Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Friday, November 21, 2003

Audit amalan sepanjang Ramadan nilai prestasi diri

Oleh Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa

KEHADIRAN 1 Syawal semakin hampir dan ini bererti kita berada pada hari-hari terakhir Ramadan. Dalam tempoh beberapa hari menyambut kedatangan Syawal, kita sebenarnya tidak terlambat untuk memuhasabah diri dalam melalui Ramadan ini. Adakah tercapai objektif puasa kita? Berdebar-debarkah sanubari kita menanti keputusan Allah? Diterimakah amalan kita? Untungkah kita? Rugikah kita? Adakah puasa juga satu ujian? Memang benar. Puasa adalah satu ujian dan latihan. Oleh itu, perlulah kita mengaudit amalan sepanjang Ramadan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik kerana mendapat rahmat dan pengampunan-Nya. Kita boleh mengaudit puasa kita melalui beberapa aspek. l Aspek kesabaran. Sabar dalam semua aspek, termasuk mengerjakan ibadat. Sabar atau menahan diri daripada melakukan maksiat. Adakah kita berjaya mengawal semua anggota daripada melakukan perkara haram. Tangan tidak mengambil hak orang tanpa izin tuannya. Kaki tidak melangkah ke tempat dilarang agama. Telinga tidak mendengar perkara yang tidak diharuskan. Mata dijaga daripada melihat benda maksiat. Mulut bukan saja tidak makan dan minum, malah berhenti berbohong, mengumpat, mengeji, memfitnah, bertengkar dan sebagainya. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata dusta dan terus mengamalkan sikap suka berdusta, maka Allah tidak berhajat untuk menerima daripadanya amalan meninggalkan makan dan minumnya itu. “Sesungguhnya puasa adalah satu benteng. Apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, janganlah dia mencarut dan menista. Sekiranya ada seseorang cuba menyerangnya dengan kata-kata atau perbuatan, maka ucapkanlah, sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.” l Melakukan kebajikan dan amal soleh. Adakah kita menepati maksud firman Allah seperti ayat di bawah? “Sesungguhnya mereka adalah orang yang bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang yang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbia, ayat 90) “Dan hamba-Ku masih mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah, sampai Aku mencintainya.” (Hadis Qudsi). l Kemurahan hati. Adakah Ramadan kali ini menjadikan kita insan pemurah, tidak kedekut dan rakus pada harta benda. Adakah kita takut rugi jika mengeluarkan banyak infaq dan sedekah. Sedangkan salah satu tujuan utama puasa agar manusia mampu mengendalikan sifat rakus pada makan minum mahupun pada harta benda. Ini kerana ia termasuk sifat kehaiwanan (Bahimiyah). Cinta dunia dan bergelumang kemewahan hidup, sering membuat manusia lupa akan tujuan hidup sebenarnya. Mendekatkan diri kepada Allah akan menguatkan sifat utama kemanusiaan (Insaniah). l Mencintai al-Quran. Adakah kita masih malas membaca al-Quran. Sedangkan Ramadan juga disebut ‘Syahrul Quran’, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran. Orang soleh pada masa lalu menghabiskan waktu siang dan malam Ramadan untuk mendampingi dan membaca al-Quran. Sabda Rasulullah bermaksud : “Ibadah umatku yang paling utama adalah pembacaan al-Quran.” (Hadis riwayat Baihaqi) Ramadan adalah saat yang tepat untuk menimba dan menggali sebanyak mungkin kemuliaan al-Quran sebagai petunjuk dalam kehidupan. Kebiasaan baik ini seharusnya berterusan selepas Ramadan berlalu sebagai tanda kejayaan latihan pada bulan suci ini. l Mengawal emosi. Adakah kita masih mudah menghambur kemarahan. Ramadan adalah bulan kekuatan. Nabi bersabda bermaksud: “Orang kuat bukanlah orang yang selalu menang ketika berkelahi. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai diri ketika marah.” l Ukhuwah yang marak, hati yang lunak. Adakah kita mengeratkan tali silaturahim yang sudah renggang? Ketika menyambut kedatangan Ramadan, Rasulullah bersabda: “Barang siapa menyambung tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya...” Puasa mendidik peribadi untuk menumbuhkan jiwa kasih sayang dan tali cinta. Jiwa orang berpuasa seharusnya dibersihkan daripada kekerasan hati dan kesombongan, diganti dengan perangai yang lembut, halus dan tawaduk. l Pengurusan masa. Al-Quran mendokumentasikan dialog Allah dengan orang yang menghabiskan waktu mereka untuk bermain-main. Firman Allah bermaksud : “Allah bertanya: Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi? “Mereka menjawab: ‘Kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari. Maka tanyakanlah kepada orang yang menghitung. “Allah berfirman: Kamu tidak tinggal di bumi melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui. “Maka apakah kamu mengira sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? “Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Tuhan yang mempunyai ‘Arsy yang mulia.” (Surah al-Mu’minun, ayat 112-116). Kita gagal dalam menghidupkan Ramadan, kiranya lalai, menggunakan masa dengan melakukan perbuatan sia-sia, kemaksiatan dan berfoya-foya. Disiplin mengurus masa sepanjang Ramadan semestinya terus kekal dalam diri dalam bentuk cinta ketertiban. – wanitajim0@yahoo.com Bersambung

0 Comments:

Post a Comment

<< Home