Generasi sedia sahut cabaran tuntut ilmu perlu disuburkan
4/6/03
Generasi sedia sahut cabaran tuntut ilmu perlu disuburkan
Nafisah Osman
Sejak akhir-akhir ini semakin ketara kebimbangan masyarakat tentang kemampuan anak lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terutamanya dalam peringkat usia remaja. Hal ini adalah kerana pencapaian remaja lelaki kini agak ketinggalan dibandingkan dengan remaja perempuan. Banyak bukti yang menunjukkan pencapaian remaja perempuan lebih menonjol terutamanya dalam bidang pelajaran atau pencapaian akademik. Pelajar cemerlang di peringkat peperiksaan umum seperti peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STP lebih dikuasai oleh pelajar perempuan, begitu juga dengan prestasi yang ditunjukkan di peringkat institusi pengajian tinggi. Jumlah pelajar perempuan adalah lebih ramai dibandingkan dengan pelajar lelaki. Hal ini adalah kerana bilangan pelajar perempuan yang berkelayakan memasuki institusi pengajian tinggi lebih tinggi dibandingkan dengan pelajar lelaki. Dengan pelaksanaan sistem meritokrasi dalam pendidikan masa kini maka tentulah pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Keadaan ini semakin menyebelahi pelajar perempuan kerana mereka menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang dalam peperiksaan umum peringkat sekolah.
Ada pendapat menyatakan bahawa isu ini tidak perlu dilihat sebagai satu isu yang membimbangkan. Hal ini kerana kematangan remaja lelaki adalah lambat, dan mereka kemudiannya akan menerajui semula medan kehidupan dalam masyarakat. Bagaimanapun pendapat begini perlu juga mengambil kira aspek-aspek lain dalam memastikan perkembangan kemahiran pendidikan dan perkembangan minda seseorang remaja. Dalam tempoh yang sepatutnya seorang remaja mengasah bakat dan mengembangkan potensi diri, hal yang sebaliknya pula berlaku. Sudah tentulah banyak masa yang terbuang; begitu juga dengan peluang yang hilang dan kerugian yang dialami tidak mungkin untuk dibayar semula. Selain itu haruslah difikir kembali tentang generasi yang akan diwarisi . Apakah generasi yang terhasil dapat memenuhi aspirasi dan keperluan negara?.
Negara memerlukan generasi yang berketrampilan dan intelektual yang dapat memajukan negara. Alangkah ruginya setelah beberapa dekad merdeka, negara berhadapan pula dengan masalah kelompok remaja yang bermasalah ini. Negara kita masih lagi kekurangan tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi; seperti perubatan, perkomputeran, IT, pertanian, perindustrian, dan bidang-bidang yang melibatkan kajian dan pembangunan. Walaupun tidak dinafikan terdapat pelajar-pelajar yang cemerlang hingga ke peringkat antarabangsa, tetapi bilangan yang masih boleh dikira dengan jari ini tentunya tidak mampu untuk membentuk gelombang generasi yang dapat memacu pembangunan negara dan bersaing dengan negara-negara lain yang sudah maju.
Berbalik kepada isu kecemerlangan remaja atau pelajar lelaki; hal ini sebenarnya telah sampai ke tahap perlu diambil tindakan-tindakan yang wajar. Hal ini demikian bertepatan dengan peranan lelaki yang diletakkan oleh Islam sebagai pemimpin. Sama ada institusi keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat seluruhnya mesti melaksanakan program-program yang terancang yang dapat melahirkan remaja lelaki yang cemerlang. As Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya ‘Pendidikan anak-anak dalam Islam’ menyatakan pendidikan mestilah meliputi 7 aspek bagi seseorang iaitu pendidikan keimanan, moral, jasmani, mental(minda), rohani, sosial dan seks. Para ibu bapa semestinya menyedari bahawa mereka perlu menjalankan usaha-usaha melengkapkan anak-anak dengan bekalan ilmu dan amal dalam aspek-aspek yang disebutkan tadi. Inilah yang menjadi persoalan kini. Sejauh manakah ibu bapa telah melengkapkan anak-anak mereka terutamanya anak lelaki dengan tuntutan pendidikan tadi?.
Sebenarnya ada banyak faktor yang menyebabkan anak-anak lelaki ‘terbiar’ dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Antaranya berpunca daripada silap faham tentang peranan lelaki dan wanita bagi segelintir ibu bapa. Anak-anak perempuan biasanya diberi tanggungjawab yang lebih jelas dan terperinci apabila berada di rumah. Sedangkan anak-anak lelaki dibiarkan(dilepaskan) daripada tanggungjawab kerana mereka ‘ketua’ keluarga. Keadaan tiada bimbingan dan panduan ini menyebabkan anak-anak lelaki hilang tujuan dan matlamat dan tiada jadual aktiviti seharian.
Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya ada ibu bapa yang berpendirian anak-anak remaja harus dibiarkan menerokai kehidupan mereka sendiri, dengan alasan bahawa mereka juga pada suatu masa dahulu telah melalui cara hidup begitu. Namun satu hal yang perlu difikirkan bahawa suasana dan masyarakat yang dihadapi oleh remaja suatu masa dahulu amat berbeza dengan suasana dan masyarakat yang dihadapi oleh remaja masa kini. Kita bimbang dalam penerokaan itu remaja jatuh ke dalam jurang yang merosakkan kehidupan mereka.
Begitulah juga dalam kehidupan mereka sebagai pelajar. Pelajar lelaki umumnya lebih berani untuk melakukan salah laku disiplin di sekolah . Ponteng sekolah, ponteng kelas, tidak membuat kerja sekolah, dan tidak menghormati guru lebih ketara dilakukan oleh pelajar lelaki berbanding dengan pelajar perempuan. Selain itu terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat mengimbangi antara keperluan dengan kehendak di kalangan pelajar. Sebagai pendidik; penulis biasa menemui pelajar yang diberikan kenderaan untuk ke sekolah, tetapi malangnya pelajar-pelajar ini masih lewat sampai ke sekolah.
Gejala-gejala ini banyak membawa kesan dalam menentukan pencapaian akademik para pelajar lelaki.Ajaran Islam sebenarnya tidak mempertikaikan lagi tentang tuntutan terhadap anak lelaki dalam mencari ilmu. Hal ini terbukti dengan tiadanya pertikaian pendapat tentang isu ini, berbanding masih ada pandangan-pandangan yang berbeza tentang aspek pendidikan anak-anak perempuan.
Imam Syafii rahimahullah berkata;` Sesiapa yang mempelajari al-Quran, nescaya tinggi nilai dirinya. Sesiapa yang mendalami ilmu Fiqh, nescaya diangkat darjatnya. Sesiapa yang mencatat hadis Nabi, nescaya kukuh hujahnya. Sesiapa yang menguasai ilmu bahasa nescaya lembut tabiatnya. Dan sesiapa yang menguasai ilmu matematik, nescaya teguh pendapatnya.’ Pesanan ini seharusnya ditanamkan ke dalam jiwa anak-anak lelaki demi memperkukuh dan membina daya tahan dalam jiwa-jiwa mereka untuk menghadapi cabaran hidup masa kini yang semakin kencang dan tiada sempadan. Menanamkan nilai bertanggungjawab serta sikap sentiasa ingin memajukan diri dan peka tentang persekitaran masyarakat akan membantu para remaja membina jati diri yang mantap. Remaja yang mempunyai jati diri tentulah sentiasa memastikan pencapaian akademiknya memuaskan dan tidak mudah terpengaruh akan kehendak diri yang cenderung ke arah bersenang-lenang dan cara hidup hedonisme. Begitu juga remaja beridentiti tidak mudah terikut-ikut akan rakan sebaya yang suka berfoya-foya dan membuang masa. Remaja beridentiti juga tidak menjadikan sekolah hanya sebagai tempat mengisi masa lapang kesan daripada keadaan rumah yang dianggap membosankan dan tidak memuaskan hati mereka atau sekadar untuk melepaskan tanggungjawab di rumah.
Kita mahu melahirkan generasi remaja seperti yang telah ditunjukkan dalam sejarah Islam. Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ketika akan keluar dalam perang Uhud mendapati bersama-sama tentera Muslimin ialah anak-anak yang masih belum mencapai usia baligh. Rasulullah s.a.w tidak sampai hati melihat mereka lalu dikembalikan sebahagian daripada mereka termasuk Rafi’bin Khadij dan Samurah bin Jundub, tetapi kemudian kemudian Rafi’ diterima semula kerana dikatakan mahir melimpah panah. Samurah telah menangis dan memberitahu ayah tirinya bahawa dia pernah mengalahkan Rafi’ dalam tanding pergelutan. Apabila sampai berita itu kepada Nabi s.a.w maka bagindapun menyuruh mereka berdua bergelut, lalu Samurah menang dalam pergelutan itu. Lalu Rasulullah s.a.wpun membenarkan Samurah turut serta dalam peperangan Uhud. Begitulah sikap tanggungjawab dan keyakinan diri generasi sahabat terdahulu.
Wahai ibu bapa, para pendidik, dan guru-guru, kita bukan mahu melahirkan generasi remaja yang bertindak membuta-tuli, kerana Saidina Umar r.a telah berpesan supaya pendidikan anak-anak disesuaikan dengan zaman kehidupan mereka. Remaja lelaki yang mahu dilahirkan pada zaman kini ialah remaja yang dapat bersaing dalam era globalisasi, perkembangan intelektual dan komunikasi. Kita mahu remaja lelaki yang lebih positif dalam menyambut cabaran menuntut ilmu pengetahuan, lebih berkeyakinan dalam menentukan matlamat dan wawasan diri dan lebih memahami serta dapat mengenal pasti peranan dan tanggungjawab terhadap diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Janganlah kita menyalahkan remaja semata-mata, walaupun mereka memang boleh disalahkan tetapi cubalah teliti madah ini;
Bukanlah yatim
Sesiapa yang ibu bapanya terhenti daripada menanggung hidupnya
Dan meninggalkannya rendah tak berdaya
Sesungguhnya si yatim itu anak yang mempunyai
Ibu yang selalu mencuaikannya
Dan ayah yang sentiasa sibuk bekerja
[Penulis adalah seorang guru berijazah dan boleh dihubungi di emel: wadah_wjy2k@yahoo.com]
0 Comments:
Post a Comment
<< Home