Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, February 05, 2003

Muzik yang dibenarkan & diharamkan dalam Islam

5/2/03
Muzik yang dibenarkan , diharamkan dalam Islam
Oleh: Dr. Anisah Abd. Ghani

Sedari kecil lagi kita dibuai dan didodoi oleh ibu tersayang dengan dodoian dan lagu kasih sayang permata hatinya, tanpa lagu dan dodoian ibu si kecil susah nak tidur. Apabila kita masuk sekolah kita di ajar pula dengan lagu bek bek kambing hitam adakah bulu?, Apabila besar sedikit kita telah pandai menyanyi lagu negara ku. Setelah meningkat remaja mula menyanyikan lagu lagu cinta. Apabila mencecah usia emas, lagu lagi instrumental nostalgia menjadi pilihan. Jadi kehidupan kita akan merasa sunyi tanpa irama dan lagu. Terasa pincang jika irama dan lagu dipisahkan dalam rutin harian kehidupan.

Apakah hukum memainkan alat muzik itu harus?. Apakah mendengar muzik dalam bentuk instumental tanpa nyanyian itu haram? Apa pula hukumnya mendengar muzik beserta nyanyian ? Bagaimana pula mendengar nyanyian bersilang jantina? Seterusnya kalau mendengar muzik dan nyanyian itu diharuskan apakah ia boleh dikira sebagai ibadah sehingga seorang yang mendengar muzik dan nyanyian akan mendapat ganjaran pahala? Pastinya sebagai sumber hukum dalam sebuah agama yang lengkap dan sesuai untuk semua tempat, orang dan zaman, Al Quran tidak mengabaikan walau sedikit pun urusan manusia. Pasti ada hukumnya. Begitu juga dengan mengenai persoalan persoalan diatas.

Penulisan-penulisan fiqh klasik membahagiakan alat muzik kepada dua, yang bertali dan tidak bertali. Penggunaan alat muzik yang bertali dihukumkan haram yang tidak bertali pula sebagai harus.

Namun demikian, kajian dan penulisan fiqh terkini tidak melihat kepada sudut jenis alat muzik, tetapi ia melihat kepada rentak dan irama yang dihasilkan oleh alat tersebut . Apakah ia meransang pendengarnya sehingga lalai, lupa diri dan lupa Allah?. Ataukah ia merangsang pendengarnya sehingga dapat menaikkan semangat patriotik, rasa sedar diri dan ketakwaan kepada Allah. Jenis yang pertama dikira haram dan kedua dikira harus. Jadinya hukum asal menggunakan alat muzik adalah harus, samada dipetikkah, dipukul kah, di gesek kah di tiupkah atau lainnya. Yang mengharam atau mengharuskannya ialah cara penggunaannya yang melahirkan rentak, lagu dan irama.

Kadangkala alat muzik dimainkan dengan iringan penyanyi Dalam hubungan ini selain daripada bentuk rentak, lagu dan irama, cara persembahan penyanyi dan lirik nyanyian juga perlu dilihat sama. Sekiranya ia dipersembahkan dengan penampilan yang mengghairahlkan, meransang nafsu dan syahwat, sehingga lupa diri dan Allah,Ia tidak diharuskan. Begitu juga lirik lagu yang lucah, memuji sesuatu yang haram, mengagungkan syaitan dan syawat dan cinta berahi yang keterlauan, ungkapan ungkapan syirik dan kufur, lirik-lirik yang bercanggah dengan semangat syariat maka hukumnya haram.

Mendengar muzik berlaku dalam berbagai bentuk, mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi.

Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘beryarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.

Selain dari sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan sipendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlauan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan merubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata serta lirik dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.

Keadaan hukum ’harus’ mendengar muzik, nyanyian dan menonton persembahan penyanyi boleh di simpulkan seperti berikut:
1. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meransang semangat berani, gagah perkasa, patriotik contohnya rentak ‘march’.
2. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meniupkan rasa keinsfan, sedar diri, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah.
3. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenang jiwa, menghilangkan tekanan perasan, mengenyahkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasadiah dan emosi .

Jadi bolehkah mendengar muzik itu menjadi ibadah?

Untuk semua perbuatan boleh di kira sebagi ibadah ia mestilah memenuhi syarat syarat berikut:

1. Perbuatan itu diterima syarak
2. Perbuatan itu dilakukan menurut tuntutan dan peraturan syarak
3. Perbutan itu dilakukan ikhlas kerana Allah
4. Perbuatan itu dilakukan oleh muslim

Dalam konteks mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan dengan rentak, irama, lagu dan liriknya, selagi memenuhi empat syarat di atas ia boleh dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Sekiranya ia tidak memenuhi syarat ini maka tidak lagi dianggap sebagai ibadah malah termasuk sebagai perbuatan yang sia sia dan dilarang disisi syarak.

[Penulis adalah seorang pensyarah Fiqh dan Usul di Universiti Malaya)

1 Comments:

Post a Comment

<< Home