Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Thursday, October 02, 2003

Anak tidak perlu dipaksa pilih sekolah asrama

2/10/03
Anak tidak perlu dipaksa pilih sekolah asrama
Oleh Farihah Abu Bakar

ANAK adalah anugerah Allah dan menjadi tanggungjawab ibu bapa
mencorakkan mereka menjadi insan berguna. Setiap ibu bapa mahukan
yang terbaik untuk anak termasuk kejayaan dalam pelajaran mereka.

Allah juga mengingatkan dalam surah At-Tahrim, ayat 6,
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu
dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya, manusia dan
batu".

Minggu depan, anak di tingkatan tiga akan menghadapi Peperiksaan
Menengah Rendah (PMR). Marilah kita mendoakan moga mereka berjaya
dengan cemerlang.

Kebanyakan ibu bapa yang anak menduduki peperiksaan Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR tahun ini sudah merancang masa depan
anak mereka.

Anak diberi motivasi supaya rajin belajar dan bila apabila
cemerlang, akan diberi pelbagai ganjaran.

Menjadi harapan ibu bapa anak mendapat 5A (UPSR) dan 9A (PMR) bagi
membolehkan mereka menyambung pengajian di sekolah berasrama penuh.

Ibu bapa beranggapan anak di sekolah asrama penuh bakal mendapat
peluang cerah untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi
di dalam dan luar negara.

Hakikatnya, banyak juga sekolah tidak berasrama penuh mampu
melahirkan pelajar cemerlang.

Tanggapan bahawa sekolah berasrama penuh memberi peluang lebih cerah
mungkin disebabkan pengalaman ibu bapa yang menimba pengetahuan di
sana. Oleh itu mereka mengharapkan perkara yang sama berlaku kepada
anak mereka.

Sekarang ini timbul pelbagai cerita kurang enak berlaku di sekolah
berasrama penuh dan tidak dinafikan perkara itu turut mencemaskan
ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah berkenaan.

Justeru, dalam menentukan sama ada sekolah berasrama penuh adalah
pilihan terbaik dan tepat, ibu bapa perlu menilai banyak aspek
termasuk mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada anak.

Ibu bapa perlu membandingkan dua jawapan yang diberikan anak kepada
persoalan, "Adakah abang atau kakak hendak ke sekolah XYZ?

Jika anak menjawab "Ya" dengan penuh yakin, bermakna mereka bersedia
untuk berenggang dengan keluarga untuk jangka waktu yang panjang.

Tetapi jika jawapannya, "Ikut suka ibu ayah." Maklum balas itu
menunjukkan mereka tidak bersedia berpisah dengan keluarga kerana
tidak dapat membuat keputusan untuk diri sendiri dan masih
bergantung kepada ibu bapa untuk menentukan masa depan mereka.

Apabila anak dimasukkan ke sekolah berasrama penuh (atas keputusan
ibu bapa), ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak itu
seperti sering melawat mereka.

Ibu bapa juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan warden atau
guru kelas untuk mengetahui perkembangan mereka.

Anak yang mempunyai keyakinan diri lebih mudah dilepaskan kerana
mereka sudah membulatkan tekad dan mampu berdikari. Tetapi itu tidak
bermakna tanggungjawab ibu bapa selesai apabila anak berada di
asrama.

Sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud, "Setiap kamu adalah
pemelihara. Setiap pemelihara bertanggungjawab terhadap
peliharaannya."

Tidak kira di mana anak belajar, mereka masih di bawah tanggungjawab
ibu bapa tetapi di asrama mereka terikat dengan peraturan serta
undang-undang.

Walaupun mereka diterapkan dengan disiplin, tidak dinafikan anak di
asrama berasa kekurangan terutama dari segi kehadiran ibu bapa yang
memberi kata perangsang dan hubungan akrab adik beradik.

Namun di sebalik itu, ada kelebihannya kerana anak di asrama cepat
matang selain berdikari dan dari segi keselamatan, mereka
terpelihara dalam satu kawasan yang mempunyai kawalan.

Sementara anak di sekolah tidak berasrama lebih terdedah kepada
bahaya dan dugaan daripada pengaruh rakan sebaya yang boleh menjurus
kepada gejala tidak baik.

Mengenai masalah disiplin, ia bukan berpunca dari sekolah sebaliknya
persekitaran rumah turut menjadi penyebab terutama bagi anak yang
biasa melihat bapanya berkuasa, kelakuannya di sekolah akan
mencerminkan sikap tadi.

Contohilah bapa khalifah Umar Abdul Aziz yang menghantar beliau ke
Madinah untuk mendapat pendidikan. Bapa Umar selalu mengutus surat
kepada gurunya menanyakan ibadat, akhlak dan pelajaran anaknya.

Beliau memberi saranan kepada guru bentuk pengajaran, denda dan
hukuman yang dikenakan terhadap anaknya apabila melanggar peraturan.
Berkat daripada itu lahirlah khalifah yang alim dan terkenal di
dalam sejarah Islam.

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, buatlah pertimbangan yang bijak demi
masa depan anak-anak.

PENULIS adalah pengurus tadika berijazah dan boleh dihubungi melalui
e-mel wanitajim0@y...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home