Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 14, 2004

Lima komponen diri penentu tumpuan maksimum

Oleh Siti Aishah Mahamad
TUMPUAN sangat penting dalam kehidupan, sama ada ketika solat, belajar, bekerja, beribadat atau bersukan. Sewaktu solat, tumpuan ialah khusyuk. Kita maklum Allah menjanjikan pelbagai kelebihan bagi orang yang khusyuk ketika solat. Dalam sukan pula, kita sering mendapati juara kecundang di gelanggang disebabkan hilang tumpuan ketika pertandingan. Tumpuan sangat penting dalam proses pembelajaran.
Saban tahun kita membaca dalam akhbar cerita kejayaan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa faktor utama mereka lulus cemerlang kerana memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.
Tumpuan yang dimaksudkan di sini ialah semua komponen diri iaitu tumpuan jasad, hati, akal, emosi dan roh. Dalam bilik kuliah, tumpuan jasad dimulakan dengan pemilihan tempat duduk yang membolehkan seseorang pelajar mendapat tumpuan maksimum. Tempat duduk terbaik ialah di bahagian mudah dilihat pensyarah dan pelajar senang mendengarnya. Ini disebabkan tumpuan jasad utama ialah tumpuan penglihatan dan pendengaran supaya segala nasihat, panduan dan pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah dapat dicerap sepenuhnya.
Tumpuan hati pula perlu dimulakan dengan azam belajar bersungguh-sungguh dan berjaya sebagai pelajar cemerlang. Menghadiri program motivasi, begitu juga membaca cerita kejayaan ahli sains adalah antara cara menumpukan hati terhadap kegiatan berkaitan ilmu pengetahuan. Dalam kelas, keinginan hati perlu dikawal supaya kita hanya memberikan perhatian kepada aktiviti pembelajaran dan hati tidak menyimpang kepada perkara lain yang tiada kaitan dengan ilmu.
Antara cara melakukan tumpuan emosi pula ialah menanamkan tekad untuk berjaya bagi membalas jasa dan memenuhi harapan ibu bapa. Tekad juga termasuk ingin menyumbang kepada agama, negara dan ummah. Pada masa sama, pelajar hendaklah mengawal emosi negatif yang mungkin merencatkan motivasi seperti perasaan tidak sukakan pensyarah, tidak suka sistem atau peraturan universiti. Perkara remeh-temeh ini wujud di mana-mana dan jangan dibiarkan menjejaskan prestasi.
Tumpuan akal pula bermaksud fokus sepenuhnya bagi memahami pelajaran, menyelesaikan soalan latihan, menyiapkan projek, tugasan dan sebagainya. Penumpuan akan menjadikan akal kita kuat. Untuk melakukan penumpuan akal, pelajar hendaklah memberikan sepenuh perhatian kepada pengajaran pensyarah sama ada dalam dewan kuliah atau makmal. Ini bermaksud pelajar hendaklah membaca, mendengar, mencatat dan berfikir dengan penuh minat setiap unit ilmu yang disampaikan pensyarah. Selepas itu, pelajar hendaklah membuat latihan, tugasan, dan sebarang kerja berkaitan dengan topik yang baru diajar itu segera. Kelewatan melakukan kegiatan pengukuhan ini akan mengurangkan kualiti hasilnya. Ini kerana penangguhan boleh menyebabkan kurang motivasi dan kurang daya ingatan. Pelajar perlu mengawal akalnya daripada memikirkan unsur negatif dan kurang utama kerana ini boleh mengurangkan kekuatan dan kualiti pemikiran.
Pembelajaran adalah kegiatan utama pelajar. Kegiatan lain seperti beribadah, bersukan, berekreasi dan sebagainya hendaklah dilakukan untuk menguat atau menyokong aktiviti pembelajaran atau sebagai aktiviti selingan saja. Jangan sekali-kali melakukan kegiatan ini hingga menjejaskan pembelajaran. Contohnya, kegiatan sukan hendaklah dilakukan untuk menyihatkan dan mencergaskan badan. Kita tidak sepatutnya bersukan hingga meninggalkan kelas atau menyebabkan badan terlalu letih. Jika ini berlaku pelajar mungkin tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran atau mengulang kaji pelajaran.
Tumpuan roh adalah kemuncak segala tumpuan. Segala ibadat fardu dan sunat yang menjadi amalan orang bertakwa seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala aktiviti kebajikan adalah amalan yang mendekatkan diri pelajar dengan Allah. Ia juga dapat menambah kualiti kemanusiaan seseorang. Kegiatan ini akan menguatkan iman, memberikan kesejahteraan hati serta akal dan ketenangan emosi. Juga, insya-Allah segala amalan ini akan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada pelajar dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup dan cabaran sebagai pelajar remaja.
PENULIS adalah pengetua sekolah dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home