Hubungan baik dengan bukan Islam perkukuh dakwah
13/8/03
Hubungan baik dengan bukan Islam perkukuh dakwah
Oleh Dr Suriya Osman
ALLAH berfirman dalam al-Quran, yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah, adalah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” – (Al Hujurat, ayat 13).
Sebagai seorang doktor yang saban hari berjumpa dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, maksud ayat al-Quran di atas benar-benar menginsafkan saya. Saya berasa diri ini insan Allah yang amat bertuah kerana pada lumrahnya, seorang yang terdedah kepada pelbagai budaya dan kaum akan bersikap lebih terbuka, luas pengetahuan dan lebih memahami erti ‘perbezaan budaya dan kelainan amalan antara kaum’, sedangkan di antara kaum yang satu agama pun, ada perbezaannya.
Agama Islam mengajar kita bersikap lemah lembut, kasih sayang dan adil terhadap semua umat manusia, tidak kira bangsa dan agama. Disebabkan hakikat inilah, Allah sengaja menjadikan manusia lelaki dan wanita, berbilang kaum dan bangsa supaya kita dapat kenal mengenali antara satu sama lain, bukan musuh memusuhi kerana manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah, adalah yang paling baik akhlaknya.
Namun, sepanjang pergaulan kita dalam masyarakat majmuk ini, kita kadangkala merasakan ada beberapa larangan dan sekatan agama yang menyebabkan kita tidak boleh sama-sama menjalankan aktiviti yang sama dengan kaum berlainan agama. Ini menimbulkan suatu dilema di kalangan umat Islam yang kadangkala akan melahirkan satu sikap ‘eksklusif’ (satu sikap yang merasakan bahawa kaumnya atau bangsanya saja yang baik dan betul) hingga menyebabkan mereka tidak mahu bergaul serta bermuamalah dengan bangsa lain. Perkara ini sebenarnya amat merugikan dalam konteks dakwah dan penyebaran Islam.
Hubungan dan interaksi yang efektif dengan bukan Islam, dapat melebarkan misi dan mesej dakwah kepada manusia sejagat. Sebagai contoh, klinik saya terletak di pekan kecil sederet dengan kedai orang Tionghua dan masyarakat sekeliling saya serta hampir semua jiran saya terdiri daripada bukan Islam. Apabila jiran datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, saya akan memberikan layanan terbaik dengan harga yang telah diberikan diskaun. Saya maklumkan kepada mereka mengenai diskaun itu kerana mereka jiran terdekat saya dan berhak menerima layanan lebih dengan harga yang kurang. Saya katakan kepada mereka peruntukan sebegini termaktub dalam Islam. Mereka amat menghargainya dan berkata: “Ooh, Islam begitu ambil berat dengan jirankah?”
Antara masalah yang sering menimbulkan tanda tanya kepada umat Islam yang baru mula sedar identiti Islam dan ingin mengamalkan Islam sepenuhnya, adalah mengenai makanan, aurat dan juga pergaulan di antara jantina. Lebih-lebih lagi, apabila perkara yang disebutkan ini dikaitkan pula dengan masyarakat bukan Islam. Persoalannya, bagaimana hendak bersama berparti, hendak atau tidak ikut jamuan mereka atau perlu atau tidak hadir di rumah mereka untuk menerima jemputan makan atau bagaimana hendak berkongsi bilik dengan kawan yang bukan Islam ketika kursus.
Sebenarnya, perkara yang nampak rumit ada penyelesaiannya, jika kita sanggup mengambil masa untuk menyelesaikannya.
Contohnya, mengenai persoalan makanan. Secara umum dan kini telah diterima ramai, masyarakat bukan Islam di Malaysia amat peka mengenai pantang larang Islam dan akan berbuat sedaya upaya untuk keselesaan seorang Muslim yang dijemput ke majlis mereka. Sering kali apabila kita dijemput, mereka akan mengambil penyedia makanan luar yang terdiri daripada penyedia Islam dan menggunakan pinggan yang disewa khas dan dijamin suci.
Jika kita menerima jemputan dan masih was-was, kita boleh bertanya dengan lembut dan manis kepada mereka mengenai status makanan yang dihidang, sama ada halal atau sebaliknya. Anak remaja saya yang berada dalam kelas berbilang kaum, pernah menghadiri jamuan hari ulang tahun sahabat Tionghuanya. Rakannya telah meminta semua rakan-rakan Islam untuk membawa sendiri makanan yang hendak dimakan bersama secara ‘potluck’! Memang majlisnya berjaya, bukan saja sebagai majlis makan tetapi sebagai majlis muhibah. Inilah contoh situasi ‘sama-sama menang’.
Namun, persoalan tetap ada bagi saudara baru (mualaf) yang mempunyai keluarga bukan Islam. Melihat kepada cara Rasulullah saw melayan saudara baru, Baginda menyuruh saudara baru itu meneruskan hubungan kekeluargaannya, berbaik sangka, malah berlembut dengan keluarganya, tanpa meringankan tanggungjawab taklif Islamnya.
Diriwayatkan, pernah seorang anak muda rela melihat ibunya tidak mahu makan dan minum kerana ibunya berkata, dia tidak mahu makan dan minum sehingga anaknya itu meninggalkan agama Islam. Walaupun anak itu terlalu sayangkan ibunya, dia tetap bertegas untuk mengamalkan Islam.
Di samping itu, ahli keluarga yang masih bukan Islam berhak diberikan bantuan makanan dan wang serta pertolongan yang mereka perlukan. Sikap tegas tetapi lembut akan dapat menjernihkan suasana jika ada ketegangan. Akhirnya, dalam jangka panjang, mereka juga akan bertolak ansur dalam mematuhi syarat-syarat makanan yang diperlukan oleh anak Muslimnya.
Suatu persoalan lagi yang masih menjadi tanda tanya adalah aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim. Dalam perkara ini, ada dua pendapat yang masyhur. Pendapat pertama mengatakan aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim adalah sama saja dengan aurat wanita sesama Muslim. Pendapat kedua pula menyamakan aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim umpama batas aurat wanita dan lelaki, iaitu wajib menutup aurat sepenuhnya. Bagi diri saya sendiri, melihat pada sebab musabab yang ditimbulkan itu, membuka aurat di hadapan wanita bukan Muslim, mendedahkannya kepada fitnah (jika wanita bukan Muslim itu adalah kafir harbi).
Bagi tanggapan ini, memandangkan wanita bukan Muslim di Malaysia berhemah tinggi, patuh kepada undang undang, faham mengenai hak mereka, maka saya lebih cenderung memilih pendapat yang pertama, terutama sekali melihat waqi’ dan situasi semasa.
Dalam suasana pejabat dan juga ketika bekerja, ada kemungkinan masyarakat bukan Muslim tidak tahu mengenai pantang larang dan batasan dalam pergaulan. Perkara ini penting dan kita perlu menyatakan kepada mereka dengan lembut, juga kita perlu memberi sebab musabab yang membawa kepada keadaan itu. Pada pendapat saya, besar kemungkinan, setelah mengetahui pegangan dan tata susila yang kita amalkan, wanita bukan Muslim akan lebih peka daripada rakan sepejabat yang Muslim.
Pengalaman anak remaja saya yang belajar dalam kelas berbilang kaum, menunjukkan, jika kita sanggup bergaul mesra dan memberi keterangan jelas dan bijak, anak-anak kita mudah difahami dan dihormati oleh kawan-kawannya yang bukan Muslim.
Dalam kata lain, muamalah kita dengan masyarakat bukan Islam adalah atas dasar hormat menghormati dan juga atas dasar belas kasih.
Rasulullah pernah menegur sahabat supaya jangan mencerca atau memperlekehkan cara beribadat orang bukan Islam tempat sembahyang mereka bagi mengelakkan mereka mencemuh dan memperlekeh masjid kita.
Begitu baik muamalah Nabi dengan masyarakat bukan Islam, sehingga Baginda pernah menziarahi anak seorang Yahudi yang sakit, mengakibatkan budak itu akhirnya memeluk Islam.
Baginda juga menggunakan kata-kata yang lembut kepada seorang Yahudi yang menuntut hutangnya dengan begitu kasar sekali daripada Baginda. Muamalah Rasulullah yang penuh hemah itu melembutkan Yahudi berkenaan, sehingga akhirnya dia menganut Islam kerana tertarik dengan akhlak mulia yang ditunjukkan Nabi.
Kesimpulannya, janganlah kerana perbuatan atau muamalah kita yang buruk dengan masyarakat bukan Islam akhirnya merosakkan dakwah Islam dan menyebabkan bukan Islam prejudis kepada Islam dan menjauhinya.
Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com
1 Comments:
Artikel yang menarik. Ajaklah orang ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebjaksanaan.. Perhatikanlah tingkah laku kita, tingkah laku yang baik dr seorang muslim mungkin boleh mendatangkan hidayah kepada orang lain.. Terima Kasih. Salam
By ABQAF, at 2:21 AM
Post a Comment
<< Home