Membentuk jati diri melalui amalan doa
26/2/03
Membentuk jati diri melalui amalan doa
Oleh Roshidah Romli
JATI diri? Apakah definisi sebenar rangkai kata itu? Bagaimanakah pula jati diri itu hendak diukur?.
Menurut Kamus Dewan, perkataan jati, sama dengan sejati yang membawa maksud asli, murni, tulen dan tidak bercampur.
Apabila dikaitkan jati dengan sejenis tumbuhan, kita akan membayangkan sepohon pokok yang tegap, berakar tunjang yang menjunam ke dasar bumi, berbatang keras dan mahal. Tetapi, apabila kita kaitkan jati diri dengan insan, ia membawa maksud seorang manusia sempurna yang memiliki keseimbangan antara akli (fikiran), jasmani dan rohaninya.
Persoalannya, apakah jenis sukatan atau neraca yang boleh kita gunakan bagi menilai seseorang itu memiliki jati diri atau tidak?
Dalam konteks ini, penulis merujuk jati diri seorang manusia berdasarkan kepada apa yang sudah dinyatakan Allah, seperti yang terkandung dalam Kitab al-Quran. Di antara ciri-ciri atau sifat insan yang memiliki mutu jati diri ialah sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11.
Dalam membangunkan kemanusiaan insan, agama Islam lebih memfokuskan kepada pembangunan dalaman manusia itu, iaitu rohnya.
Sabda Rasulullah, yang bermaksud: “Sesungguhnya, dalam jasad manusia ada seketul darah, jika ia baik, maka seluruh jasad akan menjadi baik, sebaliknya jika ia rosak, seluruh jasad akan menjadi rosak”.
Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini, sudah pasti tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Sama ada masalah itu besar atau sebaliknya, bergantung kepada kemampuan seseorang individu menghadapinya.
Islam membina dan membangunkan keyakinan insan melalui rangsangan dan galakan. Sabda baginda, yang bermaksud : “Setiap penyakit ada penawarnya”. Justeru, setiap masalah, akan ada jalan penyelesaiannya.
Dalam proses penyelesaian masalah, Islam menyarankan kita agar memiliki nilai-nilai murni seperti sentiasa bersikap proaktif, berani berhadapan masalah, berfikiran positif, yakin bahawa setiap masalah itu memiliki hikmah di sebaliknya, sabar dan tenang agar tindakan yang diambil tepat dan berkesan.
Di antara usaha dan ikhtiar yang dituntut oleh Islam, ialah menggalakkan kita sentiasa berdoa. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu, sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku, akan masuk dalam neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah al-Mukmin: 60).
Ulama mentafsir ‘menyombong diri daripada menyembah-Ku’ sebagai tidak berdoa dan tidak beribadat kepada Allah.
Berdoa adalah satu ibadah, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Doa itu intinya ibadat.”
Antara galakan dalam al-Quran supaya kita berdoa, adalah firman Allah, yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya engkau mengenai zat-Ku, maka jawablah bahawa Aku amat hampir. Aku sentiasa menerima permohonan orang yang berdoa apabila mereka memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqara: 186).
Doa juga adalah senjata orang beriman, tetapi sejauh manakah kita menggunakan senjata ini bagi menghadapi segala masalah yang menghantui diri kita?.
Marilah kita bertanya kepada diri sendiri, mudah-mudahan jawapan itu nanti, akan menjadi permulaan bagi menggerakkan seluruh jasad untuk berfikir ke hadrat Ilahi.
Tindakan sebegini akan dapat meredakan keresahan hati, seterusnya membuka pintu kepada penyelesaian masalah.
Imam al-Ghazali dalam kitab ‘Mau‘izatul Mukminin’, menggariskan beberapa tatacara amalan berdoa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Antara adab berdoa ialah:
l Memilih waktu, masa dan tempat yang sesuai, malahan terbaik, seperti berdoa pada bulan Ramadan, pada hari Jumaat iaitu di antara dua khutbah, di waktu tengah malam, serta di Masjidil Haram di Makkah
l Menghadapkan muka ke arah kiblat dan menadah kedua belah tangan tinggi-tinggi, dan menyapu tangan ke muka selepas selesai
l Merendahkan suara antara perlahan dan kuat dan tidak melampaui, sehingga nada seperti orang bersajak dan bersyair
l Berdoalah dengan penuh rasa rendah diri, khusyuk, mengharap dan berasa takut kalau-kalau doa tidak dimakbulkan
l Hendaklah bersikap tetap diri dalam berdoa dan yakin bahawa doanya akan dimakbulkan Allah.
l Berdoalah bersungguh-sungguh dan jangan sesekali berputus asa. Sebaik-baiknya, diulangi sehingga tiga kali.
l Hendaklah dimulakan dan diakhiri dengan menyebut nama Allah dan puji-pujian kepada-Nya serta mengucapkan salam ke atas Rasulullah saw
l Membersih dan menyucikan hati dengan banyak memohon ampun dan bertaubat sebelum berdoa.
Mudah-mudahan dengan menghayati adab berdoa itu, segala permintaan kita diperkenankan Allah.
Bagaimanakah sikap Rasulullah menghadapi semua cabaran dan ujian Allah? Di antara perkara yang dilakukan baginda ialah sentiasa berdoa, mengadu dan bermunajat kepada Allah.
Dalam kehidupan seharian baginda, pelbagai doa menjadi amalan baginda, bermula dengan doa semasa bangun tidur sehinggalah kepada doa hendak tidur. Semua doa ini adalah warisan bernilai yang ditinggalkan baginda untuk diamalkan oleh umatnya, bagi membina jati diri.
Ibu bapa, selain perlu membanyakkan amalan berdoa untuk kebaikan anak-anak, perlu juga mendidik mereka supaya menjadikan doa sebagai amalan rutin apabila memulakan sesuatu.
Manakala guru dan pendidik yang berhadapan dengan pelbagai ragam serta kerenah pelajar dan remaja, sewajarnya banyak beristighfar dan berdoa untuk menggalakkan pelajar mereka yang lemah, khususnya dalam bahasa Inggeris, sains dan matematik, supaya mampu bersaing dan yakin dengan potensi diri.
Guru-guru berperanan meyakinkan pelajar bahawa hanya dengan pertolongan dan janji Allah, usaha mereka yang bersungguh-sungguh akan dikabulkan Allah. Ajarilah pelajar supaya berdoa seperti berikut setiap kali ketika hendak mengulangkaji pelajaran, iaitu:
“Ya Allah, permudahkan, jangan menyusahkan” atau “Ya Allah, tidak ada sesuatu yang mudah, kecuali Engkau memudahkannya, oleh itu, mudahkan segala urusan kami”, Mudah-mudahan, dengan amalan berdoa, akan membentuk generasi yang cemerlang pada masa hadapan.
Sesungguhnya, amalan berdoa mengikut adab dan tatacaranya, mampu membina jati diri insan. Antara manfaat berdoa itu ialah:
l Meningkatkan lagi keyakinan terhadap pertolongan, rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.
l Mengelakkan diri daripada cepat berputus asa dan menyerah kalah.
l Membina keyakinan diri.
l Tabah dan sabar menghadapi cabaran hidup.
l Membina semangat juang dan daya saing yang tinggi.
l Membentuk disiplin diri.
l Mendidik dan melatih diri supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar.
l Menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan keji dan lain-lain lagi.
Justeru, banyak faedah yang diperolehi dengan mengamalkan doa dalam kehidupan kerana amalan itu menjadikan manusia sentiasa berhubung rapat dengan pencipta, sedar dan insaf mengenai kekuasaan dan kebesaran Allah, di samping akur dengan kelemahan diri sendiri.
Keyakinan terhadap Kekuasaan Allah dan akur akan kelemahan diri, mampu membentuk manusia menjadi tidak sombong dan bongkak ketika berada di kemuncak kejayaan, dan tidak mudah berasa kecewa apabila menemui kegagalan.
Inilah ciri-ciri manusia yang memiliki jati diri. Oleh itu, amalkanlah doa dalam kehidupan bagi memiliki sifat jati diri itu.
Penulis seorang guru dan boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home