Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 17, 2003

Sifat pemaaf beratkan timbangan amal

Oleh: Azlina Roszi Mohd Ghaffar

TAHUN ini adalah tahun ketiga Mariah tidak berhari raya di kampung. Bukan tidak rindu kepada kedamaian dan keheningan desa yang tenang daripada hiruk-pikuk kota, tetapi hatinya sakit dengan perbuatan Abang Long yang sengaja melambat-lambatkan urusan pembahagian harta pusaka seolah-olah ingin membolot semuanya. Sejak pemergian arwah ibu, 10 tahun dulu diikuti ayah enam tahun kemudian, Mariah dan adik beradik berasa Abang Long seperti terlalu mengikut telunjuk isteri dan mengetepikan mereka. Apabila disebut mengenai pembahagian tanah pusaka, pergaduhan pasti meletus dengan tuduh menuduh yang tidak berkesudahan. Namun dalam diam, rupanya Abang Long yang sudah bergelar haji sedang mendirikan rumah banglo di atas tanah pusaka itu. Berita terbaru yang diterima membuatkan hati Mariah marah. Beliau bercadang mengambil tindakan dengan mengemukakan saman terhadap abangnya. Kita masih meraikan bulan Syawal yang semakin menuju penghujung. Syawal yang diertikan sebagai bulan kemenangan, kemaafan dan kunjung mengunjung mengeratkan silaturahim sesama insan. Sesungguhnya Ramadan lalu yang penuh makrifat berjaya mengangkat darjat mereka yang berupaya menempuhinya ke peringkat ketakwaan. Maka, pertingkatkan lagi ciri-ciri ketakwaan pada bulan mulia ini dengan menyuburkan kasih sayang sesama insan melalui kemaafan dan keampunan. Sifat hasad dengki dan dendam kesumat adalah sifat keji yang tidak sesuai bagi Muslim. Sesungguhnya salah satu tanda Muslim yang hakiki ialah kesucian jiwanya daripada sifat khianat dan hasad dengki serta tipu daya. Daripada Anas bin Malik berkata: “Kami duduk-duduk bersama Rasulullah lalu baginda bersabda: ‘Sekarang muncul kepada kamu seorang lelaki daripada ahli syurga’. Maka muncullah seorang lelaki Ansar yang basah janggutnya lantaran berwuduk sambil memegang selipar dengan tangan kirinya. Keesokannya, baginda bersabda lagi seperti demikian, lalu muncul lelaki itu seperti kali yang pertama. Tatkala hari ketiga Rasulullah bersabda lagi seperti demikian, lalu muncul semula lelaki tadi seperti keadaan yang pertama. Ketika Rasulullah bangun, dia (lelaki itu) diikuti oleh Abdullah Amru, lalu dia berkata kepadanya: ‘Sesungguhnya aku sudah bertengkar dengan bapaku dan aku bersumpah tidak akan memasuki rumahnya tiga hari, jika engkau sudi melindungiku sehingga lalu tiga hari itu, saya hendak mengikut engkau.’ ‘Ya’, katanya. Anas berkata lagi: ‘Maka Abdullah memberitahu bahawasanya dia tidur bersama lelaki itu tiga malam. Dia tidak melihat beliau bangun bersembahyang tahajud tetapi apabila dia bangun tidur dia bergolek di atas tikarnya berzikir kepada Allah dan bertakbir sehingga dia bangun sembahyang subuh. Berkatalah Abdullah: “Lain daripada itu, aku tidak mendengar dia berkata-kata kecuali yang baik saja. Apabila aku tidur tiga malam, hampir-hampir aku merendahkan amalnya, aku pun berkata kepadanya: “Ya Abdullah, sebenarnya tidak ada di antaraku dan bapaku satu pertengkaran atau pemulauan. Akan tetapi aku mendengar Rasulullah bersabda mengenaimu sebanyak tiga kali, iaitu akan muncul kepadamu sekarang seorang lelaki dari ahli syurga”. Lalu engkau yang muncul pada ketiga-tiga kali itu. Jadi aku hendak bernaung kepadamu supaya aku boleh mengikutimu. Tetapi aku tidak melihat engkau membuat amal yang besar. Jadi apakah yang membawa engkau seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah saw? Dia menjawab: “Tidak ada kecuali apa yang engkau lihat. Tatkala aku berpaling dia memanggil aku lalu berkata; ‘Tidak ada kecuali apa yang engkau lihat, akan tetapi aku tidak khianat dan hasad dengki kepada seseorang di atas satu kebaikan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya”. Maka berkatalah Abdullah: ‘Inilah yang membawa engkau kepada syurga yang dikatakan oleh Rasulullah dan inilah yang kami tidak mampu.” (Riwayat Muslim) Hadis panjang ini menukilkan bagaimana kesucian jiwa daripada hasad dengki dan keselamatan hati daripada dendam kesumat dan khianat boleh menentukan darjat manusia di akhirat kelak meskipun dengan amal ibadat yang sedikit. Ganjaran itu semata-mata kesucian jiwa dan selamatnya manusia daripada gangguan syaitan. Kisah ini boleh dibandingkan dengan seorang wanita yang ditanya kepada Rasulullah mengenainya. Dia adalah seorang wanita yang sentiasa bersembahyang tahajud dengan banyaknya di malam hari dan berpuasa di siang hari, akan tetapi dia menyakiti jirannya dengan lidah dan perbuatannya lalu Rasulullah menjawab: “Dia masuk neraka” (Riwayat Bukhari fil adabil mufrad). Demikianlah, manusia yang berat timbangannya menurut neraca Islam ialah manusia yang benar, menyucikan jiwanya daripada khianat, tipu daya, hasad dengki dan dendam kesumat serta memenuhi dadanya dengan bersangka baik, ikhlas dan memaafkan semua manusia sekalipun amalannya sedikit. Dia umpama batu bata yang bersih dan kukuh di dalam sebuah bangunan masyarakat Islam. Namun, manusia yang memenuhi jiwanya dengan kebencian dan api permusuhan, semarak dadanya dengan hasad dengki, iri hati, dendam dan menipu manusia lain walaupun banyak ibadatnya adalah batu bata yang lemah dan rosak dalam bangunan masyarakat Islam. Malah, merekalah yang merosakkan struktur bangunan Islam yang indah lalu mengakibatkan kemusnahan masyarakat Islam. Perbalahan sesama manusia perlu diselesaikan dengan sebaik-baiknya dengan merujuk kepada pihak tertentu yang bertanggungjawab mengadilinya menurut syariat Islam. Selepas pengadilan dilakukan dengan cermat dan saksama, setiap pihak hendaklah berpuashati dan saling memaafkan. Perbalahan adik beradik yang berlaku lantaran berebutkan harta pusaka banyak merosakkan hati manusia dan memutuskan ikatan silaturahim. Malah, mereka yang tidak terbabit dengan perbalahan itu seperti anak-anak dan saudara mara turut berasa tempias lantaran bahang kebencian yang sering diapi-apikan. Marilah sama-sama kita memanfaatkan Syawal yang mulia ini dengan membantu melunaskan semula hutang lama menggunakan cara yang berlandaskan syariat Islam. Jika perlu, carilah seorang hakam (juru pendamai) di kalangan ahli keluarga atau tokoh masyarakat setempat yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak. Setiap pihak haruslah berlapang dada, merendahkan keegoan diri, saling bermaafan dan menerima keputusan yang dibuat dengan saksama serta melupakan persengketaan yang pernah berlaku. Buang yang keruh ambil yang jernih. Jadikan Aidilfitri tahun ini sebagai tahun kejayaan kita sekeluarga memerangi syaitan dan hawa nafsu. l Penulis adalah pelajar sarjana dalam bidang psikologi dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home