Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 05, 2003

Ibu bapa, guru prasekolah wajar bekerjasama

5/3/03
Ibu bapa, guru prasekolah wajar bekerjasama
Oleh Zulaina Mohd Zawawee

ADI berusia empat tahun, belajar di sebuah tadika. Ibunya membekalkannya kuih dan sebotol susu. Makanan yang dibawa tidak habis dimakan, lalu disimpan semula dalam beg.

Keesokannya guru mendapati Adi membawa semula makanan itu dan berkongsi dengan rakannya. Alhamdulillah guru menyedari keadaan ini. Dia memberitahunya bahawa kuih itu basi dan menggantikannya dengan yang baru.

Begitulah di antara kisah yang perlu dijadikan iktibar. Ibu bapa mesti meluangkan masa ‘menjenguk’ beg sekolah anak dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka tidak menghadapi sesuatu yang tidak baik.

Pendidikan prasekolah adalah fasa muqadimah kepada tahap pendidikan bagi seseorang anak. Ia seperti meletakkan batu asas untuk sebuah bangunan.

Falsafah pendidikan prasekolah menekankan kepada membimbing kanak-kanak mencapai potensi cemerlang dalam aspek kognitif, sosio-emosi, fizikal, estetika dan moral. Dalam erti kata lain, pendidikan prasekolah adalah proses persediaan menyeluruh kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar. Ia melalui proses bimbingan jauh sekali daripada ciri paksaan, deraan atau tekanan .

Hakikatnya, tidak semua ibu bapa, pengusaha tadika dan guru prasekolah mengetahui dan memahami, apatah lagi menghayati falsafah yang didukung itu.

Kita harus sedar, anak-anak adalah individu unik yang mempunyai potensi, kemampuan dan kebolehan tersendiri. Howard Gardner, dalam teori ‘multiple intelligence’ berpendapat bahawa setiap orang dikurniakan potensi berbeza dalam fitrahnya. Mengikut Gardner, potensi manusia mempunyai tujuh kecerdasan dalam dirinya iaitu kecerdasan linguistik , logikal-matematikal, visual ruang, muzik, tubuh kinestetik, interpersonal dan intrapersonal.

Kecerdasan dalam diri anak-anak ini mestilah dikenal pasti dari awal dan diberi peluang untuk berkembang serta dapat dimanfaati oleh masyarakat, negara dan dunia.

Sesungguhnya manusia yang baik itu adalah seseorang yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Tunggak kepada proses mencapai keseimbangan potensi yang optimum ini terletak di bahu kerajaan, pengurus tadika dan ibu bapa. Kerajaan menggariskan kurikulum seimbang sebagai panduan pengajaran dan pembelajaran.

Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan prasekolah ini harus ditingkatkan dengan mengadakan seminar untuk guru prasekolah, menawar dan mengiktirafkan kursus sepenuh masa, separuh masa atau Pendidikan Jarak Jauh sama ada di peringkat sijil, diploma, ijazah, sarjana mahupun doktor falsafah bagi memartabat dan meletakkan bidang prasekolah setaraf dengan bidang atau kursus lain.

Bagaimanakah, kita hendak melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia, sedangkan ‘jentera’ (guru) untuk memproses dan membimbing kanak-kanak ini tidak dilengkapkan dengan ilmu yang sepatutnya.

Guru prasekolah mestilah mempunyai sifat penyayang, belas kasihan, komited dan minat dalam bidang kerjaya ini.

Tidak semua orang sanggup melayani kerenah kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya. Hanya guru yang mempunyai berniat ikhlas, sabar dan berilmu dapat ‘bertahan lama’ di prasekolah atau tadika.

Persediaan kegiatan yang pelbagai dalam pengajaran dan pembelajaran harus dirancang dan dibuat lebih awal dengan mengambil kira semua domain yang diperlukan. Kadang-kadang guru mendapati sesetengah kanak-kanak lambat memahami pelajarannya. Harus diingat bahawa kanak-kanak melalui kadar pertumbuhan dan perkembangan berbeza.

Kegiatan kreatif, suasana dan persekitaran yang diwujudkan guru boleh menjadi pemangkin kepada motivasi kanak-kanak.

Ibu bapa adalah sekolah utama dan pertama dalam pendidikan kanak-kanak. Berpegang kepada pesanan Rasulullah ‘tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad’, wajarlah ibu bapa dan guru prasekolah serta kanak-kanak bekerjasama demi mewujudkan generasi berkualiti dan bertakwa.

Dalam konteks prasekolah, guru dan ibu bapa adalah rakan. Jadi tidak wajar semua beban mengasuh, membimbing dan mendidik diserah kepada pihak tadika sepenuhnya.

Kerap kali kedengaran keluhan guru kerana ibu bapa tidak mahu membabitkan diri dalam kegiatan prasekolah.

Pendidikan adalah proses berterusan sama ada formal atau tidak formal. Oleh itu, rumah juga tidak terkecuali daripada menyediakan suasana dan persekitaran yang merangsang perkembangan harmoni kanak-kanak.

Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dalam seni dan sains membimbing dan mendidik anak-anak. Ini dapat membantu mereka untuk lebih memahami peranan masing-masing, meningkatkan kemahiran dan membentuk sikap positif kepada kemurnian perkembangan anak-anak.

1 Comments:

  • akum,saya merupakan seorang guru Prasekolah dan saya ingin berkongsi pengalaman saya mengajar selama 5 tahun dan apa yang amat saya kesali ialah pandangan ibubapa dan rakan sekerja saya yang beranggapan bahawa apabila murid-murid prasekolah seharusnya boleh membaca apabila naik ke tahun satu,dan saya sangat tertekan apabila mereka tidak memahami apakah matmalamat sebenar prasekolah iaitu melahirkan kanak-kanak yang seimbang dan tidak hanya dengan boleh membaca.Untuk pengetahuan semua,tidak mungkin 25 orang murid prasekolah itu boleh 100% boleh membaca dalam masa 11 bulan tempoh pembelajaran dengan bilangan murid seramai 25 orang dan dengan karenah serta latar belakang yang berbeza-beza dan juga penerimaan seorang budak untuk belajar.

    By Blogger Camellya, at 10:28 PM  

Post a Comment

<< Home