya anak itu belajar menggenggam serta melepaskan barang sebagai merangsang tahap perkembangan kebolehan yang baru dipelajari. Anak-anak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan cepat memperoleh kemahiran manipulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis yang terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu pra tulis, awal menulis dan pandai menulis.
Peringkat pratulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti mengoyak, meramas, menggentel, melipat, memusing, memutar, memulas, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara. Kanak-kanak di sekitar umur satu atau dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.
Peringkat awal menulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus. Sekitar umur empat tahun pula, kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan dan pada peringkat itu, ibu bapa mestilah lebih kreatif untuk menjadikan aktiviti menulis menarik. Antara cara menggalakkan anak menulis, sebelum keluar membeli-belah, suruh anak menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sebatang pensil dan empat biji limau.
Anak-anak akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis dan secara tidak langsung mereka turut belajar mengeja pada masa yang sama. Kebiasaan itu boleh dipraktikkan sebelum pergi berkelah, bercuti atau balik kampung di mana anak digalakkan menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Aktiviti begini banyak memberi kebaikan dan memudahkan dalam usaha memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin serta berdikari dalam diri anak di peringkat lebih awal.
Untuk memupuk penulisan kreatif, anak-anak digalakkan berkarya seperti membuat buku catatan peribadi, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek. Mempunyai diari sendiri juga membantu menggalakkan anak-anak menulis dan berkarya. Sebagai tanda menghargai hasil usaha serta memberi galakan, tampal karya mereka di peti sejuk atau dinding bilik dan jika ada peluang, hantar karya mereka ke majalah kanak-kanak untuk disiarkan. Semua aktiviti menulis nampak seperti terlalu awal untuk dipupuk dan di luar kemampuan anak tetapi jika diberi sedikit tunjuk ajar, kesabaran dan istiqamah, anak boleh melakukannya dengan baik.
Kanak-kanak sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif. Sediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna bagi memupuk minat anak untuk menulis. Pada peringkat awal, janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis atau mengeja dengan salah sebaliknya beri kata-kata galakan dan pujian sebelum menegur kesilapan mereka. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan jadikanlah aktiviti menulis sesuatu yang menggembirakan buat seisi keluarga.
Penulis ialah pengurus TASKA dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home