Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, February 12, 2003

Usah terperangkap jerat cinta valentine

12/2/03
`Usah terperangkap jerat cinta Valentine'
Oleh Norhayati Siddiqah Abu Bakar


HAJI adalah ibadat paling agung. Ia adalah manifestasi keimanan
seseorang. Puncak ketaatan dan pengorbanan seorang hamba kepada
Tuhannya.

Sabda Nabi Muhammad saw: "Haji adalah jihad paling besar"

Jihad membawa erti pengorbanan iaitu yang dilakukan semata-mata
kerana cintakan Allah. Mereka mengorbankan harta yang banyak, masa
panjang, kerehatan yang tidak sedikit dan perasaan sayang
meninggalkan tersayang ketika melangkah ke Baitul Allah. Peluang
untuk menjadi tetamu Allah ini hanya sekali seumur hidup.

Haji pertama dan wajib ini dijaga dan diperlakukan bersungguh-sungguh
dengan tenaga lahiriah. Ia juga disertai dengan keimanan dan
ketakwaan penuh keikhlasan dan kesabaran serta menuntut keredaan
Allah.

Idamannya ialah haji mabrur, diterima, diberi ganjaran pahala dan
dijaminkan syurga dan bukan haji mardud, ditolak, menjadi sia-sia dan
kerugian semata-mata.

Berapa ramaikah kita menghayati, merai, mengamal dan merasakan roh
ibadat haji dan korban seperti yang dilakukan oleh tetamu Allah di
bumi Makkah.

Sesungguhnya penyembelihan korban adalah sunnat muakkad bagi yang
mampu dan wajib jika dinazarkan.

Kebetulan pula pada bulan haji ini, ada pula satu hari pada Februari
yang ditunggu dan akan turut disambut oleh segolongan Islam di
seluruh dunia. Ia adalah budaya yang semakin popular dan kian menular
dalam masyarakat Islam Malaysia iaitu Hari Kekasih atau Hari
Valentine.

Pada tahun ini, 14 Februari akan jatuh bertepatan pada Jumaat
bersamaan 12 Zulhijah atau Hari Tasyrik kedua. Ketika Allah meraikan
berjuta-juta tetamu-Nya di Mina bagi menyempurnakan ibadat melontar
di tiga Jumrah, maka pada masa sama sibuk juga pasangan kekasih
(tidak kira tua atau muda) memperbaharui ikrar cinta mereka, yang
kadang kala terkeluar daripada syariat.

Jika ibadat melontar ini diwajibkan Allah ke atas jemaah haji bagi
memperingati bagaimana Nabi Ibrahim pernah melontar syaitan yang cuba
menggagalkan kesempurnaan ibadatnya kepada Allah, pada masa sama
syaitan berlumba-lumba menyesatkan iman anak-anak Adam pada hari
kekasih ini.

Ketika Nabi Ismail menyerahkan lehernya untuk dikorbankan tanda
kepatuhan kepada Allah. Pada masa sama atas nama cinta juga ramai
pasangan kekasih yang sanggup mengorbankan maruah diri dan agama atas
nama cinta.

Ia seolah-olah satu hari yang amat penting. Pada hari ini, lafaz
kasih-sayang diucapkan dan diperbaharui. Amat malang, jika sambutan
ini turut diraikan oleh pasangan Islam yang belum diijabkabulkan.

Persoalannya adakah perasaan cinta, kasih dan sayang yang dilafazkan
pada hari itu benar-benar ikhlas dan paling penting menepati tuntutan
syariah?

Sayang menyayangi adalah fitrah semua insan. Perlu diingati bahawa
silaturahim dalam Islam adalah diutamakan. Penerapan nilai kasih
sayang dalam Islam adalah menyeluruh, tidak hanya sesama insan malah
seluruh isi alam..

Mungkin kepada ibu yang mempertaruhkan nyawa melahir dan bersengkang
mata saban malam menjaga anak yang kesakitan. Atau kepada ayah yang
saban hari mencari rezeki hingga sanggup meredah lautan bergelora
mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah _ tidak salah jika kita
ingin menyata dan membuktikan kasih sayang kepada seseorang yang
disayangi. Tetapi mestilah menepati batas yang diajar Islam.

Dalam sejarah kita pernah diceritakan mengenai seorang musafir yang
dijanjikan syurga hanya kerana sifat kasihannya terhadap seekor
anjing kehausan.

Beralaskan kasutnya, dia menceduk sedikit air dan memberikannya
kepada anjing itu. Alangkah tingginya nilai kasih sayang yang
tersemai di jiwanya. Kasih sayang bukan boleh diukur seperti berapa
bintang hotel yang dijejaki atau berapa kuntuman mawar merah yang
diberi, tetapi ia adalah ukuran di antara perasaan ikhlas dan jiwa
murni.

Kerana sifat kasih sayang inilah rasul sanggup dihina serta
menghadapi pelbagai rintangan ketika menyampaikan dakwah kepada umat
mereka. Kerana sifat kasih sayang inilah Allah sentiasa melimpahkan
rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan
bangsa. Tanpa sifat ini juga kita melihat pihak yang berkuasa sanggup
menindas puak yang lemah. Negara yang kaya dan gagah sanggup melancar
serangan ke atas negara yang miskin dan lemah.

Namun budaya mengeratkan kasih sayang pada Hari Kekasih atau Hari
Valentine bukan budaya Islam dan tiada hubungan langsung dengan
ajarannnya.

Menurut sejarahnya, Valentine atau Valentino adalah seorang paderi
Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan ajaran Kristian
di Rom. Raja Rom Claudius II memenjarakan penganut Kristian yang
tidak sealiran agama dengannya termasuk Valentine. Meskipun dalam
penjara, Valentine tetap menyebarkan agamanya kepada banduan.

Kegiatan ini akhirnya diketahui oleh Raja Rom. Lalu diperintahkan
diseksa dan dibunuh pada 14 Februari 296 Masihi. Orang Kristian
menganggap paderi ini sebagai orang yang mulia, sanggup berkorban dan
mati kerana mempertahankan agama Kristian. Justeru besarnya
pengorbanan Valentine beliau diberi gelaran Saint atau St. Pada 350
Masihi sebuah gereja dibina berhampiran kuburnya,

Dari sumber lain pula, didapati ketika dalam penjara Valentine jatuh
cinta dengan seorang anak pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan
beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum dibunuh Raja Claudius II memberi
dua pilihan. Meninggalkan agama Kristian atau dibunuh. Namun beliau
lebih rela dibunuh tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat
cinta kepada gadis itu dengan menurunkan tandatangan "From Your
Valentine."

Sejak peristiwa itu orang Kristian mengambil sempena 14 Februari
setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati
kematian St Valentine _ idola mereka.

Jadi adakah wajar kita sebagai Islam turut merayakan hari itu?
Tambahan pula pada tahun ini, ia jatuh pada hari Tasyrik iaitu pada
hari kita masih lagi dituntut melafazkan takbir dan tahmid tanda
membesar dan mengagungkan Allah, di samping melakukan penyembelihan
korban.

Kepada pasangan kekasih sayugia diingatkan janganlah sampai sanggup
melakukan korban untuk perkara keji dan mungkar. Usahlah terdera
dalam jerat percintaan sesungguhnya kembalilah kepada tatacara yang
Islam gariskan.



PENULIS adalah sukarelawan dakwah dan boleh dihubungi

di e-mel wadah_wjy2k@y...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home