Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Thursday, October 23, 2003

Kebajikan imbangi kekurangan ibadat

23/10/03
Kebajikan imbangi kekurangan ibadat
Oleh Sumilah Marto

KITA biasa dikejutkan dengan berita kematian secara tiba-tiba. Punca kematian juga berbeza-beza daripada penyakit kronik hingga kepada keadaan tanpa penyakit.

Malah ada yang meninggal dunia pada usia muda.


Ini sebenarnya tazkirah atau peringatan yang amat baik kepada seseorang mukmin. Dalam kesibukan dan keghairahan umat manusia mengejar kehidupan dunia, kita kadangkala lupa membuat persediaan bagi menghadapi kematian pada bila-bila masa.

Diriwayatkan daripada Abi Dunya dan At-Tabrani bahawa seorang lelaki bertanyakan kepada Rasulullah, mukmin manakah yang paling cerdik? Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaan mereka. Mereka itulah orang yang paling cerdik.”

Setiap mukmin dianjurkan untuk sentiasa memperbanyakkan amal ibadat dan melaksanakan kebajikan sebagai persediaan. Sehubungan itu, Rasulullah mengingatkan mukmin agar menggunakan masa sebaik mungkin.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: Pertama, pergunakanlah kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu. Kedua, pergunakanlah kesempatan lapangmu sebelum datang masa sibukmu. Ketiga, pergunakanlah hari mudamu sebelum datang hari tuamu. Keempat, pergunakanlah kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinanmu. Kelima, pergunakanlah kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu.” – (Hadis riwayat Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas).

Kekuatan rohani seorang mukmin adalah punca utama bagi membolehkannya melaksanakan segala amal ibadat. Namun, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memperteguhkan kerohanian seseorang.

Memperteguhkan kerohanian boleh dicapai melalui:

- Memperbanyakkan membaca al-Quran dengan penuh perhatian dan khusyuk. Pembacaan sebegini menjadi penerang kepada pemikiran yang kusut. Di samping itu, pada Ramadan ini, pahala berganda akan dianugerahkan oleh Allah bagi orang bertadarus dan menghayati isi al-Quran.

- Mencontohi perjalanan hidup Rasulullah kerana ia terhimpun agama dan dunia; ibadat dan kehidupan serta pembersihan jiwa dan perjuangan.

- Bergaul dan mendampingi orang bertakwa kerana persahabatan yang ikhlas akan mendorong ke arah kebaikan dan petunjuk.

- Sentiasa mengingati Allah pada setiap ketika dan keadaan. Merasakan kebesaran Allah dengan hati mantap dan menguasainya dalam diri akan menjadikan seseorang mukmin merasakan kemanisan iman dan ketenangan.

- Menangis ketika bersendirian kerana takutkan Allah. Pada masa itu, seseorang dapat menilai dirinya dan seterusnya berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

- Sentiasa melakukan ibadat sunat.

Setiap mukmin walaupun dituntut melaksanakan segala amal ibadat sebaik mungkin, namun ada ketikanya ada kekurangan dan kelemahan dari segi pelaksanaan amalan itu.

Justeru, bagi mengimbangi segala kekurangan dan kelemahan itu, sewajarnya kita melaksanakan amal soleh iaitu amal kebajikan kepada orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” – (Surah an-Nahl, ayat 97).

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam.”

Seorang sahabat bertanya: “Jika ia tiada apa yang hendak diberi?”

Jawab Baginda: “Hendaklah dia bekerja dan apabila dapat duit, sedekahkan sebahagiannya.”

Sahabat itu bertanya lagi: “Jika dia tidak boleh bekerja?”

Jawab Baginda: “Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.”

“Kalau ini juga tidak dapat dia lakukan?” tanya sahabat itu lagi.

Jawab Baginda: “Beri nasihat untuk berbuat baik.”

Sahabat itu bertanya: “Jika itu pun tidak dapat dilakukan?

Jawab Baginda: “Janganlah dia melukakan hati orang lain, itulah sedekahnya.”

Ayat dan hadis di atas membuktikan membuat amal kebajikan kepada orang lain adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Amal kebajikan ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada memberi bantuan kebendaan, melalui khidmat bakti secara fizikal atau memberikan buah fikiran dan pandangan yang baik. Bersempena Ramadan yang bakal menjelang, amalan ikhlas yang dilakukan akan melipatgandakan ganjaran pahala, barakat serta kasih sayang Allah kepada kita.

- PENULIS adalah seorang pensyarah di maktab perguruan dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home