Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 23, 2003

Kesilapan ibubapa didik anak remaja

23/4/03
Kesilapan ibu bapa didik anak remaja
Oleh Roha Hassan

LAPORAN akhbar Harian Metro bertarikh 1 Mac 2003 mengenai kumpulan punk menjadikan seks bebas sebagai sebahagian amalan mereka, sangat mengejutkan. Laporan itu antara lain menyiarkan pengakuan beberapa remaja yang bangga dengan pembabitan mereka dalam kumpulan itu.

Bagi mereka, ia adalah kumpulan yang memperjuangkan bangsa dan mereka tidak berasa bersalah, walaupun dipandang serong oleh masyarakat. Mereka gembira dapat menghabiskan masa bersama dan berpakaian berlainan daripada orang lain.

Sebelum ini, kita digemparkan dengan kehadiran kumpulan ‘Black Metal’ yang majoriti pengikutnya adalah remaja Islam. Begitu besar bahaya yang sedang melanda generasi remaja Islam kita masa kini.

Daripada saling menuding jari di antara satu sama lain, ibu bapa dan pihak berkuasa mesti berusaha meningkatkan kawalan terhadap remaja terbabit dengan kumpulan yang menjalankan kegiatan tidak sihat.

Ibu bapa mesti mengenali siapa rakan sebaya anak mereka. Ibu bapa mesti mendapatkan maklumat lanjut jika mengesan anak remaja mereka terbabit dengan mana-mana kumpulan atau geng.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa dan masyarakat mengenai emosi anak remaja mereka, kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya ke atas remaja.

1. Keinginan naluri remaja itu sendiri.

Seorang ahli psikologi Barat, Carl Rogers (1985), berkata seseorang yang memasuki alam remaja akan mengalami beberapa perubahan ketara. Perubahan ini dengan jelas menunjukkan bagaimana rakan sebaya begitu penting bagi memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja itu. Di antara perubahan itu ialah kecenderungan berkumpulan dan tidak suka dikongkong.

Dari aspek kecenderungan berkumpulan Rogers berkata, perubahan emosi dan fikiran mendorong remaja memperluas jaringan rakan sosialnya mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup dan cara berpakaian yang sama.

Adalah perkara biasa pada tahap ini jika remaja dikesan ingin memiliki identiti tersendiri, walaupun ada di antara mereka yang kemudiannya mengalami krisis identiti. Perubahan ini adalah perkembangan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun remaja boleh terjerumus ke dalam kegiatan tidak sihat jika mereka salah memilih kumpulan.

Remaja juga mudah berasa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa terlalu kuat dan boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa akan mencetuskan rasa permusuhan dan berasa diri dikongkong. Ini kerana golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang bergelora.

Konflik harga diri ini menyebabkan remaja menjadikan rakan sebaya sebagai ‘tempat mengadu. Malah, mereka juga akan melakukan sesuatu yang drastik bagi membuktikan mereka boleh berdikari atau mampu bertindak seperti orang dewasa.

2. Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk.

Ibu bapa yang terlalu sibuk tanpa mampu meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja masing-masing akan menyebabkan anak mereka mencari alternatif. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga, akan mendapatkannya daripada orang luar termasuk rakan sebaya.

3. Komunikasi kurang berkesan.

Komunikasi kurang berkesan juga menyebabkan remaja lebih selesa berkongsi masalah, suka dan duka dengan rakan sebaya.

Ibu bapa seharusnya membuka ruang yang lebih luas untuk mendengar permasalahan atau luahan perasaan anak remaja masing-masing. Cuba memahami naluri mereka. Kurangkan penggunaan kuasa sebagai ibu bapa untuk memaksa anak-anak mendengar atau mematuhi semua arahan.

4. Maruah diri.

Remaja yang berhadapan dengan masalah membabitkan nama baik keluarga dan maruah dirinya, yang memungkinkannya dihukum jika perkara ini dimaklumkan kepada keluarga, akan menggunakan rakan sebaya sebagai pendengar dan pemberi nasihat.

5. Kurang keyakinan.

Rasa kurang yakin terhadap diri sendiri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari seseorang atau sekumpulan insan lain iaitu rakan sebaya sebagai tempat bergantung atau berlindung.

Sikap acuh tidak acuh terhadap tanggungjawab sebagai ibu bapa dan ahli dalam sesebuah keluarga, menyebabkan anak remaja memandang rendah kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila bersama rakan sebaya berbanding keluarga.

6. Sindrom kurang daya tahan iman.

Kurangnya pengetahuan agama menyebabkan jiwa remaja kekosongan. Jiwa yang kosong ini, jika tidak diisikan dengan perkara berfaedah atau kegiatan membina sifat-sifat positif, akan dipenuhi dengan unsur negatif yang membinasakan.

Bagaimanakah ibu bapa dan masyarakat dapat membantu remaja daripada terbabit dengan rakan sebaya dan kumpulan yang tidak bermoral ini?

1. Tingkatkan daya ketahanan iman remaja.

Dorongan menyucikan hati adalah unsur penting dalam melahirkan generasi remaja berakhlak baik atau salih. Menyucikan hati bermakna takziah an-nafsi iaitu membersihkan diri daripada maksiat.

Imam Al-Ghazali membahagikan maksiat kepada dua bahagian iaitu maksiat zahir dan batin. Suasana persekitaran yang wujud mempengaruhi rangsangan nafsu dan akal untuk menghasilkan tingkah laku remaja.

Pembabitan remaja dalam kegiatan berfaedah seperti kem ibadat, kursus kecemerlangan diri, sukan dan aktiviti sosial berkonsep keagamaan dan penerapan nilai murni, mampu membantu remaja membina personaliti unggul.

2. Berikan panduan memilih kawan.

Memandangkan begitu besar dan pentingnya kehendak naluri dan keperluan remaja terhadap rakan sebaya, ibu bapa harus memberi panduan kepada anak-anak untuk memilih rakan sebaya.

Ibu bapa mesti menyedari bahawa rakan sebaya mampu mendorong remaja ke arah kejayaan atau kemusnahan, dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Menurut Imam Al-Ghazali, berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah seperti meminum racun yang membinasakan.

Ini kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru tabiat rakannya tanpa disedari oleh orang lain. Bercampur atau berkawan dengan orang yang amat mementingkan hal keduniaan, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.

Sebaliknya, jika kita bergaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau mementingkan hal keakhiratan, ia akan menarik hati kepada cintakan kezahidan, mensyukuri nikamt Allah dan memiliki rasa sayang pada diri yang tinggi, yang mampu menjadi benteng menepis perbuatan maksiat.

3. Didik anak supaya dapat membezakan di antara rakan sebaya yang baik dan jahat dan kumpulan yang baik atau sebaliknya.

Abu Sulaiman Ad-Darani berkata, jangan sekali-kali engkau bersahabat dengan salah seorang daripada dua yang berikut:

l Orang yang engkau senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal keduniaanmu.

l Orang yang engkau tidak dapat menambahkan faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

4. Sentiasa memantau siapa rakan sebaya anak.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar, iaitu mereka mesti memantau siapa rakan di sekolah atau dalam kawasan perumahan tempat mereka tinggal, yang sering didampingi oleh anak mereka dari semasa ke semasa.

Mereka perlu memerhatikan tingkah laku anak secara bijaksana untuk mengesan sebarang perubahan tidak sihat. Mereka mesti cepat bertindak jika mendapati anak remaja terbabit dengan kumpulan tidak sihat.

Selain itu, ibu bapa perlu berusaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan kekeluargaan bagi memenangi hati anak remaja. Melalui cara ini, kita dapat memastikan anak tidak tersilap memilih rakan sebaya dan kumpulan.

PENULIS adalah ketua kelab remaja sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

1 Comments:

  • Salam Perkenalan,

    SAtu artikel yang baik. Mohon untuk saya share bersama.

    Terima kasih

    Amir Azros
    http://pakarkeluarga.blogspot.com/

    By Blogger Amir Azros, at 2:30 AM  

Post a Comment

<< Home